Anda di halaman 1dari 17

Pantun : Suatu Kajian Rangkaan Perakam Norma Masyarakat, dan Dimensi Semantik Awal Bahasa Melayu

Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pengajian Melayu Semester 6 IPG Dato Razali Ismail

Abstrak

Pantun merupakan anugerah bahasa yang amat unggul dalam tamadun Melayu. Keadaannya yang asli, dan tulen menjadikannya sebagai kajian bahasa yang meliputi ruang lingkup sejarah, dan linguistik Melayu. Tulisan ini membantu kita semua memahami mengapa pantun ini bukan hanya dianggap sebagai suatu karya, namun dikenali dengan lebih utamanya sebagai artifak bahasa. Pantun-pantun yang terkandung di dalam jurnal ini adalah antara yang terbaik, dan paling popular dalam masyarakat Melayu, dulu, dan kini. Kita akan lebih memahami keadaan pantun sebagai perakam norma, dan dimensi semantik awal dalam bahasa Melayu. Insya Allah.

Kata kunci : perakam norma, dimensi semantik, artifak, linguistik Melayu

Abstract

Pantun is a very superior language award in Malay civilization. The original state and the purity make pantun not just become language study but it also covering the scope of history, and Malay language sociolinguistics studies. This writing helps us to understand why pantun is not only regarded as a masterpiece, but it also known more as a primary language artifact. Pantuns that contained in this journal is among the best and most popular in the Malay community, past and present. We will better understand the poem as a recorder of norm condition, and early semantic dimensions in the Malay language. Insha Allah.

Key words: norm recoder, semantic dimensions, artifacts, Malay linguistics

Pendahuluan

Masyarakat Melayu merupakan antara bangsa, mahupun kelompok masyarakat yang sangat santun berbahasa pada suatu ketika dahulu. Tatkala panji bahasa Melayu berkibar megah pada persada dunia perdagangan sehingga mendapat gelaran Lingua Franca, ketika itulah falsafah bahasa halus ini berkembang pesat, dan mengalami kegemilangan. Pantun, dan peribahasa yang dilahirkan melalui pemikiran penutur natif menjadi bukti betapa kayanya bahasa Melayu suatu ketika dahulu. Penggunaan semantik yang tinggi, dan bahasa yang penuh beralas menjadikan bahasa Melayu sangat indah untuk dipertuturkan. Pemikiran yang wujud di dalam pantun, dan peribahasa menggambarkan nilai sosial, nilai moral, dan fungsi adat dalam masyarakat Melayu. Sehubungan itu, tulisan ini bertujuan mengenalpasti dimensi semantik yang wujud di dalam pantun-pantun, dan peribahasa-peribahasa Melayu. Kewujudan pantun, dan peribahasa merupakan status bahasa Melayu yang sebenar. Melambangkan betapa tajamnya pemerhatian masyarakat Melayu, dengan fauna yang mereka diami, dan dengan berhemah serta indahnya dikaitkan menjadi madah untuk saling bertegur, bercanda, serta bercerita tentang perasaan. Semantik yang wujud sukar untuk ditafsirkan melalui pengamatan biasa, terutama dengan keadaan kemudahan kamus bahasa Melayu yang masih lemah dari segi konkordan. Walaupun begitu, huraian seboleh mungkin dibuat sempurna untuk tatapan pembaca. Selamat membaca.

1.0

Pantun

Tunjang utama yang menjamin keutuhan sesebuah bangsa ialah pelestarian tinggalan tradisi, dan ianya perlu dipertahankan (Rosli Saludin). Pantun merupakan antara tinggalan tradisi utama masyarakat Melayu. Kebijaksanaan bahasa yang dihasilkan mencipta kekaguman terhadap ukir seni bahasa ini. Pantun menyentuh hampir seluruh aspek kehidupan orang Melayu (Harun Mat Piah : 1989). Ia menghuraikan mengenai kehidupan orang Melayu secara keseluruhannya secara asli, dan bukannya pinjaman. Bentuk pantun sama seperti bentuk puisi macapat di Jawa, tidak memperlihatkan pengaruh bentuk-bentuk prosodi India (mantara/matar/manir, shloka dan kavya) atau Arab/Parsi (syir/saj) - dua tradisi besar yang paling kuat mempengaruhi sastera Melayu tradisional (Noriah Taslim). Tidak menghairankan, jika pantun dijadikan antara sumber bagi mengenali sejarah bangsa Melayu, dari segi banyak aspek seperti sosial, pemikiran, makanan, kegiatan harian, sehinggalah kehidupan beragama. Pantun merupakan perumpamaan, kiasibarat masyarakat Melayu dalam konteks sosial pada zaman itu. Zaaba (1965) menyebut Istilah pantun sendiri bagi orang Melayu seringkali digunakan untuk membawa maksud umpama atau ibarat. Pantun dikategorikan mengikut fungsi, dan mempunyai baris atau kerat yang berangka genap, sehingga dua belas. Pantun mempunyai rima tertentu iaitu a,b,a,b. Pantun yang baik pula mempunyai jeda yang tertentu iaitu a,b,a,b. Rima, dan jeda ini merupakan bukti kehebatan pemikiran bangsa Melayu dalam merangka perkataan, dan ayat untuk memadahkan bicara. Mari kita perhatikan 2 rangkap pantun tradisi Melayu yang popular, namun amat indah jika diamati.

Kalau ada sumur di ladang, Boleh kita menumpang mandi; Kalau ada umur yang panjang, Boleh kita berjumpa lagi.

Sudah gaharu cendana pula, Bedak bertemu dalam puan; Sudah tahu bertanya pula, Hendak bertemu gerangan tuan.

2.0

Pantun : Perakam Norma Kehidupan Melayu

Kalau ada sumur di ladang, Boleh kita menumpang mandi; Kalau ada umur yang panjang, Boleh kita berjumpa lagi.

Pantun merupakan olahan perkataan yang dikemukakan melalui pengamatan, dan pemerhatian penutur terhadap hidup sekitarnya. Kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu yang majoritinya merupakan peladang, dan petani diambil sebagai inti, dan pengetahuan utama yang mudah untuk diungkapkan. Sumur didefinisikan sebagai perigi atau telaga (Kamus Dewan edisi keempat). Kebiasaan ladang sememangnya mempunyai perigi, atau telaga yang digunakan untuk menyiram tanaman, dan menyejukkan badan ketika panas membakar kulit. Berkongsi, dan saling menjaga kebersihan telaga menjadi amalan orang Melayu. Mereka saling menggunakan kemudahan, dan menjaganya dengan sebaik mungkin. Suasana ini mereka jadikan pembayang terhadap ungkapan yang ingin mereka maksudkan. Seperti yang kita ketahui, pantun terdiri daripada dua elemen asas, yang menjadi syarat utama terhadapnya, iaitu pembayang dan maksud. Berdasarkan pantun di atas, dua baris yang pertama merupakan pembayang, manakala dua baris yang berikutnya adalah maksud yang ingin disampaikan. Pembayang merupakan cara indah untuk mengungkapkan isi hati, sesuai pula dengan keadaannya yang amat dekat dengan hati penutur dan pendengar.

Pantun merupakan perakam norma, ini menjelaskan bahawa pantun terbukt merupakan tempat rujukan bagi perlakuan berpiawai dalam masyarakat Melayu (Fatimah Abdullah : 2009). Mohd Taib Osman (1996) menganggap pantun, selain daripada menjadi alat komunikasi dalam konteks sosialnya, adalah artifak budaya. Justeru, kaitan pantun dengan kehidupan masyarakat Melayu adalah terlalu rapat, bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan pantun dengan masyarakat Melayu bagai isi dengan kuku. Dimensi semantik yang timbul adalah terlalu jelas, dan memberi pemahaman yang unggul mengenai kehidupan masyarakat Melayu lampau. Mari kita perhatikan rangkap pantun di bawah :

Jika dilurut padi masak, Jatuh ke tanah berderai-derai; Kalau takut dilambung ombak, Jangan berumah di tepi pantai. (Zaaba)

Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang hidup dalam kerangka pertanian, dan perikanan tradisional sehingga memberi kesan yang kuat sehingga hari ini. Pengetahuan mereka mengenai pertanian, dan perikanan (nelayan) dicerminkan melalui taraf hidup mereka, serta mencirikan demografi masyarakat. Secara tidak langsung, pantun-pantun yang menjadi tali perhubungan maya antara masyarakat menjadi perakam sejarah mengenai pengetahuan mereka. Jika diperhatikan pada pembayang pantun di atas, jelas menerangkan kita mengenai keadaan padi masak yang mudah gugur daripada tangkainya. Kemudian, maksud pantun yang hadir secara sindiran semantik bahawa kedudukan rumah yang berhampiran pantai adalah kurang sesuai, terutama ketika laut berombak ganas. Pemerhatian mereka terhadap kehidupan, serta fana di sekelilingnya menjadi titipan bicara yang mewarnai kehidupan mereka, dan menjadi landskap kajian sejarah buat kita pada masa kini. Falsafah pemikiran ini merupakan kehebatan Melayu zaman lampau yang wajar untuk kita semua teladani, dan jagai daripada punah dalam arus deras zaman pasca millenium ini.

Mari kita perhatikan pula pantun di bawah :

Limau purut lebat di pangkal, Sayang selasih condong uratnya; Angin ribut dapat disangkal, Hati kasih apa ubatnya? (Wilkinson)

Pemerhatian yang tajam masyarakat Melayu melahirkan ilmu pengetahuan secara tidak formal bagi industri pertanian. Tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman, haiwan ternakan, flora, dan fauna yang mengelilingi mereka diamati dengan sempurna, bahkan urat pada daun, mahupun di batang diperhalusi, dan diteliti dengan

sempurna. Ini menunjukkan sifat masyarakat Melayu sebagai pemerhati yang teliti, dan suka menikmati alam sekeliling. Maksud pantun ini juga, merupakan antara luahan perasaan pasangan bercinta yang mengalami kekecewaan, mahupun menahan kerinduan sesama sendiri. Jelas sekali bahawa, masyarakat Melayu sememangnya mempunyai jiwa yang halus, mudah tersentuh, dan amat menghargai cinta.

Selain pencatat norma kehidupan mengenai kegiatan mereka seharian, pantun juga menjadi medium yang baik dalam memahami gaya hidup, kelas sosial, dan kepentingan perhiasan dalam masyarakat Melayu. Seperti yang kita semua maklum, masyarakat Melayu sememangnya mempunyai pelbagai perhiasan terutama golongan bangsawan, dan kaum wanita. Mari kita perhatikan pantun dibawah:

Kalau subang sama subang, Kalau sanggul sama sanggul; Kalau hilang sama hilang, Kalau timbul sama timbul. (Hikayat Awang Sulung Merah Muda)

Pantun juga merakamkan sejarah yang tercatat dalam hikayat-hikayat Melayu, di samping mengemukakan pengetahuan mengenai geografi yang didiami mereka pada zaman itu. Mari kita perhatikan pantun di bawah :

Telur itik di Senggora, Pandan terletak dilangkahi; Darahnya titik di Singapura, Badannya terlantar di Langkawi.

Pantun ini merakam peristiwa pembunuhan Tun Jana Khatib sebagaimana yang tercatat di dalam teks Sejarah Melayu. Daripada ini, kita juga mengetahui namanama tempat seperti Senggora, Singapura, dan Langkawi.

Bercerita mengenai norma, maka kita sedar bahawa ia adalah perkara yang boleh, dan tidak boleh dilakukan iaitu ought to-be (Winstedt 1961, Wignesan 1995 dan Shellabear 1965). Ia adalah satu aturan yang menjadikan hidup masyarakat Melayu ketika itu teratur, dan lebih harmoni. Kedudukan pantun yang merupakan fenomena semasa masyarakat Melayu ketika itu, tidak terlepas daripada menjadi bahan, atau medium perakam norma kehidupan Melayu. Pantun-pantun di bawah ini adalah antara beberapa cebisan kecil daripada luasnya bentangan pantun dalam dunia Melayu ini.

Santan tiaru gula melaka; Perempuan tak malu jantan tak suka.

Apa guna kain batik, Kalau tidak ada sujinya; Apa guna berbini cantik, Kalau tidak ada budinya.

Rumah gedung banyak kunang-kunangnya, Janganlah sembelih kerbau sapimu; Perempuan janganlah berani pada suaminya, Suami itu guru dan panutanmu.

Awal Bismillah menepek inai, Inai ditepek di tapak tangan; Mari berdoa beramai-ramai, Supaya pengantin di dalam aman.

Burung kenek-kenek, Terbang dalam hutan; Pesan datuk nenek, Emak marah jangan lawan. (Fatimah Abdullah)

Pantun-pantun yang menghiasi kehidupan masyarakat Melayu adalah manifestasi keindahan bahasa yang mereka anuti, dan gunakan seharian. Mereka berkomunikasi, bertegur sapa, bercanda, bahkan meluahkan kegundahan,

kegembiraan mereka melalui bahasa yang sangat indah, sangat rapat dengan kehidupan mereka. Sungguhpun kini dunia kian berubah, dan pantun mungkin telah hilang fungsi utamanya, dan kepuitisan bahasanya kian pudar, namun keperluan kita terhadap pantun tidak pernah pudar. Saya amat tertarik dengan sikap yang diambil oleh Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Dato Seri Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat yang tidak segan menggunakan pantun dalam ucapannya, dan beliau pernah menyampaikan ucapan dengan hanya melalui rangkap-rangkap pantun yang diolah beliau.

Pada bahagian seterusnya, kita semua akan sama-sama menyingkap betapa tingginya semantik yang terkandung di dalam sesebuah pantun. Betapa pantun pula merupakan perakam kepada idea semantik terawal bahasa Melayu. Teruskan membaca untuk pengetahuan yang terbaik. Dan, semestinya antara pantun yang akan dikupas adalah pantun-pantun terbaik daripada Yang Amat Berhormat Dato Seri Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar, Kelantan Darul Naim. Teruskan membaca.

3.0

Dimensi Semantik Berasaskan Contoh-Contoh Daripada Pantun Melayu.

Sebelum berbahas mengenai dimensi semantik, terlebih dahulu kita semua mestilah tegap dengan pengetahuan mengenai semantik. Semantik merupakan salah satu bidang semantik yang mempelajari tentang makna (Susilo Adi Setyawan : 2009). Mansoer Pateda (2001) mengemukakan bahawa istilah makna pula merupakan kata-kata dan istilah yang membingungkan. Rangkaian kata yang bergabung ini menghasilkan sesuatu yang mudah untuk difahami, namun pemahaman adalah berdasarkan konteks keadaan sesuatu perkara itu dituturkan. Dan apa pula yang diertikan dengan perkataan dimensi? Mengikut Kamus Dewan Edisi keempat, dimensi ialah ukuran saiz sesuatu (seperti tinggi, panjang, lebar) atau garis pusat, atau aspek-aspek yang terlibat. Justeru, dimensi semantik membawa makna aspek-aspek semantik yang terkandung di dalam sesuatu bahan yang ingin dikaji, yang mana di dalam kajian ini, kita memfokuskan kepada pantun.

Pantun adalah dimensi ungkapan semantik yang amat popular dalam masyarakat Melayu. Sindiran yang sinis, teguran, luahan perasaan, dan larangan diungkapkan dalam madah-madah indah yang berkait dengan konteks orang yang mendengar pantun tersebut. Mari kita perhatikan, dan cuba memahami serangkap pantun di bawah ini.

Indah sungguh Tanjung Sedeli, Pulau Seratus dilambai Nyonya; Sepanjang mana seutas tali, Akan ada tirus hujungnya. (Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Semantik adalah bidang kajian makna, mengkaji, dan meneliti dengan terperinci makna yang terkandung di dalam sesuatu ucapan. Pantun di atas bukan bercerita tentang tali, biarpun maksud pantun seakan bercerita tentang tali yang panjang akan tetap ada pengakhirannya. Dari segi konteks ucapan, pantun ini membawa makna bahawa ucapan sudah tiba ke penghujungnya. Namun, jika kita perhatikan ia juga membawa makna bahawa setiap kehidupan, biar selama manapun usia akan tetap menemui hujungnya. Kematian adalah suatu keadaan

yang mesti disambut setiap makhluk yang bernyawa. Ketinggian, keindahan, kehalusan, serta perumpamaan yang digunakan menyentuh setiap yang membaca, apatah lagi mendengarkan ia dialunkan sendiri oleh ulama mulia; Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.

Buah langsat kuning mencelah, Senduduk tidak berbunga lagi; Sudah dapat gading bertuah, Tanduk tidak berguna lagi. (Wilkinson)

Seperti kita sedia maklum, sejak dari awal pembacaan, saya menerangkan betapa pantun merupakan suara masyarakat Melayu yang terakam indah melalui bahasa tinggi yang mereka kuasai. Nilai semantik yang wujud di dalam pantun di atas amat tinggi nilainya. Luahan perasaan yang diungkapkan melalui keindahan bahasa ini membawa makna kekecewaan hati, lara, duka, dan nestapa insan yang mengungkapkannya. Jika kita boleh berikan watak pada penutur pantun tersebut, sepastinya dia merasakan bahawa dirinya sudah tidak berguna lagi, atau dirinya hanyalah tempat persinggahan sahaja. Bak kata pepatah Melayu, habis madu sepah dibuang. Dirinya hanya menjadi pilihan kedua, bukan pilihan pertama, dan kebiasaannya hal ini berlaku di dalam persahabatan, dan alam percintaan. Ada insan yang hanya menjadi tempat meluahkan kesusahan, meminta tolong, dan sekadar sahabat untuk sementara, namun sekiranya hadir insan yang lebih istimewa, maka dirinya dilupakan, bagaikan tidak wujud lagi.

Adalah amat jelas, bahawa pantun merupakan bidang semantik awal yang wujud di dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, untuk menjelaskan lagi dimensi semantik yang wujud, eloklah kita semua memerhatikan penulisan mengenai dimensi-dimensi di dalam semantik iaitu :

3.1 3.2 3.3 3.4

Pengertian Nilai rasa Nada Maksud

Mari kita perhatikan huraian beserta contoh-contoh pantun yang terlibat.

3.1

Pengertian

Pengertian disebut juga dengan tema. Pengertian ini dapat dicapai apabila pembicara dengan lawan bicaranya atau antara penulis dengan pembaca mempunyai kesamaan bahasa yang digunakan atau disepakati bersama. Mereka memahami maksud yang disampaikan oleh lawan bicara, biarpun kadangkala sukar untuk difahami oleh khalayak ramai. Mari kita perhatikan pantun-pantun dibawah. Pantun-pantun ini digunakan untuk mencabar lawan sebagaimana yang dihikayatkan di dalam Hikayat Awang Sulung Merah: Pantun Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kepada Tuan Puteri Dayang Nurumah.

Rumah gadang di baruh rambai, Cukup tiang tiga puluh; Tuan puteri memakan cabai, Sirih ditanam belum tumbuh.

Sahaya tidak tahu rebana, Dapat setindih tekan menekan; Saya tidak tahu senda makna, Sirih diberi saya makan.

Batang padi tercuat-cuat, Batang bemban terpanggung-panggung; Kehendak hati segeralah buat, Badan siapa yang menanggung?

Kenapa kepuk di ladang, Kalau tidak berisi padi? Kenapa rambutnya panjang, Kalau tidak berani mati?

3.2

Nilai Rasa

Aspek makna yang berhubungan dengan nilai rasa berkaitan dengan sikap pembicara terhadap hal yang diperkatakan. Dalam makna lain, nilai rasa yang berkaitan dengan makna adalah kata-kata yang berhubungan dengan perasaan, baik yang berhubungan dengan kemahuan mahupun justifikasi. Jadi, setiap kata mempunyai makna yang berhubungan dengan nilai rasa dan setiap kata mempunyai makna yang berhubungan dengan perasaan. Pantunpantun ini merakam peristiwa, keadaan, dan suasana semasa ia digubah, diolah, dan dicipta. Setiap yang mendengarnya, pasti akan kembali menerpa kenangan, dan tahu kenapa pantun tersebut dicipta. Mari kita perhatikan pantun yang telah dilagukan ini. Saya pasti nostalgia pembaca akan segera menerpa. Pantun Gurindam Jiwa.

Tuailah padi antara masak, Esok jangan layu-layuan; Intailah kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan.

Anak Cina pasang lukah, Lukah dipasang di Tanjung Jati; Di dalam hati tidak ku lupa, Sebagai rambut bersimpul mati.

Batang selasih permainan budak, Daun sehelai dimakan kuda; Bercerai kasih bertalak tidak, Seribu tahun kembali juga.

Burung merpati terbang seribu, Hinggap seekor di tengah laman; Hendak mati di hujung kuku, Hendak berkubur di tapak tangan.

Kalau tuan mudik ke hulu, Carikan saya bunga kemboja; Kalau tuan mati dahulu, Nantikan saya di pintu syurga. (Hamzah Husin)

3.3

Nada

Aspek makna nada adalah sikap pembicara terhadap kawan bicara (Mansoer Pateda:2001). Aspek nada berhubungan pula dengan aspek makna yang bernilai rasa. Dengan kata lain, hubungan antara pembicara dengan pendengar akan menentukan sikap yang tercermin dalam kata-kata yang digunakan. Nada yang digunakan untuk mengungkapkan pantun akan menentukan makna pantun itu sendiri. Adakalanya nada berbaur sinis untuk mencabar, nada sindiran untuk menegur, sayu untuk menunjukkan dukacita, dan tegas untuk menunjukkan arahan, atau ajaran di dalam pantun. Mari kita perhatikan pantun yang diselenggara oleh Fatimah Abdullah ini. Tua-tua keladi; Makin tua makin menjadi.

Tua-tua lengkuas; Makin tua makin buas.

Kura-kura labi labi, Ketupat makan ayam; Orang tua nak berlaki, Bertongkat jalan malam.

Rawangmangun jalan berliku, Onak banyak makan mudak; Gelak senyum rupanya kakakku, Melihat nenek duduk berbedak.

3.4

Maksud

Aspek maksud merupakan maksud senang atau tidak senang, kesan usaha keras yang dilaksanakan. Maksud yang diinginkan dapat bersifat perjanjian, pandangan, naratif, pendidikan, sindiran, rekreasi atau politik. Mari kita perhatikan pantun-pantun di bawah.

Nasi lemak buah bidara, Sayang selasih saya lurutkan; Buang emak buang saudara, Kerana kasih saya turutkan. (Wilkinson)

Maksud

pantun

adalah

berbentuk penceritaan

ataupun naratif.

Menceritakan tentang keadaan hati yang terlalu asyik dengan cinta sehingga meninggalkan keluarga demi menurut kehendak hati.

Yang kurik kundi, Yang merah saga; Yang cantik budi, Yang indah bahasa. (Overbeck)

Pantun ini jelas menerangkan kepada kita bahawa ia bermaksudkan pendidikan. Maksud pantun bahawa budi dan bahasa itulah yang mencantik, dan mengindahkan diri kita.

Kesimpulan

Maksud-maksud yang terkandung di dalam pantun kadangkala sungguh mudah untuk difahami, namun adakalanya ia sangat berkias sehingga pengajaran sangat sukar untuk diperolehi. Walaubagaimanapun keadaannya, hubungan antara patah perkataan, dan maksud yang ingin disampaikan pasti akan menyentuh setiap jiwa yang mendengar, bahkan membacanya. Amatlah penting bagi kita semua untuk meneliti artifak bahasa ini dengan teliti sekali, tidaklah kita menyesal saat sudah kehilangannya.

Keadaan pantun sebagai perakam norma kehidupan sangat selari dengan diri kita yang sebenarnya. Kita harus sedar, bahawa hidup kita bermula sebagaimana yang dirakam di dalam pantun-pantun terdahulu. merangka, dan melenturkan perkataan Kebijaksanaan mereka, dalam ungkapan mereka sangat

dalam

mengkagumkam. Saya, setelah meneliti dalam menyiapkan kajian ini amat tersentuh, dan menyanjungi ayahanda, bonda nenek moyang dalam kebijaksanaan mereka menyantuni bahasa dengan baik. Semoga kajian ini membantu pembaca mengenali rumpun Melayu yang kita cintai ini.

Intan kesumba dari Semarang, Belah kedua bertempat Saadong; Maafkan hamba jika terkurang, Allah jua tempat berlindung.

Bibliografi

Fatimah Abdullah (2009). Jurnal Melayu (4), Pantun Sebagai Perakam Norma: Penelitian Awal Terhadap Perkahwinan dan Keluarga Melayu. Harun Mat Piah (1977). Puisi Melayu Tradisional: Satu pembicaraan genre dan fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Hikayat Awang Sulung Merah Muda (1960). Diselenggarakan oleh R.O Winstedt. Kuala Lumpur Oxford University Press Kamus Dewan Edisi keempat (2007) Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Mansoer Pateda (2001). Semantik Leksikal. Jakarta: Rineka Cipta Mohd Taib Osman (1996). Pantun Sebagai Pencerminan Minda Melayu. Dlm. Pantun: Manifestasi Minda Masyarakat. Dalam Wan Abdul Kadir Wan Yusoff (Penyelenggara). Akademi Pengajian Melayu; Kuala Lumpur Noriah Taslim, Pantun Psikodinamika Kelisanan, Universiti Sains Malaysia. Overbeck, H. (1922). The Malay pantun JSBRAS, 85. Rosli Saludin, Bahasa dalam pantun dan keistimewaannya. Ketua jabatan kesusasteraan melayu, fakulti bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris. Wilkinson, R.J. and Windstedt, R.O. (peny.), (1961). Pantun Melayu. Singapura : Malaya Publishing House. Winstedt, R.O. 1961. A History of Classical Malay Literature. London: Oxford University Press. Hamilton. A.W. 1987. Malay Pantuns. Kuala Lumpur: Times Books International. Wignesan, T. 1995. The Poietics of the Pantun. Dalam Journal of the Institute of Asian Studies. Zainal Abidin Abu Bakar. Ilmu Mengarang Melayu (1965). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. ____________________Kumpulan Pantun Melayu (1983). Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Internet i. http://www.blogtokguru.com/teks-ucapan-yab-tuan-guru-dato-hj-nik-abd-azizbin-nik-mat-menteri-besar-kelantan-di-majlis-perasmian-konsert-antara-benua/ Tarikh akses : 28 Ogos 2012 ii. http://coklat-bahasa.blogspot.com/2010/11/peribahasa-dalam-prosespengajaran-dan.html Tarikh akses : 20 Ogos 2012 iii. http://barabarajiwa.blogspot.com/2012/04/metafora-dan-pemikiranmelayu.html Tarikh akses 20 Ogos 2012 iv. Susilo Adi S. yang ditahu untukmu ASPEK MAKNA DALAM SEMANTIK DAN KETERKAITANNYA DENGAN JENIS-JENIS MAKNA Tarikh akses julai 2012

Anda mungkin juga menyukai