Anda di halaman 1dari 14

Wujudnya konsep khalifah dalam Tamadun Islam sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya aspek kepimpinan dalam tamadun

manusia. Didalam Al-Quran dijelaskan bahawa manusia ditugaskan sebagai khalifah untuk membangunkan dunia dan seluruh isinya. Sementara selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan umat islam ketika itu melantik saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah Islam yang pertama diikuti dengan perlantikan saidina Umar Al-Khattab, saidina Uthman Al-Affan dan saidina Ali Abi Talib. Pembentukan kerajaan Islam Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah selepas itu, sememangnya selaras dengan tuntutan konsep Khalifah. Kepemimpinan adalah suatu seni. Untuk itu pemimpin perlu mengenal watak orang-orang yang dipimpinnya. Dari situlah dia dapat memainkan seni kepemimpinan dengan mengadakan pendekatan-pendekatan tertentu secara individu dan secara kelompok; mengetahui bahawa sikap manusia itu berpunca daripada kepentingan diri. Maka apabila pemimpin pandai memainkan seninya, menyentuh kepentingan orang-orang yang dipimpinnya, dia akan mendapat reaksi yang baik. Dalam hal kepemimpinan, Islam membawakan contoh kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Itulah yang sebenarnya kepemimpinan Islam; pada diri Nabi s.a.w. terdapat contoh teladan yang baik dalam segala hal kehidupan manusia. PENDEKATAN KEPIMPINAN Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan pendekatan individu dan pendekatan kelompok dalam memimpin. Dia selalu menyamakan dirinya dengan orang lain. Jika o0rang lain susah, dia juga susah seperti mereka. Apabila bertemu dengan kelompok dia menonjolkan kegembiraan: setiap kelompok yang ditemunya digembirakan terlebih dahulu. Kemudian barulah diikuti dengan catatan nasihat atau permintaan. Dia mengadakan variasi bila menghadapi kelompok yang berlainan: pelajar, ulamak, orang-orang miskin, orang-orang kaya, wanita, kanak-kanak dan sebagainya. Perbicaraan dibawa ke arah mereka. Dengan demikian terasa bahawa kehadiran mereka diperlukan. Berdasarkan contoh itu, pemimpin perlu mengetahui keadaan agar dia boleh menjadi pemecah masalah. Pemimpin tidak boleh sekali-kali mematahkan semangat tetapi harus selalu menggembirakan. Walaupun orang yang dipimpin itu melakukan kesalahan, pemimpin perlu menggunakan kebijaksanaan agar dia tidak kecewa tetapi sebaliknya timbul keinginan untuk berbuat yang lebih baik lagi. Dalam keadaan yang lain pula, pemimpin perlu menitikberatkan pengabdian. Dia harus suka memberi dan kurang suka menerima. Ini memerlukan keikhlasan. Dengan melihat sifat baik yang seperti ini berterusan, banyak orang yang akan mengakuinya. Prestasinya meningkat. Dia dipercayai. Kewibawaannya akan bertambah. Dari sini dia lebih mudah menjalankan kepemimpinannya. Orang akan senang mengikutnya. Dalam masa yang sama harus diingat bahawa mengajak ke arah kebaikan itu lebih berkesan dengan perbuatan.

Pemimpin sebagai orang yang paling menonjol selalu diperhatikan. Perbuatannya meninggalkan kesan yang mendalam di kalangan orang yang dipimpinnya. Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. adalah dengan melakukan sesuatu lebih baik daripada orang lain. Dia menyuruh orang lain sembahyang lima kali sehari, sedangkan dia sendiri berbuat lebih daripada itu. Dia menyuruh orang lain berpuasa sebulan dalam setahun, sedangkan dia saban hari berpuasa. Keberhasilan kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. terletak pada sekurang-kurangnya empat perkara: 1. Memimpin dengan berbuat, tidak cuma bercakap. Dia tidak hanya memerintah orang lain berbuat sesuatu, tetapi dia sendiri melaksanakannya. 2. Memegang prinsip keadilan. Kepentingan orang-orang yang dipimpin adalah yang utama. Nabi Muhammad s.a.w. mampu menjadi kaya tetapi dia tidak ingin kepada kekayaan; dia lebih suka sama dengan orang-orang yang dipimpinannya. 3. Penggunaan pendekatan yang tepat: cara inividu dan cara kelompok. 4. Ketiadaan benteng pemisah: tidak ada sekatan antaranya dengan orang ramai. Suasanan kekeluargaan dan persaudaraan lebih diutamakan. Perhubungan tidak terlalu formal. Begitu jugalah kepada seorang pemimpin Islam: sekurang-kurangnya empat perkara itu patut ada pada dirinya. Dalam pada itu harus pula diingat tentang prinsip umum Islam: apabila melaksanakan kepemimpinan ini, keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi perlu dipelihara. Jika satu dipentingkan manakala yang satu lagi dibiarkan runtuh, kehancuran akan terjadi. Islam bukanlah terletak pada ciri-ciri Islam semata-mata. Untuk apa ciri kalau pada pelaksanaannya tidak mencerminkan keislaman. Orang-orang Barat menganggap Nabi Muhammad s.a.w. berhasil dalam kepemimpinannya kerana prinsipnya mencakupi keduniaan; terdapat perseimbangan dan pengaturan yang baik antara material dan spritual. Dua ajaran dari Barat tidak sedemikian. Karl Marx berpegang bahawa kesejahteraan itu bergantung kepada pemenuhan keperluan perut. Sigmund Freud pula mengatakan kesejahteraan bergantung kepada pemuasan nafsu, terutamanya nafsu seks. Peganganpegangan ini berbeza dengan ajaran Islam. Dalam Islam kebahagiaan adalah hasil daripada mengikuti ajaran Allah dan Rasulnya. Kebahagiaan adalah sesungguhnya spritual, dan material merupakan keperluan. Kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat. Bagaimana akan bahagia kalau keperluan tidak dipenuhi? Dan seperti yang nyata sekarang, jika cuma keperluan material sahaja yang dipenuhi, sedangkan keperluan spiritualnya terbiar, kebahagiaan tidak diperolehi. SIFAT PEMIMPIN ISLAM Seorang pemimpin Islam perlu mempunyai beberapa sifat terpuji: 1. Istiqamah Ini bererti mempunyai pendirian yang teguh dan diikuti dengan keperibadianyang mantap.

Pendirian ini tercermin pada perkataan dan perbuatan, iaitu sesuatu yang diyakini dipertahankan sungguh-sungguh dengan tidak terumbang-ambing oleh pengaruh apa pun. 2. Memelihara diri Keadaan diri sendiri dihitung dan dianalisis. Apabila terjadi sesuatu kegagalan diri sendiri diperhatikan terlebih dahulu sebelum menyalahkan orang lain. Rasullah pernah bersabda: Berbahagialah orang yang suka meneliti kelemahan dirinya dan tidak mempunyai masa untuk mencari kelemahan diri orang lain; dia bersedia memberi rezekinya yang lebih, serta bersedia mencegah kelebihan ucapannya. 3. Bijaksana Ini bererti membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak. Langkah yang dipilih tidak menyinggung orang lain. 4. Tenang Dengan ketenangan, pilihan yang diambil tidak mudah keliru. Orang-orang bawahan juga tidak hilang kepercayaan terhadap pemimpin. 5. Sabar Sabar bererti kuat menahan diri agar tidak melakukan sesuatu yang tidak bijak. Dengan bersifat sabar seseorang boleh menang dalam banyak hal. 6. Tidak takbur Ini bererti tidak membanggakan diri berlebihan-lebihan sama ada dengan perbuatan, perkataan atau sikap. Allah telah berfirman dalam surah Luqman,ayat 18: Dan janganlah engkau memalingkan mukamu, mememekkan orang lain, dan jangan pula engkau berjalan di bumi ini dengan bongkak; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang bongkak dan angkuh Allah juga berfirman dalam surah Assyura, ayat 215: Hendaklah kamu bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, pengikutmu. 7. Tidak mungkir janji Segala janji yang dibuat ditunaikan. Kalau pemimpin mungkir janji, kepercayaan orang terhadapnya akan hilang. 8. Adil Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempat yang semestinya dan memberi samarata. Kewajipan, pembahagian tugas, hukuman dan sebagainya, dilaksanakan dengan wajar. Rasulullah telah bersabda: Hati-hatilah kalian terhadap doa orang-orang yang teraniaya, sebab tidak ada tabir pemisah antara doanya denga Allah, walau dia orang kafir sekalipun.

9. Tabah Tabah bererti keras kemahuan dan diikuti dengan usaha yang cukup serta tidak cepat putus asa. Orang yang tabah mempunyai keperibadian yang kuat. 10. Tawakkal kepada Allah Pemimpin yang tawakkal rela akan apa yang ditakdirkan Allah ke atasnya. Dia yakin akan kebijaksanaan Allah. Dia berserah diri sepenuhnya kepada Allah setelah berusaha sedaya mungkin. Allah telah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 100: Katakanlah, tidak akan mengenai kami, kecuali apa yang telah ditentukan Allah ke atas kami. Allah yang menguasai kami. Dan hanya kepada Allah hendaknya orang mukmin berserah diri. CIRI-CIRI PROFESIONAL MUSLIM Satu daripada makna perkataan profess dalam Bahasa Inggeris ialah mengaku percaya secara mendalam mengenai sesuatu perkara atau mengaku benar-benar tahu atau pakar dalam sesuatu hal. Profession pula bermakna sesuatu jenis pekerjaan yang dijalankan oleh seseorang yang menghasilkan upah. Apabila dilihat daripada makna kedua-dua perkataan ini, maka profesional bolehlah diertikan sebagai seseorang yang menjalankan sesuatu tugas yang dibayar upah, yang pakar dalam bidang itu yang yakin akan keunggulan pekerjaan yang dijalankannnya jadi tersirat dalam perkataan profesional adalah ciri-ciri berikut: 1. Kecekapan 2. Rasa tanggunjawab yang tinggi 3. Dedikasi 4. Pengorbanan 5. Kepakaran (Ibrahim Mamat, 2001:231) Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya menyatukan bangsa Arab yang berpecah belah, mencipta perubahan dalam kehidupan mereka, mengeluarkan mereka dari ruang lingkup jahiliyyah kepada keimanan yang hakiki, membebaskan mereka dari perhambaan dan kezaliman serta membuka peradaban dan kehormatan serta kecemerlangan dalam menegakkan satu tamadun yang sampai ke hari ini masih lagi diperbicarakan tentang kehebatannya. Semua ini adalah disebabkan kerana wujudnya satu pedoman dalam kehidupan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. sebagai garis panduan dalam mencari dan menggapai tahap kecemerlangan dalam kehidupan. Menyedari tentang hakikat bahawa keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. merupakan sesuatu yang agung, maka penulis merasakan perlu dibuat satu penelitian tentang peribadi Rasulullah s.a.w dan kaitannya dengan sifat-sifat yang perlu ada kepada seorang pendidik samada pendidik tersebut bertindak sebagai seorang guru mahupun sebagai seorang pentadbir.

Penulisan ini akan dibahagikan berdasarkan bab-bab tertentu. Bab pertama akan membincangkan pendahuluan serta definisi konsep. Konsep yang dibincangkan ialah konsep khalifah dalam Islam serta ciri-ciri khalifah menurut Islam. Manakala dalam bab kedua pula berkaitan dengan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. Keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. ini akan disorot dari sudut Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin masyarakat, Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin politik, Nabi Muhammad s.a.w. sebagai perancang ekonomi, dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin tentera. Bahagian ini dimulakan dengan bahagian pengenalan, diikuti dengan ulasan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh ikutan kepada seluruh manusia. Semua perbincangan ini adalah sebahagian daripada pembuktian bahawa Nabi Muhammad adalah contoh ikutan bagi semua manusia dalam semua bidang kehidupan. Dengan kata lain , bab ini membahaskan tentang bagaimana Nabi Muhammad s.a.w dan ajaran yang dibawanya mampu menunjukkan satu asas yang cemerlang dalam membina ketamadunan manusia yang gemilang. Melihat kepada perbincangan di atas, satu penelitian perlu dilakukan untuk melihat perkaitan antara peribadi Nabi Muhammad s.a.w. dengan nilai-nilai yang sepatutnya diterapkan kepada setiap guru dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Sebelum melihat kepada perkaitan tersebut perlulah terlebih dahulu penelitian ini melihat kepada definisi konsep yang tertentu terutamanya konsep khalifah menurut kaca mata Islam. KONSEP KHALIFAH Menurut Afzalur Rahman dalam bukunya, Ensiklopedia Sirah, perkataan khalifah terdiri daripada tiga maksud yang berbeza. Pertama, ia merujuk kepada tanggungjawab terhadap kuasa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Dalam hal ini seluruh keturunan nabi Adam a.s. merupakan khalifah di muka bumi. Kedua, ia merujuk kepada orang yang mengetuai kerajaan Allah s.w.t. dan menggunakan segala kuasa khalifah di bawah syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. melalui RasulNya. Dalam hubungan ini hanya orang yang benar-benar beriman yang dapat dipanggil sebagai khalifah Allah di bumi ini. Ketiga, makna khalifah merujuk kepada penggantian seseorang atau umat yang mempunyai kuasa oleh seseorang atau umat lain. Dua makna yang pertama berasal daripada perkataan khalifah yang bererti wakil, manakala yang ketiga adalah digunakan dalam erti kata mengambil alih atau mewarisi daripada seseorang atau satu-satu umat. Tegasnya, pengertian khalifah yang dinyatakan di dalam ayat yang telah dicatatkan di atas merujuk kepada kekuasaan kerajaan yang ikhlas dan benar-benar percaya kepada kerajaan Allah s.w.t. serta mengendalikan urusan Negara selaras dengan syariat yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Orang yang memahami istilah khalifah yang dinyatakan dengan maksud kekuasaan semata-mata mungkin akan membuat kesimpulan yang salah tentang institusi khalifah.

Prinsip khalifah seperti yang dijelaskan ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud; Allah s.w.t. menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih daripada kalangan kamu (wahai umat Nabi Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa. (al-Quran. Al-Nur. 24 :55) Ayat di atas menjelaskan tentang tiga asas utama khalifah dalam Islam; a. Negara Islam diketuai oleh orang yang bergelar Khalifah. b. Gelaran khalifah diberi kepada seluruh masyarakat Islam bukan kepada mana-mana individu, kumpulan atau keluarga. c. Prinsip khalifah hanyalah untuk orang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan mengerjakan amalan kebajikan. Dalam perkataan yang lain orang yang benar-benar baik dan bertakwa. Golongan ini benar-benar bebas daripada tuhan-tuhan yang lain serta mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan penuh keikhlasan dan mengakuiNya sebagai Tuan, Raja dan Pemilik kerajaan. Orang seperti ini adalah khalifah yang sebenarnya seperti yang dijanjikan di muka bumi ini dan bukannya orang yang mengabdikan dirinya dibibir mulut sahaja sedangkan amalan kebajikannya kosong. Orang yang seperti ini tidak layak menjadi khalifah dan janji Allah s.w.t. itu tidak sesuai untuknya. (Afzalul Rahman. 1993:1080) CIRI-CIRI KHALIFAH MENURUT ISLAM Konsep khalifah menurut Islam adalah berasaskan kepada tiga prinsip yang utama iaitu Tauhid (Keesaan Allah), Risalah (Kenabian) dan Khalifah (wakil atau pengganti). Ia mengakui realiti alam yang kekal iaitu ia dicipta, dipelihara dan ditadbirkan oleh Allah s.w.t. Yang Satu, Yang merupakan Pencipta, Pengawal serta Rajakepada seluruh makhluk. Dialah sahaja yang berhak menerima ketaatan daripada seluruh makhluk termasuk manusia. (Abul Ala Maududi, 1977 : Pada masa yang sama hukum-hukum dan kehendakNya disampaikan melalui RasulrasulNya di dalam bentuk Kitab yang menerangkan hukum dengan interpretasi serta contoh-contoh yang disampaikan oleh Rasul-rasul melalui contoh-contoh mereka daripada segi kata-kata dan perbuatan, yang akhirnya membentuk satu model sistem kerja. Khalifah bererti wakil manusia bertindak sebagai seorang wakil Allah di dunia dan menjalankan perintah Allah melalui kuasa yang diamanahkan oleh Allah kepadanya dalam batas-batas yang ditentukan olehNya. Khalifah menggambarkan empat syarat penting sebagai fungsi wakil. Pertama, kuasa yang sebenarnya berada di tangan Allah; kedua, manusia hanyalah semata-mata pentadbir hukumNya; ketiga, pentadbiran hukum-hukumNya mestilah selaras dengan batas-batas yang telah ditetapkaNya; keempat, dalam mentadbir hukumNya manusia akan melaksanakan kehendakNya dan memenuhi tujuanNya. Oleh itu perlantikan manusia sebagai khalifah yang diwujudkan dalam kerajaan Allah adalah untuk memenuhi tujuan

dan objektifNya di dalam batas-batas yang telah ditentukanNya. (Abul Ala Maududi, 1979 : 42) Menurut Abul Ala Maududi lagi seluruh manusia diberi kuasa sebagai khalifah, bukan hanya satu kelas atau kumpulan manusia yang tertentu sahaja. Sesiapa sahaja yang bersediauntuk menerima syarat-syarat khalifah , akan memikul tanggungjawab khalifah untuk seluruh masyarakat. Ini merupakan titik permulaan demokrasi Islam yang setiap ahlinya menikmati hak-hak dan kuasa sebagai khalifah Allah s.w.t. Pada masa yang sama semua rakyat akan menikmati hak ini secara saksama, tanpa sebarang perbezaan. Agensi yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan urusan-urusan Negara akan dibentuk melalui persetujuan rakyat. Berdasarkan kepada fakta inilah bolehlah disimpulkan bahawa kuasa seorang khalifah akan menjadi kuasa yang diamanahkan kepada orang yang memegang sesuatu tampuk pemerintahan atau kekuasaan. Berdasarkan perbincangan di atas jelaslah menggambarkan bahawa seorang khalifah itu mestilah seorang yang memiliki perwatakan dan personaliti yang sangat tinggi dan menarik. Contoh yang paling agung bagi menggambarkan seorang khalifah yang tiada tolok bandingnya ialah Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah merupakan seorang negarawan yang sempurna samada sebagai seorang pemimpin masyarakat, pemimpin angkatan tentera, pemimpin politik, pendidik (guru), perancang ekonomi, ketua rumahtangga mahupun sebagai seorang sahabat.

Personaliti Unggul Nabi Muhammad S.A.W.


PENGENALAN Sebagai pemimpin yang dipilih oleh Allah, tentunya Baginda dirancang sedemikian rupa untuk menjadikan Baginda pemimpin mithali. Kehidupan Baginda yang yatim, hidup dalam suasana kehidupan yang serba sederhana menjadi batu asas penting dalam proses pemupukan sifat kepemimpinan Baginda. Dengan kehendak dan pemeliharaan Allah, Baginda dapat membataskan diri Baginda dari perkara yang merosakkan dan tidak berfaedah. Baginda akhirnya menjadi manusia yang paling dipercayai yang digelar alamin oleh seluruh masyarakat di zamannya. PEMIMPIN MASYARAKAT Nabi Muhammad s.a.w. memang sudah terkenal sebagai pemimpin masyarakat yang dihormati sejak sebelum menjadi rasul lagi, dan Baginda juga terkenal sebagai seorang yang amanah (al-Amin) di kalangan masyarakat Makkah. Akan tetapi oleh kerana ajaran

Islam yang dibawanya menyebabkan kepimpinannya diketepikan begitu sahaja oleh masyarakat Quraisy. Nabi Muhammad s.a.w. memiliki kualiti tinggi yang boleh memikat hati sesiapa sahaja yang baginda dampingi dan menjadi pujaan para pengikut Baginda. Baginda sangat baik, lemah lembut, merendah diri dan pengasih serta dapat memenangi hati orang ramai yang bersedia bekorban apa saja untuk Baginda. Satu gambaran yang paling baik, mendalam dan wajar tentang Nabi Muhammad s.a.w. telah diberi oleh Umm Mubad, tuan khemah yang telah disinggahi Rasulullah s.a.w. ketika dalam perjalanan Baginda ke Madinah. Beliau telah memberi gambaran tentang Baginda kepada suaminya. Baginda memiliki rupa yang kacak, muka yang cerah,perwatakan yang disayangi orang, menarik, rambut panjang dan tebal, suara yang terang, mata besar dan hitam, tidak bercakap banyak, ramah mesra, memikat dan mempesonakan ketika jauh, manis dan memikat ketika dekat, ucapan dan kata-kata yang jelas, berkata-kata ketika perlu,saiz yang sederhana, tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi, seperti sesuatu yang segar dari taman yang indah dan kelihatan menarik serta sempurna binaanya. (Naeem Siddiqi. 1978:32) Apabila berlakunya hijrah ke Madinah dan terbentuknya masyarakat Islam Madinah yang dianggotai kaum Muhajirin dan Ansar, sifat-sifat kepimpinan baginda dalam masyarakat terserlah kembali, malah keadaannya lebih hebat lagi. Sebagai bukti, Baginda telah berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan setelah berlaku perpecahan begitu lama. Di samping itu, Baginda mengeratkan lagi hubungan di kalangan masyarakat Islam sendiri melalui usaha gigihnya melalui persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Melalui penyatuan ini, sama ada sesama Islam atau antara orang Islam dengan bukan Islam menyebabkan masyarakat Madinah menjadi kuat, aman dan stabil dari segi politik dan ekonominya. Bagi mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah, Baginda menyeru supaya mereka bekerjasama dan bantu-membantu serta sama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan Kota Madinah. Perkara ini dinyatakan dalam Piagam Madinah. Begitu juga dinyatakan mengenai prinsip kebebasan beragama. Di samping menghormati agama Islam dan nilai-nilai Islam, ia juga tidak menafikan agama-agama lain dan adat budaya orang bukan Islam. Struktur masyarakat yang berbilang agama, keturunan dan suku kaum dikekalkan seperti yang sedia ada serta dihormati. Ketua-ketua suku diberikan peranan khusus bagi mengendalikan anggota-anggota suku masing-masing. Sebagai contoh, sebelum hukuman dijatuhkan ke atas kaum Yahudi kaum Bani Quraizah yang berkomplot menentang kerajaan Islam bersama kaum Musyrikin Quraisy, Nabi Muhamad (saw) menyerahkan kuasanya kepada Sad bin Ubadah, ketua kaum Khazraj dan Sad Muadh, ketua suku kaum Aus untuk menjalankan penyiasatan. Setelah terbukti kesalahan Bani Quraizah, maka baginda menyerahkan kepada Sad bin Muadh untuk menentukan hukumannya kerana beliau lebih arif mengenai kedudukan Bani Quraizah.

Bukankah ini suatu penyelesaian bijak sebagai seorang pemimpin masyarakat dalam mengendalikan masalah-masalah rumit seperti itu. Kewujudan suku-suku atau puak-puak secara secara terpisah-pisah begitu hanya dapat menyelesaikan masalah-masalah dalaman sahaja. Bagi mengendalikan masalah-masalah yang lebih besar di peringkat yang lebih tinggi atau di peringkat antarabangsa memerlukan suatu ikatan yang lebih besar pula. Dengan sebab itulah konsep ummah (komuniti) diwujudkan. Menerusi ikatan perpaduan ummah batas-batas suku atau kaum dengan kaum dengan sendirinya terhapus kerana konsep ummah mempunyai pengertian dan implikasi yang lebih luas. Di samping itu, ikatan akidah dan ketakwaan di kalangan ummah Islam memberikan makna dan implikasi sejagat. Bukanlah ini merupakan suatu dasar demokratik yang adil lagi bijaksana? Apabila masyarakat Madinah menjadi kukuh dan stabil, maka timbullah perasaan iri hati dan curiga di kalangan kaum musyrikin Quraisy, kerana pada awalnya mereka hanya menyangkakan Nabi Muhamad (saw) hanya sebagai nabi dan rasul yang ditugaskan membawa risalah agama semata-mata. Penentangan kaum Quraisy ini kemudiannya menjadi lebih kuat apabila mereka dapat tahu bahawa Baginda telah menubuhkan sebuah Negara Islam di Madinah. Pihak kaum Yahudi juga turut menentang, walaupun sudah menandatangani perjanjian damai dengan Nabi Muhammad (saw) iaitu Piagam Madinah. Punca timbulnya perasaan irihati serta kebencian kaum Yahudi terhadap Baginda adalah disebabkan kerana keterserlahan kepimpinan Baginda dalam bidang kepimpinan. Oleh yang demikian, memang tidak memeranjatkan apabila Baginda berjaya memenangi hati sebahagian besar penduduk dan bersedia untuk berkorban apa sahaja, walaupun nyawa mereka untuk Baginda dan tidak membenarkan sebarang kecederaan walaupun kecederaan yang sedikit berlaku kepada Rasul kesayangan mereka. Sebagai contoh di dalam peperangan Uhud, seorang wanita telah kehilangan ayah, suami dan adik lelakinya. Apabila dia diberitahu tentang kematian mereka, beliau telah bertanya apakah pula yang telah berlaku kepada Rasulullah s.a.w. . Beliau telah diberitahu bahawa dengan ihsan daripada Allah s.w.t. Baginda telah selamat lalu beliau berkata malang yang menimpa dan menyiksa keluargaku tidak penting asalkan Rasulullah s.a.w. selamat Memang luar biasa dan jarang sekali seorang manusia memiliki kesemua ciri kepimpinan. Orang yang memiliki ciri-ciri yang sedemikian lengkap ialah Rasulullah s.a.w. Secara fizikalnya Baginda seorang yang tegap, tampan serta menarik, berucap dengan hati yang berani, manakala jika berhujah Baginda sangat hebat dan tidak dapat dikalahkan. Baginda memiliki watak yang sangat sempurna, jujur, sederhana serta baik hati. Jika mencapai kemenangan di dalam pertempuran, Baginda menjadi seorang yang pemaaf, penyayang dan pemurah. Ketika berurusan dalam masalah yang dihadapi oleh orang ramai, Baginda merupakan seorang yang adil manakala dalam persoalan sosial, Baginda seorang yang bijak, bertimbangrasa serta memahami. Sehubungan dengan itu, Thomas Carlyle telah mencatatkan; Melalui kehidupannya kita dapati bahawa Baginda memiliki ciri-ciri yang begitu utuh, sekaligus seorang yang

pengasih, bijak, serius, ikhlas, lemah lembut, peramah malah seorang yang lucu. (Afzalul Rahman, 1993:840) Ringkasnya, Allah s.w.t. telah menggabungkan kesemua ciri kemanusiaan yang paling baik dan sempurna dalam diri Nabi Muhammad s.a.w. dan telah menunjukkan kesemuanya melalui contoh kehidupan Baginda kepada pengikutnya. Firman Allah s.w.t. yang menjelaskan perkara ini adalah seperti berikut yang bermaksud; Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang paling baik.. (al-Quran. al-Ahzab 33:21) PEMIMPIN POLITIK Kepimpinan politik Nabi Muhamad (saw) memang sudah terserlah sejak Baginda masih di Kota Makkah lagi iaitu apabila Baginda berjaya menyelesaikan masalah pemindahan Hajar al-Aswad ke tempat asalnya di Kaabah. Ekoran daripada itu berlaku pula peristiwa Perjanjian Aqabah, di mana Baginda telah menunjukkan peristiwa kepimpinan politik yang matang. Akan tetapi peristiwa itu hampir dilupakan oleh musuh-musuhnya, termasuklah kaum Yahudi ekoran berlakunya hijrah Baginda ke Madinah. Mereka sebagai orang pelarian, dan sekali gus memberikan penghormatan yang besar kepada kaum musyrikin Makkah kerana berjaya menghalau Baginda dari kota itu. Akan tetapi niat buruk di hati mereka itu terbongkar sebaik sahaja orang Islam memenangi perang Badar pada tahun ke2H. Namun begitu, sebagai seorang pemimpin politik yang berkaliber, Nabi Muhamad (saw) tidak menunjukkan permusuhan terhadap kaum Yahudi, malah Baginda terus mengadakan perundingan dengan mereka. Setelah perundingan ini gagal, barulah Baginda membuat tindakan menyingkir mereka dari bumi Madinah. Penyingkiran mereka ini dilakukan secara terhormat. Kepimpinan politik Nabi Muhamamad (saw) bukan hanya terserlah di peringkat tempatan, tetapi turut terserlah di peringkat antarabangsa. Baginda boleh dianggap sebagai seorang diplomat yang berjaya kerana inisiatifnya menghantar perwakilan ke luar Negara seperti Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi bagi memperkenalkan ajaran Islam kepada mereka. Kesan daripada misi diplomatik ini segera dicapai, tidak sampai setengah abad lamanya semua negara berkenaan telah tunduk di bawah pemerintahan Islam. Di samping itu, Baginda juga berjaya menerusi bimbingan wahyu, memperkenalkan sistem syura atau musyawarah. Sistem syura ini dilaksanakan di semua peringkat dalam semua bidang, khususnya dalam bidang politik dan ekonomi. Sebagai contoh, pengadilan terhadap tawanan Yahudi Bani Quraizah dilakukan secara syura. Lanjutan daripada inilah suatu majlis syura ditubuhkan secara rasmi pada zaman Khalifah Umar bin al Khattab. PERANCANG EKONOMI Nabi Muhammad s.a.w. turut memperkenalkan dasar ekonomi baru bagi menggantikan dasar ekonomi zaman jahiliyyah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja keras dan

bergiat aktif dalam urusan perniagaaan dan pertanian. Usaha-usaha mencari kekayaan dan kesenangan dunia diharuskan, aslkan tidak melibatkan riba, faedah, dan menunaikan bayaran zakat setelah sampai haul dan nisabnya. Baginda sendiri berusaha untuk membangunkan ekonomi orang Islam. Sebagai contoh, tanah yang terbiar hendaklah diusahakan semula, tanah yang tergadai kepada kaum Yahudi mestilah ditebus semula dan dikerjakan, mempertingkatkan usaha menyekat kegiatan kaum Quraisy yang memonopoli aktiviti perdagangan antara Mekkah, Madinah dan Syam. Kegiatan menyekat aktiviti perdagangan kaum Quraisy ini ada kaitannya dengan ekspedisiekspedisi pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. PEMIMPIN TENTERA Nabi Muhammad telah menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi dalam bidang ketenteraan. Setiap ekspedisi ketenteraan yang disertainya pasti Baginda akan menjadi ketuanya.Asas kepimpinan Baginda sama ada dalam bidang ketenteraan atau lainnya adalah berdasarkan akidah, syariat dan akhlak yang mulia. Menerusi akidah, Baginda dan sahabatnya mempunyai keyakinan ketika menghadapi tentera musuh berdasarkan peraturan-peraturan peperangan yang disyariatkan oleh Allah s.w.t .Baginda dan para sahabtnya bertindak mengikut batas-batas yang telah ditetapkan seperti tidak memerangi golongan yang lemah, orang tua, wanita, kanak-kanak, orang yang tidak bersenjata, tidak memusnahkan harta benda seperti bangunan dan tanaman dan lainlain lagi peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Ini merupakan sebahagian daripada etika peperangan dalam Islam. Di samping itu, Baginda telah menunjukkan contoh-contoh akhlak yang baik, seperti dalam peperangan di Hunayn dan Taif di mana Baginda telah menunjukkan perasaan peri kemanusiaan dengan memulangkan semula harta benda yang ditawan kepada pihak musuh. Tindakan ini telah berjaya memikat hati musuh, lantas mereka memeluk agama Islam. Baginda turut mengamalkan sifat amanah. Sifat ini memang sudah sebati dalam dirinya. Dengan sebab itu, sebelum diangkat menjadi rasul lagi, Baginda sudah mendapat gelaran al-Amin (beramanah). Sifat amanah ini juga ditunjukkan oleh baginda pada ketika memimpin ekstradisi ketenteraan. Dalam semua ekspedisi yang dipimpinnya, Baginda telah melaksanakan amanah Allah (swt) dan juga amanah umat Islam seluruhnya bagi memimpin tentera untuk mencapai kejayaan di medan peperangan. Andainya tentera Islam tewas, seperti yang berlaku dalam perang Uhud pada tahun ke-3H, baginda tetap tidak berganjak. Kekalahan ini juga tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan menghadapi musuh. Di samping itu, Baginda sentiasa adil kepada semua orang, tidak kira kawan atau lawan. Keadilan terhadap kawan ialah seperti membahagikan harta-harta rampasan perang sama rata kepada tentera-tentera yang menyertai peperangan. Keadilan terhadap lawan pula ialah tidak melakukan pencerobohan seperti tidak mengejar musuh yang sudah lari dari medan perang, tidak bertindak agresif seperti tidak memerangi golongan yang lemah dan lain-lain

lagi. Dengan adanya sifat-sifat kepimpinan yang tinggi lagi mulia ini menyebabkan Baginda dihormati oleh kawan dan juga lawan. Kehebatan baginda memimpin tentera Islam mula terserlah dalam perang Badar. Dalam sejarah menghadapi peperangan hanya sekali tentera Islam pimpinan baginda tewas iaitu dalam perang Uhud. Dalam Islam pula, kisah perang Uhud boleh dipertengahkan sebagai perkaitan dengan konsep strategos ini. Dalam perang tersebut Jeneral tentera Islam (Nabi Muhamad s.a.w) telah mengarahkan pasukan pemanah supaya terus berada di atas bukit Uhud kerana tempatnya tinggi dan banyak kelebihannya. Arahan ini dibuat walaupun tentera Islam telah dianggap berjaya kerana musuh telah berundur. Walau bagaimanapun, ramai daripada pemanah telah meninggalkan tempat tinggi itu kerana tamak dan ingin mendapatkan harta rampasan peperangan dan mengingkari arahan ketua pasukan mereka. Melihat keadaan startegik yang dipegang oleh tentera Islam tidak begitu kukuh, maka pihak musuh telah kembali dan berjaya menduduki bukit Uhud yang strategik dan dituruti dengan kekalahan tentera Islam. (Zainal Abidin, 2004:286)

tegriti Dalam Kepimpinan Rasulullah SAW


Posted 17 April 2009 By pendita

8 Share
Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi. Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Mafhumnya: Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Rasulullah SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran al-Amin kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran alAmin ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh baginda juga cukup hebat. Mithalnya Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan kekuatan integriti dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu. Selain Abu Jahal, al-Quran juga menyebut beberapa watak kepimpinan korup yang tidak berintegriti sehingga merosakkan negara, memecah belahkan masyarakat, dan kesengsaraan kepada keluarga, yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya. Watak itu ialah Firaun, Haman, dan Qarun. Dr Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Firaun adalah pemerintah diktator, mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat pemerintahannya; Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Firaun menjalankan tugas ampu-mengampu untuk memperkukuhkan kekuasaan Firaun; manakala Qarun pula seorang tokoh korporat yang mengambil manfaat daripada pemerintah. Dia membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang lain. Setiap kali kita solat, kita sering membaca al-Quran, takbir, tasbih, syahadah dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Semua ini adalah agenda Islam untuk mengukuhkan integriti umat Islam selari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Jika solat dan ibadah khusus lain yang dilaksanakan dari masa ke masa gagal membentuk kita menjadi pemimpin yang jujur, amanah, telus atau berintegriti, maka kita tergolong daripada manusia yang rugi.

Integriti seorang pemimpin berkait rapat dengan imej agama Islam dan nasib keluarga serta umatnya di dunia hingga akhirat. Lihat sahaja bukti kepimpinan Rasulullah SAW yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali baginda menyebut umatku! umatku! umatku!. Apa yang tidak terjangkau oleh fikiran kita ialah integriti kepimpinan Rasulullah SAW membawa sehingga terselamatnya umat Islam dari azab Allah SWT sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kepimpinan yang berintegriti dalam keluarga dan masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124: Maksudnya: Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati. Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat tadi. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT. Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Ketinggian akhlak dan integriti Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam walaupun baginda telah lama wafat. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan golongan tertentu sehingga sanggup menyebarkan fitnah kepada Rasulullah SAW dan umat Islam. Marilah kita hadir bersama keluarga ke sambutan Maulidur Rasulullah SAW bagi menyemarakkan rasa kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai bukti mempertahankan martabat Rasulullah SAW. Pada masa yang sama, semua pihak hendaklah menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan integriti yang telah dicontohi Rasulullah SAW dan para sahabat melalui langkah berikut: Memantapkan urus tadbir negara, masyarakat, dan keluarga berpandukan syariat Islam, Menjauhi daripada mencontohi watak tokoh pemimpin yang korup, Mereka yang tiada integriti dan akauntabiliti walaupun terlepas hukuman di dunia tetapi tidak terlepas daripada hukuman Allah s.w.t pada hari akhirat, dan 4. Pemimpin yang berintegriti akan lebih dihormati, dikagumi dan disayangi oleh keluarga dan masyarakat. Firman Allah SWT dalam surah al-Saff ayat 2-3: Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya. 1. 2. 3.

Anda mungkin juga menyukai