Anda di halaman 1dari 2

Solid State Transistor atau pun lebih umum dikenali sebagai transistor pertama kali ditemui oleh William

Shockley, John Bardeen dan Walter Brattain. Ketiga-tiga individu terbabit merupakan saintis dari Bell Laboratories Amerika Syarikat pada tahun 1948. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa transistor merupakan salah satu penemuan terpenting abad ke 20 sejajar dengan penemuan DNA dan teknologi internet. Kemajuan dalam bidang teknik pemprosesan bahan semikonduktor menghasilkan transistor yang semakin hari semakin kecil saiznya dan berkeupayaan tinggi selain penggunaan tenaganya yang rendah. Transistor sebagaimana yang kita maklum merupakan komponen terpenting dalam menghasilkan mikroprosesor yang bertindak sebagai otak komputer. Sebagai contoh, dalam cip Pentium pada tahun 1993 mempunyai 3.1 juta transistor sedangkan Pentium M pada tahun 2000 memiliki jumlah transistor sebanyak 77 juta di dalamnya. Tidak terjangkau di fikiran kita bahawa terdapat jutaan komponen lain dalam cip mikroprosesor komputer yang hanya berdimensi beberapa milimeter sahaja!. Inilah yang dinamakan keajaiban teknologi pemprosesan bahan semikonduktor yang benar-benar mematuhi Hukum Moore.

Pada umumnya, transistor yang digunakan dalam komponen dan rangkaian elektronik diperbuat daripada bahan asas semikonduktor iaitu silikon. Selain digunakan dalam fungsi-fungsi elektronik, bahan semikonduktor lain yang terdiri dari sebatian kumpulan III dan IV (compound semiconductor) dalam jadual berkala unsur, juga digunakan untuk menghasilkan peranti keadaan pepejal yang dapat mengeluarkan cahaya seperti LED dan laser. Selain silikon yang terkenal sebagai bahan utama pembuatan peranti semikonduktor, semikonduktor yang terhasil dari gabungan kumpulan III dan IV ini juga menjadi kunci asas dalam perkembangan teknologi informasi dewasa ini. Keunikan semikonduktor berbanding bahan lain ialah kebolehan untuk mengubah sifat kekonduksiannya ( kemampuan bahan mengalirkan arus elektrik) dengan cara memasukkan elemen lain (dopan) ke dalam hablur semikonduktor. Teknik ini dikenali sebagai doping. Hablur silikon yang 100% tulen mempunyai cas neutral kerana semua elektron valensi (di petala terluar iaitu 4) dari atom silikon berpasangan dengan elektron valensi atom silikon lain di dalam hablur silikon tersebut. Oleh kerana hablur silikon tulen mempunyai cas neutral, atom bendasing perlu ditambah untuk membolehkan ia mengalirkan arus elektrik. Bila ia didop dengan atom unsur dari kumpulan III seperti Boron, hablur silikon akan mempunyai cas positif dan sekiranya ia didopkan dengan atom dari kumpulan V seperti fosforus atau arsenik, ia akan mempunyai cas negatif. Hablur silikon yang keseluruhan casnya positif dikenali sebagai semikonduktor jenis P, dan sebaliknya dikenali dengan jenis-N. Jika tenaga elektrik dikenakan pada kristal silikon, arah arus elektrik pada semikonduktor jenis N dan P akan berlawanan antara satu sama lain. Gabungan kedua-dua semikonduktor jenis N dan P akan menghasilkan peranti yang dikenali sebagai diod yang berfungsi sebagai suis elektronik. Selain gabungan jenis P dan N, semikonduktor juga boleh digabungkan menjadi N-P-N atau P-N-P yang dapat

digunakan sebagai suis ( contoh; butang ON dan OFF) atau pun sebagai amplifier arus elektrik ( contoh; pengawal volume pada radio). Pada masa kini, sebahagian besar transistor yang terdapat dalam rangkaian elektronik digital, seperti mikroprosessor dalam PC merupakan transistor jenis MOSFET (Metal Oxide Semiconductor Field-Effect Transistor) yang dihasilkan dari logam, silikon dioksida, dan silikon yang telah didop.

Dalam pembuatan litar bersepadu (integrated Circuit), jurutera akan merekabentuk rangkaian litar berdasarkan spesikasi yang telah ditentukan. Rekabentuk ini dilakukan dengan bantuan komputer menggunakan perisian khas untuk menghasilkannya. Rekabentuk ini kemudiannya dihantar ke tempat pemprosesan IC dimana cip tersebut difabrikasi di suatu tempat yang dinamakan bilik bersih (Cleanroom) bagi mengelakkan partikel-partikel bebas merosakkan prestasi cip yang akan difabrikasi. Akhir sekali, cip yang siap difabrikasi akan dihantar ke suatu tempat untuk pembungkusan (Packaging) seperti yang biasa kita lihat sebelum dipasang ke atas papan-papan litar. Selain silikon, sebatian semikonduktor seperti GaAs juga digunakan dalam pembuatan diod pemancar cahaya (LED) dan juga laser diod. Tahap kemajuan dan kecanggihan pemprosesan bahan sebatian semikonduktor pada masa kini telah berjaya menghasilkan LED berwarna biru ( Blue LED) menggunakan sebatian GaN. Dengan penemuan ini LED telah tersedia dengan pelbagai warna dari biru ( GaN) sehingga warna merah ( InGaAlP). Di negara kita Malaysia, telah ada usaha-usaha untuk menggantikan lampu isyarat menggunakan LED yang mempunyai ketahanan lebih tinggi, penggunaan kuasa yang rendah dan mempunyai cahaya yang lebih terang berbanding lampu isyarat konvensional yang digunakan untuk tujuan tersebut. Selain LED, laser diod yang dihasilkan menggunakan sebatian semikondukor digunakan dalam sistem transmisi gentian optik. Seiring dengan peningkatan keperluan jalur lebar (bandwith) internet, sistem gentian optik telah menjadi tulang belakang dalam teknologi IT pada masa kini. Dari contoh-contoh di atas, kita dapat melihat bagaimana peranti bahan keadaan pepejal (solid state devices) dari evolusi sains dan teknologi elektronik begitu berperanan dalam meningkatkan kualiti hidup manusia seharian. Kemajuan dalam bidang nanoteknologi kebelakangan ini telah membolehkan para saintis mengawal bahan-bahan subatom secara persis dan tepat dalam skala nanometer. Tumpuan utama para saintis pada masa kini ialah mengembangkan peranti transistor elektron tunggal ( Single-Electron Transistor). Ringkasnya, peranti transistor elektron tunggal bersaiz nanometer ini, dijangka sekali lagi dapat menerobos batas-batas yang wujud di dalam dunia mikroelektronik hari ini dengan perkembangan pesat nanoteknologi yang akan menghasilkan peranti peranti baru untuk kegunaan manusia.

Anda mungkin juga menyukai