Anda di halaman 1dari 4

Contoh Pengajaran dan Pembelajaran Mengikut Model Konstruktivisme 5 Fasa Needham.

Untuk menjelaskan lagi bagaimanakah penggunaan teori konstruktivisme ini dalam pengajaran guru dapat memberikan kesan keatas pembelajaran pelajar diberikan satu contoh P&P bilik darjah bagi matapelajaran Fizik tingkatan empat. Tajuk : Daya graviti Objektif: Supaya pelajar dapat mendefinisi pecutan graviti, menentukan nilai pecutan graviti dan menentukan hubungan antara pecutan graviti dengan jisim. Masa P&P: 80 minit Pengetahuan sedia ada: Pelajar sudah dapat mendefinisikan halaju dan pecutan. Pelajar sudah dapat menghitung halaju dan pecutan Pelajar sudah belajar tentang daya geseran Fasa Aktiviti: Fasa orientasi: (Engage) Pelajar ditunjukkan tayangan CD peristiwa gerakan sebiji kelapa bila terlepas dari tangkainya, gerakan sebiji bola yang ditendang bila jatuh kebumi, seketul batu jatuh dari puncak bukit, gerakan bulu ayam yang sedang jatuh dan gerakan seorang penerjun payung terjun yang terjun turun dari sebuah kapalterbang. Aktiviti ini adalah untuk meransang perasaan ingin tahu pelajar tentang objek jatuh. Minat pelajar dapat dipupuk dengan tayangan CD kerana tayangan itu adalah gerakan sebenar dalam kehidupan harian. Seterusnya aktiviti ini dapat menjanakan minat pelajar untuk mengetahui dengan mendalam mengapa objek-objek itu jatuh ke bawah. Perasaan ingin tahu pelajar dapat dipupuk dengan tayangan CD tersebut sebab banyak persoalan yang dapat dijanakan dari gerakan objek semasa jatuh itu. Fasa Pencetusan idea: (Explore) Dari aktiviti diatas, pelajar-pelajar disoal: a) Mengapa objek-objek itu jatuh ke bawah? b) Apakah maksud halaju? c) Apakah maksud pecutan? d) Apakah rumus untuk menghitung halaju? e) Bagaimanakah cara untuk menghitung pecutan? f) Apakah yang terjadi kepada halaju buah kelapa dan batu semasa jatuh menghampiri bumi? g) Apakah terjadi kepada pecutan buah kelapa dan batu itu? h) Apa yang terjadi kepada halaju dan pecutan penerjun yang menggunakan payung terjun itu? i) Apa yang terjadi kepada halaju dan pecutan bulu ayam itu?

Pelajar dipecahkan kepada enam kumpulan kecil dan diminta membuat satu eksperimen untuk menentukan pecutan jasad yang jatuh ke arah pusat bumi tersebut. Dalam eksperimen ini pelajar juga diminta untuk menentukan nilai pecutan graviti dan hubungan antara pecutan graviti dengan jisim jasad. Prosedur asas aktiviti eksperimen perlu dipatuhi oleh pelajar iaitu merancang, menjalankan eksperimen dan mengambil data. Aktiviti ini adalah untuk mengcungkil jawapan kepada perasaan ingin tahu para pelajar tentang gerakan objek dalam medan graviti dengan cara memberikan soalan-soalan inkuiri dan kemudian meminta mereka menjalankan eksperimen. Hasil dapatan ujikaji ini pelajar akan dapat menentukan adakah idea dan pengetahuan sedia ada mereka selari atau tidak dengan dapatan baru itu dari eksperimen itu. Kesan kepada pelajar adalah mereka akan merasa seronok untuk mendapat pengetahuan kerana mereka sendiri yang mencari jawapan dan bukti kepada pengetahuan asal mereka. Keyakinan pelajar akan lebih jelas lagi jika pengetahuan asal mereka sama dengan dapatan baru dari eksperimen itu.

Fasa Penstrukturan Semula idea : (Explain) Pelajar-pelajar diminta membentangkan dapatan eksperimen mereka mengikut kumpulan masing-masing. Pembentangan dibuat dengan menggunakan transparensi atau perisian powerpoint. Selepas pembentangan oleh sesebuah kumpulan ,kumpulan lain diminta untuk memberikan komen dan pandangan mereka tentang gerakerja dan hasil eksperimen kumpulan tersebut. Selepas selesai setiap kumpulan membentang hasil dapatan mereka, guru meminta pelajar membuat definisi pecutan graviti, nilai pecutan graviti, pengaruh jisim terhadap pecutan graviti, makna medan graviti dan daya graviti. Akhirnya pelajar-pelajar diminta untuk menyiapkan laporan eksperimen tersebut mengikut format yang telah diberikan sebelum ini. Satu kesan yang dapat dilihat dari aktiviti ini adalah pelajar lebih yakin dan berani untuk menyampaikan hasil dapatan mereka dan sentiasa berbincang dalam kumpulan untuk mendapat sesuatu keputusan yang dipersetujui bersama. Mereka lebih berani untuk membuat hipotesis dan bernai juga mencabar hipotesis kumpulan lain jika tidak sama dengan kumpulan mereka. Fasa Aplikasi idea: (Elaborate) Pelajar ditunjukkan satu eksperimen maya dari komputer iaitu Graviti experiment by Galileo. Dalam eksperimen maya ini Galileo berada di atas sebuah bangunan pencakar langit. Beliau menjalankan 3 aktiviti iaitu: i) menjatuhkan dua ketul batu yang berlainan saiznya ke bawah secara serentak . ii) Kemudian beliau menjatuhkan pula seketul batu dan sehelai bulu ayam dari ketinggian yang sama secara serentak juga. iii) Akhir sekali bangunan dan Galileo di vakumkan dan sekali lagi beliau menjatuhkan batu dan bulu ayam serentak. Dari tayangan itu pelajar-pelajar di soal:

a) Batu mana yang sampai ke permukaan bumi terlebih dulu? b) Antara bulu ayam dan batu yang mana akan sampai ke bawah dulu? c) Bila dalam vakum, yang mana akan sampai dulu? d) Mengapakah kedua-dua batu sampai serentak ke permukaan bumi? e) Mengapakah bulu ayam lambat sampai ke permukaan bumi berbanding batu? f) Dalam vakum mengapa bulu ayam dan batu sampai serentak? Guru kemudiannya meminta pelajar untuk menjelaskan kejadian lif putus dan satelit jatuh semasa mengorbit bumi dengan menggunakan konsep graviti. Aktiviti ini adalah untuk menentukan bahawa pengetahuan tentang graviti dapat diaplikasikan dalam situasi baru iaitu dari eksperimen maya Galileo, kejadian lif putus dan satelit jatuh semasa mengorbit bumi. Di sini pelajar akan dapat menggunakan kefahaman mereka tentang graviti bagi menjelaskan sebab kepada fenomena yang terjadi. Selain kefahaman pelajar bertambah mereka akan mengingati konsep graviti ini dengan lebih lama lagi. Fasa Refleksi (Evaluate) Guru mengedarkan soalan-soalan kuiz pendek untuk dijawab oleh pelajar selama 10 minit. Guru seterusnya meminta pelajar membuat satu peta konsep tentang apa yang telah dipelajari hari itu. Aktiviti ini adalah untuk menilai kefahaman para pelajar tentang konsep graviti. Rumusan Dari huraian di atas dapat dirumuskan bahawa konstruktivisme adalah satu daripada teori pembelajaran yang pada asasnya merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan sedia ada disusun semula dalam minda pelajar untuk membentuk pengetahuan baru. Melalui pembelajaran secara konstruktivisme, pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiri dan tidak diterima secara pasif daripada persekitarannya. Pelajar membina pengetahuan mengikut pengalaman masing-masing dan pengetahuan sedia ada mereka. Ini menjadikan pelajar lebih seronok dan berminat untuk belajar kerana pengetahuan yang dibina adalah hasil usaha pelajar sendiri. Selain itu untuk memastikan proses pertukaran idea berlaku pada tahap optimum, gaya pengajaran guru perlulah setara dengan gaya pembelajaran yang terdapat pada setiap pelajar untuk memastikan mereka terus termotivasi untuk mengikuti pengajaran yang disampaikan. Bagi menunjukkan bagaimana teori konstruktivisme ini dapat digunakan keatas pengajaran guru dan memberikan kesan kepada pembelajaran pelajar, maka model 5 fasa Needham digunakan. Model ini menggunakan lima fasa dalam proses P&P iaitu fasa orientasi (Engage) , fasa pencetusan idea (explore), fasa penstrukturan semula idea (Explain), fasa aplikasi idea (Elaborate) dan fasa refleksi (Evaluate). Kelima-lima fasa ini perlulah diikuti dengan sistematik oleh guru untuk mendapat keberkesanan yang tinggi. Secara ringkasnya fasa pertama adalah untuk meransang perasaan ingin tahu pelajar dengan melakukan aktiviti seperti demonstrasi oleh guru , tayangan video atau penyoalan oleh guru. Fasa ini juga bertujuan untuk menjana minat para pelajar dalam proses P&P mereka. Fasa kedua adalah untuk mencetuskan idea supaya pelajar sedar tentang idea dulu melaui amali ,perbincangan, pemetaaan konsep dan laporan.

Fasa ini dapat menggalakkan pelajar bekerjasama, guna pendekatan inkuiri, menyiasat melalui eksperimen dan selalu bertanya. Fasa ketiga adalah untuk menstruktur semula ideaidea asal kerana idea asal mungkin perlu diubahsuai, di ganti dengan idea yang lebih saintifik atau dikembangkan. Fasa keempat adalah fasa aplikasi atau penggunaan idea dimana idea yang telah dibina dikukuhkan dalam situasi baru. Fasa terakhir adalah fasa refleksi dimana pelajar dapat membuat penilaian sejauh mana idea asal telah berubah dan setakat mana idea baru betul. Dengan mengikuti kesemua fasa ini maka kesan yang dapat terhasil dikalangan pelajar adalah pelajar akan lebih seronok kerana mereka bina sendiri pengetahuan, pelajar mempunyai kemahiran sosial yang tinggi kerana saling berinteraksi sesama mereka dalam membuat aktiviti untuk mencari pengetahuan baru, pelajar mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana diberi peluang bina sendiri kefahaman, pelajar lebih mengingati sesuatu konsep lebih lama lagi kerana mereka terlibat secara aktif dalam proses P&P, pelajar lebih faham kerana dapatan pengetahuan adalah hasil karya mereka sendiri dengan bantuan guru, pelajar lebih berfikir kerana untuk bina pengetahuan baru mereka perlu menjana idea, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.