Anda di halaman 1dari 15

Usul murid bawa telefon bimbit ke sekolah masih dibincang: Ka Siong

02/09/2012 - 16:15:50 PMCetakEmel Kawan

SEREMBAN: Cadangan pelajar dibenar membawa telefon bimbit ke sekolah masih pada peringkat perbincangan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong. Katanya, banyak perkara harus diteliti sebelum kementerian itu dapat membuat keputusan yang memuaskan semua pihak. "Setakat ini pelbagai pandangan sudah diterima termasuk daripada pelajar. Malah saya ada menerima surat daripada murid berusia 10 tahun yang tidak bersetuju dengan cadangan terbabit. "Ini adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan apabila murid tahun empat ini sendiri memberi pandangan sebegitu dan menyatakan sebab mengapa dia tidak bersetuju," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Beliau sebelum itu menyerahkan cek bantuan kewangan kepada sekolah bantuan kerajaan di Negeri Sembilan. Sebanyak RM6.43 juta diperuntuk kepada 41 sekolah jenis kebangsaan bantuan kerajaan tahun ini. Bulan lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun depan. Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah terbabit akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. - BERNAMA

ISU : PELAJAR BAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH

ISU PELAJAR BAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH

1.0 PENGENALAN Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), telefon bimbit bermaksud telefon mudah alih tanpa wayar yang berfungsi dengan menggunakan isyarat gelombang. Manakala, sekolah pula bermaksud tempat untuk belajar dan mengajar, tempat menerima dan memberi pelajaran. Sekolah merupakan satu daripada tempat seseorang menimba ilmu pengetahuan. Telefon bimbit merupakan satu daripada alat komunikasi yang sangat penting pada masa kini. Memandangkan taraf hidup yang semakin tinggi, ibu bapa yang berada mampu membeli telefon bimbit dan gajet untuk anak-anak mereka sebagai motivasi dan galakan dalam pelajaran. Namun, tindakan mereka ini seolah-olah membuka ruang kepada anak-anak mereka untuk membawanya ke sekolah.

Di pihak kementerian pula, cadangan pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong pada 16 Julai 2012 yang lalu. Cadangan ini terkandung dalam Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012, yang kini diperingkat akhir, sebelum dibawa kepada pejabat Peguam Negara dan diluluskan. Jika mendapat pandangan yang positif kemungkinan besar usul ini akan diluluskan dan berkuatkuasa mulai tahun depan. Biarpun baru memasuki frasa cadangan, isu sama ada membenarkan atau tidak pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah tahun depan pantas mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak. Pelbagai pendapat pro dan kontra dibentangkan selain melihatnya secara positif atau sebaliknya dengan pendapat masing-masing. Umum mengetahui, sejarah melarang murid membawa dan menggunakan telefon bimbit ke sekolah dikuatkuasakan sejak 13 Mei 1997. Walaupun Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah secara bersyarat menerusi satu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/2005 bertarikh 23 Disember 2005, namun ia ditarik

balik oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 19 Januari 2006 atau 28 hari selepas pekeliling itu dikeluarkan.

Kini, cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah disuarakan sekali lagi dan maklum balas awal yang diterima menunjukkan majoriti guru tidak bersetuju kerana keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

2.0 PERKEMBANGAN Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhammad Khailani Abdul Jalil kepada Berita Harian. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong. Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan. Kajian ini dibuat oleh Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan pandangan pihak berkepentingan mengenainya. Beliau berkata, semua pihak bimbang cadangan tersebut lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Tambahan pula, 60 peratus pelajar tetap membawa telefon bimbit walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah akan timbul apabila berlakunya kecurian dan penyebaran anasir berunsur lucah ke sekolah.

Walaupun terdapat desakan daripada kalangan ibu bapa yang meminta pihak Kementerian Pelajaran membenarkan penggunaan telefon bimbit di sekolah atas alasan bahawa keselamatan murid akan terjamin, tetapi daripada sudut pengajaran dan pembelajaran, hal ini lebih banyak mendatangkan keburukan. Perkara ini dikukuhkan

dengan kenyataan seorang tokoh pendidik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang menyatakan bahawa daripada aspek keselamatan, beliau melihat ia memang wajar dibenarkan agar ibu bapa sentiasa boleh berhubung dengan anak-anak mereka tetapi beliau bimbang perkara tersebut menjejaskan tumpuan pembelajaran dan disalahgunakan oleh pelajar. Tokoh Guru Kebangsaan 2010, Awang Mohamad pula berpendapat, langkah tersebut tidak perlu dibuat dengan terburu-buru

memandangkan suasana di dalam kelas tidak menuntut pelajar menggunakan peralatan canggih tersebut.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani pula menyatakan bahawa membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik yang boleh menjamin keselamatan. Kaedah terbaik perlu dicari untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin sewaktu berada di sekolah. Selain daripada itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad pula percaya, pelbagai masalah akan timbul sekiranya para pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit di sekolah termasuk kes kecurian. Beliau berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah akan menimbulkan jurang pemisah antara pelajar miskin dan kaya hingga mencetus suasana yang tidak harmoni.

Hal ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan GuruGuru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Awang Mohamad yang melihat implikasi buruk mungkin tercetus sekiranya perkara itu dibenarkan. Beliau berpendapat, walaupun pelajar hanya dibenar menggunakan telefon bimbit sebelum waktu persekolah bermula, semasa waktu rehat dan selepas sesi persekolahan tamat, tanpa disedari teknologi itu membunuh masa depan para pelajar. Pelajar hanya akan berkomunikasi menggunakan alam maya tanpa keluar untuk bersosial dan bergaul dengan masyarakat di sekeliling. Presiden Persatuan Perlindungan Malaysia (PPPM), Mohd Firdaus Abdullah turut melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan telefon

bimbit di kalangan pelajar di sekolah. Beliau menyatakan bahawa telefon bimbit boleh menyebabkan masalah pencemaran bahasa dan penyebaran gambar-gambar lucah seterusnya boleh menjurus kepada keruntuhan moral. Tambahan beliau, penggunaan telefon bimbit mampu menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran.

Namun begitu, terdapat beberapa pihak yang bersetuju dengan cadangan penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar ketika di sekolah disertai dengan beberapa garis panduan. Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Kebangsaan

(Permuafakatan), Profesor Madya Mohd. Ali Hassan mengatakan bahawa kebenaran itu perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melibatkan pelajar sekolah menengah terlebih dahulu dan jika dasar itu didapati berkesan, barulah diperluaskan kepada pelajar sekolah rendah pula. Pihak sekolah juga perlu menyediakan tempat menyimpan telefon bimbit bagi memastikan ia hanya digunakan pada waktu yang ditetapkan sahaja. Beliau juga mengingatkan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah supaya memantau dan memastikan garis panduan itu dipatuhi. Berbeza dengan kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Profesion Perguruan Kebangsaan, Lok Yim Pheng yang mengalu-alukan langkah tersebut kerana ia akan mendedahkan pelajar kepada teknologi maklumat (IT). Beliau berpendapat bahawa, pada zaman ini kita tidak boleh membataskan pelajar menggunakan telefon bimbit. Walaubagaimanapun, katanya murid sekolah rendah terutama tahun satu, dua dan tiga tidak digalakkan menggunakan telefon bimbit kerana umur mereka yang masih rendah.

3.0 IMPLIKASI Pelbagai reaksi, pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan bahawa pelajar boleh membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah mulai tahun depan. Sememangnya ada baik dan tidak baiknya membawa telefon bimbit ke sekolah. Dari segi baiknya, tentu ia memudahkan ibu bapa untuk mengesan anak mereka terutamanya selepas waktu persekolahan. Ada ketikanya anak-anak terlepas bas sekolah mungkin kerana lambat

keluar kelas dan tidak memaklumkan kepada pemandu bas terlebih dahulu. Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon yang menyatakan bahawa ada ibu bapa yang mendesak pihak Kementerian Pelajaran Malaysia supaya membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bagi memudahkan mereka memantau dan memastikan keselamatan anak-anak mereka. Kebenaran tersebut mungkin akan tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Walaupun ada pihak yang bersetuju dengan kenyataan di atas, tetapi majoriti melihat isu ini mengundang pelbagai masalah kepada semua pihak termasuklah guru dan pihak sekolah. Apabila guru sedang mengajar di dalam kelas, para pelajar akan sibuk dengan telefon bimbit mereka. Hal ini akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah seterusnya akan menyebabkan timbulnya masalah tingkah laku murid di dalam kelas. Perkara ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan daripada Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa. Beliau menyatakan bahawa perkara ini perlu dikaji kerana dikhuatiri ia akan mengganggu fokus para pelajar ketika di dalam kelas. Tambah beliau lagi, selain tidak sesuai dilaksanakan kerana memberi kesan terhadap fokus pelajar, ia juga boleh mewujudkan jurang antara pelajar berkemampuan dan kurang berkemampuan. Di dalam sebuah bilik darjah, guru bukan hanya memainkan peranan sebagai pendidik tetapi juga sebagai pengurus. Hal ini bermaksud guru juga bertanggungjawab mengelolakan murid-murid dan keadaan fizikal yang terdapat di dalamnya.

Mok Soon Sang (2010) berpendapat bahawa keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkait rapat dengan kecekapan pengurusan bilik darjah seseorang guru. Ini adalah kerana pengurusan bilik darjah yang cekap akan dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif serta keadaan yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Suasana dan keadaan yang kondusif ini hanya dapat diwujudkan apabila semua murid mengikut peraturan bilik darjah yang ditetapkan.

Sesungguhnya, tujuan utama pengurusan bilik darjah adalah menjaga disiplin bilik darjah supaya mewujudkan suasana dan keadaan yang membolehkan murid-murid mengikuti pelajaran mereka tanpa sebarang gangguan. Apabila murid membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mula hilang fokus terhadap pengajaran guru. Guru sibuk mencurahkan ilmu di hadapan kelas, mereka sibuk menjawab dan membuat panggilan, berbalas khidmat pesanan ringkas (sms), bermain games berfacebook, bertwitter dan sebagainya di belakang kelas.

Bertepatan dengan pandangan tokoh pendidik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang melihat penggunaan peralatan itu di sekolah tidak memberi manfaat terhadap peningkatan mutu pelajaran pelajar. Kerajaan perlu memperhalusi cadangan ini dengan sebaik-baiknya kerana bimbang kesannya terhadap institusi sekolah, hubungan antara guru dan pelajar serta masa depan negara. Menurut beliau lagi, kerajaan juga harus mencorak sistem pendidikan mengikut acuan sendiri agar ia dapat membantu ke arah kemajuan dan kecemerlangan sistem pendidikan negara. Jika ingin melakukan perubahan, biarlah perubahan itu membawa lebih banyak kebaikan dan bukan atas kepentingan satu-satu pihak sahaja. Pengajaran dan pembelajaran tidak akan mencapai objektif kerana tumpuan pelajar tidak kepada pengajaran guru sebaliknya leka dengan telefon dan gajet yang dibawa. Justeru itu, pihak kementerian perlulah mempertimbangkan semula kebaikan dan keburukannya sebelum diberi kelulusan.

Di samping itu, Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee menyatakan bahawa penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah-sekolah. Sebagai contoh, pelajar mungkin akan

menghendap dan merakam gambar pelajar atau guru perempuan di dalam tandas. Lebih dibimbangi sekiranya gambar ini disebarkan oleh pelajar yang tidak

bertanggungjawab menerusi telefon bimbit. Jika keadaan ini dibiarkan, dasar

pendidikan negara yang bertujuan melahirkan pelajar berkualiti dari segi ilmu dan moral tidak akan tercapai. Telefon bimbit pada masa kini bukan hanya berfungsi untuk menerima dan membuat panggilan serta membalas khidmat pesanan ringkas sahaja, ianya mempunyai pelbagai kegunaan seperti merakam video, merekod suara, mengakses internet, menghantar dan menerima gambar dan sebagainya. Masyarakat bimbang telefon yang mempunyai pelbagai fungsi ini disalahgunakan oleh pelajar ketika berada di sekolah. Justeru itu, masalah disiplin akan meningkat.

4.0 CADANGAN / RUMUSAN Setelah dilihat, diteliti dan dikaji pendapat serta pandangan pelbagai pihak, saya berpendapat bahawa penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar di sekolah lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Bertepatan dengan pandangan tokoh pendidik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang mengatakan bahawa telefon bimbit wajar dibenarkan dibawa ke sekolah atas faktor keselamatan. Walaubagaimanapun, katanya ianya lebih banyak mendatangkan keburukan dari sudut persekolahan seperti menjejaskan tumpuan pembelajaran, disalahgunakan,

menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran selain belrakunya kes-kes kecurian. Pada masa yang sama, para guru bukan sahaja berhadapan dengan cabaran mengawal pelajar sekolah ini daripada menyalahguna telefon bimbit di sekolah tetapi terpaksa melayani masalah kehilangan telefon bimbit itu. Hal ini akan menyebabkan bertambahnya bebanan guru. Pada masa kini, tugas guru semakin meningkat dari semasa ke semasa seiring dengan perubahan dasar pendidikan negara. Apabila pelajar-pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit, pelbagai masalah lain akan mula timbul kesan daripada kebenaran tersebut.

Perkara ini disokong oleh Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang, Shaharol Niza Omar yang tidak bersetuju cadangan itu dibenarkan kerana walaupun tanpa telefon bimbit dan gajet, masalah disiplin pelajar adalah tidak terkawal pada masa kini, apatah lagi jika cadangan itu dibenarkan. Beliau berpendapat

tidak logik masalah menghubungi keluarga dijadikan alasan sewaktu kecemasan kerana masih ada telefon awam atau telefon sekolah. Apa yang dilakukan oleh pihak sekolah pada hari ini sudah memadai dan alasan ibu bapa supaya mudah untuk memantau pergerakan pelajar kurang praktikal. Sebenarnya, masih ada cara lain ibu bapa boleh memantau pergerakan anak-anak mereka seperti mengenal pasti siapa rakan mereka, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya. Saya berpendapat, jika ibu bapa sendiri tidak bersikap lepas tangan, pergerakan anak-anak boleh dipantau dengan baik. Tidak perlu telefon bimbit sebagai pengantara.

Perkara ini perlu dipertimbangkan dan diperhalusi semula oleh pihak Kementerian Pelajaran. Bersesuaian dengan pendapat Pensyarah Kanan Jabatan pengurusan Sumber dan Pengajian Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Zuroni Md Jusoh, senario berkenaan wajar dilihat secara menyeluruh agar tidak menjadi penyesalan masa depan apatah lagi membabitkan perubahan drastik pola kehidupan pelajar, guru dan sekolah. Biarpun institusi sekolah tertakluk pada dasar yang ditetapkan namun pendekatan bersesuaian harus diambil kira dan diteliti supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak. Ini melibatkan institusi sekolah yang menjadi antara kelompok terbesar dan terpenting di negara ini. Justeru, kajian, perbincangan, pandangan atau apa jua tindakan bakal diambil memerlukan penelitian mendalam supaya tidak menjadi isu lain kelak. Jika direalisasikan, perkara asas bakal dihadapi adalah kewujudan pelbagai konflik yang dianggap kecil namun boleh merosakkan masa depan pihak sasaran. Antaranya, konflik sekolah dan guru dengan ibu bapa yang mana pelaksanaan itu boleh dianggap landasan mewujudkan ketegangan emosi kedua belah pihak. Pada masa yang sama, konflik ekonomi dalam kalangan ibu bapa juga akan wujud kerana pertambahan bebanan kewangan menambah nilai kad telefon yang digunakan oleh anak. Selain itu, ibu bapa juga terpaksa melayani dan menuruti kemahuan anak-anak yang inginkan telefon serta alat komunikasi yang lebih up-todate sepertimana yang dimiliki oleh kawan-kawan mereka di sekolah. Jika ibu bapa tidak mampu mampu memenuhi keinginan mereka, bayangkan pula tindakan yang bakal diambil oleh pelajar berkenaan.

Malah, kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran tahun lalu menunjukkan bahawa rata-rata pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti. Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan. Hal ini berlarutan sehingga mewujudkan pelbagai masalah disiplin yang lain. Tidak dinafikan, keperluan telefon bimbit adalah usaha untuk mendedahkan pelajar dengan penggunaan teknologi global. Walaubagaimanapun, perkara ini telah diatasi oleh pihak sekolah dengan menyediakan makmal komputer untuk mengakses maklumat dan sebagainya. Justeru, memberi kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah tidak sesuai kerana fungsinya nanti akan disalahgunakan hingga menjejaskan kepentingan proses pembelajaran yang lebih utama.

Oleh yang demikian, saya tetap dengan pendapat saya mengatakan bahawa tidak bersetuju dengan kebenaran pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Walaupun wujud sekolah-sekolah di luar negara yang membenarkan pelajarnya membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah, namun pada pendapat saya, sistem pendidikan di negara kita masih lagi tidak sesuai untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu mengkaji semula isu ini supaya tidak mendatangkan kemudaratan dan lebih banyak masalah yang timbul pada masa akan datang. Pihak kementerian perlu meminta pendapat pihak mengkaji daripada pelbagai aspek iaitu pelajar, guru, pihak sekolah, ibu bapa dan juga masyarakat. Perkara ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh semua masyarakat kerana ianya melibatkan bakal pemimpin negara dan generasi kita pada masa akan datang.

REFLEKSI
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya dapat juga saya menyiapkan tugasan ini dalam tempoh yang telah ditetapkan. Pelbagai cabaran, dugaan dan halangan yang terpaksa saya tempuhi semasa proses menyiapkan tugasan ini. Antara masalah yang dihadapi adalah kelemahan saya dalam membuat perkaitan antara artikel yang diperoleh dengan rujukan daripada buku memandangkan pemikiran saya sudah terikat dengan sumber-sumber yang diperolehi daripada internet. Untuk mengatasi masalah ini, saya telah berbincang dengan sahabat-sahabat yang lain tentang isu yang telah saya pilih. Alhamdulillah, setelah diberi pencerahan minda oleh sahabat saya, saya telah dapat membuat perkaitan isu ini dengan masalah tingkah laku dan disiplin murid. Di samping itu, masalah lain yang dihadapi oleh saya adalah tidak memahami kehendak tugasan. Apabila sahabat saya Nor Atikah datang menjelaskan bagaimana untuk membuat tugasan ini, saya menjadi semakin tertekan dan berasakan tugasan ini sangat susah memandangkan ianya adalah fakta. Saya membuat keputusan untuk berjumpa dengan pensyarah pembimbing kami iaitu Puan Salina bersama-sama dengan dua orang sahabat saya, Azlia dan Hana. Setelah mendapat penjelasan terperinci daripada Puan Salina, saya berasa sedikit tenang dan bersemangat untuk menyiapkan tugasan. Selain daripada itu, saya juga tidak mempunyai sebarang kemahiran dalam membina blog. 11 orang daripada ahli kelas saya memiliki blog masing-masing. Saya pernah mempunyai impian untuk membina blog, tetapi memandangkan saya amat lemah dari segi penulisan, hasrat tersebut hanya dibiarkan begitu sahaja. Apabila menerima tugasan ini, saya cuba untuk belajar membina blog melalui sahabat-sahabat. Saya banyak bertanya mereka mengenai istilah-istilah yang asing bagi saya. Contohnya adalah seperti widget, shoutbox, gadjet, template dan sebagainya. Setelah berbincang dan menerima tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat sekumpulan dan sahabat-sahabat daripada kumpulan lain, saya cuba untuk membantu sedikit demi

sedikit dalam pembinaan blog. Kemahiran yang telah saya peroleh ini akan ditingkatkan melalui pembelajaran dari semasa ke semasa. Pelbagai ilmu dan pengalaman baru yang telah saya peroleh sepanjang proses menyiapkan tugasan ini. Antaranya adalah maklumat dan ilmu yang berkaitan dengan isu yang telah saya pilih iaitu isu bawa telefon bimbit ke sekolah. Ilmu lain yang diperoleh adalah ilmu dalam pembinaan blog. Harapan saya agar segala ilmu yang diperoleh ini dapat diaplikasikan apabila saya telah melangkah ke alam kerjaya nanti. Pengalaman membina blog tidak akan saya biarkan begitu sahaja. Saya berhasrat untuk membina sebuah laman ilmu dalam alam maya untuk berkongsi maklumat, tugasan, soalan-soalan peperiksaan yang lepas dan sebagainya dengan sahabatsahabat saya daripada sekolah lain dan juga para pelajar saya. Teknik penulisan ilmiah yang diperoleh ini juga akan saya gunakan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

BIBLIOGRAFI

Sumber daripada buku : 1. Mok Soon Sang (2010). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. 2. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sumber daripada internet : 1. http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2012/08/usul-bawa-telefon-bimbit-kesekolah.html - Diakses pada 15 ogos 2012 jam 12.37 a.m.

2. http://www.bharian.com.my/articles/Usulmuridbawatelefonbimbitkesekolahmasihdibi ncang_KaSiong/Article/ Diakses pada 15 ogos 12.42 a.m.

3. http://www.melvister.com/2012/07/kesan-pelajar-bawa-handphone-hp-ke-sekolahtahun-2013.html - Diakses pada 27 ogos 2012 jam 22.37 p.m.

4. http://sk-sungaigalah.blogspot.com/2012/07/isu-telefon-bimbit-kewujudanpelbagai.html - Diakses pada 27 ogos 12 jam 23.31p.m.

5. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Banyakkeburukanbawatelefonbimbitkes ekolah/Article - Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.31 p.m.

6. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Majoritigurutaksetuju/Article - Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.33 p.m. 7. http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&se c=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm - Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.37 p.m.

8. http://ww1.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec= Dalam_Negeri&pg=dn_35.htm - Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.45 p.m.

9. http://www.harian-metro-online.com/bantah-pelajar-bawa-telefon-bimbit-ke-sekolah - Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.49 p.m. 10. http://telefonbimbit.blogspot.com/ - Diakses pada 30 ogos 2012 jam 12.54 p.m.

Anda mungkin juga menyukai