Anda di halaman 1dari 3

Tenang Itu Perlu Dicari

Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad


Perunding Motivasi MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd. Presiden TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia) drasmadi@maptraining.com.my

Ramai orang yang mencari-cari ketenangan. Pelbagai cara dilakukan oleh kita. Ada yang pergi bercuti kke pantai dan melihat ombak laut lalu beroleh ketenangan. Ada yang berkelah ke kawasan air terjun. Kesejukan suasana di sekitar air terjun dan kehijauan hutan rimba memberikan ketenangan. Ada yang cuba mencari ketenangan dengan cara yang negatif seperti menghisap dadah atau meneguk arak. Semua itu memberikan ketenangan tapi hanya buat seketika. Pulang sahaja kita ke rumah dari percutian, sedar sahaja kita dari mabuk, jiwa kembali menjadi resah dan gundah. Bermakna, ketenangan yang diperolehi itu hanyalah berbentuk superfisial. Berbentuk sementara dan sekadar luaran. Dalaman kita tidak mencapai tahap ketenangan yang dicari-cari. Salah satu cara yang berkesan bagi mendapat ketenangan yang hakiki adalah dengan memupuk dan mendidik hati agar bersifat qanaah. Orang yang memiliki sifat qanaah ini sama sahaja ketika susah atau senang. Ketika dipuji atau dikeji. Ketika miskin atau kaya. Baginya, dia faham tidak akan berlaku sesuatu itu tanpa izin Allah. Dia yakin bahawa dalam hidup ini tiada kebetulan sebaliknya dirancang sebaik-baiknya oleh yang Maha Bijaksana iaitu Allah swt. Oleh itu apabila perancangan kita tidak menjadi maka pasti ada hikmah disebaliknya dan apabila menjadi pula tidak menjadikan kita lupa diri. Qanaah bermaksud kita merasa cukup tenang dengan apa sahaja yang dimiliki atau terjadi. Bukanlah bermakna kita tiada perasaan. Misalnya, apabila kematian orang yang sayangi pastilah kita sedih dan jiwa tidak tenteram. Lebih-lebih lagi apabila seorang isteri kematian suami yang menjadi tempat bergantungnya selama ini. Cuma jauh di sudit hati kita reda dan terima apa yang telah menimpa kita itu. Orang yang ada sifat qanaah akan cepat pulih diri dalam apa juga situasi dan tekanan sebab Allah adalah tempat rujuk dan tempat mengadunya. Jiwanya sentiasa tenang sebab tiada apa yang perlu dirisaukan olehnya secara keterlaluan. Tidak tenang boleh mendorong sifat dendam. Orang yang tidak tenang apabila dirinya disakiti, hatinya dipermainkan, kasihnya dicurangi, haknya diambil dan sebagainya akan lebih terdorong untuk membalas dendam. Jika dia tidak berkuasa melakukannya secara zahir disebabkan orang yang menyakitinya itu lebih berkedudukan atau lebih berkuasa, atau kerana dia tidak mahu orang tahu siapa yang melakukannya maka dibalasnya secara batin. Diupahnya dukun, pawang, bomoh atau ustaz-ustaz palsu untuk menyihir orang yang didendaminya itu. Malah ada yang sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit asalkan hatinya puas. Bukan bermakna kita tidak boleh meminta keadilan atau memperjuangkan hak kita yang diambil secara tidak sah. Cuma, jiwa tidak tenang yang mendorong kepada perasaan dendam itu boleh lebih merosakkan apa yang sudah rosak. Banyak lagi cari yang betul dan jalan yang benar yang boleh dilakukan. Satidak-tidaknya kita berdoa pada Allah agar orang yang melakukan perkara buruk terhadap kita diberikan petunjuk dan sedar akan perbuatannya itu. Kadang-kadang kita mungkin lupa, Allah izinkan orang lain lakukan sesuatu yang buruk itu disebabkan oleh dosa-dosa dan kesalahan kita sendiri dengan Allah. Kita mungkin pernah sakitkan hati orang lain, tetapi orang itu tidak

membalasnya. Namun, Allah yang Maha Adil dan Maha Mengetahui menghantar orang lain pula, yang tiada kena mengena, menyakitkan hati kita. Itu namanya hukum karma. Apa yang diberi itulah yang kita dapat. Apa yang ditanam itulah yang kita tuai. Tidak tenang memberi kesan pada produktiviti. Apabila kita tidak tenang maka kita tidak boleh fokus. Orang yang sedang ditinggalkan kekasih hati, diceraikan, berhadapan dengan anak yang sakit kritikal, anak lari dari rumah, dan sebagainya tidak boleh tenang. Ini secara tidak langsung akan menganggu urusan kerja dan rutin harian. Buku cek pun boleh tersalah tandatangan. Tandas pun boleh tersalah masuk. Bercakap pun kadang-kadang merapu. Dalam mesyuarat pun fikirannya kadang kala menerawang hinggakan apabila dipinta pendapat terpinga-pinga memikirkan apa yang telah dibincangkan. Memanglah dengan reda dan bertenang masalah tidak juga selesai. Tetapi adakah ia selesai dengan tidak tenang? Tidak juga. Cuma sekurangkurangnya dengan belajar bertenang kita tidak menambah masalah atas masalah yang sudah sedia ada. Sebab yang dikatakan stres itu adalah kita tahu puncanya. Sebaliknya kalau kita tidak tahu apa punca stres maka itu namanya depresi. Depresi boleh membawa kepada keadaan diri yang tidak terkawal. Ada ketikanya mebuka laluan kepada jin dan syaitan untuk mengambil kesempatan lalu merasuk atau membisik-bisik melakukan perkara mungkar hingga ada yang sanggup bunuh diri. Sebab itulah ubat kepada ketenangan bukanlah pil-pil yang kita ambil daripada doktor pakar jiwa. Pil-pil boleh memberikan kesan jangka pendek tetapi bagi kesan jangka panjang ubat yang paling mujarab ialah beristighfar, bertaubat, membaca dan memahami al-quran, berzikir dan solat malam. Tidak tenang mudah jatuh sakit. Apabila hati tidak tenang dan jiwa tidak tenteram tubuh badan lebih banyak mengeluarkan toksid yang membawa kepada kemudaratan dan membawa kepada penyakit. Orang yang tidak tenang hidupnya lebih rapuh (fragile). Mudah putus asa, mudah menyerah mengalah, berlebih-lebihan menyalahkan diri sendiri atas masalah yang berlaku, merasakan dunia tidak adil, hinggakan ke tahap ada yang menyalahkan Allah. Apabila berterusan sebegini maka umur pun pendek sebab hati yang tidak tenang mengundang sakit fizikal seperti sakit jantung dan darah tinggi. Kajian perubatan secara saintifik telah mendapati bahawa stres boleh meningkatkan kadar asid amino homocysteine dalam darah yang boleh menjadi penyebab kepada sakit jantung. Tidak tenang mengundang kecelakaan. Orang yang tidak tenang kerap kali buat sesuatu perkara dengan gelojoh atau kelam kabut. Bawa kereta pun laju. Tidak boleh orang lain silap sedikit mulalah memaki hamun dan menekan hon kuat-kuat. Akhirnya, diri sendiri yang terlibat dengan kemalangan. Susah sendiri juga. Ada ketikanya kita lupa, kalau kita marah orang lain pun boleh marah juga. Kalau kita baran, baran orang lain mungkin lagi dahsyat daripada kita. Silap hari bulamn bukan kita yang kenakan orang tapi orang yang kenakan kita. Jadi pelbagai kecelakaan dan kemalangan boleh berlaku apabila hati tidak tenang. Oleh itu, belajarlah bertenang dengan memahami bahawa hidup ini hanyalah sementara dan semua yang kita ada hanyalah pinjaman sahaja. Tiada satu pun yang kekal. Malah masalah yang sedang kita hadapai walau sebesar mana sekali pun juga tidak kekal. Banyak perkara yang menjadi masalah kepada kita beberapa tahun dahulu kini selesai. Berikan masa bagi diri kita dan tenang membolehkan kita berfikir dengan lebih waras lagi bijaksana.

Anda mungkin juga menyukai