Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah Memetik madah agung, George Santayana, seorang ahli sejarawan dunia, seseorang

g yan g melupakan sejarah pasti akan mengulanginya. Justeru, bertepatan dengan katakata tersebut, mata pelajaran Sejarah telah diperkenalkan dalam Kurikukum Bersepadu Sekolah Menengah. Terdapat pelbagai kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah. Pertama, kita dapat menerapkan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan pelajar. Semangat cinta akan negara amat vital dan perlu dipupuk dalam sanubari rakyat jelata sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, pengajaran mata pelajaran Sejarah dianggap sebagai satu wadah bagi menyuntik semangat kebangsaan ini. Melalui penggaluran semula kisah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pimpinan cakerawati Sultan Muzaffar dalam silibus seawal Tingkatan Satu Lagi misalnya, sudah pasti para pelajar akan berasa kagum akan sejarah negara. Maka jelaslah, patriotisme pasti terpasak padu dalam nurani pelajar menerusi instrument ini. Selain itu, pembelajaran mata pelajaran Sejarah dapat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai asal-usul negara. Silibus Sejarah selama lima tahun yang cukup komprehensif izharnya dapat member kesedaran kepada pelajar bahawa perjuangan ke arah kemerdekaan suatu ketika dahulu bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan kolaborasi dan sinergi antara kaum Melayu, Cina dan India berkat usahasama Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan, barulah kita dapat merasai nikmat kemerdekaan. Perkara ini sepatutnya perlu diketahui oleh setiap warganegara kerana sesiapa yang melupakan akar bangsanya ibarat si Tenggang menderhakai ibunya. Sehubungan dengan itu, mata pelajaran Sejarah berperanan sebagai satu platform yang cukup utuh untuk mengetengahkan kembali warisan sejarah kita suatu ketika dahulu. Akhirnya, kita dapat mengambil iktibar daripada peristiwa lampau melalui mata pelajaran Sejarah. Sarwajagat mengakui, kuasa-kuasa imperialis dunia menguasai Tanah Melayu silih berganti selama 446 tahun. Maka, dalam tempoh itu, kita ditekan dan ditindas selayak binatang oleh penjajah durjana. Justeru, apabila negara sudah merdeka, kita mula menyedari kepentingan sains dan teknologi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kuasa-kuasa danawa dunia. Lantas, mengambil iktibar dari peristiwa silam, Malaysia melestarikan teknologinya melalui Koridor Raya Multimedia dan Cyberjaya selaras dengan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan. Atas prinsip, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, Malaysia terus dikenali di seantero dunia. Maka, benarlah bahawa iktibar yang diperoleh daripada pembelajaran Sejarah dapat memajukan negara. Akhirulkalam, semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi meningkatkan kualiti dan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Sejarah lagi. Demi kemaslahatan bersama, ayuhlah, kita lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu tawarikh agar nilai sejarah kita tidak luput ditelan zaman.

Sejarah juga membolehkan kita mengingati kegemilangan masa silam yang mana jika ada kesedaran, kegigihan dan kesungguhan di kalangan pemimpin dan rakyat, keagungan tersebut mampu diulangi malah mungkin lebih cemerlang. Malaysia kini mengecapi pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan menjadi antara negara membangun yang paling maju di dunia. Dengan kegigihan pemimpin dan rakyatnya, tidak mustahil Malaysia mampu mengecapi kegemilangan dan mengulangi semula zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Di samping itu sejarah juga dapat memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara. Perasaan ini timbul apabila kita mempelajari sejarah tanahair dan dengan itu akan lahirlah rasa bangga terhadap negara dan bangsa. Tanpa semangat ini, maruah negara kita boleh tercalar apabila lahirnya warganegara yang sanggup mengadai dan menjual maruah negara seperti terlibat dengan kegiatan menyeludup masuk warga asing. Semangat patriotisme timbul apabila kita mengetahui dan memahami siapa diri, bangsa dan negara kita, serta mempunyai pengetahuan teguh tentang sejarah negara kita. Namun begitu, ramai generasi muda hari ini hanya mempelajari sejarah semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah mahu pun di universiti. Malangnya mereka gagal untuk memahami kepentingan mata pelajaran sejarah dan terhasil rakyat Malaysia yang buta sejarah negara sendiri. Sejarah juga membantu kita menghargai dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan negara. Proses mendapatkan kemerdekaan telah pun selesai pada1957 tetapi pengisiannya bukanlah perkara yang mudah. Lebih sukar di negara majmuk seperti Malaysia. Jika generasi muda hari ini tidak memahami sejarah pembentukan negara, apa yang telah bina akan runtuh dan musnah. Meruntuhkan sesuatu amat mudah tetapi untuk membina atau membentuk sesuatu itu yang sukar. Negara merdeka Tanah Melayu dibentuk hasil tolak ansur orang-orang Melayu untuk menerima golongan imigran Cina dan India. Pemahaman terhadap kontrak sosial ini amat penting untuk memacu Malaysia sebagai negara maju. Kegagalan memahami kontrak sosial ini mampu mendatangkan impak negatif kepada negara. Namun begitu dengan memiliki pengetahuan sejarah, rakyat Malaysia dapat memahami situasi ini dan akan menjadi bangsa yang bersyukur seterusnya bersama-sama mengembling tenaga untuk membangun dan mengukuhkan negara.