Anda di halaman 1dari 7

Bahasa Melayu dalam kemajuan bangsa ini membicarakan bagaimana bahasa Melayu Malaysia berupaya memajukan bangsa Malaysia.

Bangsa Malaysia yang majmuk sifatnya memerlukan satu bahasa iaitu bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah maju sejak abad ke-14 lagi.Hal ini dapat dibuktikan apabila bahasa Melayu telah pun mempunyai sistem tulisan iaitu tulisan Jawi, ragam bahasa yang standard, dan bersifat modenisasi. Selain itu, bahasa Melayu juga memainkan peranannya dalam pelbagai fungsi yang merentas bidang. Dalam fungsinya sebagai lingua franca, bahasa Melayu dijadikan bahasa perdagangan dan sosial di rantau Nusantara. Bahasa Melayu mula berstatus setelah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Bagi mendukung fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, maka bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963. Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa persuratan apabila banyak karya agung terhasil dalam bidang kesusasteraan tinggi. Keupayaan bahasa Melayu memperkatakan bidang ilmu, menyebabkan ia berfungsi sebagai bahasa pengantar pendidikan baik di peringkat sekolah mahupun peringkat institusi pengajian tinggi. Dengan kemajuan yang dicapai oleh bahasa Melayu, maka bahasa Melayu juga mampu menjadi pemangkin kemajuan bangsa. Kemajuan bangsa bergantung kepada beberapa faktor seperti kestabilan politik, kekayaan sumber alam, kegigihan rakyat, berilmu dan mempunyai perancangan yang baik dan teratur. Dalam fungsinya memajukan bangsa, bahasa Melayu mampu melahirkan masyarakat yang berfikir, mencipta dan mengembangkan serta menyalurkan ilmu kepada umum. Selain itu, bahasa Melayu juga digunakan sebagai alat perhubungan sebagai fungsi lazim bahasa. Dalam erti kebangsaan pula, bahasa Melayu adalah salah satu lambang identiti nasional negara di samping sebagai alat saluran ilmu. PENGENALAN Adapun segala anak Melayu jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera dibunuh, melainkan yang patuh pada hukum Allah kerana segala Melayu itu. Tuhanlah atau tuanmulah, jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa (Sulalat al-Salatin:1612) Wasiat Sultan Alauddin Riwayat Shah ini dipetik sebagai mukadimah kerana hubungan Melayu dalam konteks bangsa dan bahasa itu akrabnya seperti air dicencang tak akan putus atau mati bersama, bercerai kasih tiada. Meski siapa pun kita, pertalian itu hakikatnya diikat oleh unsur air, api, angin dan tanah. Asal kejadian magis yang menautkan darah dan semangat telah mengikat cinta terhadap negara dan rindu terhadap bahasa. Antara kedua-duanya itu ada roh yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Kalau terpisah pun, akhirnya akan bersatu kembali. Menurut A.Samad Ismail (1953), dalam membicarakan tentang bahasa Melayu Kita tidak boleh membincangkan masa depan bahasa Melayu tanpa membincangkan masa depan masyarakat Melayu. Bahasa Melayu ialah produk kehidupan orang Melayu. Sejarah bahasa Melayu ialah sejarah orang Melayu. Masa depan bahasa Melayu akan menjadi masa depan orang Melayu juga. Dalam konteks Malaysia yang majmuk sifatnya, pendapat S.Nathesan dapat dijadikan asas untuk kita nobatkan bahasa Melayu selain sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi, ia juga sebagai bahasa ibunda bagi penduduk di negara Malaysia. Umum mengetahui bahawa bahasa mencirikan kebudayaan selain perwatakan sesebuah bangsa. Bahasa jugalah menjadi penanda aras kepada peradaban sesebuah tamadun. Tanpa bahasa, sesebuah bangsa itu tempang. Tempang dalam erti kata tidak memiliki jati diri. Tanpa bahasa juga, sesebuah bangsa itu akan dipandang hina dan terpaksa bergelumang dengan krisis identiti diri. Ketiadaan jati diri bukan sahaja melemahkan keyakinan sesebuah bangsa untuk mara ke hadapan, malah akan merencatkan lagi usaha mereka untuk berhadapan dengan cabaran yang mendatang. Sebagai keperluan asas manusia, bahasa memainkan peranan yang asas sebagai alat komunikasi, mengungkapkan perasaan, memberikan pendapat dan mendapatkan sesuatu. Fungsi bahasa lebih luas dalam mendukung matlamat yang tertentu, iaitu sebagai alat instrumental, pengawalan, pernyataan, interaksi, personel, arahan dan penggambaran. Semua fungsi itu menyebabkan bahasa tersebut mempunyai kepentingan yang utama dan asasi dalam kehidupan manusia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Kertas kerja ini akan menerangkan tentang kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang sudah maju serta menjelaskan peranan bahasa Melayu dalam memajukan bangsa. Kajian ini mengandungi dua perbincangan utama. Perbincangan pertama berkisar tentang kewibawaan bahasa Melayu. Kewibawaan bahasa Melayu ini memuatkan tentang ciri-ciri bahasa yang maju yang juga dicapai oleh bahasa Melayu. Di samping itu, ada dinyatakan lima fungsi bahasa Melayu yang merentas bidang. Antaranya ialah bahasa Melayu sebagai lingua franca, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa persuratan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Perbincangan kedua pula berkisar tentang peranan bahasa Melayu dalam melahirkan bangsa yang maju. Peranan utama bahasa Melayu dalam memajukan bangsa ialah dapat melahirkan masyarakat yang mampu berfikir, mencipta, mengembangkan dan menyalurkan ilmu kepada umum. Di samping itu,

bahasa Melayu juga berperanan sebagai alat perhubungan, bahasa Melayu lambang identiti nasional dan bahasa Melayu sebagai medan saluran ilmu. KEWIBAWAAN BAHASA MELAYU Kewibawaan bahasa Melayu ini memperlihatkan tentang ciri-ciri bahasa maju yang juga dicapai oleh bahasa Melayu di samping memperkatakan tentang fungsinya yang pelbagai dan merentas bidang. Kemajuan Bahasa Melayu Menurut Charles Ferguson, pemikir sosiologi bahasa di Barat tentang bahasa yang maju atau membangun atau a develop language ialah bahasa yang mempunyai tiga ciri, iaitu bahasa itu sudah mempunyai tradisi atau sistem tulisan atau graphization; bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam bahasa yang disebut standard atau a supradialectal form; iaitu ragam bahasa yang baku yang mengatasi dan merentas segala ragam dialek bahasa yang terdapat dalam bahasa itu; dan bahasa itu mempunyai ciri-ciri kemodenan (maksudnya, bahasa itu berupaya mengungkapkan atau menterjemahkan bentuk-bentuk wacana moden dari bahasa lain yang sudah maju dan moden. Menurut Dato Dr.Hassan Ahmad, ini bermakna kemajuan bahasa Melayu bermula sejak abad ke-14. Pada pertengahan abad ke-14, bahasa Melayu sudah pun mempunyai tulisan yang maju dan lengkap, iaitu tulisan Jawi yang didasarkan dan dipadankan dengan abjad Arab. Karya besar bahasa Melayu yang bersifat rasional, saintifik dan menggunakan bahasa yang sangat kreatif untuk menyatakan pemikiran yang maju, rasional, metafizik, dan estetik telah dikarang oleh ilmuwan Melayu-Islam yang juga peneroka bahasa Melayu moden antaranya termasuklah Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Sinkili, Tun Seri Lanang, Sheikh Nuruddin Al-Raniri, dan Profesor Muhammad Naquib al-Attas pada abad ke-17. Bahasa Melayu moden pula telah berkembang sejak abad ke-16 atau lebih ketara lagi sejak abad ke-17 apabila lahir beberapa banyak karya dalam bahasa Melayu yang sebahagiannya diterjemahkan daripada karyakarya pemikir agung Islam seperti Imam Al-Ghazali, pemikir Islam yang dapat mempengaruhi para pemikir Barat, termasuk bapa falsafah moden Eropah, Rene Descartes (abad ke-17). Menurut Profesor A.A Teeuw (1962) pula, bahasa Melayu moden telah berkembang sejak abad ke-17 seperti yang terdapat dalam karya besar bahasa Melayu yang bersifat rasional, saintifik dan menggunakan bahasa yang sangat kreatif untuk menyatakan pemikiran yang maju, rasional, metafizik, dan estetik telah dikarang oleh ilmuwan Melayu-Islam yang juga peneroka bahasa Melayu moden. Menurut Dato Dr.Hassan Ahmad pula, kemajuan bahasa itu bukanlah terletak pada struktur bahasa atau jumlah istilah yang ada dalam bahasa itu, tetapi pada keluasan, kekayaan dan ketinggian fungsi atau kegunaan bahasa itu, terutamanya dalam bidang-bidang yang berpengaruh yang dapat mempengaruhi pemikiran manusia, bidang yang dapat membina tamadun tinggi dan memajukan ilmu manusia. Fungsi Bahasa Melayu Menurut Zaiton Azma, dari segi keupayaan linguistik, semua bahasa di dunia ini berupaya menghasilkan tamadun tinggi, hal ini dibuktikan oleh bahasa Melayu dalam sejarahnya yang panjang itu sehingga hari ini. a) Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca Sejak abad ke-12, bahasa Melayu berjaya menjadi lingua franca perdagangan dan sosial di rantau Nusantara. Sebelum kedatangan Islam, bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu dalam memperkembangkan agama Hindu dan Buddha di rantau ini. Manakala sewaktu kedatangan Islam ke gugusan kepulauan Melayu, bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang membicarakan persoalan agama. Perkembangan ilmu pengetahuan ini diperluas melalui pengenalan sistem tulisan Jawi yang didasarkan dan dipadankan dengan abjad Arab kepada masyarakat setempat. Ini dapat dilihat di mana tulisan Jawi telah digunakan untuk mengarang pelbagai kitab, hikayat dan surat rasmi kerajaan. Hikayat Melayu bertulisan Jawi yang pertama ialah Hikayat Raja Pasai yang dipercayai dikarang di Pasai (Aceh kini) beberapa tahun selepas tahun 1360. b) Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Bahasa Melayu berubah wajah apabila bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Peruntukan ini jelas di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 (pindaan 1967), Perkara 150 Fasal 6A Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dinyatakan dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara yang merdeka. Peruntukan itu menjadi asas pembentukan Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia. Perkara itu hasil kesedaran pemimpin dan rakyat tentang kepentingan bahasa sebagai tonggak jati diri bangsa sebagaimana yang diungkapkan dalam slogan Bahasa Jiwa Bangsa. c) Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Menurut Perlembagaan Persekutuan, 10 tahun sesudah merdeka, baharulah bahasa Melayu dipertimbangkan menjadi bahasa rasmi yang tunggal. Walaupun bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak negara merdeka, pengiktirafannya sebagai bahasa rasmi hanya berkuat kuasa pada 1 September 1967. Bermula dari tarikh tersebut, bahasa Melayu mengisi tempat bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi yang tunggal di Malaysia. Fungsi sebagai bahasa rasmi inilah yang menunjangi konsep bahasa kebangsaan, iaitu bahasa persatuan sebagai lambang kebangsaan. Pengisian terhadap konsep yang bersifat abstrak itu terlaksana dengan penggunaan lambang tersebut, terutama sebagai bahasa rasmi. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu digunakan dalam situasi rasmi, iaitu dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi, kehakiman dan sebagainya. Dengan hal demikian, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa urusan pentadbiran kerajaan dan sebagai bahasa perbahasan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Dalam bidang kehakiman, pentadbiran undang-undang dan mahkamah, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah bertambah baik setelah Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan dipinda pada Jun 1991. Malah bahasa itu turut digunakan dalam bentuk tulisan, seperti urusan surat-menyurat rasmi, minit mesyuarat dan dokumen kerajaan yang lain, termasuk akta, buku

rancangan pembangunan Malaysia, ucapan belanjawan Menteri Kewangan dan sebagainya. Bukti kemajuan dalam hal penggunaannya pula apabila DBP melancarkan jurnal KANUN pada Disember 1989, iaitu jurnal undang-undang dalam bahasa Melayu yang memuatkan laporan-laporan kes yang disampaikan di mahkamah, makalah undang-undang dan glosari istilah yang digunakan. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara jelas termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan (Tambahan No.18) 1963, yang membuat tambahan dalam hal maksud rasmi, terjemahan, perlanjutan penggunaan bahasa Inggeris (termasuk di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen), teks sahih undang-undang (termasuk undang-undang tertulis sebelum 1 September 1967), bahasa mahkamah, tulisan bahasa kebangsaan, bentuk angka dan barang. Pada tahun 1967, diwujudkan satu lagi Akta Bahasa Kebangsaan (1963) menjadi Akta Bahasa Kebangsaan (1967). Akta itu secara jelas memperuntukkan bahawa selepas 1 September 1967, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan mestilah digunakan bagi maksud rasmi, kecuali dalam beberapa kes tertentu, seperti undang-undang yang sedia ditulis dalam bahasa Inggeris dan ketika berhubungan dengan negara luar. d) Bahasa Melayu sebagai Bahasa Persuratan Selain fungsinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kerajaan dan bahasa persuratan yang telah menghasilkan beberapa banyak karya agung Melayu dalam bidang kesusasteraan tinggi, bidang ilmu (khususnya ilmu Islam) sebagai bahasa perdagangan dan bahasa diplomasi (misalnya, raja Melayu Islam, Sultan Abu Hayat dari Ternate, telah menulis surat dalam bahasa Melayu kepada King John III Portugal pada tahun 1521 dan tahun 1522. e) Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Dalam memperkatakan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, kita boleh mengambil hujah Dr.D.J.Prentice, seorang sarjana Barat dalam satu forum anjuran Akademi Pengajian Melayu pada 28 Julai, 1990. Beliau telah menjadikan Indonesia sebagai contoh negara yang telah bertahun-tahun menggunakan bahasa Melayu dengan jayanya sebagai bahasa ilmu pengetahuan (Nik Safiah Karim, September, 1990:93-94). Di Malaysia, bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Hal ini bererti bahawa bahasa Melayu menjadi saluran untuk menyampaikan segala ilmu pengetahuan yang diperkatakan dalam bilik darjah. Bahasa Melayu juga menjadi bahasa yang digunakan untuk menulis makalah dan buku tentang ilmu pengetahuan dan untuk berbincang tentang ilmu pengetahuan. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sama pentingnya dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi pentadbiran. Hal ini demikian, kerana penggunaan bahasa itu sebagai bahasa pengantar pendidikan, sebagaimana yang termaktub dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, bertujuan memenuhi fungsi bahasa rasmi juga. Antara inti sari Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuklah mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu melalui sistem persekolahan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Dasar itu dibentuk berlandaskan dua dokumen terpenting, iaitu Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960). Penyata Rahman Talib (1960) memperkukuh usul Penyata Razak (1956). Kedua-dua penyata itu meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara. Penyata Razak 1956 menyatakan hasrat untuk menubuhkan suatu peraturan pelajaran kebangsaan, dan tujuannya ialah menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar (utama), walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan diperbuat dengan beransur. Syor untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib dalam kurikulum semua sekolah ditegaskan kembali oleh Penyata Rahman Talib (1960). Hal itu dijelaskan oleh bahawa bahasa kebangsaan ini hendaklah diajar mulai Darjah 1 dalam semua sekolah rendah Cina, Tamil dan Inggeris (sama ada sekolah bantuan, bantuan separuh atau sekolah yang bersendiri). Penyata Razak (1956) menjadi asas Ordinan Pendidikan (1957), manakala Penyata Rahman Talib (1960) pula menjadi asas Akta Pendidikan (1961). Akta Pendidikan (1961) secara jelas menegaskan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Hal itu dapat dilihat dalam perkara Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, iaitu dan bahawasanya peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuk khususnya peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama. KEMAJUAN BANGSA Menurut Nik Safiah Karim (Januari, 1995), kemajuan sesuatu bangsa bergantung pada beberapa faktor. Antaranya ialah kestabilan politik, kekayaan sumber alam, kegigihan rakyatnya serta ilmu yang ada pada mereka, dan perancangan yang baik dan teratur. Malaysia, sejak awal lagi sudah mempunyai suasana politik yang aman, sumber alam yang kaya, dan dipimpin oleh orang yang bijak yang mempunyai visi yang realistik. Dengan sebab itu, sehingga hari ini, negara kita aman, makmur dan dihormati oleh jiran tetangga serta masyarakat dunia. Seperti kata seorang pemikir psikologi atau kognitif bahasa, Steven Pinter (1994), yang mencipta bahasa ialah minda (fikiran) manusia. Jikalau fikiran bangsa atau manusia itu maju, maka akan majulah bahasanya. Setiap kali manusia berfikir dia mencipta makna. Makna ini boleh disampaikan melalui kata-kata yang sudah ada dalam perbendaharaan kata bahasanya sama ada melalui kata-kata dan istilah baru yang boleh diciptakan melalui proses peminjaman atau cara lain berdasarkan sistem linguistik bahasanya. Bahasa Melayu dalam Kemajuan Bangsa Dengan tahap kemajuannya yang sedia, ada bahasa Melayu bersama fungsinya yang pelbagai dan merentas bidang, mampu menjadi pemangkin kemajuan bangsa. a) Melahirkan Masyarakat yang Berfikir, Mencipta dan Mengembangkan dan Menyalurkan Ilmu Ketamadunan sesuatu bangsa itu terletak pada sejauh mana bahasa itu didaulatkan oleh bangsanya sendiri. Dengan itu usaha-usaha untuk memajukan bahasa ini sudah bermula sejak pertengahan abad ke-19 lagi dengan tujuan untuk melahirkan sebuah bangsa yang berdaya cipta dan menyalurkan ilmu

kepada generasi seterusnya. Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, melalui karyanya Hikayat Abdullah, yang dihasilkan pada tahun 1849, telah mendesak orang-orang Melayu supaya berusaha mempelajari bahasa sendiri untuk memperoleh kepandaian agar setaraf dengan bangsa-bangsa lain yang mempelajari bahasa masing-masing. Zaba adalah tokoh bahasa ulung negara. Sumbangan terbesar beliau dapat digambarkan pada pandangan Syed Muhammad Naquib al- Atas, bahawa: Zainal Abidin bin Ahmad telah banyak menulis makalah-makalah di surat khabar dan majalah-majalah tempatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Beliau juga telah banyak menterjemah karya-karya sastera Inggeris dan Arab ke dalam bahasa Melayu dan telah member panduan kepada sekalian peminat karang mengarang Melayu. Beliau telah menggunakan suatu contoh bahasa Melayu yang baik gaya dan pertuturannya dan senantiasa telah menunjukkan tauladan yang tinggi serta mengingatkan orang Melayu peri keindahan serta kehalusan bahasanya nescaya dapat dia berbangga akannya. Karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar pelita yang menerang suasana kelam keliru dan menunjuk jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu ini kemudiannya diteruskan oleh pasukan lain, antaranya oleh ahli bahasa, pemimpin persatuan, para ahli akademik, sasterawan, budayawan, dan guru bahasa serta orang perseorangan. Buku dan majalah dihasilkan, ribuan istilah digubal, dan pelbagai bahan rujukan disediakan. Usaha ini juga ditunjukkan secara berkumpulan yang bermula pada tahun 1888, apabila tertubuhnya Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBmPB) di Johor Bahru. Usaha ini diikuti dengan yang lain-lain seperti penubuhan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM), oleh Syed Sheikh al-Hadi melalui akhbar Saudara, Pejabat Karang Mengarang di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, ASAS 50 di Singapura, dan Persatuan Guru-guru termaktub dalam Perlembagaan negara kita, dalam para 152, bahawa bahasa kebangsaan negara baru ialah bahasa Melayu. b) Bahasa Melayu sebagai Alat Perhubungan Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai alat perhubungan telah menjadikan masyarakat menguasai bahasa dan ilmu dengan baik. Ini kerana melalui bahasa, buah fikiran dan perasaan serta suasana persekitaran dapat disampaikan dengan baik. Contohnya, pada zaman nenek moyang kita dahulu amat bijak tentang penggunaan bahasa Melayu. Perhatikan betapa indahnya susunan pantun dan bahasa berirama dalam cerita penglipur lara. Dunia masyarakat Melayu tergambar indah melalui pilihan kata yang lincah dan susunan frasa dan ayat yang canggih. Hal ini disebabkan orang dahulu memang menguasai dunia persekitaran hidup mereka dan pandai pula menyusun bahasa untuk menggambarkan suasana persekitaran mereka. c) Bahasa Melayu Lambang Identiti Nasional Bahasa juga dapat menonjolkan lambang identiti masyarakat. Ini dapat dilihat, di Selatan Thailand, konsep keetnikan orang-orang Melayu-Muslim dipertahankan melalui bahasa Melayu dan ciri-ciri yang lain yang berkaitan seperti agama Islam dan tulisan Jawi. Hal ini juga wujud dalam konteks negara kita, dalam membina satu bangsa yang bersatu dan teguh kukuh. Alat utama untuk mencapai matlamat ini ialah bahasa kebangsaan yang disalurkan melalui sistem pendidikan. Dasar ini sebenarnya bertujuan untuk melahirkan satu bangsa yang mengaitkan unsur kebangsaan dengan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, dan dengan lambang-lambang lain yang berkaitan seperti bendera negara, lagu kebangsaan dan prinsip rukun negara. d) Bahasa Melayu sebagai Medan Saluran Ilmu Dalam konteks ini, masyarakat umum telah diberi tanggungjawab yang berat, iaitu supaya menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Seiring dengan kedudukan bahasa Melayu yang sudah pun menjadi bahasa ilmu, bahasa budaya tinggi dan bahasa dalam suasana serius, bentuknya sudah tersusun rapi, dan mesti dipelajari sebagai suatu kemahiran. Jika kemahiran penutur-penutur rendah, maka rendahlah mutu penguasaan bahasa mereka, dan rendahlah bentuk bahasa yang digunakan itu. Kemajuan bahasa bergantung pada keupayaan penggunaannya. Maka, para penggunalah yang bertanggungjawab untuk menguasai bahasa itu sebaik-baiknya dengan mengikuti kursus-kursus intensif, yang memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu, misalnya kursus bahasa bagi golongan profesional, kursus penulisan, kursus penyuntingan, dan sebagainya. Selari dengan kemajuan bahasa Melayu, maka penguasaan bahasa oleh masyarakat umum perlulah ditingkatkan, khususnya di kalangan ahli profesional. Usahausaha itu perlulah selari yang memberi sokongan, misalnya penghasilan buku-buku panduan dan rujukan yang sesuai dengan selera golongan ini, penyediaan bahan-bahan bacaan tambahan, dan penawaran kursus-kursus ini oleh badan-badan yang berwibawa, yang disesuaikan dengan waktu dan taraf pencapaian yang berbeza-beza. Kejayaan bahasa Melayu ini juga dapat dilihat pada jumlah orang yang menggunakannya. Semua pelajar yang lulus daripada sistem pendidikan negara, tidak kira latar belakang etnik masing-masing dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Mereka dapat berbincang serta berhujah dengan menggunakan bahasa Melayu di kalangan pelajar bukan Melayu amat membanggakan. RUMUSAN Berdasarkan kajian ini, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa dan bangsa memang tidak boleh dipisahkan. Ia umpama air yang dicencang tak kan putus dan mati bersama, bercerai kasih tiada. Sebagai mana masyarakat perlukan bahasa untuk mengungkapkan perasaan, memberikan pendapat dan mendapatkan sesuatu. Begitu juga, bahasa perlu sentiasa diguna dan dimanfaatkan sebagai bahasa ilmu. Di Malaysia, bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Dalam usaha memajukan bangsa melalui bahasa Melayu, maka bahasa Melayu telah dirancang oleh perancang bahasa melalui Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun, dalam usaha melestarikan bahasa kebangsaan, ia bukanlah tanggungjawab pihak yang berwajib semata-mata, malah rakyat sebagai pengguna bahasa perlu memainkan peranannya. Ini kerana tanpa pembabitan aktif daripada kedua-dua pihak, hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu akan tinggal hasrat semata-mata. Justeru, keyakinan terhadap bahasa kebangsaan harus dibina dengan bermula daripada individu. Setiap rakyat Malaysia

harus membina satu pemikiran bahawa bahasa kebangsaan sebenarnya setanding dengan bahasabahasa lain walaupun dari segi skop penggunaannya dan jumlah penuturnya, adalah jauh berbeza. Lihat sahajalah kepada sikap masyarakat dan pemimpin di sesetengah negara seperti Perancis, Jepun, Korea, dan Jerman yang bertegas untuk menggunakan bahasa kebangsaan mereka sama ada ketika diwawancara, dan sebagainya walaupun mereka tahu berbahasa Inggeris. Ketegasan mereka membuktikan bahawa integriti bahasa mereka tidak boleh dijual beli dengan apa-apa cara sekalipun. Lagipun, menurut A.Samad Ismail dengan keupayaan bahasa Melayu yang berpotensi menjadi kaya, penting dan indah bersama-sama emansipasi dan pertumbuhan masyarakat Malaysia, Bahasa Melayu akan menjadi wadah yang mulia untuk melahirkan sosial, politik, kebudayaan, dan aspirasi spiritual yang mendalam dalam menjanakan rakyat.

Bahasa Melayu adalah bahasa negara. Ianya berfungsi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, maka statusnya menjadi amat penting sebagai bahasa pengantar system pendidikan kebangsaan. Fungsi bahasa Melayu dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan penegasan perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Lebih tiga dekad telah berlalu, sejak 1971 dan pelbagai kajian telah dibuat terhadap kesan sistem pendidikan tersebut. Hasil yang diperoleh agak membanggakan. Bahasa Melayu terbukti dapat menjadi bahasa pengantar pendidikansetanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Bahasa Melayu telah berjaya diangkat dan bertindak sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu digunakan di peringkat sekolah rendah, menengah dan sebahagian besar daripada pengajian di peringkat tinggi. Di Malaysia mulai tahun 1983 semua institusi pengajian tinggi awam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sesudah 13 tahun Dasar Bahasa Kebangsan ditegaskan semula dalam Sistem Pendidikan Kebangsan. Perkembangan sejarah peradaban manusia cukup penting dan perlu diberi perhatian kerana kewujudan sesebuah Negara bergantung pada kekuatan bahasa yang membina peradabnnya. Menurut A. Aziz Deraman (206: 288) kekuatan bahasa juga akan menjamin kelangsungan peradaban. Bahasa Kebangsaan ialah pemersatu dan alat komunikasi rakyat yang sangat utama. Rancangan Malaysia Ke-9 telah menetapkan agenda nasional yang mesti didukung dengan cita-cita pembangunan tamadun dan modal insan Malaysia, sesuatu keseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah sebagaimana harapan asal daripada matlamat kewujudan sesebuah kebudayan kebangsan Malaysia. Peranan bahasa Melayu yang lain ialah digunapakai sebagai beberapa undang-undang dan digunakan juga dalam peraturan-peraturan pejabat. Dengan demikian, ternyatalah bahawa Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara. Secara ringkas undang-undang Malaysia menetapkan tiga undang-undang yang berkaitan dengan bahasa. Pertama, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsan bagi negara Malaysia. Kedua, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ketiga, rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain. Sesebuah Negara tentulah memerlukan satu bahasa negara yang menjadi alat bagi semua tujuan pembangunan dan citra keperidian nusa. Peranan bahasa Melayu untuk keperluan dalam negara sebagaimana yang ditakrifkan daripada kehendak undang-undang bermakna bahasa Melayu menjadi bahaasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar pendidikan, bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah, bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri, bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua maksud rasmi kerajaan, memenuhi fungsi komunikasi perkhidmatan awam, yakni komunikasi dalam jabatan dan antara sesama jabatan sektor awam, antara jabatan sektor awam dengan sektor swasta dan korporat atau sebaliknya dan komunikasi

antara jabatan sektor awam dengan orang awam atau sebaliknya. Kita juga harus melihat peranan utama dan peranan komunikatif bahasa kebangsaan kerana sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu ditakrifkan mempunyai peranan utama, yang antara lainnya menjadi lambang atau citra Malaysia. Ia dibuktikan dengan penggunaannya di tempat awam, penggunaan nama khas dan melalui media massa berstatus negara, menjadi wahana pemersatuan warganegara dan rakyatnya dengan konsep satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu menjadi wahana komunikasi umum (lisan dan tulisan) antara kelompok masyarakat penutur bahasa dan kegunaan umum antara individu berlainan etnik. Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa dan budaya yang menggerakkan perkembangan Kesusasteran Melayu di rantau ini. Bahasa dan sastera tidak boleh dikesampingkan kerana ianya umpama irama dan lagu, sekiranya salah satu daripadanya tiada maka yang satu lagi akan pincang. Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai alat komunikasi antara kerajaan dengan orang ramai, antara sektor awam dengan swasta dan korporat. Begitu juga sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya. Bahasa Melayu tidak ketinggalan digunakan dalam penyampaian maklumat bagi segala bentuk iklan, nama khas, pengumuman, arahan dan seumpamanya dipamerkan di tempat awam atau di khalayak ramai atau siaran melalui media massa. A. Aziz Deraman (2006) dalam kertas kerjanya bertajuk Kebudayaan, Pendidikan dan Bahasa Melayu menyatakan bahawa bahasa Melayu sudah mengambil tempat yang sewajarnya dan dimartabatkan sebagai bahasa nasional Negara-negara serumpun selepas kemerdekaan Indonesia (1945), Malaysia (1957) dan Berunai Darussalam (1984). Bahasa Melayu berjaya dalam banyak lapangan kehidupan sebagi bahasa ilmu, alat komunikasi dan pemersatuan rakyat. Dalam tempuh relatifnya singkat, baik di Malaysia atau Indonesia, bahasa Melayu dengan cepat mengambil alih bahasa Inggeris atau bahasa Belanda sebagi alat pemersatu bangsa dan bahasa yang begitu terbuka berkembang maju mengikut keperluan negara. Bahasa Melayu juga berpengaruh dan berperanan yang besar dalam memupuk kesenian bangsa dengan penghayatan dan penyertaan yang menyeluruh. Tamadun silam seperti yang pernah dilalui oleh orang Yunani-Romawi, tamadun Islam, tamadun India dan tamadun Cina banyak mengekalkan fikiran dan perasan kesenian bangsanya melalui bahasa. Peranan kesusasteraan, yakni persuratan dan penulisan, terletak di sini. Bahasa memupuk resam, nilai dan norma sesuatu bangsa. Dalam situasi politik-ekonomi dan sosial yang berubah, bahasa tetap mampu mengisi keperluan sesebuah tamadun. Peranan Sastera Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Dengan adanya pendidikan Kesusasteraan Melayu dapat mencerminkan masyarakat kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan karya sastera dan menguasai kemahiran berbahasa bahasa Melayu. Peranan sastera terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina modal insan yang diharapharapkan oleh pemimpin negara. Kita tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak atau mengambil keputusan. Apa yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin yang bermoral, berjati diri dan

mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin yang tidak berjiwa seperti di atas, merupakan manusia yang hilang pertimbangan ketika bertindak. Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan manyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan sebenarnya terkandung dalam sastera. Di peringkat sekolah Kesusasteran Melayu memainkan peranan sebagi satu cabang ilmu dan senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi pelajar didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan. Selain itu, sastera juga berperanan dalam usaha pengayaan khazanh ilmu dan persuratan bahasa Melayu wajar dipertingkatkan kepada

Anda mungkin juga menyukai