Anda di halaman 1dari 1

ABSTRAK

Kajian ini adalah suatu kajian pengkaedahan tentang konsep-konsep hujahan al-Sunnah di kalangan ulam al-Hadth. Kajian ini bertujuan untuk menyatakan kefahaman hujahan al-Sunnah sebenar dan untuk mengenal pasti penggunaan hasil dari kefahaman cara-cara berhujah dengan al-Sunnah sebagai sumber hukum syariat. Kajian juga bertujuan untuk menghuraikan konteks hujahan al-Sunnah dalam pelbagai bidang bagi memantapkan lagi kefahaman tentang konsep fiqh al-Sunnah dan prinsip-prinsip pemahamannya terutama mengenai rumusan-rumusan hukum-hukum dari al-Sunnah.Dapatan kajian menunjukkan bahawa al-Sunnah sebagai sumber syariat yang konsisten dalam menjelaskan kandungan al-Qurn atau merumuskan hukum-hukum tersendiri. Menurut ahl al-Sunnah wa al-Jamaat hujahan alSunnah mencakupi setiap sudut keagamaan dan keduniaan termasuk kehidupan dan kemaslahatan. Namun terdapat beberapa golongan yang sanggup menolak hujahan al-Sunnah kononnya kerana ianya daripada ucapan manusia dan bukannya wahyu yang suci. Sesetengah mereka menolak al-Sunnah secara keseluruhan manakala sesetengah yang lain menolak sebahagian daripadanya. Perkara ini mungkin disebabkan oleh salah faham terhadap al-Sunnah ataupun dendam kesumat terhadap RaslulLh s.a.w. Dapatan-dapatan kajian menunjukkan bahawa keseluruhan al-Sunnah yang dithabitkan daripada RaslulLh s.a.w. tidak dalam satu peringkat dan tidak juga dalam satu bentuk pengucapan tetapi beberapa peringkat dan berbagai bentuk sebagaimana al-Qurn juga. Langkah pertama yang mesti dijalankan ialah menyelidik martabat al-Sunnah dengan ilmu-ilmu berkaitan hingga dapat dipastikan kedudukannya sama ada daripada bahagian yang harus dijadikan hujah atau mesti ditinggalkan. Lantaran al-Sunnah itu bukan sekadar merumuskan hukum-hakam syara sahaja tetapi turut mengenal pasti sama ada amalan yang dilakukan itu daripada amalan al-Sunnah atau amalan al-Bidat. Pandangan-pandangan ulam yang berkenaan perlu diklasifikasikan secara logik dari segi keselarasannya dengan mantq atau mafhm al-Sunnah. Hal ini sangat bergantung kepada ijtihad berdasarkan kaedah-kaedah dan kekukuhan alat-alat kegunaan masing-masing. Pendekatan dan langkah-langkah dalam memahami al-Sunnah merupakan asas penting yang perlu diambil langkah inisiatif supaya tidak terpesong dari maksud kandungannya. Selain daripada itu implikasi amalan alSunnah dan rumusan hukum-hakam taklifiy lazimnya dengan menggunakan prinsip-prinsip khusus dan umum di antara lain kaedah-kaedah al-Hadth, qawid fiqhiyyah dan usl al-Fiqh dan juga Bahasa Arab dan ilmu-ilmu berkaitan. Demikian juga bahan-bahan rujukan yang utama mengenai hujahan al-Sunnah. Paling kurangnya perlu dirujukkan kitab-kitab induk hadth al-Kutub al-Sittat kerana kitab-kitab berkenaan mengandungi rumusan hukum-hakam secara ringkas yang dikupaskan daripada hadth-hadth, mengemukakan pandangan-pandangan ulam di samping menyatakan martabat hadth. Kebanyakan kitab-kitab itu mengandungi hadth-hadth yang patut diamalkan. Yang disebutkan itu merupakan gagasan-gagasan penting bagi membuktikan kesahihan fahaman hujahan al-Sunnah dan perlaksanaan amalannya sesuai dengan al-Sunnah sebagai sumber yang agung bagi syariat Islam. Dengan tegas dikatakan bahawa sekiranya kita tidak memahami konsep-konsep pemahaman hujahan al-Sunnah dengan lengkap tidak mungkin kita dapat memahami al-Sunnah dengan sempurna sama sekali dan tidak mungkin juga kita dapat membuat rumusan hukum-hakam al-Sunnah secara yang sepatutnya sebagaimana amalan ulam al-Hadth.