Anda di halaman 1dari 6

Selamat pagi dan salam sejahtera, saya ucapkan kepada pensyarah kita yang dihormati, (nama) dan rakan-rakan

yang saya kasihi sekalian. Tajuk syarahan yang ingin saya sampaikan pada hari ini ialah Guru Pemacu Transformasi Negara. Para hadirin sekalian, Malaysia sedang memasuki era transformasi untuk menjadi sebuah negara yang diri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain. Untuk bertransformasi menjadi negara yang mempunyai standard kelas pertama tidak kira dari segi pembangunan dan pemikiran, kumpulan profesional yang memainkan peranan penting dan berpontensi untuk menjadi pemangkin demi memacu transformasi negara ialah guru. Guru merupakan pemacu transformasi negara yang boleh ditaruhkan harapan untuk membawa perubahan melalui generasi baru. Merekalah benteng negara dalam zaman globalisasi ini untuk melahirkan generasi yang berhasrat transformasi demi mencapai suatu tahap yang lebih tinggi. Saudara dan saudari sekalian, Apabila meneliti pernyataan Guru Pemacu Transformasi Negara, peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat. Hadirin sekalian, Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud (2011), transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat. Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar,

polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara. Sasaran utama NKRA adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru. Guru juga harus

mengoptimumkan kreativiti dan inovasi sendiri untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S). Semua transformasi dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif. Hadirin-hadirat sekalian, Guru merupakan pendidik dan pengamal segala ilmu. Malaysia merupakan negara yang mewajibkan pendidikan kepada semua golongan kanak-kanak. Melalui pendidikan, ilmu boleh dipelajari, kemahiran boleh dipertingkatkan serta bakat boleh dicungkil. Kanak-kanak zaman sekarang telah dihantar ke tadika seawal 5 tahun, dan akan meneruskan ke sekolah rendah serta sekolah menengah mengikut umur dan kelayakan. Skim PTPTN juga telah disediakan untuk membolehkan pemuda-pemudi melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Di medan-medan inilah, guru memainkan peranan penting dalam menyalurkan ilmu pengetahuan dan memberikan latihan agar generasi yang berkaliber dan celik ilmu dapat dilahirkan untuk menyokong transformasi negara. Hadirin yang saya hormati sekalian, Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik. Kita selalu mengeluh tentang

masalah disiplin murid yang semakin meningkat. Pada zaman sekarang, tindakan tegas tidak lagi merupakan cara terbaik dalam menangani masalah disiplin yang semakin bermaharajalela. Sebaliknya, hubungan baik atau raport antara guru dan murid-murid diperlukan untuk mengatasi masalah tersebut. Bak kata, tak kenal maka tak cinta. Guru harus mengenali murid-murid serta berjinak-jinak dengan hal ehwal mereka dan memahami perasaan mereka. Guru merupakan golongan yang pandai memikirkan dan mencari jalan untuk mengatasi segala masalah termasuk masalah disiplin murid. Dalam bidang akademik, guru inovatif haruslah mevariasasikan kaedah pembelajaran dan pendekatan pengajaran agar murid sentiasa tertarik untuk menumpukan dalam pelajaran. Untuk meningkatkan prestasi murid-murid dalam bidang kokurikulum, guru juga berperanan untuk menggunakan inovasi untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan latihan supaya kemahiran dan kecergasan murid dapat dipertingkatkan. Hadirin sekalian, Melentur aur, biarlah dari rebung. Sejak bangku sekolah lagi, guru harus menyalurkan pemikiran transformasi dalam sanubari murid-murid agar mereka selalu terbawa-bawa dalam kehidupan dan matlamat mereka. Guru merupakan pembentuk sahsiah dalam usaha memacu transformasi negara. Jika murid-murid dilatih agar mengamalkan nilainilai murni dan sentiasa menggunakan pemikiran kreatif dan inovatif, secara tidak langsung sahsiah yang baik dapat dibentuk. Generasi baru akan mempunyai daya usaha dan semangat transformasi yang tinggi untuk membangunkan negara ke arah yang lebih membanggakan. Kalau segala kemudahan dan modal disediakan, tetapi pekerja sendiri tidak mempunyai keinginan untuk memanfaatkannya, adalah mustahil untuk menampakkan hasil buah yang memuaskan. Guru juga merupakan teladan dan model untuk dipelajari oleh murid-murid, khasnya kanak-kanak yang cenderung mencontohi orang yang dihormati mereka. Gurulah merupakan wahana fikiran transformasi dan model ideal untuk dicontohi murid. Guru haruslah memupuk minda yang betul dan mempunyai daya maju untuk bertransformasi menjadi yang lebih baik. Usahlah jadi seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Jika guru sendiri yang enggan berusaha, apatah lagi menyuruh murid-murid agar berusaha demi

kecemerlangan? Guru haruslah mempunyai mentaliti yang betul agar boleh diteladani dan disalurkan kepada anak-anak murid. Para hadiri yang dikasihi, Guru sebagai pemacu transformasi negara haruslah mempunyai daya imaginasi yang tinggi untuk melihat sesuatu secara berlainan. Guru harus berupaya melihat sesuatu perkara itu sebagai peluang yang boleh mencetuskan idea baru. Idea tersebut merangkumi apa-apa perubahan dalam bentuk sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja mahaupun pengenalan teknologi. Guru seharusnya menguasai pedagogi pengajaran bukan sahaja dari segi kemantapan bahkan juga dari segi pembaharuan dan penambahan. Selain itu, demi melonjakkan pendidikan negara, guru harus berupaya mengenal pasti masalah yang dihadapi dalam sekolah dengan

mengemukakan soalan yang menjurus kepada penemuan isu dan jawapan serta jalan penyelesaian. Guru harus berfikiran terbuka atau berfikir di luar kotak secara mendalam, iaitu: analitikal, kritikal dan praktikal. Guru harus menggunakan minda kreatif untuk menemui perspektif baru agar boleh menjadi sarana untuk menghadapi cabaran yang semakin membanjiri dunia pendidikan kita. Para hadirin yang saya kasihi sekalian, Sebagai pemacu transformasi negara, guru harus bersedia menghadapi risiko dan berupaya menerima kegagalan serta belajar daripada kegagalan tersebut. Sesuatu kejayaan adalah berpunca daripada berkali-kali kegagalan. Sebagai insan yang fleksibel, guru juga harus bersedia dikritik dan mengenepikan ego serta mendapatkan nasihat daripada rakan dan mempelajari daripada pengalamannya. Konsep belajar sepanjang hayat harus dipraktikkan oleh guru agar sentiasa menaiktarafkan inovasi dan kreativiti individu. Guru tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian yang ada atau berhenti di suatu tahap tanpa keinginan untuk berlonjak ke tahap yang lebih tinggi. Amalan penyelidikan juga harus diamalkan oleh guru, agar kelemahan sendiri dapat ditemui di samping mengatasi masalah yang dihadapi dengan sistematik dan inovatif. Saudara-saudari,

Kita, sebagai guru, juga harus mempunyai komitmen yang tinggi, bersabar terhadap kompleksiti dan isu-isu yang timbul serta tenang dan tabah menghadapi cabaran dengan berusaha menangani masalah dan halangan yang dihadapi. Guru harus selalu mempunyai motivasi dalaman, iaitu rasa gembira, berpuas hati dan menjadikan kerja sebagai cabaran untuk mencapai kejayaan. Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif. Guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu. Kita harus mengetahui bahawa zaman ini ialah zaman teknologi maklumat. Murid-murid tidak lagi minat dengan kaedah chalk and talk atau telaah terus daripada buku. Guru harus mempunyai semangat tinggi untuk menggunakan teknologi seperti komputer, OHP dan sebagainya. Hadirin-hadirat, Akhir sekali, dalam usaha transformasi negara, guru juga merupakan ahli transformer yang selalu mengejar arus semasa dan menaiktarafkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran yang sentiasa bertambah-tambah. Guru haruslah menambahkan ilmu diri sendiri dan bukannya terpegun di suatu tapak perhentian. Situasi akan melahirkan semakin banyak katak di bawah tempurung dan dengan tidak disedari, kita akan menjadi semakin mundur memandangkan taraf dunia semakin meningkat. Malaysia sedang menuju ke arah transformasi untuk mencapai tahap yang lebih baik. Demi transformasi negara, rakyat Malaysia juga harus mengalami transformasi minda dan meminggirkan segala pemikiran diskriminasi dan prejudis antara satu sama lain. Nilai perpaduan seharuslah ditanam dalam sanubari murid oleh guru sejak bangku sekolah lagi. Subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan telah diperkenalkan dalam sekolah rendah dan sekolah kebangsaan untuk memupuk semangat patriotik murid. Kerajaan turut bercadang untuk memperkenalkan subjek baru, iaitu Pendidikan Nasional. Oleh itu, guru haruslah cukup inovatif untuk menjayakan usaha-usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat bersemangat 1 Malaysia.

Hadirin yang dihormati sekalian, Sebelum saya mengakhiri syarahan saya, saya ingin menegaskan bahawa warga pendidik, sebagai pemacu transformasi negara, haruslah sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Oleh itu, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Guru harus berpegang teguh dengan etika keguruan dan sikap sewenang-wenang semasa bertugas haruslah dikikis. Dengan ini, baharulah pendidikan negara dapat dilonjakkan ke tahap yang semaksimanya. Pihak kerajaan telah merancang dan melaksanakan pelbagai pelan transformasi negara. Kita, sebagai pendidik negara, harus menyahut dan memacu transformasi negara dengan menambahkan usaha lagi dalam bidang profesion kita agar boleh melahirkan generasi berminda transformasi. Rakyak tidak harus memutarbelitkan segala usaha kerajaan dan seyogianya berusaha menyahut segala seruan kerana bersatu teguh, bercerai roboh. Sekian sahaja, terima kasih. Majulah guru untuk transformasi negara.

Anda mungkin juga menyukai