Anda di halaman 1dari 4

Beberapa Usul Daripada Hadis Tentang Perintah Bersiwak Pada Setiap Kali Berwudu` Dipetik daripada www.darulkautsar.

net

. - , , ,
Daripada Abu Hurayrah daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: Kalaulah tidak menyusahkan umatku pasti aku memerintahkan mereka supaya menggosok gigi bersama dengan setiap wudu`. (Malik: 115, Ahmad: 7412, al-Nasa`i, no: 7, Ibn Khuzaymah: 140, al-Bukhari secara taliq dalam Kitab al-Sawm Bab Siwak al-Ratb Wa al-Yabis) Usul: Asal Mana Perintah Adalah Wajib Lafaz law la menunjukkan kepada adanya sesuatu perkara menyebabkan terhalangnya sesuatu yang lain. Hadis ini merupakan dalil kepada ulama usul bagi menetapkan kaedah Amar, lafaz perintah menunjukkan kepada wajib. Asal mana amr atau perintah ialah menunjukkan kepada wajib. Tetapi tidak menjadi wajib di sini kerana terdapat lafaz yang menunjukkan kepada terhalangnya wajib bersiwak ke atas umat ini kerana terdapatnya kesukaran jika diwajibkan ke atas mereka. Usul: Mengetahui Sifat Rasulullah S.A.W. Tidak diperintahkan bersiwak secara wajib pada setiap kali hendak berwudu` kerana maslahah untuk mengelakkan umat berada dalam kesukaran dalam ibadat mereka. Hal ini dapat diketahui bahawa Rasulullah s.a.w. amat mengasihi umatnya dan mengambil akan kemaslahatan mereka serta bersungguh mahu memberikan kemudahan kepada mereka.


Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung

oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Tawbah: 128) Apabila ia tidak diperintahkan maka ia memberi erti tidak wajib dan turun kepada hukum sunnat. Hukum yang dinafikan hanyalah hukum wajib dan hukum sunnat itu tetap ada. Walaupun begitu sebaik-baiknya, perintah siwak itu hendaklah diberikan perhatian kerana ia tetap dianjurkan. Di sini, tidak diwajibkan kerana bimbang kesukaran yang berkali jika diperintah bersiwak setiap kali hendak bersembahyang atau berwudu`. Bagaimanapun bagi mereka yang memberikan perhatian akan setiap perkara yang diinginkan oleh Rasulullah s.a.w. mereka akan mengenepikan segala kesukaran dan ini adalah sesuatu yang terpuji. Usul: Agama Ini Berasaskan Kepada Keringanan Dan Kemudahan Hadis ini juga menunjukkan kepada prinsip utama dalam agama iaitu adanya keringanan dan kemudahan bersesuaian dengan sifat dan keadaan manusia yang lemah. Allah s.w.t. berfirman:


Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukum-Nya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (al-Nisa`: 28)


Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, (al-Hajj: 78) Shaykh Abdul Rahman al-Sadi berkata: Darjat dan ganjaran bersiwak itu diberikan mengikut pahala perkara yang wajib kerana manfaatnya adalah manfaat perkara yang wajib dan ini difahami daripada lafaz perintah itu. Tetapi oleh kerana terdapat halangan, kesukaran maka rahmat menghendaki hukum itu adalah mustahab tetapi pahalanya adalah pahala apa yang wajib. (alTaliqat Ala Umdah al-Ahkam, hal. 54) Usul Diketepikan Mafsadah Lebih Utama Dari Menghasilkan Kemaslahatan Hadis ini merupakan dalil kepada kaedah Diketepikan mafsadah lebih utama dari menghasilkan kemaslahatan. Apabila bertembung dua perkara satu maslahah dan satu mafsadah maka perkara yang diutamakan ialah menolak mafsadah. Dalam kes ini, mafsadah berlakunya dosa disebabkan

meninggalkan wajib itu diambil kira dengan cara tidak mewajibkan bersiwak pada setiap kali berwudu` walaupun ianya mempunyai faedah kepada mukallaf.. Usul Kebersihan Ibn Daqiq al-Id berkata: Rahsianya ialah kita diperintahkan supaya dalam setiap keadaan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam keadaan yang sempurna kebersihan bagi menzahirkan mulianya ibadat itu. Ada yang mengatakan, ia berkaitan dengan malaikat dan mereka terganggu dengan bau yang busuk. (Ihkam al-Ahkam, jil. 1, hal. 56) Walaupun begitu, tidaklah jauh untuk dikatakan bahawa rahsia siwak itu berkait dengan kedua-dua perkara tersebut kerana hadis Jabir riwayat al-al-Bukhari dan lafaz oleh Muslim:


Sesiapa yang memakan bawang besar, bawang putih dan daun kucai maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana sesungguhnya malaikat terganggu dengan apa yang menyebabkan manusia terganggu. (Muslim: 564) Siwak Ketika Sembahyang Atau Berwudu`? Hadis ini juga diriwayatkan dengan lafaz seperti yang diriwayat al-Bukhari: 887, Muslim: 578, Abu Dawud: 46, al-Tirmidhi: 22, Ibn Majah: 287, Ibn Khuzaymah: 139, Ibn Hibban: 1531)) Para ulama Hanafiyyah mentarjihkan riwayat yang menyebut wudu` dan menta`wilkan riwayat yang menyebut sembahyang itu dengan erti wudu` sembahyang iaitu berdasarkan kaedah dilalah iqtida` iaitu tidak dapat difahami sesuatu lafaz atau frasa melainkan dengan ditaqdirkan atau diandaikan adanya kalimah lain yang tidak disebutkan. Ini menghendaki perbuatan bersiwak itu dilakukan bersama dengan wudu` kerana kedua-duanya itu mempunyai maksud yang sama iaitu taharah. Mulla Ali al-Qari berkata, para ulama kita tidak memasukkan siwak dalam sunnat-sunnat sembahyang kerana ia berkemungkinan besar menyebabkan keluarnya darah dan itu membatalkan sembahyang dan kadang-kadang membawa kepada kesukaran dan tidak pula diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersiwak ketika hendak bersembahyang. (Mirqat al-Mafatih, jil. 2, hal. 2)

Shaykh Zakariya berkata, hendaklah berkhumur setelah bersiwak kerana kemungkinan keluarnya darah dan dibasuh siwak itu, jangan pula dibiarkan berlumuran dengan air liur kerana Rasulullah s.a.w. apabila selesai bersiwak baginda memberikan kepada A`ishah untuk dibasuh dan baginda menggalakkan supaya menjaga kebersihan dan tidak sabit bahawa baginda bersiwak semasa takbir ihram sedangkan kayu siwak yang berlumuran dengan air ludah yang diletakkan di hadapan orang yang bersembahyang atau dalam poketnya atau di telinganya itu termasuk dalam keumuman larangan meludah ke arah kiblat. Walhal apa yang ada di hujung kayu siwak itu tidak boleh dibantah bahawa itu adalah air liur. (Awjaz al-Masalik, jil. 1, hal. 663)

Sumber: http://www.darulkautsar.net/4611Beberapa_Usul_Daripada_Hadis_Tentang_Perintah_Bersiwak_Pada_Setiap_Kali_ Berwudu%60.html