Anda di halaman 1dari 1

LUKA RIADAH Tiga musim tampaknya kita membiarkan saja lalang-lalang meliar dan tembok-tembok merekah; genting-genting retak

dan parit-parit turut pecah kita membiarkan khalayak sukan menderita! Di tengah kemegahan negara yang sangat marak kita seolah lebih bersedia diasuh menjadi perosak. Tampaknya, kita lama biarkan mahligai sukan beransur menjadi kawasan yang amat hantuan. Kita seolah tidak pun terasa, apalagi malu, malah kita seperti tak langsung rasa terganggu. Kita sedia rela melihat mahligai sukan terus cacat, rosak serta sakit tanpa rawatan. Kita memang mampu, tapi, oleh lagak bermegah, tampaknya kita lebih selesa menjadi pemusnah, kerana dalam dendam dan hasad yang amat hangat, kita lebih bangga jadi kuasawan bersiasat. Kita tidak tulus lagi memerintah negeri, mungkin amat lama kita dibakar api dengki. Kita sengaja biarkan gedung riadah rekah, malah terus mereput di tengah minyak yang mewah. Kita terus menggerunkan warga penyu yang pilu tidak rela bertelur, tidak pun damai di situ. Kita memang mula kurang mampu lagi mencipta, resahnya, kita tak ternampak segak memerintah. Kita patut malu kepada penyu samudera, juga wajar segan kepada ikan di kuala. Kita telah lama melukakan perut buana dengan keangkuhan peribadi kurang bermakna. Kini, kita mula jadi bangsa saling berhasad, teramat sedikit kita coba meluhur hajat. Kita, dengan pilu, kini kenangi pondok sukan yang terhindar, tersingkir dan terbiar penuh segan, kerana, di tengah kekayaan minyak negara, anehnya kita lebih pintar dan santai memusnah. Kita tak membangun semula mahligai riadah, sebab, sesama saudara kita masih telagah. 67, Jun, 2012 A. SAMAD SAID

Anda mungkin juga menyukai