Anda di halaman 1dari 4

PENGUTIP TIN PETANG HANGAT.

LEKIT DAN KUSAM WAJAH KERINGAT WARGA KOTA BERBAUR BUSUK LESU MEMBUATKAN AKU JADI MUAL. TERGOYANG-GOYANG DI DALAM BAS YANG SESAK DENGAN PELBAGAI RAGAM MANUSIA. PEMBURU MASA. PENGHUNI BUMI YANG KIAN SEMPIT DAN TUA. AKU DI ANTARA YANG TERSEPIT DI CELAH ASAKAN GETIR ITU.

Seorang nenek. Berdiri memaut tiang bas. Sedangkan semua kerusi diduduki jejaka dan wanita bergaya. Sasa dan masih bertenaga. Letih sungguh lututku menanti giliran kalau-kalau ada, untuk merehatkan punggung setelah jenuh duduk hampir lima jam berkuliah di Universiti Malaya. Demi segulung ijazah, kukorbankan tenaga.

Aku melihat sahaja nenek itu. Kesian, dia hanya berdiri. Tiba-tiba bas brek mengejut sebab sebuah Satria memotong laju di hadapan dan segera mencuri lorong tanpa sebarang isyarat. Pemamdu kurang ajar! Aku mengucap panjang. Nenek itu terherembap ke dada seorang lelaki kacak bertali leher merah. Lelaki itu membuang pandang ke arah tingkap. Tidak semena-mena, guni di tangan nenek terlepas.Berhamburan segala isi dan berterabur di celahan kaki penumpang. Tin-tin kosong tergolek-golek. Botol-botol air mineral tersepit di antara kain dan kaki. Entah ke mana dan di mana lagi rezeki nenek itu sempat mendarat. Terdampar. Esok terlangsungkah hidupnya ?

Ada yang sempat dipungutnya. Ada yang dikuis kaki-kaki ke arah guni, agar nenek sempat memungut. Seorang jururawat keturunan india menghulurkan

bantuan, memungut hingga ke bawah bangku. Dan seorang murid sekolah, sempat menangkap beberapa tin yang tergolek. Menghulur. Disambut dengan senyum. Dibalas dengan terima kasih. Tangan kanan yang menghulur terasa meringankan dosa. Tangan kiri disorokkan. Kemek. Nenek membelek tin-tin di tangannya. Lagaknya sungguh teliti. Mengelenggelengkan kepala. Lalu dimasukkan kembali ke dalam guni plastik yang kotor dan berdaki. Sepasang merpati berbaju T serba hitam tersengih-sengih seperti lucu pula menonton drama kehidupan itu. Bila aku mengerling tajam, mereka sengih sinis dan menyiku-nyiku sesama sendiri. Biadap! Bas berhenti di hadapan bank. Aku turun lekas-lekas. Perlu menukar bas ke Ampang pula. Betis terasa berat dan tegang. Kuheret jjuga kaki agar tabah menongkah arus kemajuan. Mataku meleret ke arah nenek dengan isi guninya yang tinggal separuh. Dengan cekal nenek menggalas guni dan mendaki bas. Bas sama denganku. Aku tidak pernah bertembung nenek sebelum ini.Tapi mungkin sebab petang itu aku sengaja pulang lewat dari kebiasaan, nenek ini menjadi halwa mata yang mengundang tabah hati. Sekurang-kurangnya, kepenatanku diimbangi dengan gerak tubuh tua yang patut lebih merasai kegetiran. Alangkah nikmat bila dapat meletakkan punggung di bangku bas. Bas belum bergerak. Mungkin 10 minit lagi. Nenek juga mendapat tempat. Nun di belakang pemamdu bas. Guninya diletakkan di tepi tingkap. Dalam batuk-batuk kecil nenek mengeluarkan sehelai kertas. Seperti menghitung dan menghisab sesuatu angka. Jumlah besar atau kecil, barangkali. Aku menghirup sisa air mineral dari botol yang kubawa setiap hari. Aku menggagau nota kecil dari beg. Seminggu lagi peperiksaan akhir. Mesti bersedia.

Adik, botol ini, boleh beri pada nenek ? tiba-tiba bahuku dicuit. Nenek tersenyum penuh harapan. Aku menghulurkan senyum. Tiba-tiba terpandang botol kosong di atas riba. Lelaki di sebelahku buat tak peduli tentang kami. Aku terbayang botol-botol yang tergolek dari guni dalam bas nombor 17 tadi. Aku terkenang mesin air mineral di pinggir jalan kira-kira 20 minit dari pejabat ayahku. boleh dik ? seakan-akan terlalu mustahak, nenek kembali mendesak aku apabila aku diam. Aku menggengam erat botol yang dikehendakinya. Aku meneliti tepat-tepat paras fizikal nenek. Mukanya gelap. Berpeluh, berdaki dan nafasnya berbau. Baju kemeja lengan pendek corak bunga tulip, pudar sungguh. Seluar panjang hitam terlalu daif kesan koyak di lutut dan hujung kakiknya. Selipar sebelah kirinya berwarna hijau. Yang di sebelah kananya pula biru cair diikat dengan tali rafia. Rambutnya kering dan kusut. Pendek sahaja. Kurus melidi. Tangan kananya penuh dengan gelang getah. Yang paling daif, di pinggangnya, tergantung karung plastik. Di dalamnya sekeping roti kering dan sekotak rokok yang keromot. Juga sebatang pensel yang tidak bermata. Entah dipungut dari mana. Aku menghulurkan RM 10 ke tangan nenek. Dia menggeleng. Keras dan tegas. Nekad dan gigh makna yang tertakrif di sebalik gelengannya. Ringkas dan berkesan. Aku malu diperhatikan orang. Ada juga yang berpura-pura tidak melihat dan membuang pandang ke arah lain. Sekali lagi aku cuba menghulurkan wang. Tanda simpati. Tapi, nenek betulbetul menolak. Buktinya nenek melipat jemariku dan memuncungkan bibir ke arah rezekiku. Rezekinya. Di tanganku. Dia lebih berminat pada botol kosong. Aku tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Aku perlu bertolak ansur, prihatin dan bekerjasama dengan nenek ini! Terpaksalah aku menapak ke kedai runcit untuk membeli botol air mineral yang baru pula nanti!

Terima kasih adik. Hatiku terdetik rasa ihsan bila dilafazkan ucapan yang sungguh dalam begitu. Segala jerih dan payah nenek tua petang itu terubat sikit apabila botol kosong berpindah tangan. Bas mula bergerak. Aku menyambung membaca nota. Tiba di pinggir sebuah kampung sitinggan, nenek turun mengheret guni. Dia melambai dan berterima kasih kepasa pemandu basyang tidak meminta tambang itu.