Anda di halaman 1dari 37

CANTIK YANG TERSIRAT

Sh. Umamah Syed Abdullah al-Edrus


Ramadhan/Syawal 1432

Hanya bebola matanya sahaja yang masih mampu berputar-putar, mengerling ke kiri, mengerling ke kanan. Hanya hidungnya juga yang masih mampu bernafas dan menghidu segala macam bau,bau yang enak dan juga bau yang kurang enak. Namun yang kerap menghinggap ke dalam rongga hidungnya adalah bau busuk najisnya sendiri dan bau hancing air kencingnya sendiri yang sudah tidak mampu untuk dia uruskan sendiri. Dia seperti sudah hilang kekuatan untuk menahan kencingnya dan seperti sudah hilang kekuatan untuk menahan tinjanya daripada menembus keluar dari duburnya. Lalu bertabur najisnya yang cair-bair lagi busuk dan air kencingnya yang kuning hancing, mengotorkan kain pelekatnya dan mengotorkan cadar serta tilam, tempat dia terpasung berhari-hari untuk selama dia diizinkan bernafas. Apakah yang dapat dia lakukan? Sekadar melihat dan menahan bau busuk najisnya sendiri. Malah kadang-kadang anak tekaknya terbuekbuek hen dak mun tah lantaran najisnya yang terlalu busuk.

Dia masih mempunyai sepasang kaki yang lengkap dan pada setiap kakinya masih lagi terlekat kelima-lima jari, tanpa sedikitpun ada kecacatan padanya .Namun kakinya itu seperti kaki anak patung, lengkap tapi menjadi keras seperti kayu dan menjadi berat seperti batu.Sebagaimana dia sudah hilang kekuatannya menahan kencingnya dan tinjanya, begitu juga dia sudah hilang kekuatan untuk mengangkat kakinya barang sesentimeter pun. Dia juga masih memiliki sepasang tangan, meskipun kasar berkematu tetapi masih lengkap telekat dengan ibu jari, jari telunjuk , jari hantu, jari manis dan jari kelingking. Cuma pada jari manisnya sudah tidak bersarung cincin lagi kerana cincin itu telah dicabut oleh isterinya dan telah dicampakkan entah kemana, dia sendiri pun tidak tahu. Kata isterinya, itu cincin emas, lelaki Islam haram pakai emas. Kalau satu saat dulu, apabila isterinya memberi peringatan seperti itu, hanya dengan meninggikan suara yang garau, isterinya akan ketakutan lalu diam terkebil-kebil, dan kemudian hanya mampu melihat suaminya terus mengekalkan cincin emas itu di jari manisnya dengan penuh bangga.

Namun kini ,tatkala isterinya melucutkan cincin emas kesayangannya itu daripada jari manisnya, lidahnya yang dulunya bergulung-gulung ligat melontarkan kata-kata, mengherdik dan memaki bagaikan bunyi guruh yang mengamuk di alam raya, kini menjadi kelu-keras

seumpama manusia bisu yang sudah terkancing kesemua gigi-giginya. Isterinya tidak perlu lagi terkebil-kebil ketakutan, malah dengan senyum tanpa perlu berkata apa-apa, isterinya melucutkan cincin emas itu daripada jari manis suaminya, dengan segala senang hatinya. Ah! Tangan kanannya juga sudah seperti kayu belati, keras-lurus dan berat membatu. Manakala tangan kirinya sahaja yang masih boleh digerakkan meskipun dalam keadaan yang sangat payah. Dalam bilik yang sempit dan hanya boleh memuatkan sebuah katil bujang, dia bagaikan hendak pitam. Bau najisnya yang busuk sudah meruap ke setiap penjuru bilik sempit itu. Itulah antara sebab kenapa isterinya menempatkannya di bilik kecil yang terletak di bahagaian paling belakang rumahnya yang besar. Selain mudah untuk menguruskan suaminya yang sudah lumpuh hampir seluruh badan, bilik kecil itu juga lebih hampir dengan pintu belakang rumah, sekurangkurangnya bau najis itu tidak terus meruap merata ke seluruh ruang rumahnya. Tentu sahaja hal ini tidak menyenangkan sekiranya ada tetamu yang datang bertandang. Terasa panas juga hatinya apabila isterinya tidak muncul muncul menjengoknya yang sedang berperang dengan bau busuk yang dikumuhkan oleh dirinya sendirinya. Dia mahu menjerit sebagaimana dia selalu menjerit pada isterinya pada saat yang lalu sehingga isterinya terketar-ketar ketakutan kerana suara jeritannya bagaikan halilintar yang membelah dada langit yang luas. Itu pun kerana

isterinya tidak menemukan barang miliknya yang disangkanya ada di dalam bilik sedangkan rupa-rupanya barang itu telah tercicir entah di mana. Dia akan menyalahkan isterinya atas setiap barang yang tidak ditemukan. Dan pada saat itu, isterinya sudah mula menggigil. Gegendang telinga isterinya akan dipalu kuat, bergetar-getar bagaikan hendak pecah lantaran suaranya yang menjerit-jerit marah kerana tidak ketemu barang yang dicari. Tapi apakah kekuatan yang ada padanya kini? Gulunglah lidahnya , ketepi ke belakang atau ke tengah, namun tidak ada satu nada suara yang dapat dilontarkan , kali ini bukan untuk menjerit tapi untuk memanggil isterinya pun dia sudah tidak mampu melontarkan suara dari peti suaranya. Jeritannya kini hanya dia sahaja yang mendengarnya. Sekiranya dia mahu memaki hamun atau mengherdik isterinya, hanya dia sahaja yang mendengarnya .Manakala gegendang telinga isterinya kini lebih damai dan tenteram daripada selalu dipalu getaran suaranya yang garau-parau lagi menakutkan.Dan bau busuk najisnya yang sudah meruap hampir ke seluruh penjuru biliknya terus menusuk hidungnya sendiri. Pada saat-saat dia sudah tidak mampu menahan bau busuk najisnya , dan pada ketika seluruh anggotanya sudah lumpuh, mengapa deria baunya masih tetap sahaja berfungsi?. Mengapa deria baunya tidak turut lumpuh sebagaimana lumpuhnya anggota badannya yang lain , sekurang-kurangnya dia tidak akan terhidu bau-bau itu meskipun dia

terpaksa melepaskan najisnya tanpa dia sendiri mahu melakukannya. Aduuuuh! Dia berkeluh-kesah dan di dalam hatinya dia seperti mengharapkan pula deria baunya dicabutkan sahaja daripada rongga hidungnya. Sedang dia bagaikan mahu pitam, tiba-tiba dia terdengar tombol pintu biliknya dipulas. Sesaat itu, daun pintu biliknya terkuak. Tetapi tatkala dia baru hendak melepaskan perasaan lega kerana dia tahu itu adalah isterinya, tiba-tiba pintu itu ditutup semula dengan hentakan yang kuat. Serentak itu juga dia terdengar suara isterinya mengeluh beristig hfar dan terden gar juga suara isterin ya terbuek mahu termuntah. Allah, Allah, Allah, Astaghfirullah! Dugaan apakah ini ya, Allah? Isterinya bersungut-sungut berulang-ulang kali dengan anak tekaknya seperti mahu tercabut lantaran terbuek-buek mahu termuntah.Mata isterinya juga sudah berair dan hidung isterinya juga sudah mula merah berhingus kerana tidak tertahankan bau najis suaminya yang teramat busuk. Dari dalam bilik yang sudah kepam dengan bau najisnya sendiri, dia hanya mampu mendengar keluhan dan sungutan isterinya. Keluhan dan sungutan yang saban hari dilontarkan oleh isterinya sejak dia sendiri sudah tidak mampu untuk menguruskan diri kerana seluruh anggotanya yang sudah terkena stroke.Apakah daya yang ada

padanya kini? Jika dia mengharapkan deria baunya dicabut daripada rongga hidungnya, kini dia berharap agar deria pendengarannya juga dicabut kerana dia sudah tidak berdaya lagi mendengar keluhan dan sungutan isterinya . Air matanya mula bergenang dan kemudian menangis teresak-esak dan tangisan itu, hanya dia sahaja yang mendengarnya. Ketika dia sedang hiba mengenang nasibnya sambil menahan-nahan bau busuk , tiba-tiba tombol pintu biliknya dipulas lagi. Daun pintu terkuak lebar dan di muka pintu tercegat berdiri isterinya dengan mukanya dibalut kain ala ninja yang hanya menampakkan kedua-dua pasang mata. Tangan kananya memegang sebaldi air manakala tangan kirinya memegang kain lusuh dan plastik sampah. Melihat isterinya tercegat berdiri begitu, dia teringat bagaimana satu ketika dulu dia berdiri dihadapan isterinya sambil memegang sebaldi air yang digunakan isterinya untuk mengemop lantai. Lalu dengan perasaan marah dia menjirus isterinya dengan air itu. Semuanya kerana dia jatuh tergelincir ketika isterinya sedang mengemop lantai di ruang tamu. Tidak hanya itu, malah dia ke dapur mengambil plastik sampah lalu membungkus kepala isterinya, membuatkan isterinya meronta- ronta kelemasan. Apakah isterinya akan lakukan hal sama padanya? Menjirusnya dengan sebaldi air lalu membungkuskan kepalanya dengan palstik sampah.Hatinya tiba-tiba berasa gementar.

Begitu juga dengan isterinya. Tatkala memegang sebaldi air itu, dia teringat bagaimana suaminya menjirusnya dengan air bilasan untuk mengemop lantai sambil memaki-makinya dan kemudian membungkus kepalanya dengan plasik sampah. Apakah dia akan lakukan hal yang sama pada suaminya sebagaimana suaminya pernah memperlakukan perlakuan itu padanya. Dengan muka yang berbalut ala ninja, isterinya terus merenung suaminya yang sudah seperti patung bernyawa. Peristiwa peristiwa lalu yang masih meninggalkan kesan yang mendalam pada jiwanya berbayang-bayang di ruangan matanya, malah kesan-kesan parut yang masih berbekas pada tubuhnya seperti tidak dapat memadamkan api dendam pada suaminya. Lontaran kata-kata maki dan carut masih berdesing menghentak gegendang telinganya. Malah inilah kesempatan yang ada padanya untuk membalas segala perlakuan suaminya yang pernah dilakukan terhadapnya. .menjirus air pada suaminya , lalu membiarkan suaminya lemas menagih nafas dengan membungkuskan kepalanya dengan plastik sampah.Dengan dapat melakukan yang demikian, tentu dia akan berasa puas dan segala perlakuan suaminya terhadapnya terbalas. Namun pada masa yang sama telinganya seperti terngiang-ngiang pada khutbah nikah oleh Tok kadi ketika mereka bernikah dua puluh tahun yang lalu .

Seandainya kalian melihat kelemahan pada pasangan kalian maka berdoalah agar di sebalik kelemahan itu terdapat kebaikan yang tidak terduga. Ingatlah firman Allah swt. dalam surah An-Nisa ayat 19, Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka maka bersabarlah, karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.

Jiwa isterinya benar-benar berperang antara menundukkan perasaan dendam atau melepaskan perasaan dendam itu pada suaminya.Isterinya mendengus, menarik-narik nafas di sebalik kain ala ninja yang menutupi muka dan hidungnya.Bibirnya tidak henti-henti beristighfar dan semampu mungkin memujuk hatinya agar tidak tunduk pada telunjuk syaitan meskipun dia tahu tidak semudah itu untuk dia lakukan. Seandainya itu tidak menjadi dosa, tentu sahaja dia akan lakukan hal yang sama pada suaminya ,menjirus suaminya dengan sebaldi air lalu membungkuskan kepalanya dengan plastik sampah, kemudian tendang -terajang suaminya sebagaimana suaminya tendang terajang dia satu ketika dulu. Tetapi sekiranya dia lakukan hal yang sama, tentu tidak ada beza perlakuannya dengan perlakuan suaminya.Kalau dulu dia menganggap perlakuan suaminya itu adalah zalim dan tidak berperkemanusian, apakah perlakuan yang sama yang hendak dilakukan pada suaminya itu tidak zalim dan berperikemanusian.? Kalau perlakuan suaminya dianggap salah, maka apakah perlakuannya yang hendak dilakukan pada

suaminya itu betul.? Dan kalau suaminya masuk neraka, apakah dia juga mesti mengikut jejak suaminya masuk neraka. Nauzubillah! Seperti ada malaikat pula di sisinya yang memberi peringatan seperti itu. Tanpa membuang masa, isterinya menyelakkan langsir dan menguak dedaun tingkap agar segala bau yang terkepam dapat dialirkan keluar Dia kemudian menghampiri suaminya dan terus melakukan kerja-kerja membersihkan suaminya . Ditolaknya ke kiri dan ditolak suaminya ke kanan dengan segala kudrat yang ada kerana ternyata seluruh anggota suaminya sudah memberat seperti batu. Dia hanya diam membisu , membiarkan isterinya melakukan kerjakerja membersih ke atas dirinya. Biar bagaimanapun isterinya menolak ke kiri dan ke kanan dengan kuat , dia tidak berasa apa-apa lantaran saraf seluruh anggotanya sudah tidak berfungsi . Namun gegendang telinganya tidak henti-henti digetarkan oleh sungutan dan leteran isterinya yang tidak henti-henti menyebut-nyebut nama Allah dan tidak henti-henti beristighfar. Sungutan dan leteran yang satu ketika isterinya begitu takut untuk lontarkan gara-gara takut dipukul oleh suaminya sendiri yang baran dan ego. Meskipun isterinya tidak menjerit-jerit memaki atau mencarut sepertimana pernah dia memaki-hamun dan mencarut pada isterinya dahulu, namun sungutan-sungutan isterinya yang menyebut-

nyebut nama Allah sesungguhnya seperti membakar seluruh rongga telinganya. Seandainya dia boleh menjerit, pasti dia akan menjerit pada isterinya supaya jangan bersungut-sungut seperti itu.

Sebusuk najis awak, sebusuk itu juga perangai awak pada saya.. Kalau saya tak takut dosa, tentu saya bungkus awak dengan najis-najis awak tu sekali. Semakin berapi-api gegendang telinganya apabila isterinya melontarkan kata-kata itu sebaik sahaja isterinya selesai membersihkan dirinya daripada najisnya sendiri. Apakah daya yang ada padanya kini? Sekiranya satu ketika dulu , setiap kali isterinya memintanya sesuatu dengan melontarkan kata- kata yang lembut padanya , dia sudah naik berang lalu tangannya begitu ringan menghayun menghinggapi pipi isterinya, dan kemudian berhari-hari dia tidak melayani isterinya dan bermasam muka terus pada isterinya. Namun kini kata-kata pedas isterinya yang dilontarkan ke gegendang telingannya terpaksa dijerukkan di dalam hatinya. Kata- kata pedas isterinya yang seperti aliran elektrik terpaksa diserap , mengalir terus ke otak dan ke dalam hatinya tanpa dia mampu memberontak marah seperti selalunya yang dilakukannya dulu kerana kini lidahnya sudah tidak mampu bergulung-gulung memaki isterinya

dan bibirnya seperti sudah terkunci dan termangga tanpa dapat melontarkan sepatah kata pun. Mungkinkah ini balasan Allah swt. terhadapnya kerana dia selalu memaki dan mencarut isteri dan kedua-dua anaknya tatkala dia masih memiliki suara, satu anugerah ALLAH yang telah disalahgunakan, bicaranya di dalam hati. Isterinya meninggalkannya keseorangan setelah selesai membersihkannya daripada najisnya yang busuk itu. Dia benar-benar berasa lega meskipun masih lagi tersisa saki baki bau busuknya yang masih berapung-apung di ruang udara biliknya. Malah dia berasa sangat lega apabila isterinya tidak melakukan sesuatu yang boleh mencederakannya atau membunuhnya kerana ternyata hati isterinya tidak seperti hatinya, baran dan pendendam. Daun pintu biliknya dibiarkan terkuak lebar oleh isterinya, mungkin kerana mahu mengurangkan bau busuk yang masih berbaki. Dari dalam bilik dia dapat mendengar bunyi air dari bilik air yang terletak tidak jauh dari biliknya. Dia pasti isterinya sedang mandi kerana pada saat itu hanya dia dan isterinya sahaja yang ada di rumah. Kedua-dua anaknya belum pulang daripada bekerja. Tetapi meskipun anaknya ada di rumah, anak-anaknya seperti merajuk hati dengannya atau mungkin berdendam dengannya kerana sepanjang hidup mereka, mereka juga menjadi bahan sumpah seranahnya setiap

kali mereka cuba bersuara atau memohon sesuatu padanya. Mereka tidak pernah mendengar satu kalimah pun dari mulutnya sebagai seorang ayah yang boleh mendidik jiwa anak-anaknya melainkan katakata yang menimbulkan rasa takut dan rasa benci yang mendalam padanya. Jika seseorang anak itu berbesar hati dan gembira kalau ayah mereka sentiasa ada di sisi mereka, namun bagi anak-anaknya, kehadiran ayah mereka di rumah seumpama sedang berada di dalam lahar gunung berapi, sentiasa membahang dan panas berapi. Diselubungi perasaan takut, mereka selalu mengurung diri di dalam bilik sambil menggigit-gigit gula-gula getah sebagai satu cara mengurangkan tekanan. Dia kerap menganggap dirinya sebagai suami dan bapa yang mempunyai kuasa veto dalam keluarganya, merasakan dia boleh berbuat apa sahaja yang dia suka, namun kini kuasa suami dan kuasa bapa yang berada di dalam gengamannya membelenggu dan menjerut dirinya sendiri. Anak-anaknya kini sudah tidak mahu memandangnya sebagai ayah lagi malah mereka langsung tidak mempedulikan ayah mereka , samada masih bernyawa atau sudah mati. Sedang dia mengelamun memikirkan nasibnya, tiba-tiba isterinya muncul lagi, dengan membawa bersama-samanya sebesen air pula. Ah! Apa pula yang hendak dilakukan oleh isterinya terhadapnya. Mungkinkah tiba-tiba syaitan berjaya menghasut isterinya supaya menjirus air ke atasnya. Sejenak itu jantungnya berdetak dan hanya

bebola matanya sahaja yang mampu diputar-putarkan, mengekori gerak langkah dan tingkah isterinya. Isterinya meletakkan besen itu di atas meja kecil yang terletak di sisi katil, lalu berdiri sambil bercekak pinggang. Diperhatikan suaminya sejenak lalu mengelenggelengkan kepalanya. Dia yang sudah seperti patung bernyawa, terkebil-kebil memerhatikan isterinya. Kalau saya jirus air ini pada awak, tentu awak tak boleh melawan saya lagi kan. Awak tak boleh menjerit memaki hamun saya lagi kan. Awak tak boleh tendang terajang saya lagi kan. Hatta kalau saya bakar awak pun, awak akan te tap kaku di situ kan. Ah! Lontaran kata-kata isterinya membuatkannya semakin gementar. Isterinya menghampirinya lalu menguis-nguis hidungnya sehingga dia terasa geli. Saya cuit hidung awak pun , awak tak boleh meng elak Semakin laju detak jantungnya apabila isterinya berbuat seperti itu. Dia tidak dapat hendak menjangka apakah yang hendak dilakukan oleh isterinya. Apakah isterinya mahu membakarnya? Tapi tak mungkin kerana isterinya tidak membawa minyak tanah sebaliknya membawa sebesen air.Tingkahnya yang tidak berperikemanusian pada isterinya dan lontaran maki hamun yang dihamburkan pada isterinya satu saat dulu memungkinkan isterinya melakukan apa sahaja untuk membalas dendam dan juga sebagai merawat hatinya yang terluka.

Namun tekaannya meleset. Isterinya yang tadi bercekak pinggang tiba-tiba duduk di sisinya. Se karang saya nak ambilkan wuduk untuk awak. Semasa awak sihat, awak masih gagah lagi, awak tak pernah ingat untuk solat. Setiap kali saya ingatkan awak tentang solat, setiap kali itu awak akan menunjang kepala saya. Sekarang awak dah tak gagah lagi, tapi solat tu tetap wajib atas awak. Tegaknya orang Islam ialah dengan solatnya.Dalam keadaan awak macam ni, selagi saya masih isteri awak, saya akan terus memperingatkan awak. Awak nak tunjang kepala saya , awak dah kaku. Atau awak nak maki saya dalam hati awak ke, itu suka hati awaklah. Sebagai isteri dan awak yang dah tak gagah lagi, dah jadi tanggungjawab saya ambilkan wuduk untuk awak. Saya akan ambilkan wuduk untuk awak selagi masih ada lagi hayat awak Isterinya diam seketika sambil memerhatikan lagi suaminya. Itulah masa awak sihat, awak tak ingat nak tundukkan kepala awak, tak mahu cium bumi sembah Allah. Awak ego , besar kepala bila jadi suami, besar kepala bila jadi ayah, dengan Allah pun awak sombong, tak mahu tundukkan kepala , cium bumi sembah Allah. Hari ini awak dah kaku. Nak tundukkan kepala pun dah tak boleh. Apa lagi kalau nak sungkurkan muka mencium bumi sembah Allah. Tapi Allah masih beri peluang. Guna mata awak yang masih boleh berputar-putar sebagai ganti cium bumi untuk sembah Allah. Kalau awak masih tak guna kemudahan yang Allah berikan pada awak supaya awak tundukkan ego

awak, sombong awak, tak tahulah apa yang saya nak kata lagi. Isterinya diam sambil menggelengkan kepala. Tapi tentang solat, awak mesti lakukan sendiri. Awak boleh gunakan isyarat mata. Itu pun kalau awak ada persaan takut pada Allah swt. Kalau awak masih ingat mati, kalau awak dah dapat tudukkan si fat sombong awak. Tapi kalau awak tak mahu juga solat, saya tak akan tunjang kepala awak macam awak tunjang kepala saya dulu bila setiap kali saya suruh awak solat. Itu, antara awak dengan Allah swt . Biar Allah buat perhitungan dengan awak. Yang penting saya menjalankan tanggungjawab saya dan saya dah peringatkan awak.Saya tak mahu jadi ahli neraka. Tendang terajang awak pada saya memang sakit tapi kalau kena rejam dengan batu berapi dari api neraka lebih-lebih lagi sakitnya. Sungguh! Meskipun hanya barisan kata-kata , namun peringatanperingatan yang dilontarkan isterinya bagaikan satu pukulan maut, amat pedih untuk di dengar. Pada saat-saat dia sudah kaku dan tidak mampu untuk bergerak, isterinya semakin hari semakin berani bercakap dengannya tentang dosa dan neraka, malah selalu sahaja memerintahkannya supaya bersolat. Bukan setakat mengeluarkan perintah supaya bersolat, malah sanggup mengambilkan wuduk untuknya. Kalau selama ini keluarganya menganggap dia seorang yang melampau terhadap isteri dan anak-anaknya tetapi kini dia merasakan

isterinya lebih bersikap melampau terhadapnya, lebih-lebih lagi apabila menyentuh soal ibadat. Isterinya seperti mencabar keegoaannya. Dia mahu menjerit, meminta isterinya supaya berhenti sahaja daripada melontarkan kata-kata yang dianggap seperti anak panah yang menembus tertancap menusuk jauh ke dalam hatinya. Dia seperti mahu menampar isterinya kerana mengambil kesempatan menyakiti hatinya atas dirinya yang sudah lumpuh.Isterinya benarbenar telah mencabar keegoaannya. Celaka punya isteri dia memaki, namun kata-kata makinya itu hanya dia sahaja yang dengar. Kata-kata maki yang dilontarkan sebaliknya terlantun semula pada dirinya. Ternyata hatinya masih beku, masih tidak dapat menundukkan egonya yang tebal. Setelah berbicara dengan suaminya yang kini bisu, isterinya berdiri lalu menceduk air dari besen dengan menggunakan cawan. Air dari cawan dituangkan ke dalam telapak tangannya lalu di sapukan ke muka suaminya. Awak niat ya di dalam hati pinta isterinya lalu disapukan air itu ke muka suaminya. Mata suaminya terpicing-picing, mengelakkan air daripada mengenai anak matanya.Lalu isterinya terus menceduk air lagi dan dituangkan ke dalam telapak tangannya lalu disapukan pada kedua-dua belah tangan hingga ke siku, kemudian disapu pada ubun-

ubun suaminya dan kemudian pada kedua-dua belah kaki suaminya sehingga selesai dan lengkap rukun mengambil wuduk yang selayaknya untuk orang yang sakit. Setelah itu, isterinya berdiri, memegang besen sambil menghadap suaminya. Saya baik kan pada awak. Saya tak jirus air pada awak macam awak jirus air pada saya dulu. Sebaliknya saya ambil wuduk untuk awak , suruh awak tunduk pada Allah, Yang hidupkan awak, Yang akan matikan awak. Sekarang,saya serahkan awak pada-Nya, tunaikanlah tanggungjawab awak pada-Nya selama Dia masih beri awak nafas untuk terus hidup. Kalau awak gunakan isyarat mata pun, Allah masih terima ibadat awak Semakin pedih kata-kata yang dilontarkan isterinya padanya. Dia tidak dapat memekakkan telinga daripada mendengar tazkir ah isterinya manakala bebola matanya terpaku mengikut gerak bibir isterinya. Meskipun egonya masih tebal, namun kata-kata isterinya menimbulkan sedikit rasa seram sejuk di dalam hatinya. Sudah bertahun-tahun anggota wuduknya tidak digenangi air yang suci itu. Air yang dimulai dengan asma Allah , baru sekian kalinya membasahi anggota wuduknya .Itupun atas daya usaha isterinya. Atas kesungguhan isterinya yang masih mahu suaminya bersolat meskipun telah beberapa kali cuba diperingatkan isterinya beberapa tahun yang lalu. Air wuduk yang yang masih basah membutir menggenangi anggota

wuduknya itu seperti menyerapkan rasa keinsafan yang sangat mendalam dalam sanubarinya. Air wuduk yang mengingatkannya tentang mati. Dia pernah melihat ibunya mati. Dia pernah melihat ayahnya mati. Dia tidak dapat nafikan yang dia juga pasti mati , malah mati itu seperti sudah hampir dengannya. Malah tidak ada manusia yang hidup terus selama-lamanya dan tidak pernah ada bukti pada mana-mana manusia pun yang boleh hidup tak mati-mati. Isterinya melangkah keluar dari biliknya setelah menunaikan tanggungjawab terhadapnya selayaknya sebagai seorang isteri terhadap suami yang sakit. Kini menjadi tanggungjawabnya pula pada Yang Maha Menghidupkan dan Yang Maha Mematikan. Apakah dia masih mahu sombong ? Apakah dia masih mahu terus ego, pada saatsaat dia sudah keras kaku tanpa dapat bergerak. Setelah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri terhadap suaminya yang terlantar kaku, dia ke dapur, menceduk bubur nasi berlaukkan ikan dan berulamkan sedikit sayur yang telah dicincang halus. Sambil memegang mangkuk bubur itu, tiba-tiba matanya terpaku pada sebotol garam yang tersusun di rak dapur. Melihat botol garam itu, bayangan-bayangan semalam mula menghantui fikirannya. Bayangan-bayangan semalam sentiasa berulang-ulang tayang dalam fikirannya.Sungguh dia tidak dapat melupakan peristiwa yang sangat menyakitkan hatinya. Lauk-pauk yang dihidangkan dia atas meja beralaskan kain safra habis bartaburan dan berselerakan

di atas lantai apabila kain safra itu ditarik kuat oleh suaminya lantaran lauk-pauk yang dimasaknya tidak berasa garam. Masih tidak puas hati, suaminya kemudian ke dapur, mengambil sebotol garam lalu menghampirinya dan menaburkan sebotol garam itu ke mukanya. Sus ah san gat ke nak letak garam dalam lauk! jerit suaminya. tapiabang kan ada penya kit Kau diam. Menjawab bila aku cakap. Isteri penghuni neraka jerit

suaminya lagi lalu melangkah pergi meninggalkannya terpinga-pinga dengan kepala dan muka yang penuh dengan garam. Kedua-dua anakanaknya yang ada bersama-samanya tergamam, diam dan hanya mampu melihat. Sungguh ! Imbasan-imbasan itu sangat menyakitkan hatinya dan tibatiba perasaan dendamnya mula membara. Garam yang ada di dalam botol itu di tuangkan ke dalam telapak tangannya lalu digenggam erat sambil nafasnya ditahan-tahan sambil mengetap-ngetap giginya. Mahu sahaja dia mencurahkan garam yang ada di dalam gengamannya itu ke dalam bubur yang akan disuapkan ke dalam mulut suaminya. Bukankah suaminya jadi berang lantaran tidak ada garam dalam makanan yang dimasaknya.? Oleh itu dia akan meletakkan garam itu ke dalam makanan suaminya supaya suaminya berasa puas meskipun garam itulah yang telah menjadi menjadi punca kepada penyakit darah

tingginya dan seterusnya mengakibatkan dia lumpuh hampir seluruh badan. Astaghfirullah!. Garam di dalam gengamannya dicampakkan ke dalam sinki sambil dadanya diurut-urut mohon perlindungan Allah daripada hasutan syaitan yang direjam. Sungguh ! Dia tidak mahu menjadi isteri yang pendendam.Dia tidak mahu menjadi isteri yang durhaka.. Dia tidak mahu menjadi bahan pembakar di dalam api neraka. Dia tersentak daripada bayanganbayangan lalu. Segera dia keluar dari dapur sambil mulutnya tidak henti-henti beristghfar. Badannya berpeluh-peluh dan kedua-dua tangannya terketar-ketar. Apabila tiba di bilik suaminya, dia meletakkan semangkuk bubur dan segelas air di atas meja sisi. Dia memerhatikan suaminya yang terkebil-kebil. Dia memejamkan matanya, melepaskan nafasnya lalu menarik nafas syukur kerana tidak menurutkan nafsu amarahnya. Dia kemudian memerhatikan sekali lagi suaminya. Dia tidak pasti apakah suaminya telah menunaikan solat. Bebola mata suaminya juga berputar-putar memerhatikan tingkah isterinya yang memerhatikannya. Pada firasatnya , tentu isterinya sedang memikirkan apakah dia telah solat atau sedang solat atau tidak solat. Dalam keadaan hanya matanya berputar-putar dan

lidahnya yang sudah kelu begitu, tentu sahaja isterinya tidak tahu malah isterinya pun sudah tidak mahu tahu. Soal dia mahu solat atau tidak, isterinya serahkan pada Allah Taala kera na Allah swt sahaja Yang Maha Mengetahui. Segala sesuatu yang tidak kelihatan barang sekilas pun, hanya Allah swt sahaja yang akan tahu. Ketika isterinya ke dapur, dia telah berusaha untuk solat dengan menggunakan pergerakan mata sepertimana yang disarankan isterinya. Tapi ternyata, setelah bertahun-tahun dia tidak berdiri di atas sejadah, sudah bertahun-tahun dia tidak rukuk di atas sejadah, setelah bertahun-tahun dia tidak sujud di atas sejadah dan paling malang setelah bertahun-tahun lidah dan bibirnya kering daripada kalimah Allah, kalimah-kalimah yang sepatutnya dibaca dalam solat kini telah terlekang daripadaa hati dan ingatannya. Dia sudah lupa semua kalimah-kalimah yang pernah dipelajari sewaktu dia dibangku sekolah lagi. Biar bagaimana dia cuba mengingati semula kalimahkalimah suci itu, namun kalimah-kalimah itu terus pudar, lenyap dan pupus daripada ingatannya. Untuk sekian kalinya, perasaan kecewa dan hampa menduduki hatinya, pada saat-saat dia sudah tidak cukup waktu untuk mempelajari semula kalimah-kalimah dalam solat. Rasa kecewa dan hampa itu sudah tentunya tidak dapat diluahkan pada isterinya kerana lidahnya yang selama ini hanya tahu mengherdik dan memaki isteri dan anak-anaknya sudah tidak boleh berkata-kata.

Sementara jiwanya dibebani rasa kecewa yang mendalam, mata jelinya terus mengekori tingkah isterinya. Isterinya yang tadi tercegat berdiri kemudian menghampiri suaminya lalu duduk di sisinya.Semangkuk bubur di meja sisi dicapai. Baca Bismillah . Isterinya peringatkan lalu diceduk sesudu bubur lalu menyuapi suaminya. Meskipun lidahnya sudah kaku daripada melontarkan kata, mujur sahaja mulutnya masih boleh mengemam makanan lalu ditelan perlahan-lahan ke dalam tengkoroknya yang masih berfungsi untuk dia meneruskan hidupnya. Sebaik sahaja bubur itu ditelan, tiba-tiba air mata lelakinya meleleh meniti di pipinya. Pada saat-saat dia sudah tidak dapat bergerak, sesudu bubur juga sudah cukup menjadi satu rahmat yang besar untuk dia meneruskan hidup. Meskipun kalimah-kalimah Allah sudah tidak terlekat pada mindanya , sekurang-kurangnya dia berkesempatan untuk menghargai setiap bakti yang dicurahkan isterinya untuknya. Untuk merasai betapa rahim layanan baik yang diberikan oleh seorang isteri pada suami.Melihat betapa cantik isterinya dalam erti cantik yang tersirat,tidak meninggalkannya dalam keadaan dia sudah tidak berdaya, meskipun dia telah mencederakan, menyakiti dan melukai hati isterinya sepanjang dia hidup di sampingnya.

Melihat wajah isterinya yang begitu tenang menyuapkan bubur ke mulutnya membuatkan dia teringat wajah tenang isterinya pada saatsaat dia mengusap ubun-ubun isterinya sebaik sahaja dia melafaz aqad nikah. Mengambil perempuan yang dihadapannya sebagai pendamping hidupnya. Mengambil perempuan yang di hadapannya ini daripada kedua-dua ibu bapanya sebagai satu amanah besar.Mengambil perempuan ini yang telah merelakan harga diri dan mahkota dirinya hanya layak untuknya seorang sebagai seorang lelaki bernama suami . Mengambil perempuan ini untuk disemai benihnya agar melahirkan zuriat-zuriat yang akan menyelamatkannya daripada azab api neraka melalui doa-doa sebagai anak-anak yang soleh. Dan perempuan ini ,yang berada di hadapannya masih tetap berada di sisinya, pada saat-saat dia sudah kaku, mencuci najisnya, memandikannya, mengambilkan wuduk untuknya, menyuapinya dengan makanan, meskipun parut dan luka akibat pukulannya masih berbekas pada kulit perempuannya yang halus. Tetapi apakah yang telah dia dilakukan pada isterinya? Pada siang hari dia mengherdik, memaki dan memukul isterinya dan pada malam hari dia merangkak menyelak-nyelak kain isterinya. Jenis suami apakah dia? Dia seperti tidak pernah menghargai jodoh yang telah dianugerahkan kepadanya. Dia telah tidak memegang amanah yang

dipertanggungjawabkan ke atasnya. Seolah-olah jodoh yang Allah anugerahkan kepadanya tidak pernah sempurna untuknya. Seandainya dia diizinkan untuk bergerak, dia akan bangun memeluk isterinya. Mengusap isterinya , menghinakan diri dengan mencium kaki isterinya, memohon ampun atas perlakuannya yang tidak berperikemanusian atas isterinya, seorang perempuan yang lemah tetapi berjiwa kental. Dia menangis dan terus menangis dengan wajah yang berkerut-kerut ketika isterinya menyuapkan bubur ke dalam rongga mulutnya. Isterinya cemas. Apakah bubur yang disuapkan itu masin? Dia teringat niatnya yang hendak mencampurkan segenggam garam ke dalam bubur itu ketika di dapur. Segera dia merasa bubur itu.Dia pasti dia telah membatalkan niatnya yang tidak baik itu ketika di dapur.Dia pasti garam yang di dalam gengaman itu telah dicampakkan ke dalam sinki. Dia pasti itu!. Atau mungkin suaminya masih bersikap seperti dulu, berang apabila memakan makanan yang tawar. Cuma kali ini suaminya tidak berupaya memberontak marah, menjadi berang sehingga cepat menaikkan tangan ke mukanya. Mungkin lelehan air mata itu sebagai luahan kemarahannya kerana hanya melalui air mata sahaja yang dapat suaminya luahkan perasaan. Dia menjadi agak bingung melihat air mata suaminya.

Tapi biar apa pun, yang pasti dia tidak melakukan sesuatu yang menzalimi suaminya. Meskipun di dalam hatinya masih berbekas rasa luka yang mendalam, dan kadangkala seperti ada bisikan-bisikan yang mendorongnya supaya membalas dendam, namun pada sudut yang lain, dia takut menjadi isteri durhaka. Dia takut menjadi bahan pembakar api neraka.Dia tidak akan mengambil kesempatan membalas dendam atas suaminya yang sudah tidak berdaya. Dia memastikan lidahnya sentiasa basah beristighfar, agar dengan beristighfar mengingati Allah akan menjadi pendinding hatinya dan dapat menghindarkan dirinya daripada melakukan dosa terhadap suaminya. Lalu dia terus manyuapi suaminya dengan hati yang yakin meskipun air mata lelaki suaminya terus meleleh mengalir mengikut alur kulitnya yang sudah mula berkedut dan layu. Setelah selesai memberi makan, dia keluar dari bilik meninggalkan suaminya yang masih diselubungi emosi. Meskipun bubur semangkuk tidak habis dimakan suaminya, namun dia bersyukur telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, malah dia bersyukur tidak melakukan sesuatu yang boleh menghumbankannya ke dalam api neraka. Jam terus berdetik.Siang dan malam silih berganti. Nadinya masih berdenyut dan jantungnya masih berdetak. Namun dia tetap terpasung di atas katil, bagaikan hidup segan mati tak mau. Seolah- olah Allah swt masih tidak sudi mencabut nyawanya, bagi menamatkan

segala kesengsaraan dunia yang sudah tidak sanggup dia tanggung. Atau mungkin Allah swt. masih mahu mengajarnya supaya menghargai setiap kebaikan yang dilakukan oleh isterinya. Supaya dia berfikir sejenak bahawa tidaklah sebesar mana kuasa yang ada padanya sehingga sewenang-wenangnya dia melakukan sesuka hatinya pada isteri dan anak-anaknya. Supaya dia merenung sejenak, apa ertinya rumahtangga itu, dan apa ertinya menjadi suami dalam kehidupan berumahtangga. Supaya dia merenung sejenak apa ertinya menjadi seorang Muslim dan apa ertinya menjadi seorang yang beriman yang takut dan tunduk pada perintah Allah swt. Sungguh, Allah swt telah memasungkan tangan dan kakinya yang begitu ringan menendang terajang isterinya dan membisukan mulutnya yang begitu galak memaki dan sumpah seranah isterinya. Dan sungguh, Allah swt hanya membiarkan otak dan matanya hidup, agar dia terus berfikir dan berfikir., meli hat dan terus mel ihat , betapa cantik isterinya, dalam erti kata cantiknya yang tersirat, dengan menggunakan akal dan mata hatinya. Air mata lelakinya yang dulunya kering kini tetap sahaja mengalir. Rasa kecewa terus menduduki hatinya. Setiap kali isterinya mengambilkan wuduk untuknya dan setiap kali dia cuba mengingati kembali kalimahkalimah dalam solat, setiap kali itu juga dia akan berasa hampa. Kalimah-kalimah suci itu terlalu sukar untuk melekat di mindanya ,juga di dalam hatinya.Seandainya Allah memanjangkan

usianya pun, tetapi dalam keadaan seluruh anggotanya yang seperti dipasung, dalam keadaan dia sudah tidak dapat mengingati kembali kalimah-kalimah yang telah terlekang daripada hatinya , hidupnya kini sudah tidak bererti lagi. Pada pagi subuh yang hening- bening, ayat-ayat Quran yang dialunkan isterinya bagaikan simfoni merdu yang menggetarkan hatinya . seperti alunan melodi yang menusuk kalbunya sehingga memaksanya menangis, juga seperti paluan madah indah yang menggemakan setiap ruang di dalam rumahnya. Begitu sejuk dan nyaman sekali dia menikmati waktu fajar itu, waktu indah yang telah dia sia-siakan bertahun-tahun lamanya lantaran dia telah bertahun-tahun tidak bangun solat subuh. Seandainya dia dapat sujud mencium bumi, menyembah Allah swt lalu merayu dan memohon pada-Nya agar dikembalikan waktu-waktu indah yang telah dia siasiakan, pasti dia akan lakukan. Akan dia bersolat jemaah bersama- sama isteri dan anak-anaknya dan dia akan mentaddarus dan tadabbur alQuran setiap subuh , menggemakan setiap ruang di dalam rumahnya supaya sentiasa dilimpahi cahaya Illahi, supaya sentiasa diberkati segala rezki yang masuk ke dalam rumahnya. Seandainya! Seanda inya! Namun apakah daya yang ada padanya kini? Sesungguhnya masa itu tidak dapat diputarkan kembali. Lalu air mata lelakinya meleleh lagi.

Setelah selesai mentaddarus al-Quran, isterinya yang masih duduk bertimpuh di atas sejadah menyelak telekungnya. Matanya terpaku pada parut yang berbekas di tapak kakinya. Parut yang masih berbekas akibat terkena serpihan kaca gelas yang pecah setelah dibaling suaminya padanya. Parut yang tidak akan pernah melupakan segala tingkah suaminya terhadapnya. Parut yang terus memendamkan hati luka seorang isteri dan parut yang kerap kali juga menuntutnya supaya memberontak. Kadangkala parut-parut itu seperti berkatakata, mengapa mesti engkau taat lagi pada suami yang tidak ada hati perut Kakinya juga seperti selalu menghasut, apa yang nak ditunggu lagi. Keluar saja dari rumah. Jiwanya kerap berperang. Antara menundukkan amarahnya atau mengikut kehendak hati yang terluka. Dia sedar bahawa sebagai seorang isteri, dia mempunyai hak ke atas dirinya. Dia boleh saja mengadu ke pejabat kadi atau membuat laporan polis. Dengan luka dan lebam yang pada tubuhnya sudah pasti suaminya boleh dipenjarakan dan dia akan bebas daripada suaminya dan akan membolehkannya hidup dengan lebih aman. Tapi wajah rahim seorang ibu telah menghalangnya daripada dia bertindak demikian. Air mata seorang ibu telah menghambatnya

daripada mencampakkan suaminya ke dalam penjara. Ketika kakinya berlumuran darah kerana terkena serpihan kaca gelas yang dibaling suaminya, mentuanya telah datang merawatnya. Mentuanya telah mendakapnya dan mengusap-usap dahinya. Dalam kehangatan dakapan seorang ibu , dia dapat merasakan air mata ibu mentuanya mengalir dan dia dapat mendengar detakan kencang jantung seorang ibu yang marah dan kecewa. Ummi tidak akan memaaf kan anak ummi atas apa yang dia lakukan pada kamu. Spontan kata-kata itu melantun keluar dari bibir seorang ibu. Katakata seorang ibu yang ditujukan pada anak lelakinya membuatkan hatinya jadi gementar. Kata-kata seorang ibu yang marah lebih keramat daripada hukuman mati mandatori. Kata-kata seorang ibu akan menjadi doa yang cepat dimakbulkan AllahTaala. Segera dia menutup bibir ibu itu dengan jejarinya yang bercalit darah lalu diseka air mata ibu mentuanya dengan lengan bajunya agar air mata ibu itu jangan sampai jatuh menitik di atas bumi. Sejak itu , dia pendamkan niatnya untuk mengadu di pejabat kadi. Tidak semudah itu menjadi isteri solehah , bisiknya di dalam hati.

Telekung yang membungkus tubuhnya ditanggalkan, lalu dilipat kemas. Dengan hati tenang, dia mengatur langkah ke bilik di mana suaminya terbaring kaku. Di sisi suaminya, dia berdiri kaku. Butiran-butiran air wuduk yang disapukan pada wajah suaminya sebelum dia mengerjakan solat subuh masih bermanik-manik. Setelah berharihari dia menunaikan tanggung-jawabnya sebagai isteri, mengambil wuduk untuk suaminya, namun dia masih tidak pasti apakah suaminya menunaikan solat atau tidak. Setiap kali dia menatap wajah suaminya, yang dapat dilihat hanyalah air mata suaminya yang mengalir mengikut alur-alur kedut kulit yang semakin hari semakin layu. Dia tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan lelehan air mata suaminya itu. Apakah itu air mata keinsafan atau air mata kesal terhadap apa yang menimpa diri, dia sendiri tidak pasti. Matanya spontan terkilas pada tapak tangan suaminya. Tapak tangan yang telah membaling gelas ke arahnya sehingga luka berdarah. Tapak tangan itu yang telah mencurah air dan menabur garam ke mukanya. Tapak tangan itu juga yang telah beberapa kali menghinggapi pipi dan badannya sehingga meninggalkan bekas dan parut. Bukankah tapak tangan yang sama itu juga yang pernah dicium sebaik sahaja sah dia bergelar isteri atas nama ijab dan qabul . Tapak tangan yang sama itu juga yang mengambil dirinya daripada keduadua ibubapanya atas nama amana h. Tapak tangan yang sama itu juga yang telah merungkai satu persatu hijabnya lalu menakluk mahkotanya

dengan keizinannya atas kalimah aku terima nikahnya . Dan dengan . hati yang tulus dia merelakan dirinya menjadi ladang untuk disemai benih sehingga terlahirnya zuriat yang bakal mewarisi keturunannya. Bukankah itu tapak tangan yang sama? Mengapa kini, menjadi terlalu berbeza tapak tangan itu?, fikirnya berkali-kali. Tapak tangan yang mengangkat dirinya ke puncak martabat yang tinggi, daripada status seorang gadis kepada status seorang isteri. Tapi malang sekali tapak tangan yang sama itu juga yang menjatuhkan maruahnya daripada status seorang isteri kepada status seekor haiwan layaknya, menampar dan memukul dengan sesuka hati. Hatinya tiba-tiba sebak. Di sebalik rasa terkilan yang mendalam, dia benar-benar merindukan sentuhan kasih dan belaian hangat seorang lelaki yang sebenar-benarnya layak dipanggil suami. Tiba-tiba air mata perempuannya bergenang. Kehangatan kasih suaminya tidak ubah seperti pelangi , munculnya hanya seketika, manakala panas dan hujan yang berhari-hari , silih berganti dan tiada hentinya. Mengharapkan pernikahannya akan menjadi destinasi ke syurga namun ombak dan badai yang ditempuh justeru melambung, menghempas, menelan dan melemaskannya sehingga ke dasar lautan. Berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orangorang yang ketika musibah, mereka berkata,

Sesun gguhnya kita adalah milik Allah dan Kepada-Nya kita dikembalikan. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka ialah orangorang yang mendapat petunjuk. Ayat quran yang tercatit dalam surah al-Baqarah ayat 155-157, ayat keramat yang sering diulang-ulang ibu mentuanya setiap kali dia dikasari suaminya sentiasa mengingatkannya bahawa pintu syruga sentiasa terbuka bagi sesiapa pun yang sabar dan tahan diuji. Sesun gguhnya Allah tidak akan memungkiri janji. Itulah kalimah-kalimah keramat yang sentiasa memujuk hatinya, menundukkan amarahnya, malah mendorongnya supaya terus bersabar atas ujian yang menimpanya. Ya, Allah!.Ya Allah! Ya Allah! Tetapkanlah hatiku dalam kesabaran dan tundukkanlah hatiku daripada bersifat pendendam. Doanya bersenandung di dalam hati diiringi air mata perempuannya yang menitis setitik demi setitik. Doa yang merawat segala luka di hatinya. Doa yang memadamkan api dendam yang sentiasa membara dan berlubuk di dalam qalbunya. Air matanya diseka. Hatinya mengharapkan pintu syurga masih terbuka untuknya kerana pada saat-saat dia menyerahkan harga dirinya sebagai isteri, cita-cita yang tersemat di dalam hati hanyalah satu, iaitu menjadi isteri dan ibu yang solehah.

Dia tersentak daripada emosinya. Burung-burung berkicau di luar jendela menyedarkannya bahawa matahari sudah mula merangkak, menyelinapkan cahaya indahnya dicelah awan-gemawan yang memayungi bumi yang penuh dengan rahmat-Nya. Tetap setia sebagai seorang isteri yang bertanggung-jawab, dia mahu ke dapur, menyediakan sarapan untuk suaminya. Tetapi sebaik sahaja dia mahu memulakan langkah, dia terasa bajunya ditarik. Dia tersentak. Matanya pantas mengerling lalu menatap wajah suaminya. Darah hangat mengalir deras dalam setiap salur yang menjalar dalam tubuhnya. Tangan kiri suaminya yang menarik bajunya bukan sekadar menimbulkan seribu pertanyaan di dalam hati malah bagaikan satu trauma pula padanya. Apakah suaminya marah atau suaminya hendak meluahkan sesuatu padanya? Terlalu sukar baginya untuk memahami luahan hati suaminya dalam keadaan suaminya yang tidak mampu lagi berkata-kata. Air mata suaminya terus mengalir. Begitu menghibakan hatinya tatkala isterinya menatap wajahnya begitu. Pasti dia tidak lupa bagaimana isterinya sentiasa dalam ketakutan setiap kali dia menjegilkan matanya. Menggigil dan terketar-ketar pada suami sendiri. Hidup ketakutan dalam rumah sendiri. Mengapa dia tidak pernah mahu menyelami perasaan dan harapan seorang isteri.? Mengapa dia tidak mahu mendengar suara hati

seorang isteri? Mengapa dia tidak tahu menghargai suri yang dianugerahkan kepadanya? Rasa kesal mencengkam jiwa. Panas baran dan sifat egonya , menganggap diri berkuasa penuh sebagai lelaki, sebagai suami dan sebagai ayah, sebetulnya menjadikan dirinya begitu bodoh dan buta hati. Sungguh luar biasa perempuan yang di sisinya ini. Di sebalik kekasaran yang pernah dilakukannya, perempuan ini masih tetap di sisinya, masih merawat dirinya yang sudah tidak bermaya. Aku redha, ya Allah. Per empuan di sisiku ini adalah isteriku yang solehah. , munajatnya dalam sepi. Meskipun isterinya tidak mendengar segala luahan hatinya, tidak mendengar doanya sebagai seorang suami, namun dia tahu Allah mendengar dan untuk sekian kalinya dia baru sedar bahawa Allah itu Maha Mendengar. Tangan kirinya masih terus menggenggam erat baju isterinya. Matanya tetap terus menatap wajah ayu isterinya dan dia mahu terus menatap wajah isterinya selagi masih bersisa nafasnya kerana di sebalik wajah luka dan duka isterinya, dia telah nampak bayang- bayang syurga yang sedang menanti isterinya. Tangan agamnya semakin kuat menggenggam dan menarik-narik baju isterinya membuatkan isterinya semakin cemas. Apakah yang cuba

dilakukan oleh suaminya. Mahu menghentam atau mahu memukulnya lagi? Meski sudah dalam keadaan tidak berupaya, apakah sifat ego dan berangnya masih bermaharaja dalam diri suaminya. Ah, semakin kuat pula dia menarik baju isterinya. Tiba-tiba kepalanya mendongak dan badannya mula mengeras perlahan-lahan manakala anak matanya mula terjuling-juling ke atas. Asta ghfirullah, iste rinya cemas. Dia mencari-cari sesuatu untuk diletakkan ke mulut suaminya yang sedang kejang . Urat-urat yang menjalari suluruh tubuh suaminya semakin menegang dan mengetat bagaikan hendak terputus manakala lidahnya turut menegang keras hingga terjelir keluar. Dalam cemas dia tidak tahu apa yang mesti dia lakukan melainkan berulang-ulang kali mengajar suaminya mengucap kalimah syahadah sambil menyaksikan detik sengsara yang sedang ditanggung suaminya. Innalillahi wainna illahi rajiuun Di sisi suaminya, dia tertegun. Melihat tubuh suaminya terkejur kaku dan detak jantung yang sudah berhenti. Darah merah mula mengalir keluar perlahan-lahan dari lubang hidung manakala jari-jemari suaminya masih saja menggenggam bajunya. Tidak sebutir air mata pun yang bergenang di kelopak matanya malah kelopak matanya sedikit pun tidak berkedip. Dia seperti orang yang terkena sampuk, terkejut dengan apa yang disaksikan oleh matanya sendiri.Meskipun

hatinya pernah terluka akibat tingkah suaminya terhadapnya, namun menyaksikan kesengsaraan suaminya telah menimbulkan keinsafan yang mendalam dalam kalbunya. Dia kemudian melepaskan jari-jemari suaminya daripada menggenggam bajunya. Mengusap-usap jari-jemari suaminya yang mula mendingin lalu diletakkan ke pipinya. Merasakan sentuhan yang telah lama tidak dirasai. Hidung suaminya disumbatkan dengan saputangan untuk menghentikan darah yang mengalir. Dia cuba merapatkan bibir suaminya namun lidah yang terjelir menghalangnya untuk dia berbuat demikian. Mata suaminya ditutup rapat lalu dia mencium ubun-ubun suaminya dengan sangat santun. Atas sifat -Mu yang Rahim, Kau ampunilah dosa-dosanya, ya Allah Perlahan-lahan dia menarik gebar lalu menutupi seluruh jasad suaminya yang kejur. Di sisi suaminya, dia berdiri kaku. Menatap jasad suaminya yang sudah tidak bernyawa dalam suasana pagi yang sepi seperti sedang melayari satu episod kehidupan yang sudah sampai ke penghujungnya. Dialah yang men takd irkan adanya mati dan hidup, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun , (bagi orang-orang yang bertaubat).

Bagaikan masih terlantun-lantun surah al-Mulk yang dialunkan subuh tadi. Tiba-tiba dia berasa lemah lalu duduk terjelepuk. Tanpa dapat di tahan-tahan air matanya meluncur dalam suasana bening tatkala cahaya pagi mula merekah memenuhi setiap ruang bumi yang terbentang luas.

Anda mungkin juga menyukai