Anda di halaman 1dari 7

1.

0 PENGENALAN

Wacana merupakan satu keseluruhan penglahiran bahasa oleh penutur atau penulis, iaitu penglahiran sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang kearah menjadikan pertuturan atau tulisan berkenaan bagi sesuatu yang bermakna dalam berkomunikasi (Asmah Hj. Omar : 1986). Hal ini dapat dikaitkan sengan sistem bahasa, iaitu fonologi, morfologi dan sintaksis selain daripada unsur luar daripada sistem bahasa. Peringkat fonologi melihatkan aspek tekanan suara, keras lembut dan lain-lain. Manakala peringkat morfologi melihatkan aspek tekanan kata dan lain-lain. Peringkat sintasksis pula memperlihatkan aspek intonasi, kesenyapan dan lain-lain. Menurut Henry Guntur Tarigan (1995 : 36) pula, wacana ialah satuan bahasa yang terlengkap dan tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi atau kehesi tinggi yang berkesinambungan serta mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan atau tertulis. Kohesi merupakan keserasian hubungan antara unsur yang satu dengan unsur yang lain dalam wacana sehinggalah tercapai pengertian yang koheren. Kohesi merujuk pada perpautan bentuk, yakni bahasa sedangkan koherensi pada perpautan makna. Hubungan antara unsur bermaksud rentetan ayat yang berkaitan sehingga terbentuk makna yang serasi di antara kalimat-kalimat itu. Huraian daripada takrif wacana ini memperlihatkan persamaan dan perbezaan pendapat, namun begitu dapat dikatakan bahawa hakikat wacana itu terdiri daripada lapan unsur penting, iaitu satuan bahasa, terlengkap atau terbesar atau tertinggi, mengatasi ayat atau klausa, tersusun atau tersusun rapi atau koherensi, berkesinambunga, kohesi, bentuk lisan atau tulisan dan awal serta akhir.

2.0 KANDUNGAN Pada dasarnya, wacana ini mempunyai beberapa ciri yang lebih terperinci dan perlu meneliti ciri-ciri tersebut secara lebih mendalam. Sesebuah wacana atau teks yang baik seharusnya memiliki kebanyakan ciri atau kriteria seperti: berkesinambungan, berpautan, berketujuan, berketerimaan, bermaklumat, berkonteks atau bersituasi, berintertekstualiti dan berkepadaan. 2.1 Berpautan Menurut Idris Aman (2010 : 36), berpautan merujuk kepada aspek formal bahasa dalam wacana atau teks. Ia juga dikatakan tentang organisasi sintaktik wacana atau teks, iaitu wadah ayat-ayat yang digembleng secara sepadu dan berkaitan dengan memanfaatkan alat-alat kebahasaan untuk menghasilkan wacana tulisan ataupun lisan. Dalam erti kata yang mudah, berpautan bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Selain itu, tautan bermaksud kesepaduan dalam tulisan. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Dengan kata lain, wujudnya pertalian antara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan lain dan isi dengan isi. Tautan juga dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan teks yang lain sehingga membentuk satu kesatuan. Contohnya, Arell, Nina dan Sarah ke Kemboja. Mereka ke sana untuk mengikuti program Bakti Siswa. Berdasarkan contoh ini, dapat dilihat tautan antara kedua-dua ayat tersebut, iaitu perkataan mereka merujuk kepada Arell, Nina dan Sarah manakala perkataan sana merujuk kepada Kemboja. Kedua-dua ayat tersebut dianggap wacana kerana dapat difahami dan bermakna.

2.2 Bermaklumat Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baru pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini. Menurut Idris Aman (2010 : 38), wacana yang baik mesti mengandungi maklumat baru kepada khalayak sasarannya. Jika khalayak wacana sudah mengetahui maklumat dalam wacana atau teks yang diutarakan, itu dikira tidak memenuhi ciri ini. Begitu juga, jika penerima wacana tidak memahami maklumat yang terkandung dalam wacana atau teks, itu turut dikatakan tidak memenuhi syarat bermaklumat. Maklumat bukan sahaja boleh disampaikan secara pemberitahuan langsung, tetapi juga melalui penceritaan. Contohnya: 1) Puan Asma seorang guru. 2) Beliau seorang guru bahasa Melayu. Dalam contoh di atas dapat dilihat perkataan guru dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan sebelumnya. Guru bahasa Melayu pula ialah maklumat baru kerana baru disebutkan dalam ayat itu. 2.3 Berkesinambungan Menurut Idris Aman (2010 : 36), berkesinambugan adalah berkenaan dengan aliran idea terus dalam wacana atau teks. Secara dasarnya, setiap wacana mempunyai satu idea teras yang menjadi inti patinya. Aliran idea teras itu dalam ujaran atau ayat atau bahagian wacana secara sistematik, lancar, bertalian, dan logik itulah yang dikatakan berkesinambungan. Tidak ada masukkan idea baru yang tidak bertalian. Oleh itu, kesinambungan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna. Sebagai contohnya,

Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diwarisi. Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui melalui perkataan Aids, gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya sesuai. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya sesuai. Sebagai contohya ialah: Wanita itu membeli baju baharu berwarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah sosial. Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambugan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau sesuai. 2.4 Bertujuan Wacana harus ada tujuan yang tersendiri, yakni pewacana mesti ada tujuan tertentu dalam wacananya, misalnya untuk mengemukakan maklumat, memberitahu berita, menghujah pandangan, memujuk, mengubah persepsi, menyata simpati, marah dan lain-lain. Sebagai contohnya ialah: Inilah peluang anda untuk mendapatkan kereta Proton pada harga yang paling rendah. Kunjungilah pengedar kereta Proton yang berhampiran dan rebutlah peluang ini sebelum terlambat dan stok masoh ada. Dalam contoh di atas, tujuan utamanya adalah untuk memujuk orang ramai supaya membeli kereta Proton. Selain itu, wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan, jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat tanya.

Tujuan itu tidaklah semestinya dinyatakan secara langsung malah boleh juga secara tak langsung asalkan masih boleh diikuti oleh penerima wacananya melalui unsur-unsur linguistik yang digembleng dan soal situasi. Contohnya ujaran Kau jangan merempit, kemalangan nanti! dengan jelas dari segi linguistiknya melarang. Tetapi situasinya, setelah dilarang berkali-kali, si anak masih juga merempit dan kebetulan kemalangan dan kemungkinan si ibu akan mengujarkan Hah merempitlah lagi! Ujaran kedua ini bukan bertujuan menyuruh tetapi memarahi si anak. 2.5 Berkonteks Penghasilan sesebuah wacana memperkirakan konteks atau situasinya. Konteks penting kepada sesuatu wacana atau teks bagi menghasilkan tekstualiti. Konteks memberi kefahaman dan kebolehterimaan kepada sasarannya. Gambaran konteks dalam wacana, membantu penerima wacana memperolehi maksud wacana berkenaan dengan lebih mudah. Tanpa konteks mungkin membuatkan penerima tercari-cari atau tertanya-tanya akan maksud wacana. Selain tu, berkonteks ini merupakan latar sewaktu bahasa itu digunakan dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan sila masuk, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seseorang masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-harian terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar membeli belah, latar berekreasi, latar beribadat dan banyak lagi. Setiap latar menghasilkan wacananya yang tersendiri. Ada dua jenis konteks, iaitu konteks linguistik dan konteks bukan linguistik atau eksperiensial. Konteks linguistik adalah aspek bahasa yang melatari atau membentuk wacana. Konteks bukan linguistik adalah konteks cara wacana berfungsi atau berlangsung. Ini termasuk jenis peristiwa yang melatarinya, iaitu seperti jenaka, cerita, kuliah, ucap selamat dan sebagainya. Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya formal contohnya, wujud apabila seorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah, murid atau pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal pula wujud dalam hubungan biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam pertuturan.

3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, ciri-ciri wacana tersebut perlu ada dalam memastikan wacana itu ialah wacana yang baik. Kelima-lima ciri wacana ini memainkan peranannya yang tersendiri dalam membentuk dan menghasilkan wacana. Namun demikian, ciri yang paling penting dan asas bagi wacana ialah berkesinambungan dan berpautan. Malah, dalam analisis wacana, ciri perpautan telah mendapat perhatian lebih pengkaji. Selain itu, bukan semua ciri-ciri tersebut dipertimbangkan untuk setiap analisis wacana. Pertimbangan kepetingan sesuatu ciri wacana terletak pada tujuan analisis. Misalnya, intertekstualiti diberi perhatian untuk analisis tipologi teks, dan keterimaan untuk analisis normatif, seperti mengetahui apakah ciri teks yang baik. Oleh hal yang demikian, ciri-ciri wacana ini sangat penting dalam penghasilan sesuatu perkara, yakni tulisan mahupun lisan. Ia boleh digunakan berdasarkan konteks dan tujuan analisis. Sekiranya ciri-ciri ini tiada, maka ia bukanlah wacana.

4.0 RUJUKAN

Henry Guntur Tarigan. (1995). Pengajaran Wacana. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Idris Aman. (2010). Analisis Wacana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Wacana. 3 Julai 2009. Dicapai pada 23 April, 2012, daripada

http://pelangipetang89.blogspot.com/2009/07/wacana.html.

Anda mungkin juga menyukai