Anda di halaman 1dari 2

Klise tanda malas berfikir - Malay Magazine @ Melayu Moden

http://melayumoden.com/?p=191

Klise tanda malas berfikir


Sep 15th, 2008 | By admin | Category: Diari Tuan Tanah

Oleh Ku Seman Ku Hussien Utusan Malaysia 15.9.08 muka surat 10

KLISE dipinjam daripada bahasa Inggeris, cliche yang membawa maksud sesuatu idea atau perlakuan yang diulang-ulang penggunaannya tanpa memberikan satu tafsiran baru. Pengulangan ini dilakukan kerana adanya sedikit kemalasan untuk menggerakkan minda supaya berkerja bagi mendapatkan sesuatu yang segar dan lebih menarik daripada sesuatu yang sekian lama dilakukan. Klise selalu dirujuk kepada karya kreatif seperti teater, filem, novel, cerpen dan sebagainya. Masalah ini berlaku antaranya disebabkan tidak ada usaha untuk memboloskan diri daripada sesuatu yang biasa dilakukan dalam karya. Malas untuk memerah otak mencari pendekatan baru biar pun berbicara tentang isu yang sama. Kemalasan yang tidak kelihatan malasnya ini banyak menyumbang kepada lambakan filem dan drama televisyen yang klise di ruang tamu rumah kita. Lebih bermasalah apabila stesen diukur dari segi penontonannya. Misalnya suatu ketika dulu, kalau filem atau drama berkisar tentang anak seni seperti artis, pembinaan watak artis itu bermula dengan keperitan, ejekan orang kemudian berjaya di puncak kerjaya. Selepas berjaya, artis itu akan dihitamkan wataknya apabila dia lupa diri. Akhirnya seperti biasa kampung menjadi tempat orang lupa diri menyucikan dosa. Orang yang hilang haluan hidup di kota akan memilih desa tanpa memberikan hujah yang lebih wajar dan waras. Kalau anak keluarga kaya kerap kali bertemu dengan anak orang miskin sama ada sebagai kekasih atau rakan biasa. Maka filem atau drama itu pun membuat klise apabila memberikan gambaran keluarga kaya itu bongkak tetapi keluarga yang miskin tadi baik budi pekertinya. Penonton sudah meloya dengan klise begini kerana filem-filem P. Ramlee sudah membuat perkara yang sama. Kenapa diulang-ulang lagi? Jawabnya barangkali mereka menganggap itu adalah yang betul dan mesti diulangi secara total. Kita juga pasti selalu menonton drama tentang drama atau filem yang ada adegan di depan wad unit rawatan rapi (ICU). Inilah adegan yang paling membosankan apabila hampir semuanya klise. Keluarga pesakit akan berkumpul di depan pintu ICU dengan ratap tangis dan sebagainya. Muncul saja doktor dari dalam, mereka akan bertanya bagaimana keadaan pesakit. Watak doktor itu pun klise juga apabila mengulangi dialog Dia tidak apa-apa. Untuk menunjukkan seorang itu seorang kontraktor, secara klisenya dia akan melawat ke tapak

1 of 2

31/7/2012 5:27 PM

Klise tanda malas berfikir - Malay Magazine @ Melayu Moden

http://melayumoden.com/?p=191

pembinaan dengan memakai topi keselamatan, bertali leher, mengepit pelan dan tertinjau-tinjau di bangunan yang sedang dalam pembinaan. Itulah yang ratusan kali dihidangkan kepada penonton tanpa merasa bersalah bahawa itu adalah pengulangan yang entah kali ke berapa. Demikianlah bermasalahnya klise kepada pembuat drama dan filem kita tetapi malangnya mereka tidak sedar tentang itu. Masalah itu dihidangkan kepada penonton, yang malas berfikir akan terima tanpa banyak soal. E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Leave Comment

2 of 2

31/7/2012 5:27 PM