Anda di halaman 1dari 1

Stilistik

Dalam disiplin linguistik, terdapat stilistik. Stilistik merujuk kepada penggunaan prinsip-prinsip linguistik terhadap bahasa sastera. Stilistik atau ilmu gaya dapat diangap sebagai kajian variasi linguistik. Variasi linguistik ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konteks teks dan konteks situasi. Stilistik mempunyai hubungan yang rapat dengan disiplin sosiolinguistik dan dialektologi. Kedua-duanya pula merupakan cabang linguistik.

Beberapa pendapat lain yang dapat dikutip tentang stilistik ialah yang pernah diutarakan oleh Donald C. Freeman (1970 : 4). Baginya stilistik itu melihat penggunaan bahasa yang menyimpang atau deviasi daripada norma-norma tatabahasa, penggunaan pengulangan dan meminjam usaha-usaha pengarang (dalam konteks ini penyair) untuk mendapatkan kepadatan tulisannya. J. Middleton Murry pula berpendapat bahawa stilistik itu ialah gaya sebagai sesuatu yang istimewa, sebagai teknik eksposisi, pencapaian estetika dan pernyataan sikap penulis. Pemilihan kata dan penyusunan struktur ayat itu memperlihatkan ciri-ciri keperibadian penulis.

Bahasa sastera khasnya bahasa puisi paling menonjol deviasi atau penyimpangan bahasa. Dalam kajian puisi, stilistik melihat kaitan bahasa puisi dengan unsur linguistik seperti fonologi, morfologi dan sintaksis. Stilistik juga melihat diri puisi sebagai bahasa kreatif yang membenarkan terjadi deviasi/ penyimpangan dalam aspek-aspek linguistik secara eksplisit mahupun implisit.

Dalam kajian stilistik, karya-karya sastera dianalisis dengan menggunakan pendekatan linguistik. Tujuan utama ialah untuk melihat dan mengesan nilai estetik atau gaya pemakaian bahasa dalam diri karyakarya tersebut. Penerapan unsur-unsur linguistik-stilistik dalam menilai karya-karya sastera sebenarnya dapat membantu disiplin kritikan sastera supaya lebih mantap, beraneka ragam, dan Tahap penghayatan karya-karya sastera itu dapat diangkatkan lagi tingkatnya.