Anda di halaman 1dari 11

1.

0 PENGENALAN

Jepun merupakan sebuah negara kepulauan yang mempunyai keadaan semula jadi
yang amat sesuai untuk perkembangan sebuah tamadun sehingga mampu dikenali sebagai
suatu bangsa yang kuat dan negara yang hebat sama ada dari aspek politik, ekonomi,
kebudayaan dan sosial. Masyarakat Jepun amat menyedari kepentingan warisan tinggalan
nenek moyang mereka dan ikatan atau hubungan mereka dengan tanah besar Asia walaupun
secara realitinya mereka menjalani kehidupan yang berasingan iaitu sebagai masyarakat
kepulauan.1 Selain itu, aspek lain yang amat penting dengan masyarakat awal Jepun ialah
kepekaan mereka terhadap sifat-sifat kedewaan.2 Misalnya, keindahan alam semula jadi yang
terdapat di Jepun dianggap sebagai satu anugerah daripada dewa kepada kepulauan Jepun. Hal
ini demikian kerana secara lagendanya, masyarakat Jepun mempercayai mereka berasal
daripada Dewi Matahari iaitu bukan sahaja keturunan, tetapi meliputi asal-usul tanah dan
negara Jepun itu sendiri. Kepercayaan asal-usul ini juga boleh dibuktikan melalui makna
Nihon (Nippon)3 dalam bahasa Jepun yang membawa maksud asal matahari iaitu matahari
terbit.4
Manakala secara geografinya, Jepun merupakan sebuah negara yang terletak
sebahagian daripada Zon Asia Timur yang kedudukannya berdekatan dengan China, Korea,
Taiwan dan Vietnam.5 Kepulauan Jepun ini terdiri daripada empat pulau utama iaitu Honshu,
Kyushu, Shikoku, Hokkaido dan pulau-pulau kecil yang berhampiran. Honshu merupakan
pulau terbesar mempunyai beberapa buah bandar-bandar terbesar di Jepun seperti Tokyo,
Osaka, Kyoto, Nagoya dan Yokohama, dan secara tidak langsung kebanyakan penduduk
Jepun tinggal di pulau Honshu ini.6 Pulau Honshu mempunyai perkembangan perbandaran
yang pesat berbanding pulau-pulau lain kerana pulau ini mempunyai satu per lima dataran
lanar berbanding empat per lima daripada tanah yang lain di Jepun adalah diliputi oleh
pergunungan. Misalnya, tiga dataran yang subur di Honshu adalah seperti Kanto di Teluk
Tokyo, Kinai di Teluk Osaka dan Teluk Ise.7 Oleh itu, keadaan tanah yang subur ini
1
W. Scott Morton, (Diterjemah oleh Azhar Mad Aros), Jepun: Sejarah dan Budaya, Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya, 2006, hlm. 1.
2
Ibid.
3
Istilah Nihon telah diterima secara amnya sebagai nama untuk Jepun dan pertama kali digunakan oleh para
cendiakawan Korean yang telah ramai datang ke Jepun semasa awal abad ke-7. Manakala penggunaan istilah
Nippon secara meluas adalah semasa era pemerintahan Meiji (1868-1912) dan Taisho (1912-1926). Lihat, M.
Rajendran, Sejarah Jepun, Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd., 1988, hlm. 1.
4
Ibid.
5
Edwin O. Reischauer, (Diterjemah oleh Azhar Mad Aros), Jepun: Sejarah Sebuah Negara, Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya, 2006, hlm. 2.
6
M. Rajendran, Sejarah Jepun, Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd., 1988, hlm. 1.
7
Ibid.
menyebabkan kawasan tersebut mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi berbanding
kawasan-kawasan lain.
Kedudukan geografi Jepun yang terpisah dan terasing ini sememangnya memainkan
peranan yang penting dalam membentuk Jepun menjadi sebuah negara yang bercirikan
pemencilan, di samping menjadikan masyarakat Jepun sebagai sebuah masyarakat yang
mempunyai kesedaran yang tinggi dan sentiasa berhati-hati terhadap masyarakat luar.8 Hal ini
demikian kerana hubungan antarabangsa Jepun dan perasaan kurang senang yang dihadapinya
mengenai kedudukan mereka di mata dunia amat berkait rapat dengan pemencilan ini. Walau
bagaimanapun, sifat pemencilan Jepun inilah yang telah mendorong mereka untuk berusaha
membentuk tamadun dan budaya yang istimewa dan setanding dengan tamadun dunia yang
lain. Misalnya, masalah jarak bukan lagi menjadi faktor penghalang kepada Jepun untuk
muncul sebagai antara negara yang unggul dalam perdagangan global.9 Sehingga ke hari ini,
Jepun merupakan antara negara dari benua Asia yang berjaya berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan negara-negara maju dari Barat seperti Amerika Syarikat, England, dan Russia
sama ada dari aspek politik, ekonomi, mahupun sosial.
Oleh itu, hubungan antarabangsa yang terjalin antara Jepun dengan negara-negara lain
merupakan satu aspek yang amat penting untuk dibincangkan. Hubungan diplomatik Jepun
dengan negara luar dalam era moden telah bermula semenjak era Meiji lagi iaitu dengan
tujuan, ‘to the attainment of national security and equality with other members of the family
nations’.10 Hubungan diplomatik Jepun juga boleh diklasifikasikan kepada dua arah iaitu
pertama terhadap negara jirannya, China dan Korea manakala kedua terhadap negara-negara
Barat. Penulis akan membincangkan mengenai hubungan dua hala yang terjalin antara Jepun
dengan China bermula sejak zaman awal sehingga kepada zaman moden meliputi aspek-aspek
seperti masalah yang dihadapi dan kesan-kesannya. Hubungan dua hala yang terjalin antara
Jepun dengan China sememangnya amat penting memandangkan hubungan ini bukan sahaja
mendatangkan kesan ke atas kedua-dua buah negara ini tetapi turut mempengaruhi keadaan
semasa pada peringkat global.11

2.0 HUBUNGAN AWAL JEPUN DAN CHINA

8
Edwin O. Reischauer, (Diterjemah oleh Azhar Mad Aros), Jepun: Sejarah Sebuah Negara, Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya, 2006, hlm. 4.
9
Ibid., hlm. 2.
10
Masamichi Royama, Foreign Policy of Japan 1914-1939, Tokyo: Japanese Council Institute of Pacific
Relations, 1941, hlm. 1.
11
Greg Austin and Stuart Harris, Japan and Greater China: Political Economy and Military Power in Asian
Century, United Kingdom: C. Hurst & Co., 2001, hlm. 2.
Secara asasnya, Jepun sememangnya mempunyai perkaitan yang rapat dengan negara
China terutamanya dalam aspek ketinggian kebudayaan iaitu kebanyakan budaya Jepun
adalah berasal dari China. Hal ini demikian kerana kebudayaan Jepun itu sendiri telah
dianggap sebagai “daughter of Chinese civilization” sama seperti negara-negara di Eropah
Utara yang menjadi “daughter of Mediterranean civilization”.12 Walau bagaimanapun,
penerimaan kebudayaan China ini adalah rasional kerana bukan sahaja Jepun yang menerima
pengaruh daripada kebudayaan China ini, tetapi negara-negara di Zon Asia Timur yang lain
seperti Korea dan Taiwan turut menerima pengaruh yang sama memandangkan keadaan ini
adalah impak daripada dominasi China13 di Asia Timur sejak sekian lama. Namun begitu,
pengaliran kebudayaan dari luar ke dalam masyarakat Jepun ini tidak diterima semata-mata
tetapi akan digabungkan dengan tradisi ringkas penduduk Jepun untuk membentuk satu
budaya baharu yang bersesuaian dengan keadaan geografi mereka.14
Pengaliran masuk pengaruh China ke Jepun secara rasmi bermula pada tahun 552 iaitu
pada tahun yang sama ajaran Buddha diperkenalkan kepada pemerintah Yamato daripada
kerajaan beraja di Korea Selatan.15 Walau bagaimanapun, sebelum tarikh rasmi ini terdapat
kumpulan perutusan dan ahli perniagaan yang telah berulang-alik antara Jepun dan China
pada abad ke-4 S.M sehingga abad pertama Masihi. Selain itu, pengaruh kebudayaan China
juga meresap ke Jepun melalui bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian
kerana pemerintah Jepun telah melaksanakan pemilihan sekumpulan anak-anak muda bagi
mempelajari ilmu pengetahuan dalam bidang kesusasteraan China, falsafah, sejarah atau
teologi Buddha, kemahiran dalam seni lukis, puisi dan muzik di negara China. Tindakan ini
bukan sahaja dapat menjadi bukti bahawa pemerintah Jepun pada ketika itu mempunyai
keupayaan dan kebijaksanaan yang hebat tetapi secara tidak langsung telah membantu
perkembangan Jepun sebagai sebuah tamadun. Selain itu, tindakan ini juga telah menjadi
pemangkin kepada pembaharuan yang pantas di Jepun iaitu melalui Reformasi Taika.

3.0 ANALISIS HUBUNGAN JEPUN DAN CHINA

12
Edwin O. Reischauer, (Diterjemah oleh Azhar Mad Aros), Jepun: Sejarah Sebuah Negara, Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya, 2006, hlm. 3.
13
Zaman keagungan China bermula seangkatan dengan kegemilangan Rom iaitu antara abad ke-220 S.M
sehingga 220M.
14
Hal ini dapat menafikan konsep yang menganggap masyarakat Jepun hanyalah peminjam atau peniru kerana
keadaan terasing bukan sahaja meningkatkan kesedaran mereka untuk mempelajari sesuatu dari negara luar
tetapi secara tidak langsung telah mendorong mereka untuk membentuk keunikan tamadun yang tersendiri .
Misalnya, rupa bentuk rumah Jepun yang unik.
15
Ibid., hlm. 12.
Setiap negara pastinya akan menjalankan hubungan luarnya dengan negara-negara lain
sama ada melalui hubungan politik, ekonomi mahupun kebudayaan. Greg Austin dan Stuart
Harris telah menyatakan mengenai kepentingan sesebuah hubungan dua hala yang terjalin
antara negara iaitu, ‘The bilateral relationship has an important impact on the economic
perfomance and strategic standing of each...’. Hubungan yang terjalin antara Jepun dengan
China sememangnya sering menjadi perhatian dunia untuk dibincangkan kerana hubungan
antara kedua-dua buah negara ini adalah tidak menentu. Hal ini demikian kerana sering sahaja
terdapat pelbagai masalah atau isu yang menghalang hubungan tersebut menjadi tidak dingin.
Oleh itu secara keseluruhannya, hubungan antara Jepun dengan China adalah dingin kerana
kedua-dua buah negara besar di Asia Timur ini sering sahaja mengalami pertelingkahan
mengenai sesuatu perkara yang menyebabkan pelbagai masalah timbul dan dibangkitkan.
Pada kebiasaannya, perbincangan mengenai hubungan antara Jepun dengan China ini akan
dihuraikan melalui beberapa pembahagian masa iaitu sebelum dan semasa Perang Dunia
Kedua dan selepas Perang Dunia Kedua. Sebelum Perang Dunia Kedua iaitu antara tahun
1931 hingga 1945, hubungan antara Jepun dengan China berlaku melalui peperangan yang
berlaku. Hal ini demikian kerana Jepun dan China telah berhadapan dengan masalah
mengenai Manchuria.
Perang Dingin telah bermula setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua. Oleh itu,
keadaan ini turut mempengaruhi hubungan antara Jepun dan China. Hal ini demikian kerana,
akibat daripada Perang Dingin ini, kedua-dua buah negara ini berada dalam keadaan
kelompok yang saling bermusuhan.16 Keadaan ini sebenarnya turut dipengaruhi oleh beberapa
faktor lain, antaranya ialah faktor politik dalaman di kedua-dua buah negara dan juga tekanan
yang dihadapi oleh Jepun daripada Amerika Syarikat yang mahu menjadikan Jepun sebagai
benteng untuk menentang atau menghalang penularan komunisme di Asia Timur. Walaupun
sehingga tahun 1972 negara Jepun dan China tidak menjalankan perhubungan diplomatik
antara satu sama lain, tetapi masih terdapat hubungan yang terjalin melalui badan-badan
bukan kerajaan kedua-dua negara ini. Pengenalan diplomasi yang diistilahkan sebagai
diplomasi rakyat ini sememangnya telah dapat membawa era pembaharuan dalam hubungan
kedua-duanya. Diplomasi ini bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek ekonomi tetapi
turut menjalin hubungan melalui pertukaran kebudayaan yang terjalin melalui persatuan-
persatuan persahabatan dan lain-lain organisasi bukan kerajaan.17

16
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 122.
17
Ibid., hlm. 123.
Kesan daripada diplomasi rakyat ini ialah menyebabkan semakin ramai orang Jepun
daripada pelbagai kumpulan seperti persatuan wanita, belia, kesatuan pekerja dan juga ahli
parlimen yang mengunjungi China di samping diplomasi inilah yang telah membawa kepada
termeterainya perjanjian antara bukan kerajaan dalam pelbagai bidang seperti perdagangan,
perikanan dan kebudayaan.18 Misalnya, dalam tahun 1952, 1953 dan 1955 terdapat kira-kira
40 perjanjian perdagangan dan kebudayaan yang dimeterai oleh organisasi awam dan syarikat
persendirian kedua-dua buah negara ini.19 Hal ini dapat membuktikan bahawa polisi yang
dilaksanakan oleh Jepun semenjak tahun 1951 adalah memisahkan antara hubungan politik
daripada ekonomi.20 Hal ini juga dapat menjadi bukti bahawa matlamat utama Jepun dalam
zaman selepas perang kebanyakannya adalah tertumpu dalam bidang ekonomi, dan negara ini
sedang mencari keperibadian dan kekuatannya dalam kalangan masyarakat antarabangsa
semata-mata dari segi ekonomi.21 Selain itu, melalui hubungan ekonomi dan kebudayaan yang
terjalin ini telah dapat memberikan peluang kepada China untuk menekan Jepun dari segi
politik khususnya dengan mengiktiraf Peking dan memutuskan hubungan diplomatik dengan
Taiwan.22 Oleh itu, dapat penulis merumuskan bahawa sehingga tahun 1972, hubungan Jepun-
China adalah atas usaha dan kesedaran rakyat Jepun untuk mengimbangi penggantungan
Jepun kepasa pasaran Amerika Syarikat di samping memperlihatkan rasa bersalah terhadap
apa yang pernah dilakukan oleh Jepun.
Seterusnya, hubungan diplomatik antara Jepun dan China menjadi semakin pulih
akibat pengaruh daripada pemulihan hubungan antara Amerika Syarikat dengan China. Hal ini
demikian kerana tindakan Presiden Nixon melawat Beijing pada bulan Mac 1972 telah
memberikan kejutan kepada Jepun memandangkan Amerika Syarikat tidak mengadakan
rundingan dengan Jepun terlebih dahulu mengenai rancangan pemulihan hubungan dengan
China tersebut.23 Pada penilaian penulis, situasi ini telah menyebabkan Jepun menyedari
bahawa mereka tidak mempunyai alternatif lain selain daripada turut memulihkan hubungan
mereka dengan China. Namun begitu, kesan positif yang diperoleh China daripada pemulihan
hubungan ini ialah Jepun telah mengiktiraf bahawa Republik Rakyat China dan Taiwan adalah
sebahagian daripada China. Hal ini demikian kerana selepas normalisasi ini, Jepun telah

18
Ibid.
19
Savitri Vishwanathan (Editor), Japan: The New Challenges, New Delhi: Allied Publishers Private Limited,
1982, hlm. 21.
20
Ibid.
21
Yasasuke Murakami dan Yutaka Kosei, Jepun dalam Komuniti Sejagat: Peranan dan Sumbangan Pada Abad
Ke-21, Malaysia: Yayasan Penataran Ilmu, 1988, hlm. 13.
22
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 124.
23
Savitri Vishwanathan (Editor), Japan: The New Challenges, New Delhi: Allied Publishers Private Limited,
1982, hlm. 22.
mengumumkan tiga perkara utama dalam dasar luar ke atas China iaitu pertama, Jepun
mengiktiraf China sebagai kerajaan sah, keduanya Jepun telah menegaskan bahawa Taiwan
adalah sebahagian dari China dan yang ketiga, Jepun telah mengakui dan menginsafi
kesengsaraan masyarakat China yang ditimbulkan oleh tentera-tentera Jepun ketika Perang
Dunia Kedua.24
Selain itu, kesan daripada pemulihan ini juga Jepun telah mewujudkan hubungan
diplomatik secara rasmi dengan China sambil menawarkan Bantuan Pembangunan Rasmi
(ODA) yang dimulakan pada tahun 1979. Tindakan Jepun memberikan bantuan ODA ini
dapat memperlihatkan bahawa Jepun sebagai negara yang mempunyai kekuatan ekonomi dan
ideologi yang kuat telah menggunakan strategi soft power25 untuk memberikan bantuan
kepada negara-negara lain terutamanya negara yang terlibat dalam pencerobohan Jepun
seperti China dan Korea. China merupakan negara penerima bantuan ODA yang terbesar dari
Jepun dan hubungan perdagangan Jepun-China pada tahun 1972 juga telah mengalami
peningkatan yang memberangsangkan. Selain itu, antara tahun 1972 hingga 1978, Jepun juga
telah menandatangani 12 perjanjian dalam pelbagai bidang dengan China termasuk bidang
penerbangan dan kaji cuaca diikuti dengan Perjanjian Persahabatan dan Keamanan pada tahun
1978. Pada penilaian penulis, hal ini dapat membuktikan bahawa China sememangnya telah
mendapat kesan positif yang banyak melalui normalisasi ini berbanding Jepun iaitu tiga kesan
positif yang utama ialah pengiktirafan kawasan, bantuan pembangunan dan pengakuan maaf
daripada Jepun.
Walau bagaimanapun, hubungan yang semakin kukuh berdasarkan jumlah
perdagangan yang dicatatkan iaitu berjumlah US$1.1 bilion pada 1972 telah menjadi tegang
pada tahun-tahun berikutnya apabila timbul isu lawatan beberapa Perdana Menteri Jepun ke
Kuil Yasukuni26 terutama sejak kami 14 penjenayah perang disemadikan di kuil tersebut. Hal
ini demikian kerana lawatan ini telah mendapat tentangan hebat daripada Beijing walaupun
Jepun dalam masa yang sama telah berusaha untuk memulihkan hubungan diplomatik tersebut
dengan China melalui cara memohon maaf, menambahkan geran di bawah ODA dan lawatan
Maharaja Jepun ke China. Malah sehingga ke tahun 2006, lawatan Perdana Menteri ke kuil ini

24
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 125.
25
Menurut Joseph Nye, soft power merupakan kuasa yang dating dari ekonomi, ideology, nilai dan budaya iaitu
Negara tersebut telah menggunakan pengaruh dalam tiga bidang tersebut untuk mempengaruhi Negara lain tanpa
menggunakan kuasa ketenteraan. Lihat Obaidellah Mohamad (Penyunting), China: Isu dan Hubungan Luar,
Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2004, hlm. 64.
26
Tokyo Shokonsha telah ditukar namanya menjadi Kuil Yasukuni pada tahun 1879 dan telah dijadikan kuil
kebangsaan utama bagi memperingati mangsa-mangsa yang meninggal dunia dalam peperangan yang berjuang
untuk Jepun sehingga Perang Dunia Kedua. Lihat Caroline Rose, Sino-Japanese Relations: Facing the past,
looking to the future?, London: Routledge Curzon, 2005, hlm. 110.
telah menjadi faktor utama yang menyebabkan hubungan antara Jepun dan China menjadi
tegang. Pada penilaian penulis, China seharusnya tidak perlu menentang hebat lawatan
tersebut memandangkan Jepun telah berusaha untuk membantu membangunkan China
melalui bantuan ODA yang menunjukkan rasa tanggungjawab Jepun mengenai masa
silamnya.
Keseluruhannya, terdapat tiga masalah utama yang menganggu hubungan Jepun
dengan China iaitu masalah pertikaian kawasan, isu buku teks dan isu pengakuan maaf
Jepun. Masalah pertama yang sering dihadapi oleh Jepun dan China ialah masalah mengenai
kedudukan Taiwan, “For the rest of this decade, as for the last two, Taiwan will be an
important issue in relations between the national governments in Beijing and Tokyo”.27
Sememangnya masalah berhubung dengan Taiwan ini telah berlaku sejak tahun 1890-an lagi
iaitu sehingga membawa kepada meletusnya Perang China-Jepun pada tahun 1894 hingga
1895. Hal ini demikian kerana dalam tahun 1895 telah menyaksikan imperialis Jepun telah
melibatkan diri dalam peperangan yang menjatuhkan Dinasti Qing di China sehingga
membawa kepada termeterainya Perjanjian Shimonoseki.28 Kesan daripada perjanjian ini ialah
Jepun berjaya mendapatkan Taiwan dan kepulauan Penghu sehinggalah China berjaya
menewaskan imperialis Jepun lebih kurang setengah abad selepas itu iaitu pada 2 Okbtober
1945. Walau bagaimanapun, masalah ini telah berjaya diselesaikan melalui pernormalan
hubungan yang termeterai pada tahun 1972 kerana Jepun telah memberikan pengiktirafan
kepada China mengenai kedudukan Taiwan di samping menamatkan hubungan dengan
Taiwan demi memastikan kelangsungan hubungan baik dengan China.
Selain itu, hubungan antara Jepun dengan China juga dipengaruhi oleh isu mengenai
buku teks Jepun yang cuba menerapkan persepsi rasmi Jepun terhadap China kepada murid-
murid sekolah terutamanya di peringkat sekolah rendah.29 Misalnya, pada tahun 1982 terdapat
usaha daripada pihak birokrat Jepun yang telah cuba untuk memberikan gambaran “baik”
kepada tindakan yang dilakukan oleh orang Jepun di China seperti peristiwa penaklukan
Jepun ke atas China telah ditukar kepada “Jepun mara ke China untuk membebaskannya”.
Usaha yang cuba diterapkan melalui pendidikan seperti ini bukan sahaja menyebabkan
perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat di negara China, tetapi turut mendapat

27
Greg Austin and Stuart Harris, Japan and Greater China: Political Economy and Military Power in Asian
Century, United Kingdom: C. Hurst & Co., 2001, hlm. 4.
28
Obaidellah Mohamad (Penyunting), China: Isu dan Hubungan Luar, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2004,
hlm. 63.
29
Caroline Rose, Sino-Japanese Relations: Facing the past, looking to the future?, London: Routledge Curzon,
2005, hlm. 50. Lihat juga Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005,
hlm. 141.
tentangan hebat daripada negara-negara lain yang pernah mengalami nasib pencerobohan
yang sama seperti China, misalnya seperti Korea. Pada penilaian penulis, isu buku teks ini
merupakan satu isu yang penting kerana buku teks yang dikeluarkan oleh Jepun adalah
cerminan daripada persepsi rasmi mereka terhadap China yang cuba diterapkan kepada murid-
murid sekolah.
Sebelum tahun Perang Dunia Kedua, sememangnya telah terdapat usaha-usaha yang
dilakukan oleh pihak pemerintah Jepun untuk menerapkan persepsi tersebut melalui buku teks
di sekolah. Misalnya, buku teks yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Jepun
(Mambusho) pada tahun 1904 telah mengandungi persepsi negatif terhadap China seperti
memasukkan hanya seorang sahaja wira China ke dalam buku moral berbanding 13 wira
Eropah dan hal ini sangat berbeza dengan buku teks yang digunakan sebelum 1881 yang
mengandungi 44 wira China.30 Malahan melalui buku teks tahun 1904 ini, Jepun telah
menyalahkan tindakan dan dasar China yang menjadi punca utama yang mencetuskan Perang
China-Jepun pada tahun 1894. Manakala, selepas Perang Dunia Kedua pula isu buku teks
kembali menjadi topik hangat pada tahun 1982 dan 1990-an.31 Pada tahun 1990-an, isu
mengenai buku teks ini menjadi hangat apabila Kementerian Pendidikan Jepun telah tidak
membenarkan perkataan ‘rogol’ digunakan manakala Unit 731 di Harbin telah dihilangkan
sama sekali.32 Tindakan ini telah membangkitkan kemarahan rakyat China di samping
memburukkan hubungan dua hala Jepun-China.
Isu lain yang menimbulkan masalah terhadap hubungan Jepun dengan China ialah
mengenai isu permohonan maaf yang sepatutnya dilakukan oleh Jepun. Ketegangan hubungan
Jepun-China pada awal tahun 1990-an telah menyebabkan, ‘Japanese politicians and
bureaucrats to carefully settle past wrongs against neighboring countries by laying to rest the
memories about them’. Misalnya, selepas selepas peristiwa isu buku teks pada tahun 1990-an,
Kementerian Pendidikan Jepun telah melaksanakan dasar dalam tahun 1995 iaitu “Resolution
to Renew the Determination for Peace on the Basis of Lessons Learned from History”.33
Tindakan ini telah dapat memperlihatkan bahawa kerajaan Jepun telah mula bersedia untuk
mengakui dan mengingati peristiwa pada masa lepasnya iaitu kekejaman dalam Perang Dunia
Kedua. Selain itu, terdapat segelintir rakyat Jepun, veteran perang dan kumpulan perdamaian

30
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 142.
31
Caroline Rose, Sino-Japanese Relations: Facing the past, looking to the future?, London: Routledge Curzon,
2005, hlm. 50
32
Ibid., hlm 58. Lihat juga Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
2005, hlm. 126.
33
Caroline Rose, Sino-Japanese Relations: Facing the past, looking to the future?, London: Routledge Curzon,
2005, hlm. 99.
telah mengambil langkah dengan melawat China demi membuat perdamaian dengan rakyat
China.
Walau bagaimanapun, sebenarnya antara tahun 1952 sehingga 2001, Jepun telah
beberapa kali mengeluarkan pernyataan maaf kepada China sama ada melalui ucapan Perdana
Menteri ataupun ucapan Maharaja Jepun. Misalnya, pada tahun 1992, ketika Maharaja
Akihito melawat China, beliau telah berucap:

‘In the long history of the relationship between our two countries there was an unfortunate
period in which my country inflicted great sufferings on the people of China. I deeply deplore
this. When the war came to an end, the Japanese people, believing with a deep sense of remorse
that such a war should be repeated, firmly resolved to tread the path of peaceful nations and

addressed themselves to national reconstruction.’34

Manakala, pada tahun 2001 ketika Perdana Menteri Koizumi melawat Beijing, beliau telah
menyatakan bahawa, ‘I express my heartfelt apology and condolences to the Chinese people
who fell victim to aggression.’35 Selain itu, isu memperingati tentera-tentera yang mati di
dalam peperangan juga merupakan satu isu yang saling berkaitan dengan isu permohonan
maaf ini. Hal ini demikian kerana seperti yang telah dibincangkan di atas, lawatan beberapa
Perdana Menteri Jepun ke Kuil Yasukuni telah menyebabkan ketegangan dalam hubungan
kedua-dua buah negara ini. Hal ini demikian kerana lawatan tersebut merupakan lawatan
kontroversi yang menjadi upacara untuk memperingati tentera-tentera Jepun.
Pada pendapat penulis, berdasarkan kepada tiga masalah utama ini iaitu isu buku teks,
masalah Taiwan dan isu permohonan maaf ini, terdapat beberapa langkah yang boleh
dilaksanakan oleh kedua-dua pihak untuk memastikan hubungan mereka tidak menjadi
tegang. Masalah permohonan maaf daripada Jepun boleh diselesaikan dengan mengadakan
ucapan permohonan maaf kepada China secara formal iaitu bukan menyatakan ucapan maaf
tersebut sebagai daripada ucapan-ucapan pemimpin mereka terutama Maharaja Jepun. Hal ini
demikian kerana ketegangan hubungan Jepun-China adalah disebabkan keengganan Jepun
untuk menyatakan ucapan maaf secara ikhlas kepada kerajaan dan rakyat China. Seterusnya,
kerajaan Jepun perlu lebih terbuka untuk mengakui peristiwa yang berlaku semasa Perang
Dunia Kedua terutamanya Peristiwa Nanjing. Oleh itu, penjelasan yang jelas dan adil perlu
dilakukan melalui buku teks Jepun agar peristiwa sejarah tersebut dapat diketahui dengan
lebih jelas dan tidak terpesong.
34
Ibid., hlm. 101.
35
Ibid., hlm 102.
Manakala langkah lain yang boleh diambil oleh kerajaan Jepun ialah dengan melarang
ahli-ahli politik mereka untuk mengeluarkan komen atau pernyataan yang bersifat perkauman
dan memesongkan fakta sejarah terutamanya mengenai Perang Dunia Kedua. Selain itu,
lawatan kontroversi ke Kuil Yasukuni juga tidak perlu dilakukan sekiranya isu lawatan
tersebut menjadi sesuatu isu yang menyebabkan ketegangan hubungan dengan China. Walau
bagaimanapun, penulis juga berpendapat bahawa bukan sahaja Jepun yang perlu
melaksanakan beberapa langkah untuk menjamin kelangsung hubungan baik ini tetapi China
turut perlu melaksanakan beberapa langkah yang boleh memperbaiki hubungan mereka.
Antaranya ialah dengan menghentikan aktiviti mengindoktrinasikan rakyat untuk menentang
Jepun sama ada melalui cara mengubah sistem pendidikan dan cara pengajaran sejarah serta
memudahkan pelancong daripada Jepun untuk melawat China seperti memudahkan
pelaksanaan visa.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, hubungan antara Jepun dengan negara China sebelum dan selepas
Perang Dunia Kedua sememangnya adalah tidak menentu disebabkan kewujudan beberapa
masalah yang membawa kepada ketegangan antara kedua-dua buah negara tersebut. Walau
bagaimanapun, dapat disimpulkan bahawa ketegangan hubungan antara kedua-dua buah
negara ini adalah disebabkan keinginan untuk Jepun dan China saling bersaing untuk
memperlihatkan keunggulan negara masing-masing. Misalnya, keengganan Jepun untuk
mengakui sejarah yang telah berlaku dalam Perang Dunia Kedua adalah tidak wajar
memandangkan peristiwa tersebut telah berlaku dan sejarah tidak mungkin dapat diubah
melainkan dengan menjadikan peristiwa tersebut sebagai sejarah dan pengajaran agar tidak
akan berulang kembali.

BIBLIOGRAFI
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005.

Caroline Rose, Sino-Japanese Relations: Facing the past, looking to the future?, London:
Routledge Curzon, 2005.

Edwin O. Reischauer, (Diterjemah oleh Azhar Mad Aros), Jepun: Sejarah Sebuah Negara,
Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2006.

Greg Austin and Stuart Harris, Japan and Greater China: Political Economy and Military
Power in Asian Century, United Kingdom: C. Hurst & Co., 2001

M. Rajendran, Sejarah Jepun, Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd., 1988.

Masamichi Royama, Foreign Policy of Japan 1914-1939, Tokyo: Japanese Council Institute
of Pacific Relations, 1941.

Obaidellah Mohamad (Penyunting), China: Isu dan Hubungan Luar, Kuala Lumpur:
Universiti Malaya, 2004.

Savitri Vishwanathan (Editor), Japan: The New Challenges, New Delhi: Allied Publishers
Private Limited, 1982.

W. Scott Morton, (Diterjemah oleh Azhar Mad Aros), Jepun: Sejarah dan Budaya, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2006.

Yasasuke Murakami dan Yutaka Kosei, Jepun dalam Komuniti Sejagat: Peranan dan
Sumbangan Pada Abad Ke-21, Malaysia: Yayasan Penataran Ilmu, 1988.