Anda di halaman 1dari 3

Satu-persatu wajah di hadapannya dipandang. Sesekali matanya akan menjengil seakan memberi amaran.

Maka wajah-wajah yang ditenungnya itu akan tunduk menikus. Lajunya kipas yang berputar disertakan dengan angin yang bertiup dari daerah pergunungan itu membuatkan jiwanya tenang dan nyaman. Juga mengakibatkan matanya berkelip mahu terkatup. Namun, dia menahan kelopak matanya dengan memegang sebatang pen di jari. Dipusing-pusing pen biru berkenaan. Dalam masa yang sama, matanya berseli merenung setiap wajah di hadapannya. Sehelai kertas kosong terhampar lalu dilakar-lakar beberapa perkataan sebelum digaris dengan kasar. Dia termenung lagi. Direnung lagi setiap inci wajah yang tertunduk memandang kertas masing-masing. Beberapa ketika, dia bangkit berdiri. Perlahan-lahan langkah diatur. Setapak demi setapak dia melangkah sambil tangannya disilang ke belakang. Dari satu meja ke satu meja dia memerhati. Mereka bagaikan kusyuk dan tekun. Sesekali ada yang bergaris tiga melintang di dahi. Ada yang merenung jauh ke luar jendela. Habis satu pusingan, dia kembali ke tempat asalnya. Diputar-putar lagi pen di jari. Diketuk-ketuk hujung pen ke dahi. Kertas kosong tadi yang kini tidak lagi bersih dilakar-lakar lagi dengan pelbagai tulisan. Diconteng lagi. Akhirnya dia juga memandang jauh ke luar jendela. Merenung mereka di bawah sana yang sibuk dengan urusan dan tugasan masing-masing. Dua orang budak dalam lingkungan 3-4 tahun menarik perhatian matanya. Saling berkejaran di belakang bangunan yang hampir siap itu. Walau gelak tawa mereka tidak kedengaran namun dia tahu mereka gembira. Gembira dengan alam kanak-kanak yang tidak mengerti kesusahan ibu bapa yang sanggup berpindah randah demi sesuap nasi. Dia pandang pula mereka yang sedang berteleku di meja. Tiba-tiba hatinya sayu dan berkata-kata sendiri. Satu keluhan dilepaskan. Kalaulah kamu boleh rasa kesusahan pekerja binaan yang tidak punya rumah sendiri, tentu kamu hargai ilmu yang kamu miliki sekarang ini. Bunyi bising diluar seakan mengganggu dirinya. Lantas dia bingkas dan berjalan laju menuju ke pintu terus ke balkoni. Dia menjengah ke bawah. Beberapa pelajar sesi petang sedang berkumpul di bawa. "Diam." Suaranya perlahan namun tegas. Serta-merta mereka mendongak ke atas dan terus senyap. Dia berpaling dan melangkah masuk ke dalam. Cuma beberapa langkah dari balkoni, dia terdengar soseh-soseh di belakang kelas. Diperhati satu-persatu. Tatkala mata terpandang seorang sedang tersenyum dan seorang yang agak mencurigakan gerak lakunya, dia tenung mereka lama-lama. Mereka menyedari tingkah sedang diperhatikan memandangnya dengan sebuah senyuman. Senyum malu sebenarnya. Dia bertanya dengan ekspresi raut wajah. Kening diangkat, tanda menyoal. Mereka sekadar menggeleng sambil sengih menunduk. Sekali lagi dia berpusing-pusing, berlegar-legar di samping mereka yang sedan tekun,

kusyuk, asyik, tertekan, keliru, kecewa... tertidur. Langkahnya umpama mencari seekor helang yang mencari masa dan mangsa yang sesuai untuk disambar. Langkahnya terhenti di suatu sudut. Diketuk meja salah seorang daripada mereka. "Masa masih ada lebih kurang 1 jam setengah. Jangan bazirkan masa kamu," ujarnya separuh berbisik sebaik sahaja pelajar berkenaan mengangkat kepalanya. Dia berjalan lagi. Berlegar-legar mencari sebab untuk dia tidak bosan. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Sekali lagi keluhan dilepaskan. Penat 'berkawad' dengan kasut hitam setinggi 2 1/2 inci bertumit runcing, dia kembali ke meja yang terletak di hadapan. Namun, sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan. Matanya mula terasa berat. Lantas, diurut betis kaki beberapa kali sebelum dia kembali meneruskan 'kawad kaki'. Dia tumpang membaca setiap ayat yang ditulis oleh mereka yang sedang berperang dengan akal masing-masing, cuba mengeluarkan kembali apa yang telah dipelajari. Kadang-kadang dia tersenyum sinis, kadang-kadang dia senyum ikhlas dan menunjukkan tanda bagus. "Hah? Salah kah?" tanya seorang daripada mereka yang dihadiahkan senyum sinis. Dia senyum saja sambil mengenyitkan mata. Dia berlalu ke belakang. Diperhati salah seorang dari atas ke bawah lalu menggeleng-gelengkan kepala. Pantas dia berjalan ke depan dan mencari sesuatu di dalam tas tangannya. Tindak tanduknya menjadi perhatian semua yang terkejut dengan langkah lajunya. Dia kembali ke belakang lalu dihulurkan pengetip kuku kepada pelajar berkenaan. "Sekarang," itu satu arahan dan arahan itu wajib dipatuhi meskipun mereka sedang kebingungan menjawab soalan yang sebenarnya telah disoal di dalam kelas. Sementara itu, dia berjalan lagi. Terpandang dia seseorang yang sedang memandangnya. Tidak semena-mena tangannya menyentuh tangan pelajar lelaki yang sedang asyik memandangnya itu. Dia tersenyum sinis lagi. Dilurut segelung gelang hitam dari pergelangan tangan pelajar itu. "Alah cikgu..." "Apa 'alah-alah'? Siapa suruh kamu pakai gelang ke sekolah. Diam dan jawab." Beberapa orang pelajar berpaling ke arah mereka berdua dan tersenyum. Malah ada yang ketawa mengejek. Dia meneruskan 'pencariannya'. Diintai satu-persatu kesalahan yang dilakukan. Apabila ternampak, perlahan-lahan dia mendekati mangsanya. Dia berdiri menghadap mangsa seterusnya. Dia cuba berlagak seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Dengan tenang dan separuh berbisik, dia mengeluarkan satu lagi arahan. "Buka rantai kamu sekarang." "Mana ada."

"Jangan ingat saya tidak nampak. Sekarang." "Saya mahu jawab soalan ni, cikgu," pelajar itu cuba berdalih. "Kalau begitu, kamu beri kerjasama maka saya tidak akan bazirkan masa kamu." Tanpa sengih malu, atau senyum setuju, masam saja raut wajahnya, rantai besi di leher ditanggalkan lalu diserahkan tanpa banyak cakap. Pelajar berkenaan terus tekun memandang kertas bertaip di hadapannya. Dia meneruskan lagi rondaannya. Dipandang satu-persatu. Setiap kali dia melintas, pasti ada yang memandang samada sambil tersenyum atau tanpa perasaan. "Kenapa?" Soalnya dan hanya gelengan diberikan sebagai jawapan. Beberapa pelajar yang lain kelihatan sugul dan kebosanan. "Kalau conform dapat A, boleh hantar sekarang." "Adadadaa..cikgu!" berserabut bunyi gema dari bilik yang tadinya hanya diselang seli bunyi tapak kasutnya dan kipas yang berpusing laju. Dia tersenyum lagi. "Diam! Ada saya suruh bercakap?" Bosanlah! Kamu apa tahu.Ingat best ke menjaga peperiksaan ni? Dan rutinnya berulang sehinggalah masa 2 jam itu tamat. Dan berulang juga selama dua minggu sepanjang minggu peperiksaan. Cuma mangsa yang berlainan dan cara yang samada sedikit keji seperti menarik sendiri subang atau gelang dari telinga atau lengan pelajar, atau dengan cara yang sedikit halus seperti memperli mereka. "Cantik boxer. Berapa ratus kamu beli sampai mahu tayang pada semua?" Begitulah kehidupan dia seorang guru yang kebosanan... Huh!

Anda mungkin juga menyukai