Anda di halaman 1dari 2

NOTA UCAPAN Assalamualaikum wr wbt Syukur ke hadrat Allah SWT kita dapat berkumpul di Majlis Multaqa Imam dan

Bilal Peringkat Daerah Kuala Terengganu Terima kasih kepada pihak JHEAT kerana menjemput saya menyampaikan ucapan perasmian pada pagi ini. Persoalan hudud menjadi topik perbincangan yang hangat di kalangan masyarakat dari pihak pemerintah sehingga rakyat jelata, dari parlimen sehinggalah di kedai-kedai kopi. Persoalan ini menjadi semakin rumit apabila ia dijadikan bahan untuk meraih keuntungan kelompok dan kepentingan parti politik. Selepas isu hudud kembali tenang buat masa ini, isu ini dijangka akan dimainkan semula apabila hampir dengan PRU. Ramai bijak pandai yang mengakui tidak mudah untuk laksanakan undang-undang hudud dalam negara ini yang sistem politik dan komposisi penduduknya agak berbeza dengan negara-negara Arab Islam lain. Gerakan-gerakan Islam yang mendapat kerajaan di Mesir, HAMAS di Palestin, di Libya dan Tunisia meninggalkan tajuk hudud buat masa ini. Mengapa? Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pelaksanaan hudud memerlukan penelitian kerana beberapa negara luar tidak mengamalkannya kecuali Arab Saudi. Menurutnya, persekitaran yang membolehkan undang-undang hudud berfungsi dengan adil selain di Arab Saudi, tidak wujud. Dalam The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, John L. Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan. Di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberapa tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Tokoh ilmuwan muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi s.a.w hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia muslim.

Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah tiada lagi. Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan penafsiran hukum berkenaan oleh manusia. Kerajaan tidak menolak hukum hudud tetapi ia memerlukan kemampuan dan persiapan rapi demi memastikan pelaksanaannya tidak memberi kesan yang buruk terhadap agama dan mencapai maqasid syariyyah yang dituntut. Saidina Umar bin Abdul Aziz pernah menegur anaknya yang sedang bergelora semangat keagamaannya ingin agar ayahnya segera melaksanakan perbaikan terhadap masyarakat tanpa memperdulikan risiko apapun yang akan menimpa asalkan tetap di jalan Allah. Umar menyebutkan saya khuatir jika masyarakat saya bawa kepada kebenaran secara serta merta mereka akan menolaknya secara serta merta pula. Akibatnya tentu akan timbul fitnah. Kesungguhan kerajaan melaksanakan hukum agama secara berhikmah dan terancang dapat dilihat melalui pelbagai program penerapan nilai-nilai Islam, penubuhan Bank Islam, pajak gadai Islam dan insuran Islam. Ia menjadi bukti kerajaan hari ini tidak pernah meminggirkan agama dan berusaha memartabatkannya tetapi ia tidak menjanjikan perkara yang mustahil. Golongan imam dan bilal perlu berperanan luas dalam menyebarkan kefahaman sebenar tentang Islam dan bertindak sebagai agen perpaduan dan transformasi. Terima kasih kepada semua imam dan bilal kerana turut bersama-sama dengan kerajaan hari ini bagi memastikan agama Islam terus dimartabat dan dipelihara.