Anda di halaman 1dari 14

TAHARAH (BERSUCI)

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah ayat 222) Pengertian bersuci: Pada Bahasa: Membersihkan diri atau sesuatu daripada sebarang kekotoran. Sama ada benda itu najis ataupun tidak. Bendabenda najis seperti darah, bangkai, tahi dan sebagainya. Benda-benda yang kotor tetapi tidak najis seperti air ludah, hingus dan lain-lain. Erti pada Syarak: Menghilangkan halangan beribadat kerana ada hadas atau najis atau menghilangkan halangan memakan sesuatu benda disebabkan terkena najis. Iman Al-Ghazali menegaskan dalam kitab Ihya Ulumuddin bersuci itu terbahagi kepada empat tingkat iaitu: 1. Mensucikan anggota-anggota lahir daripada hadas-hadas, anasir-anasir jahat dan kelebihan-kelebihan yang tidak perlu. 2. Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa. 3. Mensucikan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk. 4. Mensucikan kebatinan dari semua perkara selain daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan ini adalah cara bersuci para Nabi salawatullahi-alaihim dan juga pada Siddiqin. Taharah zahir dan batin Taharah yang bersifat batin ialah mensucikan jiwa daripada kekotoran dosa dan maksiat. Caranya ialah dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya taubat. Dengan membersihkan hati daripada kotoran syirik, ragu-ragu, hasad, dengki, menipu dan dosa besar, juga daripada ujub, riya. Perkara ini dilakukan dengan ikhlas, yakin, mencintai kebaikan, bersabar, jujur dan rendah diri. Serta sentiasa mengharapkan memperoleh keredaan Allah dengan niat dan amalan soleh. Taharah yang bersifat lahiriah pula ialah dengan membersihkan kotoran dan hadas membersihkan kotoran dengan cara menghilangkan najis dengan air yang suci lagi menyucikan dari badan, tempat, dan pakaian untuk mengerjakan solat. Jenis-Jenis bersuci 1. Menyuci badan daripada hadas kecil: Iaitu menyuci badan daripada hadas kecil dengan berwuduk atau bertayamum. Orang-orang yang berhadas kecil diharamkan mengerjakan solat dan menyentuh Al-Quran. 2. Menyuci badan daripada hadas besar. Orang yang berjunub atau berhadas besar hendaklah membersihkan dirinya dengan mandi.Orang yang berhadas besar

diharamkan mengerjakan solat, mengerjakan haji, duduk di dalam masjid, menyentuh dan membaca Al-quran. 3. Istinjak Iaitu bersuci selepas keluarnya kotoran daripada dua jalan iaitu air kencing atau tahi. 4. Menyucikan pakaian, alatan dapur (pinggan , mangkuk) dan masjid. Pakaian hendaklah dibersihkan daripada segala najis. antara syarat sah solat ialah pakaian dan tempat solat mestilah bersih daripada najis Istinjak Istinjak Ialah menghilangkan najis kecil atau besar dari tempat keluarnya dengan sesuatu yang bersih seperti air, batu, kertas dan sebagainya sehingga kesan najis itu dibersihkan. Apabila keluar kotoran dari salah satu, iaitu dari qubul atau dubur, wajib istinjak dengan menggunakan air atau dengan tiga ketul batu. Hukum Istinjak Beristinjak adalah hukumnya wajib berdasarkan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Bahawa Nabi (SAW) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat-gumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil. (Hadis Riwayat; Bukhari dan Muslim) Syarat Istinjak 1. Menghilangkan rasanya. 2. Menghilangkan baunya. 3. Menghilangkan warnanya. Rukun Istinjak 1. Seorang Islam. 2. Alat untuk istinjak. Dengan menggunakan air, batu, kertas atau seumpamanya. 3. Tempat yang diistinjak iaitu qubul dan dubur. 4. Yang diistinjakkan itu sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu qubul atau dubur. Cara mengerjakan Istinjak 1. Istinjak itu 3 kali dan kalau masih belum suci, boleh diulang lagi sehingga suci.

2. Alat dibuat istinjak itu mestilah melingkupi tempat yang disapu itu. 3. Beristinjak itu mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar. Cara beristinjak dengan Air (Air Mutlak) 1. Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis. 2. Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri. 3. Makruh memasukkan jari ke dalam dubur. 4. Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit ruas jarinya.* 5. Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis padanya ketika membasuh dubur. 6. Sunat selepas intinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan. 7. Sunat ketika intinjak membaca doa : Ertinya ; "Ya Allah, sucikanlah hatiku daripada sifat nifak dan peliharakanlah kemaluan aku daripada kejahatan." 8. Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak. 9. Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.* Cara yang baik dilakukan istinjak ialah dengan menggunakan air, tetapi harus juga dilakukan dengan benda-benda kesat yang suci dengan syarat. 1. Benda itu mesti kering sama ada kayu, batu, daun dan lain-lain. Kalau ia basah, maka tidak boleh digunakan. 2. Benda itu mesti kesat. Kalau kering tetapi licin maka tidak sah untuk istinjak seperti kertas atau plastik atau belakang buluh. 3. Benda itu bukan benda yang dihormati seperti makanan, pakaian, tulang atau seumpamanya. 4. Bukan benda-benda yang bertulis dengan ayat-ayat al-quran, hadis dan seumpamanya. Sekiranya ada , berdosa menggunakannya. 5. Najis yang keluar tidak melecer ke tempat lain. Sekiranya ia melecer ke tempat lain maka air diperlukan untuk beristinjak. 6. Hendaklah dihilangkan najis itu sekurang-kurangnya dengan tiga ketul batu ataupun dengan sebiji batu tiga persegi. Sekiranya masih tidak suci, hendaklah ditambah batu sehingga suci. Cara Beristinjak dengan menggunakan batu pada dubur 1. Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan papan punggung yang kanan lalu diedarkan pada

tempat permulaan sapuan. 2. Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan papan punggung kiri lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu. 3. Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubul. 4. Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis secara perlahan-lahan. 5. Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada dubur lebih dahulu kering daripada qubul. Jika najis telah kering, wajib menggunakan air. Cara Istinjak Dengan Batu Pada Qubul ( Zakar atau Faraj) Disapu di tiga tempat pada batu besar atau tiga ketul batu. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak dengan menggunakan air. Hal-hal yang perlu diperhatikan ketika insinjak 1. Jangan bersuci dengan tulang, makanan atau tahi kering. 2. Jangan bersuci dengan menggunakan tangan kanan atau memegang zakar dengan tangan kanan. 3. Hendaklah bersuci dengan batu dalam bilangan ganjil, seperti tiga ketul batu, lima ketul batu dan sebagainya. 4. Bila bersuci dengan air dan batu, hendaklah menggunakan batu terlebih dahulu, kemudian dengan air, bila memilih salah satu, pilihlah air kerana air lebih baik digunakan untuk bersuci. Qada Hajat atau Buang Air terbahagi kepada tiga hukum: 1. Cara yang haram. 2. Cara yang makruh. 3. Cara yang sunat. Cara Qada Hajat yang diharamkan 1. Membawa bersama sesuatu yang bertulis ayat-ayat quran, hadis atau nama-nama para rasul ketika qada hajat. 2. Menghadap atau membelakangkan kiblat ketika qada hajat di tempat lapang. Sekiranya qada hajat di tempat yang berdinding maka tidaklah diharamkan. 3. Membuang air besar atau kecil dalam lubang yang diketahui di dalamnya ada haiwan. 4. Qada hajat di atas kubur. 5. Membuang air di tempat ibadah seperti di surau, masjid, musalla dan sebagainya.

6. Membuang air di atas kitab-kitab agama . 7. Membuang air di atas makanan. 8. Membuang air di tempat perhentian orang ramai atau di jalan raya. Cara Qada Hajat Yang Dimakruhkan 1. Membuang air sambil berdiri kecuali dengan keuzuran atau darurat yang tidak membolehkan seseorang itu duduk seperti disebabkan sakit. 2. Bercakap-cakap ketika buang air pada perkara yang tidak penting, kecuali dalam keadaan darurat. 3. Membuang air di dalam lubang yang tidak diketahui di dalamnya ada binatang atau tidak. 4. Membuang air di bawah pokok buah-buahan 5. Membuang air dalam air tenang yang tidak mengalir. 6. Membuang air berhampiran dengan kawasan perkuburan. Cara-cara Qada Hajat Yang disunatkan 1. Membuang air di tempat terselindung dari orang ramai seperti di dalam tandas atau di sebalik batu. 2. Memulakan masuk ke dalam taandas dengan menggunakan kaki kiri. 3. Ketika hendak masuk, baca doa ini: Ertinya : "wahai Tuhanku, aku berlindung pada-Mu dari kejahatan syaitan jantan dan betina." 4. Memakai alas kaki seperti selipar dan kasut ketika masuk tandas. 5. Memakai penutup kepala seperti tudung, semutar dan sebagainya ketika qada hajat. 6. Beristibak, iaitu berdehem-dehem supaya najis habis keluar. 7. Ketika keluar dari tandas, mulai langkah kaki kanan dahulu. 8. Ketika keluar dari tandas, membaca doa ini. Ertinya: "Wahai Tuhanku, hilangkan dariku segala kekotoran dan beri kesihatan kepadaku." Hal-hal yang harus dilakukan sebelum buang air 1. Hendaklah mencari tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang (kiranya tidak menggunakan tandas). 2. Jangan memasuki tandas atau tempat buang air dengan membawa sesuatu yang ada kalimah Allah.

3. Jangan membuka pakaian sebelum berada dekat tempat buang air, ini adalah bagi mempastikan agar aurat tetap terjaga sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh hukum syariat. 4. Mendahulukan kaki kiri waktu masuk ke tandas dan disunatkan berdoa: "Ya Allah! hamba berlindung pada-Mu dari segala yang kotor dan keji" 5. Janganlah buang air dengan menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya, jika sekiranya di tempat-tempat yang tidak berdinding.. 6. Jangan membuang air besar atau air kecil (berak atau kencing) di tempat orang biasa berteduh, di jalan-jalan, di tempat mandian atau di bawah pokok yang berbuah. 7. Janganlah bercakap-cakap sewaktu buang air. Adab buang air 1. Sunat mendahulukan kaki kiri ketika masuk ke tandas, dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar. 2. Jangan membawa sesuatu kalimah Al-Quran, atau hadis atau zikrullah ke dalam tandas. 3. Hendak memakai sepatu atau terompah atau seumpamanya. 4. hendaklah jauh dari orang sehingga bau kotoran tidak sampai kepadanya. 5. Janganlah berkata-kata selama dalam tandas itu, kecuali apabila ada keperluan yang sangat penting yang tidak dapat ditangguhkan. 6. Jangan buang air di air yang tenang, kecuali jika air tenang itu terbentang luas seperti tasik yang luas atau laut. 7. Jangan buang air di lubang tanah, kerana kemungkinan ada binatang yang mendapat kesakitan di dalam lubang itu. 8. Jangan membuang air di atas kubur. 9. Jangan membuang air besar atau kecil di tempat-tempat beribadat seperti masjid, surau dan sebagainya (Kecuali di tandastandas yang telah disediakan di tempat-tempat ibadat tersebut). 10. Jangan membuang air di atas kitab-kitab agama atau di atas makanan. 11. Jangan buang air di mana-mana tempat perhentian. Air Bahagiannya Air dan Hukum bersuci dengannya Air mutlak Suci lagi menyucikan Segala air yang turun dari langit dan keluar dari bumi seperti air hujan, perigi dan laut. Suci: harus dibuat makan dan minum, boleh menyucikan, harus digunakan untuk bersuci kerana dapat menghilangkan najis dan hadas. Air Musyammas Suci lagi menyucikan tapi makruh Air dalam tin yang terdedah pada sinar matahari di negeri panas. Suci dan

menyucikan tapi makruh digunakan pada tubuh badan. Air Mustamal Suci tapi tidak menyucikan. Air sedikit yang sudah terpakai kerana wudhu atau mandi wajib. Harus digunakan untuk lain dari maksud bersuci. Air Mutanajis - Air sedikit yang kemasukan najis.Tidak harus digunakan. Air banyak - Air yang ukurannya lebih 190kg atau 11 tin minyak tanah. Harus digunakan selagi ia tidak mengalami perubahan sebab kemasukan najis di dalamnya. Air sedikit - Air yang kurang daripada ukuran tersebut di atas Harus digunakan selagi ia tidak terhitung sebagai muatamal atau mutanajjis. 1. Air Mutlak - Air yang tidak bercampur dengan benda lain dan belum digunakan untuk bersuci dan mengangkat hadas. Air yang sah dibuat bersuci. 1. Air hujan. 2. Air embun. 3. Air laut. 4. Air sungai. 5. Air perigi. 6. Air mata air. 7. Air Salji. Air tersebut tidak diambil kira sifatnya sama ada berwarna putih, jernih, keruh, masam, masin dan sebagainya. 2. Air Musta'mal - Air yang telah digunakan untuk basuhan pertama bagi mengangkat hadas besar atau hadas kecil. Hukumnya suci tetapi tidak boleh menyucikan benda lain. 3. Air Mutaghayyir (Air Muqayyid) - Air yang suci bercampur dengan benda suci yang boleh mengubah air itu. Hukumnya, suci tetapi tidak boleh menyucikan benda yang lain. contoh: Air kopi, air teh, air sirap , air kelapa, air mawar, air tebu dan sebagainya. Peringatan i. Air yang berubah disebabkan keruh lumpur dan air laut adalah suci. ii. Air yang berubah disebabkan sesuatu tempat berhenti atau tempat laluannya seperti sungai di kawasan belerang atau kapur

adalah suci. iii. Air yang berubah disebabkan daun kayu gugur di dalam telaga kerana kesukaran menjaganya adalah suci. iv. Juga dikirakan sebagai air mutlak apabila berubah baunya disebabkan jatuh ke dalamnya sesuatu seperti gharu atau kapur yang keras jika tidak bercerai jisimnya di dalam air itu. 3. Air Mutanajjis - Air yang sudah bercampur dengan benda-benda najis. Hukumnya: Haram digunakan untuk memasak makanan , minuman dan bersuci. Contohnya air yang bercampur tahi atau bangkai. Peringatan Air Mutanajjis terbahagi kepada dua; i. Air yang kurang daripada dua kolah jika termasuk atau dimasukkan ke dalamnya najis, air itu menjadi najis walaupun tidak berubah sifatnya. ii. Air yang lebih daripada dua kolah , jika termasuk atau dimasukkan najis ke dalamnya sehingga berubah salah satu daripada sifatnya iaitu warna, bau atau rasanya, maka air itu menjadi najis. Sebaliknya jika tidak berubah sifatnya, maka ia adalah suci. Sukatan dua kolah i. Bagi bekas segi empat sama; Panjang - 60 cm (22.5 inci). Lebar - 60 cm (22.5 inci). Dalam - 62.5 cm ( 25 inci). Jika diukur dalam timbangan atau sukatan i. Liter - 174 liter ii. Kilogram - 190 kilogram. iii. Kati - 317 kati. iv. Tin minyak tanah - 11 tin 5. Air Musyammas - Air mutlak yang terjemur panas matahari di dalam bekas logam yang boleh berkarat. hukumnya; Makruh digunakan ketika air itu masih panas pada anggota badan dan untuk dibuat minuman dan makanan. Tidak makruh digunakan untuk membasuh pakaian atau barang-barang lain.

Keterangan: i. Air di tanah sawah atau di dalam kolam tidak air musyammas walaupun panas kerana ia bukan dalam bekas yang berkarat. ii. Makruh menggunaan air yang sangat panas atau sangat sejuk walaupun bukan di dalam bekas yang tidak berkarat. iii. Air Musyammas makruh digunakan pada anggota badan atau digunakan untuk memasak makanan atau minuman kerana boleh mendatangkan penyakit. iv. Air Musyammas tidak makruh digunakan apabila air itu kembali sejuk. Hikmah-Hikmah Bersuci 1. Dapat menjauhkan diri daripada jangkitan penyakit 2. Amalan-amalan tertentu tidak diterima Allah tanpa bersuci. 3. Kebersihan lahir juga membawa kepada kebersihan jiwa seseorang. 4. Amalan kebersihan yang dilakukan itu menjadi syiar dan identiti umat Islam di dalam kehidupan manusia, agar dengan itu umat Islam menjadi contoh dan teladan kepada manusia seluruhnya. 5. Kebersihan dapat mencerminkan keperibadian seseorang Najis ialah suatu benda yang kotor dan jijik . Najis menurut pengertian syarak ialah segala yang kotor yang membatalkan solat seperti tahi, nanah, darah dan sebagainya. Bagaimanapun benda yang jijik tetapi pada syariat tidak membatalkan solat seperti kahak, hingus dan lain-lain tidak dikira sebagai najis. Menurut hukum aslinya sesuatu benda itu adalah suci selama tak ada dalil yang menunjukkan bahawa benda itu najis. Benda-benda Najis 1. Bangkai haiwan darat yang berdarah. (kecuali mayat manusia tidak najis) bahagian-bahagian bangkai seperti daging, kulit, urat, tulang, bulu dan sebagainya, semuanya adalah najis. 2. Air kencing. 3. Tahi. 4. Darah. Semua jenis darah kecuali hati dan limpa. 5. Nanah. Segala macam nanah adalah najis sama ada ainya berbentuk kental atau cair. 6. Muntah. 7. Mazi. Iaitu air putih yang keluar dari kemaluan ketika memuncak syahwat. Ia hanya terdapat pada lelaki dan perempuan. Tetapi lebih banyak pada kaum perempuan.

8. Wadi. Iaitu air putih kental yang keluar dari kemaluan mengiringi kencing atau kerana letih. 9. Arak atau tuak ( masam) . Setiap minuman keras yang memabukkan. 10. Anjing dan babi serta keturunannya. Segala najis tidak dapat disucikan kecuali arak dan kulit bangkai binatang. Arak apabila sudah menjadi cuka dengan sendirinya ia menjadi suci. Begitu juga dengan kulit bangkai dapat disucikan dengan cara disamak. PEMBAHAGIAN NAJIS. 1. Najis Mughallazah. (tebal) iaitu anjing dan babi. Benda yang terkena najis ini hendaklah dibasuh tujuh kali, sekali daripadanya hendaklah dicampur dengan tanah Sabda Rasullullah (SAW) "Cara mencuci bejana seseorang kamu, apabila dijilat anjing hendaklah dibasuh tujuh kali, air pertama hendaklah dicampur dengan tanah." (Riwayat Muslim). 2. Najis Mukhaffafah. (Ringan). seperti kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan selain daripada susu ibu. Untuk menyuci benda yang terkena najis ini, memadai dengan memercikkan air atas benda itu meskipun tidak mengalir. Adapun kencing kanak-kanak perempuan yang belum makan selain susu hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang kena najis itu dan hilang zat dan sifat-sifatnya sebagaimana menyuci kencing orang dewasa. 3. Najis Mutawassitah. (Pertengahan) iaitu najis yang lain daripada dua macam tersebut di atas. Najis pertengahan ini terbahagi kepada dua bahagian. 3.1 Najis Hukmiah. - iaitu najis yang diyakini adanya tetapi tidak nyata zatnya, baunya , rasanya serta warnanya. Seperti kencing yang sudah lama kering, sehingga sifat-sifatnya sudah hilang. Cara mensuci najis ini cukup dengan mengalirkan air di atas benda yang kena itu. 3.2 Najis Ainiah. Najis yang nampak dan kelihatan najisnya seperti tahi, darah dan lain-lain. Cara Menyuci Najis Mughallazah (Najis Berat) * Anjing dan babi serta keturunan salah satu daripadanya. - termasuk dagingnya, lemak, tulang, darah, liur, tahi, kulit serta bulunya serta seluruh bahagian badannya. Peringatan 1. Tersentuh anjing yang kering dengan tangan yang kering tidaklah dikirakan najis. Sekiranya salah satu di antara keduanya basah atau kedua-duanya basah, maka dikira najis dan ia wajib disamak. 2. Menyentuh babi yang kering ataupun basah adalah dikira najis (Wajib disamak). Cara Menyucinya

Hilangkan najis itu terlebih dahulu kiranya najis haiwan itu yang tersentuh. Basuhan pertama menggunakan air lumpur (Selut). Kemudian dijirus dengan enam kali air mutlak. Basuhan ini hendaklah menghilangkan bau, rasa dan ainnya. Cara menyucikan Najis Mutawasitah (Pertengahan) 1. Najis Ainiyah. i. Buangkan najis itu terlebih dahulu. ii. Basuh bekas itu sehingga hilang bau, warna dan rasa dengan air mutlak. 2. Najis Hukmiyah. i. Memadai dengan mengalirkan (Menjirus) air mutlak pada tempat yang terkena najis. Cara menyucikan Najis Mukhaffafah (ringan) Memadai dengan merenjiskan air pada benda atau tempat yang terkena najis sehingga rata. Cara Menyucikan Kulit Bangkai Binatang yang mati tidak disembelih adalah bangkai. Kulit bangkai kecuali binatang laut dan sungai tidak boleh dipergunakan sebelum disuci. Cara menyucinya ialah dengan dibersihkan menggunakan air bercampur daun bidara atau juga biasa disebut samak. Sebelum disamak kulit bangkai itu adalah najis. Cara menyucikan cairan yang memabukkan Kiranya minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda cair maka buanglah semuanya. Tetapi jika minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda beku, cukuplah dibuang bahagian yang terkena dan kawasan sekelilingnya. Perkara yang tidak dikira sebagai najis Bagi haiwan yang mati tanpa disembelih hukumnya bangkai yang bernajis kecuali yang berikut di bawah: 1. Mayat manusia sama ada Islam atau kafir. 2. Ikan sama ada besar atau kecil halal dimakan. 3. Belalang. 4. Ulat dalam buah-buahan atau seumpamanya yang ada dalam makanan. Kalau diketahui ada ulat dalam buah-buahan dan dimakannya bersama maka hukumnya makruh. 5. Semua binatang yang darahnya tidak bersifat mengalir maka air tidak menjadi najis jika binatang berkenaan jatuh ke dalamnya. Tetapi memakannya tetap dilarang.

Hukum peluh dan air liur manusia dan binatang 1. Air liur, kahak yang keluar daripada dada atau otak, air hidung, air mata, peluh , mani, susu jika ia keluar dari: i. Anjing dan babi atau keturunannya adalah haram kerana ia adalah najis. ii. Keluar daripada binatang atau manusia adalah suci semuanya. Tetapi benda itu adalah dianggap jijik dan haram dimakan. 2. Tidak najis air liur kucing, jika pasti semasa itu ia tidak memakan benda najis seperti cicak, tikus dan seumpamanya. i. Selepas makan tikus lalu kucing itu menjilat air minuman maka air yang dijilat itu menjadi najis. ii. Jika selepas makan tikus atau sebagainya, kesan darah di mulut kucing itu telah hilang, kemudian kucing itu menjilat minuman. Air minuman itu tidak najis. Air Liur Basi Air yang keluar daripada mulut ketika seseorang tidur. 1. Jika air itu berwarna kuning atau busuk maka iar liur basi itu najis kerana ia keluar dari perut. 2. Jika air liur itu tidak berwarna dan tidak berbau busuk, maka air liur itu tidak najis kerana bukan keluar dari perut. Hukum Madu 1. Halal meminum madu kerana madu keluar daripada mulut lebah. 2. Haram memakan anak lebah sekalipun belum bernyawa. 3. Tidak makruh meminum madu daripada lebah yang memakan najis. Rasulullah SAW telah menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud; Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW sabdanya: sekiranya tidaklah menjadi suatu bebanan kepada umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi setiap kali mereka hendak mengambil wuduk (Riwayat Ahmad, Malik dan al-NasaI)" Pengertian bersugi Bersugi adalah perbuatan membersihkan mulut dan gigi. Alat-alat bersugi Berus gigi dan ubatnya yang suci. Mayang kelapa. Sabut. Kayu.

Apa sahaja yang kesat yang boleh membersihkan gigi. Hukum Bersugi Hukum bersugi adalah sunat sepanjang masa. Waktu-waktu dituntut bersugi Ketika hendak membaca Al-quran. Hendak mengerjakan solat. Ketika perubahan bau mulut. Bangun dari tidur. Hendak tidur. Gigi menjadi kuning. Ketika hendak berwuduk. Ketika hendak berzikir. Ketika hendak memasuki kaabah. Hendak masuk rumah selepas berjalan. Ketika lapar dan dahaga. Ketika hendak mati. Hendak musafir atau balik dari musafir.

Makruh bersugi Orang yang berpuasa tak kira sama ada puasa fardu (Ramadan) atau puasa sunat selepas gelincir matahari, iaitu selepas masuk waktu zuhur. Cara-cara bersugi Menggunakan tangan kanan. Memulakan daripada sebelah kanan mulut. Gosok langit-langit mulut dengan perlahan-lahan.

Gosok bahagian gusi dan gigi dengan perlahan-lahan. Hilangkan lendir-lendir yang ada pada lidah dengan menggunakan alat-alat tertentu. Kelebihan Bersugi Solat dengan bersugi lebih baik daripada 70 rakaat solat yang tidak bersugi. Menyucikan mulut dan gigi. Mendapat keredaan Allah. Mencergaskan otak. Mencerahkan mata. Melambatkan tumbuh uban. Mengurangkan bongkok dan sakit buah pinggang. Melipatgandakan pahala. Mengingatkan dua kalimah shahadat ketika hampir mati Samak Kulit-kulit bangkai binatang yang mati serta telah disamak boleh digunakan untuk membuat peralatan seperti pakaian, kasut, tali pinggang, beg dan sebagainya Syarat sah penyucian 1. Kulit binatang itu bukannya kulit anjing atau babi atau bukan kulit binatang keturunan salah satu daripada keduanya. Kulit binatang lain sama ada yang mati secara disembelih atau tidak disembelih atau binatang itu haram dimakan dagingnya jika disuci ia boleh digunakan.. 2. Hendaklah dibuang terlebih dahulu darah, lendir dan lemak yang ada pada kulit itu. Kemudian disapu dengan benda-benda yang boleh menghilangkan baunya seperti dengan kapur, tawas dan seumpamanya. 3. Setelah dibuang darah, lendir dan lemak pada kulit tersebut, maka hendaklah dikeringkan kulit dengan cara menjemur dan setelah kering, basuh kulit itu dengan air bersih sekali jirus sahaja. Terima kasih kepada www.AnjungIT.com di atas makumat ini.

Anda mungkin juga menyukai