Anda di halaman 1dari 3

Laporan Semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah(PBS) di SK Rampangi pada 19 Mac sehingga 23 Mac, saya telah melakukan pemerhatian

terhadap beberapa buah kelas di sekolah tersebut berkaitan dengan elemen pengurusan kelas seperti merancang, mengelola, mengarah dan mengawal. Sehubungan dengan itu, saya telah meminta kebenaran dengan beberapa orang guru untuk melakukan pemerhatian di dalam kelas semasa mereka mengajar. Saya mula melakukan pemerhatian pada hari kedua bersama guru kelas 3 Kejora iaitu Encik Saman Bin Bujang yang merupakan guru veteran dan mempunyai pengalaman mengajar selama lebih dari 15 tahun. Pemerhatian yang pertama sekali saya lakukan adalah berkaitan dengan peranan guru sebgai perancang. Merancang adalah satu proses penentuan terhadap sesuatu perkara sebelum ia dilaksanakan. Proses merancang tidak hanya terhad kepada penentuan objektif dan hasil pembelajaran, namun ia juga merangkumi aspek perancangan susunan bilik darjah. Pada hari saya melaukan pemerhatian tersebut, guru kelas tersebut dengan senang hati mengizinkan saya untuk melakukan pemerhatian semasa beliau mengajar. Namun begitu, beliau memohon maaf kerana beliau tidak dapat menunjukkan kepada saya Rancangan Pengajaran Harian (RPH) beliau untuk hari tersebut. Pandangan awal saya adalah beliau mungkin mengalami masalah semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PnP). Tetapi sepanjang saya melakukan pemerhatian, proses P&P beliau berjalan dengan lancar. Manakala dari segi susunan meja dan kerusi, kelas tersebut menggunakan susunan KBSR yang mana susunannya adalah berpusatkan kepada murid. Sebanyak enam buah meja digabung bersama untuk membentuk satu meja besar dan meja tersebut dibalut dengan kain yang bercorak bunga. Dalam satu kumpulan tersebut terdiri daripada tujuh atau lapan orang murid. Menurut guru kelas tersebut, beliau menggunakan kaedah susunan ini bertujuan untuk memudahkan pengkelasan murid mengikut kadar kecerdasan. Terdapat tiga kelompok besar di dalam kelas tersebut iaitu untuk kumpulan arus perdana, sederhana dan lemah. Kadang kala beliau akan mencampur ketiga-tiga kumpulan ini supaya murid yang cerdas dapat membantu murid-murid yang lemah. Berbeza dengan murid-murid tahap dua yang mana susunan meja dan kerusinya lebih kepada bentuk tradisional. Dari segi penggunaan ruang, saya dapat perhatikan setiap sudut dan ruang dimanfaatkan dengan sebaiknya. Di bahagian hadapan, meja guru diletakkan di hujung sebelah kiri bertentangan dengan pintu masuk. Lebih kurang 10 meter jarak antara papan tulis dengan meja murid, satu ruang kosong dibiarkan di hadapan dan di bentangkan tikar getah di ruang tersebut. Di bawah papan tulis pual dipamerkan dengan sifir daripada sifir dua sehingga sifir 12. Manakala di bahagian atas pula dipamerkan kata-kata motivasi dan nilai-nilai murni seperti Kami sayang kelas kami, Jagalah Kebersihan Kelas Kita, Hormati guru-guru dan sebagainya. Di bahagian belakang pula dipamerkan sudut matapelajaran dan hasil kerja murid seperti lukisan. Di samping itu, terdapat juga pinggan kertas yang ditampal di bahagian belakang kelas. Pada permukaan pinggan kertas tersebut ditampal pula gambar murid-murid kelas dan tarikh lahir mereka. Ini adalah bagi mewujudkan rasa kepunyaan murid terhadap kelas tersebut. Dari segi aspek kebersihan, kelas tersebut agak memuaskan. Satu tong sampah besar diletakkan di bahagian luar bagi mengurangkan gangguan dari segi bau yang kurang menyenangkan.

Manakala satu bakul kecil di letakkan di dalam kelas untuk membuang sampah-sampah kering seperti kertas, habuk pemadam dan memudahkan pelajar mengasah pensil. Saya juga dapat perhatikan bahawa murid-murid kelas tersebut rajin menjaga kebersihan kelas. Pada waktu rehat, meskipun guru tiada di dalam kelas untuk memantau, mereka turut menyapu sampah apabila terdapat sampah-sampah seperti bekas plastik makanan dan nasi yang tertumpah. Seterusnya saya melihat dari segi pencahayaan dan pengudaraan di dalam kelas tersebut. Dari segi pengudaraan sememangnya mencukupi dengan keduadua pintu dan semua tingkap dibuka. Selain itu, peranan langsir dapat saya perhatikan apabila guru memberi arahan kepada pelajar untuk menutup tingkap dengan langsir bagi mengurangkan silau pada papan tulis. Perkara ini berlaku antara jam tujuh setengah pagi sehingga jam sembilan. Pada jam sepuluh pagi, matahari mulai naik dan kesan silau pada papan tulis mulai berkurangan. Maka setelah itu, murid akan membuka semula langsir yang menutupi tingkap tadi. Elemen pengurusan seterusnya yang saya perhatikan adalah guru sebagai pengelola. Guru sebagai pengelola adalah bermaksud guru berupaya untuk menyelaras aktiviti dan mengatur bahan pembelajaran sewaktu P&P. Daripada pemerhatian saya terhadap Cikgu Saman, Perkara pertama yang beliau lakukan sebelum memulakan P&P adalah bertanya khabar dengan murid. Kemudian beliau menerangkan obejktif dan hasil pembelajaran yang bakal murid pelajari pada akhir waktu tersebut. Tajuk yang beliau ingin sampaikan pada hari tersebut ialah berkaitan dengan tumbuhan. Setelah beliau selesai dengan pengenalan topik pengajaran beliau pada hari itu, beliau meneruskan kepada peringkat aktiviti yang seterusnya. Guru tersebut melukis beberapa jenis tumbuhan pada papan tulis. Kemudian pelajar diberi peluang untuk menamakan tumbuhan tersebut. Kemudian beliau menerangkan bahawa tumbuhan boleh dikelaskan mengikut beberapa ketegori berdasarkan kepada fizikal tumbuhan tersebut. Setelah itu, murid-murid dari meja arus meja perdana di campurkan dengan murid di meja sederhana dan lemah. Kemudian beliau melaksanakan satu aktiviti. Beliau melukis tiga tumbuhan berbeza pada tiga helai kertas. Kertas tersebut kemudiannya di berikan kepada tiga kumpulan besar murid dan diarahkan untuk berbincang dalam kumpulan masing-masing tentang ciri-ciri fizikal tumbuhan tersebut dan mengkategorikanya. Di samping itu, beliau turut menyelitkan unsur kecindan dengan menyebut nama tumbuhan tersebut mengikut bahasa tempatan. Murid-murid kelihatan lebih tertarik apabila guru menggunakan bahasa yang hampir dengan kehidupan seharian mereka. Malah, hubungan antara guru dengan murid di kelas tersebut sangat membanggakan di mana murid-muridnya begitu akrab dengan guru mereka. Yang ketiga adalah berkaitan dengan guru sebagai pemberi arahan. Elemen pengurusan bilik darjah yang saya perhatikan di sini adalah mengarah. Mengarah adalah bertujuan untuk memberikan arahan kepada murid-murid untuk melakukan sesuatu seperti membentuk kumpulan kecil, membuat latihan atapun menjawab soalan yang ada pada papan tulis. Selain itu, elemen mengarah juga turut digunakan untuk mengawal tingkah laku murid di dalam bilik darjah agar proses P&P dapat berjalan dengan lancar. Melalui pemerhatian saya, guru tersebut memberikan arahan yang mudah dan jelas kepada murid. Sebagai contoh, Meja arus perdana, berdiri. ataupun Namakan tumbuhan ini.. Arahan yang beliau berikan tidak menggunakan laras bahasa yang tinggi. Pernah saya perhatikan semasa kelas Pendidikan Jasmani di tapak permainan, guru Pendidikan Jasmani tersebut menggunakan laras bahasa yang tinggi. Beliau memberi arahan kepada murid supaya membuat bentuk melengkung. Murid

pula kelihatan terpinga-pinga dan hanya berpegang tangan. Kemudian, guru tersebut memberi arahan kali kedua dengan bahasa yang lebih mudah iaitu membuat bentuk separa bulatan. Hanya dengan itu murid-muridnya faham dengan arahan yang diberi. Elemen pengurusan bilik darjah yang terakhir saya perhatikan adalah guru sebagai pengawal. Ini bermaksud guru memantau sejauh mana pernglibatan murid semasa proses P&P dijalankan. Setiap guru yang mengajar bagi setiap subjek sememangnya akan memainkan peranan sebagai pengawal. Berdasarkan kepada pemerhatian saya, sepanjang proses P&P, Cikgu Saman mampu mengawal kelas dengan efektif. Terdapat beberapa orang yang bercakap-cakap semasa beliau menerangkan isi pembelajaran di hadapan. Pertama sekali beliau menegur murid yang bercakap-cakap untuk memberi perhatian. Kemudian, beliau akan menggunakan murid yang kurang memberi perhatian untuk terlibat lebih aktif dalam aktiviti berkumpulan. Selain itu, beliau memanggil murid yang tidak memberi perhatian supaya menerangkan semula apa yang beliau jelaskan. Seterusnya beliau sering bergerak-gerak dari satu tempat ke satu tempat dan tidak hanya statik di hadapan bilik darjah. Beliau gemar berdiri di sebelah murid-murid yang lemah dan kadangkala beliau bertanya secara spontan kepada murid tersebut sama ada dia faham atau tidak. Seterusnya semasa murid-murid di arahkan untuk melaksanakan aktiviti berkumpulan, beliau akan memantau perbincangan murid-murid dari satu meja ke satu meja. Semasa memantau penglibatan murid, beliau akan duduk bersama di satu kumpulan murid, kemudian beliau akan melihat bagaimana murid-murid di dalam kumpulan tersebut berinteraksi antara satu sama lain. Selain itu, beliau menggalakkan supaya semua murid menyumbang satu idea dan beliau menerangkan kepada murid supaya jangan takut memberikan pendapat. Selain itu, beliau turut meningkatkan motivasi murid dengan menawarkan hadiah misteri kepada kumpulan yang terbaik pada masa kelas beliau yang akan datang. Murid-murid mula kelihatan lebih bersemangat untuk menyiapkan aktiviti dalam kumpulan tersebut.

Kesimpulannya, saya merasakan bahawa Cikgu Saman berjaya melaksanakan tugasnya sebagai perancang, pengelola, pemberi arahan dan juga pengawal kelas. Ini jelas kelihatan apabila murid-murid kelas tersebut kesemuanya gembira termasuk kumpulan murid-murid yang lemah. Mereka berani untuk memberikan jawapan meskipun jawapan yang diberikan salah. Murid-murid yang salah tidak akan diejek namun akan diperbetulkan jawapannya. Guru tersebut juga tidak memarahi murid tersebut malah dibalas dengan pujian kerana berani menjawab soalan. Berdasarkan pemerhatian saya yang sepenuhnya, guru kelas tersebut adalah seorang yang sudah arif tentang pengurusan bilik darjah sehingga sesi P&P berjalan dengan lancar dari awal sehingga akhir waktunya.

Anda mungkin juga menyukai