Anda di halaman 1dari 7

Pengenalan

Seperti yang kita sedia maklum, pada 28 September 2012 yang lalu, perdana menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan Belanjawan 2013 di Parlimen dengan tema Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati. Antara pelaburan yang menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2013 adalah bidang pendidikan dan sejumlah RM50.4 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program memajukan bidang pendidikan. Pelbagai inisiatif diberikan untuk memajukan bidang ini termasuklah pelepasan cukai pendidikan tinggi anak-anak ditingkatkan daripada RM 4000 kepada RM 6000. Walaupun dalam belanjawan 2013 ia tidak termasuk dalam bahagian pelaburan pendidikan namun ia tetap mempengaruhi secara tidak langsung dalam aspek pendidikan. Pelbagai pendapat dikeluarkan rakyat, ada yang menyokong dan bersetuju dan tidak kurang juga yang mengkritik tentang belanjawan yang dibentangkan. Fitrah kita sebagai manusia, mempunyai pendapat yang berbeza-beza. Semoga Belanjawan 2013 ini mampu menjana ekonomi negara sekaligus memberi manfaat kepada setiap rakyatnya.

Kesan Kenaikan Pelepasan Cukai bagi Pendidikan Tinggi Anakanak Terhadap Individu

Pada pembentangan Belanjawan 2013 tempoh hari, kerajaan telah mengumumkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak RM 4,000 seorang sekarang ini, dinaikkan kepada RM 6,000 mulai tahun taksiran 2012 bagi meringankan tanggungan kewangan ibu bapa. Langkah ini merupakan satu langkah positif bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada kerajaan pada masa hadapan. Dengan adanya pelepasan cukai ini, tanggungan cukai ibu bapa akan menjadi semakin berkurangan. Jika sebelum ini, sebagai contoh, cukai yang dikenakan ke atas seebuah keluarga adalah RM 10,000 setahun setelah ditolak semua pelepasan lain, maka pelepasan cukai dikenakan adalah sebanyak RM 4,000 setahun sekiranya mempunyai seorang anak yang belajar di institusi pendidikan tinggi, jadi jumlah pembayaran cukai adalah hanya setakat RM6,000 setahun tetapi bermula tahun taksiran 2013, pelepasan cukai pendidikan tinggi untuk seorang anak meningkat daripada RM 4,000 kepada RM 6,000 setahun. Merujuk kepada contoh di atas, maka jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 4,000 setahun sahaja berbanding RM6,000 sebelum ini Maka jumlah penjimatan atas pelepasan cukai yang dikenakan telah diperoleh oleh ibu bapa hasil daripada pendapatan cukai tersebut.. Jumlah penjimatan yang diperoleh boleh meringankan beban individu yang mempunyai anak yang ramai dan wang tersebut boleh disalurkan ke tempat lain yang lebih berfaedah seperti membeli makanan yang lebih berkhasiat, menyimpan wang lebihan untuk kegunaan masa hadapan (contohnya, menunaikan haji) dan lain-lain. Taraf hidup seseorang individu dan keluarga juga akan meningkat. Krisis kewangan dalam rumahtangga juga boleh dielakkan jika ekonomi keluarga lebih stabil. Anak-anak juga lebih terbela dan keperluan mereka tidak akan terabai. Apabila ibu bapa menghantar anak mereka ke tahap pendidikan yang lebih tinggi, maka anak-anak tersebut akan lahir sebagai individu yang berpelajaran serta boleh menyumbang kepakaran dan kemahiran kepada negara pada masa akan datang sekaligus dapat meningkatkan lagi taraf hidup setiap individu dalam negara ini.

Selain itu, cukai adalah penting sebagai satu sumber utama pendapatan negara meskipun individu merasakan cukai merupakan satu perkara yang boleh mengurangkan sumber kewangan mereka. Langkah ini dirasakan mampu untuk menarik minat individu untuk membayar cukai dengan pelepasan cukai sebegini. Namun bukan hanya kesan positif yang diperoleh, terdapat juga kesan negatif dalam belanjawan pelepasan cukai ini namun ianya tidaklah terlalu ketara bergantung kepada individu itu sendiri bagaimana ingin menyalurkan penjimatan tersebut sama ada ke arah kebaikan atau keburukan. Mungkin ada juga sebilangan individu ini terleka dengan inisiatif yang diberikan dan wang tersebut digunakan ke arah yang tidak bermanfaat dan akan berlakunya pembaziran. Secara keseluruhan, pelepasan cukai pendidikan tinggi ini adalah satu win-win situation pelepasan di mana individu dan kerajaan masing-masing mendapat manfaat daripada cukai ini. Setiap perkara yang dibentangkan pasti telah dikaji dan

dipertimbangkan oleh kerajaan.

Kesan Kenaikan Pelepasan Cukai bagi Pendidikan Tinggi Anakanak Terhadap Masyarakat

Masyarakat merupakan komponen penting dalam sesebuah negara. Masyarakat juga merupakan antara punca pendapatan terbesar negara melalui pembayaran cukai yang dikenakan. Tanpa adanya masyarakat yang berilmu, sesebuah negara tidak akan dapat membangun dan maju. Masyarakat yang berilmu lahir atau terbentuk melalui pendidikan. Pendidikan berkualiti sangat efektif bagi menentang kemiskinan, membina

demokrasi, dan membentuk masyarakat yang sejahtera.

Pendidikan bertindak sebagai

pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri, dan kestabilan hubungan sosial. Pendidikan yang berkualiti ini adalah satu konsep yang dinamik, berubah, dan berkembang mengikut masa serta berubah dalam konteks sosial, ekonomi, dan persekitaran setempat.

Pendidikan adalah kunci utama pengeluaran atau hasil kehidupan.

Pelaburan

dalam pendidikan yang bermula daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat pendidikan tertinggi mampu memperbaiki dan meningkatkan kualiti hidup seseorang.

Justeru itu, pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4000 ringgit seorang dinaikkan kepada 6000 seorang merupakan antara cara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu. Melalui pelepasan cukai tersebut, kerajaan dapat mengurangkan beban masyarakat untuk menghantar anak mereka belajar ke tahap yang lebih tinggi. Kos untuk melanjutkan pelajaran ke universiti atau kolej-kolej bukanlah suatu kos yang kecil. Pelbagai belanja perlu dikeluarkan untuk menyambung pelajaran anak seperti belanja tambang menghantar anak ke tempat pengajian, belanja wang saku, buku-buku pelajaran serta yuran pengajian. Dengan adanya pelepasan cukai ini, kerajaan dapat menggalakkan masyarakat untuk menghantar anak mereka belajar ke tahap yang lebih tinggi serta dapat melahirkan masyarakat yang berilmu pada masa hadapan. Selain itu, ia juga sebagai langkah untuk memberi peluang kepada generasi muda melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Melalui pendidikan tinggi, generasi muda akan lebih berpengetahuan dan mahir dalam sesuatu bidang, maka peluang pekerjaan lebih cerah dengan adanya kepakaran dalam sesuatu bidang, sekaligus dapat mengurangkan kadar pengangguran. Masyarakat akan lebih produktif dan gejala sosial seperti mencuri, menghisap dadah dan gangsterisme turut dapat dibendung. Maka dengan ini, wujudlah masyarakat yang harmoni dan sihat dalam sesebuah negara. Justeru itu, pelepasan cukai ini memberi manfaat yang besar kepada masyarakat dan negara. Negara akan terus maju dan mempu bersaing di peringkat global sekiranya lahir masyarakat yang berintelek dan seimbang dari segi jasmani, emosi dan rohani.

Kesan Kenaikan Pelepasan Cukai Bagi Pendidikan Tinggi Anakanak Terhadap Negara : Menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan yang dipacu generasi kelas pertama.

Malaysia kini berada pada titik pertengahan dalam perjalanan ke arah mencapai wawasan 2020 di mana negara kita akan menjadi negara yang maju secara holistik. Sebagai panduan untuk mencapai wawasan ini, misi nasional satu rangka kerja bagi agenda pembangunan negara dengan menggariskan langkah-langkah utama yang harus diambil bagi tempoh lima belas tahun akan datang, telah diwujudkan. Salah satu penekanan dalam misi nasional ialah pembangunan modal insan kerana kejayaan masa depan negara bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki sama ada dari segi intelek atau keperibadian. Ini sejajar dengan falsafah kebangsaan negara dan juga matlamat pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara

berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan menjelang tahun 2020. Semua matlamat ini akan dicapai bersama. Kerajaan tidak akan memajukan satu matlamat jangka pendek yang akan melewatkan kemajuan matlamat yang lain. Untuk mencapai sasaran pendapatan tinggi ini, Malaysia perlu membangun dengan cara yang inklusif di mana semua rakyat Malaysia dapat menikmati manfaatnya. Kerajaan akan menggalakkan pertumbuhan peluang pekerjaan yang dapat mewujudkan kerja-kerja berpendapatan tinggi yang baru. Oleh itu kerajaan akan melabur dalam pendidikan dan latihan untuk memastikan bahawa lebih ramai Malaysia dapat mengambil bahagian dalam peluang pekerjaan

berpendapatan tinggi. Maka wajarlah sekiranya kerajaan Malaysia untuk melaksanakan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan anak-anak sebanyak RM 4000 seorang sekarang ini, dinaikkan kepada RM6000 mulai tahun taksiran 2013. Hal ini yang dinamakan sebagai langkah pelaburan masa hadapan negara kepada generasi masa hadapan untuk memacu pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. Langkah ini juga menunjukkan komitmen dan tumpuan kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

Apakah perkaitan dan maksud masyarakat yang inklusif dan pertumbuhan yang mampan dengan pelepasan cukai?. Masyarakat inklusif adalah satu tumpuan utama adalah untuk memastikan penambahbaikan dibuat untuk memanfaatkan golongan isi rumah yang berpendapatan paling rendah. Perhatian khusus akan diberi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah yang berpendapatan dalam lingkungan 40 peratus terendah. Sasarannya adalah untuk menambahkan pendapatan purata bulanan kumpulan ini daripada RM 1440 pada 2009 kepada RM 2300 pada 2015, seperti yang dinyatakan dalam rancangan Malaysia kesepuluh. Pertumbuhan yang mampan pula adalah langkah yang dilaksanakan untuk mencapai status berpendapatan tinggi perlu mampan dari segi ekonomi dan alam sekitar serta memenuhi kehendak semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa hadapan. Selain itu, dasar fiscal Malaysia akan dijadikan mampan dan berfokus kepada pelaburan oleh swasta supaya tidak perlu bergantung kepada pembiayaan kerajaan, seperti yang dinyatakan dalam rancangan Malaysia kesepuluh, kerajaan komited untuk

mengurangkan defisit fizikalnya daripada 7 peratus kepada 3 peratus. Menurut Muhammad Hisyam (2005), nilai modal insan ini walaupun tidak pernah tertera jelas dalam laporan untung rugi mana-mana organisasi, ia berperanan besar dalam menentukan prestasi organisasi terbabit. Dalam konteks lebih luas, modal insan mencorak hala tuju negara ke arah wawasan yang disasarkan. Tanpa sumber manusia berkualiti, sesebuah negara akan lemah kerana ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam kegiatan sosioekonominya. Menurut Tun Seri Abdullah bin haji Ahmad Badawi, (2006), untuk memperkukuhkan modal insan dan membawa perubahan budaya dan sikap pastinya merupakan satu cabaran utama dalam tempoh rancangan Malaysia. Faktor yang paling utama untuk menjadi sebuah negara maju ialah keupayaan dan keperibadian masyarakat negara tersebut. Malaysia tidak boleh lagi dilihat sebagai sebuah negara yang memiliki infrastruktur kelas pertama tepati mentaliti kelas ketiga. Kita perlu menerapkan pendekatan yang menyeluruh terhadap pembangunan modal insan. Berdasarkan kepada pendapat yang dikeluarkan kedua-dua tokoh tersebut jelas sekali bahawa garisan yang dibuat oleh kerajaan untuk melaksanakan pelepasan cukai amat digalakkan demi pembangunan modal insan generasi masa hadapan sekaligus

memperkembangkan ekonomi negara yang dipacu masyarakat bermentaliti kelas pertama. Malaysia menghadapi cabaran ekonomi yang signifikan. Kadar pertumbuhan negara lebih perlahan dan persaingan global pula semakin sengit. Malaysia menghadapi isu kemampanan fizikal dan Malaysia bukan suatu ekonomi berkos rendah atau bernilai tinggi. Untuk menangani cabaran ini, pelaburan yang dilaburkan merupakan satu pendekatan yang jelas.

Cadangan dan Ulasan


Kenaikan pelepasan cukai bagi pendidikan tinggi anak-anak sememangnya dapat memakmurkan lagi negara. Terdapat pelbagai faedah diperolehi daripada pelepasan cukai ini. Kami bersetuju dengan belanjawan 2013 yang membentangkan mengenai perkara ini. Namun, jika tiada perkara ini dalam belanjawan, ia juga tidak memberikan impak yang besar kepada negara. Ini kerana, kebanyakan anak-anak yang menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, majoritinya layak mendapat pinjaman terutamanya pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai insentif lain kepada pelajar di peringkat tinggi seperti biasiswa, pinjaman daripada setiap negeri, elaun dan pelbagai lagi. Malahan, pihak swasta turut menyediakan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar peringkat tinggi. Hanya golongan yang berkemampuan sahaja tidak membuat pinjaman untuk anak-anak mereka. Justeru itu, sudah pastilah mereka juga mampu membayar cukai yang diberikan.Maka, dengan pelbagai biasiswa atau pinjaman yang diberikan, ibu bapa tidaklah terlalu terbeban untuk mengeluarkan wang bagi melanjutkan pelajaran anak-anak mereka. Kebiasaannya, pelajar-pelajar ini sudah matang dan mampu berdikari malah ingin meringankan lagi beban kedua ibu bapa bagi membalas jasa mereka. Sebagai kesimpulan, pelepasan cukai ini tidaklah memberi impak yang ketara kepada negara. Walaubagaimanapun, ia sedikit sebanyak dapat meringankan lagi beban rakyat dengan adanya pelepasan cukai seperti ini. Setiap perkara yang dibuat manusia tidaklah sempurna dan pasti ada kelebihan dan kelemahannya tersendiri. Hanya Tuhan yang sempurna perancangan.

Penutup
Rumusan yang boleh diperoleh daripada perkara yang dibincangkan ialah pelepasan cukai yang diberikan mempunyai kesan positif yang lebih banyak berbanding kesan negatif namun kesannya terhadap negara tidaklah terlalu besar. Pelepasan cukai ini lebih memberi faedah kepada individu dan msyarakat berbanding negara. Semoga pelepasan cukai yang diberikan dapat disalurkan ke arah perkara yang lebih bermanfaat serta dapat memakmurkan lagi ekonomi negara kita.

Anda mungkin juga menyukai