Anda di halaman 1dari 4

Hubungan Kedah-Belanda

Hubungan Kedah dengan Belanda lebih bersifat perdagangan. Rekod terawal menunjukkan Belanda membeli bijih timah Kedah pada tahun 1606. Bagaimanapun, perjanjian perdagangan hanya ditandatangani pada 6 Julai 1641. Menjelang Jun 1642, Sultan Rijaluddin (1626-1651) membenarkan Syarikat Hindia Timur Belanda membeli separuh keluaran bijih timah, lembu, kerbau, gajah, lada dan lain-lain keluaran Kedah. Sebagai balasan, Belanda dikehendaki memberi bantuan ketenteraan apabila diperlukan (Jan Compagnie, 1995 : 20). Walaupun begitu, Sultan tidak pernah terikat sepenuhnya dengan perjanjian ini kerana pada tahun 1650, baginda hanya membenarkan Belanda membeli bijih timah sahaja. Selain itu, Sultan Rijaluddin juga masih terus membenarkan Portugis yang menjadi musuh ketat Belanda berdagang di Kedah. Dengan cara ini, Sultan Rijaluddin tidak akan terlalu bergantung kepada satu kuasa sahaja untuk mendapat bantuan dan bekalan senjata. Pada November 1650, Sultan membeli 30 pucuk meriam kecil/besar daripada pedagang Portugis (Buyung Adil, 1980 : 20-21).

Dasar Kedah terhadap Belanda pada zaman Sultan Muhyiddin Mansur Syah (1652-1661) agak keras. Pada tahun 1652, utusan Belanda ke Kedah ditangkap dan Syarikat Hindia Timur Belanda gagal mengambil sebarang tindakan (Jan Compagnie, 1995 : 22). Hanya pada tahun 1654, baru Belanda berjaya mendapatkan persetujuan Sultan bagi membina gudang dan menjalankan perniagaan bijih timah, emas dan gajah. Bagaimanapun empat tahun kemudian, Sultan Muhyiddin kembali bersikap keras terhadap Belanda, dengan menyerang sebuah kapal Belanda. Pihak Syarikat Hindia Timur Belanda mengambil tindakan membalas menjelang Mei 1659 dengan mengepung kuala-kuala sungai utama dengan harapan untuk melumpuhkan kekuatan tentera dan ekonomi Kedah tetapi gagal. Syarikat Hindia Timur Belanda cuba menyelesaikan perselisihan melalui rundingan dengan menghantar wakil mengadap Sultan pada penghujung Januari 1661. Sultan Muhyiddin menolak hasrat Belanda malah dengan berani menghantar bantuan tentera membantu orang Melayu di Ujung Salang (Junk Ceylon) menyerang gudang Belanda di situ pada September 1661. Bagaimanapun, dasar keras terhadap Belanda sekali lagi berubah pada zaman pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Syah I (1661-1687). Baginda menghantar utusan ke Melaka tetapi Gabenor Melaka menolak hasrat Kedah untuk menjalinkan hubungan. Pada Mei 1668, Sultan Dhiauddin menghantar satu lagi utusan dan kali ini ke pihak berkuasa Belanda yang lebih tinggi di Asia Tenggara iaitu di Betawi. Hasilnya, Julai 1668, perjanjian persahabatan ditandatangani (Buyung Adil 1980 : 24 & 25).

Hubungan Kedah - Bugis

Peranan Bugis dalam politik Tanah Melayu penting menjelang abad ke-17. Penglibatan Bugis di Kedah bermula pada tahun 1682, apabila Dato' Padang Seri Jana, adinda Sultan Dhiauddin cuba mendapatkan bantuan Bugis di Selangor untuk merampas takhta. Bagaimanapun, usaha ini gagal kerana Belanda yang berkuasa di Dinding tidak membenarkan Dinding dijadikan pengkalan untuk

menyerang Kedah. Lagipun, Sultan Dhiauddin mempunyai perjanjian persahabatan dengan Belanda (Mohamad Isa, 1990). Percubaan seterusnya dibuat oleh Tunku Ngah Putera pada tahun 1687 juga dengan bantuan Bugis. Pertempuran yang bertumpu di kawasan Sungai Merbok berjaya dimenangi Kedah dan Tunku Ngah Putera terpaksa melarikan diri ke Bruas dan kemudian ke Jeram, Selangor. Percubaan menyerang Kedah kali kedua pada April 1688 juga digagalkan.

Campur tangan Bugis berlaku sekali lagi pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa (17101718). Baginda dicabar oleh adindanya yang mendapat bantuan Raja Kecil Siak. Sultan Muhammad Jiwa pula meminta bantuan Bugis yang dipimpin oleh Daeng Parani. Pertempuran mengambil masa lama dan keadaan menjadi tenang hanya selepas tahun 1724 apabila pasukan Bugis berundur ke Selangor, dan Raja Kecil berundur ke Siak. Walau bagaimanapun, dua tahun kemudian sekali lagi ketenangan muncul semula yang melibatkan Raja Kecil dan Daeng Parani. Dalam peperangan ini, Daeng Parani terkorban tetapi Sultan Muhammad Jiwa berjaya memenangi persengketaan tersebut. Bugis sekali lagi campur tangan di Kedah pada tahun 1769 apabila membantu Tunku Anjang dan Tunku Long Putera. Tuhfat Al-Nafis memberi rasional, serangan yang dipimpin oleh Raja Haji bertujuan menuntut bayaran hutang upahan kepada Bugis semasa Daeng Parani membantu Kedah pada tahun 1726. Tuntutan ini agak aneh kerana Bugis menunggu lebih 30 tahun untuk bertindak, dan melindungi motif untuk campur tangan di Kedah. Walaupun pasukan Bugis berjaya menduduki Kota Star tetapi gagal menewaskan pasukan Kedah secara mutlak. Sultan Muhammad Jiwa berundur ke Perlis dan baginda meneruskan perjuangan serta mengatur strategi baru. Para pembesar dan rakyat Kedah menganggap Bugis sebagai campur tangan asing dan mesti ditentang (Wan Yahya, 1911 : 5). Tanpa sokongan pembesar dan penduduk tempatan, pasukan penyerang telah berundur. Ancaman Belanda ke atas Bugis menjelang tahun 1780-an meredakan ancamannya ke atas Kedah.

Hubungan Kedah Dengan Myanmar dan Siam Sehingga 1909

Berabad Siam mencatatkan yang Kedah dan negeri-negeri Melayu Utara yang lain menjadi takluk kepada Siam sejak abad ke-12 iaitu zaman Kerajaan Sukhotai. Malah, Siam beranggapan Kedah seagama, sebangsa dan sebudaya dengan Siam (Paul Wheatley, 1961 : 91-103). Bagaimanapun, akibat kekurangan data, bukti-bukti tepat tidak dapat diberikan. Dari segi kefahaman politik Siam, hubungan dengan negeri-negeri jirannya yang kecil bersifat tidak Stara. Sebagai tanda perhubungan, negeri naungan dimestikan menghantar ufti berupa bunga emas dan perak, pertukaran hadiahhadiah serta surat-menyurat. Mengikut adat, perkara ini perlu dilakukan tiga tahun sekali. Negerinegeri naungan juga dikehendaki memberi berbagai perkhidmatan kepada Siam seperti perkhidmatan tentera, tenaga buruh dan bekalan makanan (Muhd. Yusuf Hashim, 1980 : 75).

Penulis R. Bonney berpendapat sukar bagi memastikan sejauh mana pengiktirafan yang diberikan bermaksud penguasaan kedaulatan ke atas Kedah (R. Bonney, 1971 : 13). Berasaskan penulisan istana Kedah, Hikayat Merong Mahawangsa menjelaskan penghantaran bunga emas dan perak ke

Siam dibuat sebagai hadiah kepada Raja Siam yang baru mendapat anak lelaki. Jelasnya, penghantaran tersebut bersifat sosial dan tidak ada natijah politik.

Pada abad ke-18 dan awal ke-19, Kedah tersepit kerana adu-tenaga Myanmar-Siam. Kedua-dua kerajaan ini mahu menguasai negeri-negeri Melayu di Utara Semenanjung Malaysia. Bagi menghadapinya, Kedah terpaksa menjalankan dasar suai-faedah (Muhd. Yusuf, 1980 : 75). Diplomasi ini menyebabkan Kedah melompat dari suatu kuasa ke suatu kuasa yang lebih kuat. Pada masa keadaan tidak pasti sama ada Siam atau Myanmar akan menang, Kedah mengambil sikap mengakui kedua-dua pertuanan. Malah menjadi kecenderungan negeri-negeri Melayu membebaskan diri jika peluang terbuka.

Pada abad ke-18, Siam berperang dengan kerajaan Myanmar (Ava). Pada masa persaingan Siam dengan Myanmar ini, Sultan Kedah menghantar bunga emas dan perak ke salah sebuah kerajaan ini atau kedua-duanya sekali. Pada tahun 1767, Ayuthia dikalahkan oleh Raja Myanmar, Hsinbysin dan Kedah menghantar bunga emas dan perak ke Ava (Kedah menyebutnya 'awak'). Dalam pada itu, Kedah juga cuba membuat perjanjian dengan pihak ketiga khususnya Inggeris bagi mendapatkan bantuan ketenteraan bagi menghadapi dasar agresif jiran-jirannya di utara. Bagaimanapun, hasil kejayaan Phraya Taksin dalam kempennya menentang Myanmar, Siam mula menekan negeri-negeri Melayu. Bagi mengelak tekanan, Sultan Muhammad Jiwa dengan segera mengambil tindakan bunga emas dan perak ke Thonburi. Dasar perluasan wilayah Siam semakin menonjol pada zaman pemerintahan Jeneral Chakri atau Rama I (1782-1802). Putera Wang Na Surasi dipertanggungjawabkan untuk menyusun rancangan menundukkan negeri-negeri Melayu (Kobkua, S., 1991 : 36).

Pada zaman awal pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (1803-1842), hubungan Kedah-Siam berjalan lancar. Kedah telah memberi perkhidmatan tentera, membekalkan makanan dan menyerang negeri lain bagi pihak Siam. Pada tahun 1808, Kedah diminta membantu Singgora menentang Patani. Berikutnya, Kedah diminta menyerang Perak bagi pihak Siam pada tahun 1810 dan sekali lagi pada tahun 1818. Pada tahun 1818 juga, Siam meminta Kedah menghantar tentera ke Tongkah bagi menghadapi tentera Myanmar. Sultan Ahmad Tajuddin II terpaksa memenuhi tuntutan Siam demi menyelamatkan Kedah daripada penjajahan tentera Siam. Kesetiaan Sultan Ahmad Tajuddin II dihargai Siam dan baginda diberikan pangkat Chao Phraya.

Dalam pada itu, kesetiaan Sultan Ahmad Tajuddin II tetap dicurigai Siam terutamanya pada dasawarsa 1820-an. Sultan Kedah dituduh berkomplot dengan Myanmar. Ini semakin jelas apabila baginda enggan mengadap Rama III. Dalam pada itu, Sultan telah berpindah ke Pulau Tiga, Merbok yang bersempadan dengan Pulau Pinang. Ini bagi mengelak tindakan ketenteraan Siam yang bila-bila masa boleh menyerang Kedah. Kebimbangan Kedah terhadap serangan Siam menjadi kenyataan pada November 1821. Pihak Siam berjaya menawan Kuala Kedah dalam keadaan rakyat Kedah tidak bersedia berperang malah askar Siam disambut tanpa kecurigaan. Sultan Ahmad Tajuddin II berjaya

menyelamatkan diri dan mendapat suaka politik di Pulau Pinang. Gabenor Ligor yang bertindak bagi pihak Bangkok mengambil langkah menjalankan pentadbiran secara langsung di Kedah. Anak Gabenor Ligor, Phra Pakdi (Saeng) dilantik sebagai Gabenor Kedah dan seorang lagi anaknya Nai Nut sebagai Naib Gabenor (Cyril Skinner, JMBRAS, Vol. 54 (2) : 85).

Ramai rakyat Kedah berhijrah mengikut Sultan mereka ke Pulau Pinang dan Seberang Prai. Dianggarkan sepanjang pemerintahan Siam (1821-1842) seramai 70 ribu orang berhijrah ke koloni Inggeris (Burney Papers, Vol. V : 68). Pendudukan Siam di Kedah mendapat tentangan penduduk tempatan. Terdapat dua bentuk peperangan yang dilancarkan iaitu perang gerila dan perang terbuka. Perang gerila wujud berterusan manakala perang terbuka pada tahun 1823,1828-1829, 1829-1831 dan 1838-1839. Ramai tokoh yang turut menyumbangkan jasa bakti kepada Kedah. Sultan Ahmad Tajuddin II dianggap tokoh pemenyatu seluruh gerakan penentangan. Tokoh-tokoh lain termasuklah Tunku Abdullah, Tunku Kudin (Syed Zainal Abidin), Tunku Long Putih, Tunku Mohamad Said, Tunku Mohamad Saad, Dato' Pekerma Wan Mohamad Ali, Tok Moris dan ramai lagi.

Nampaknya, pemerintahan langsung Siam di Kedah mendapat penentangan berterusan. Siam kemudiannya terpaksa mengubah kepada dasar lama dan terpaksa menyerahkan pemerintahan Kedah kepada Tunku Anum Paduka Raja Jambangan. Bagaimanapun, langkah ini belum dapat menyelesaikan ketegangan politik di Kedah. Akhirnya, atas desakan pihak Inggeris, khususnya Gabenor Bonham, Sultan Ahmad Tajuddin II mendapat kembali takhtanya (J.M.Gulick, JMBRAS, Vol. 56 (2) : 31-86). Walaupun begitu, saiz Kedah telah dikecilkan. Tiga negeri baru diwujudkan - Kubang Pasu, Perlis dan Setul. Hanya Kubang Pasu berjaya diserapkan kembali ke dalam Kesultanan Kedah oleh Rama IV.

Penaklukan Siam menjadi pengajaran penting kepada Kedah-Siam kerana selepas ini kedua-dua negeri memastikan pengalaman ini tidak berulang. Hasilnya, Kedah menjadi stabil dan pemerintahan kerajaan dapat disusun sehingga menjadi model negeri-negeri Melayu (Sharom Ahmat, JSS, Vol. 59 (1) : 100).

Anda mungkin juga menyukai