Anda di halaman 1dari 10

KESEPADUAN ILMU DALAM TMK ; SATU SEMAKAN SEMULA Noor Hisham Md Nawi hisham@umk.edu.

my Abstract There are various form of interpretations about a concept of knowledge integration. The concept of knowledge integration from Islamic and western perspective is totally different. In fact, the concept of knowledge integration among Muslim scholars is also unanimous. Different interpretation will entail different impacts on the education system and its application which includes the field of ICT. This working paper will be discussing various concepts of knowledge integration and its connection to the field of ICT. Besides that, it will also make a comparison between the concept of knowledge integration and Islamization of knowledge and its reciprocal relationships among them. The working paper will also propose the concept of knowledge integration and its relation with ICT and the steps that should be taken into account to implement the concept of knowledge integration in education system particularly in higher education institution. Finally, knowledge integration and ICT will be associated with the concept of studying (berguru). Keywords: Knowledge integration, Islamization of knowledge, communication technology, the concept of studying (berguru). Definisi Ilmu Sebelum meneroka lebih jauh, pengertian ilmu perlu difahami dengan jelas lebih-lebih lagi dalam era ledakan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Perbincangan mengenai konsep dan pengertian ilmu sangat luas. Apakah itu ilmu? Frank Rosenthal (1970) telah membincangkannya dengan panjang lebar dengan mengemukakan 107 buah definisi ilmu yang dibahagikan kepada 12 kategori. Dalam pengertian Barat moden, terdapat tiga aliran pemikiran utama yang berusaha menanggapi pengertian ilmu. Mazhab empirisisme yang didokong John Locke, David Hume dan lain-lain berpegang teguh kepada kaedah sains di mana ilmu merujuk kepada pengenalan tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir. Mazhab rasionalisme pula seperti Socrates, Plato dan Descartes menumpukan perhatian kepada prinsip kekal yang diperolehi samada melalui akal rasional atau pun agama. Pertembungan antara dua mazhab ini telah melahirkan mazhab baru iaitu pragmatisme. Mazhab yang didokong oleh Charles, William James dan John Dewey melihat ilmu sebagai satu proses yang berdasarkan percubaan dan pengalaman, bukan berdasarkan prinsip besar atau utama. Justeru, ilmu itu lebih merujuk kepada proses bukan kepada kandungannya. Secara keseluruhannya kesemua mazhab tersebut mengabaikan peranan wahyu sebagai sumber ilmu dan tidak meletakkannya sebagai sumber tertinggi pemerolehan ilmu. Menurut al-Attas (1978) kekaburan dan ketidaktepatan konsep ilmu yang dipimpin oleh pandangan alam Barat sekular telah mengakibatkan banyak kezaliman kepada kehidupan manusia dan alam. Dengan bantuan TMK, manusia pada hari ini sememangnya mengetahui banyak perkara. Namun kebanyakan perkara yang diketahuinya itu tidak memasukkan hakikat-hakikat penting dalam kehidupan seperti kewujudan Tuhan, hari pembalasan, roh dirinya sendiri dan lain-lain yang hanya dapat diketahui melalui sumber wahyu. Ilmuan Islam mempunyai pandangan yang pelbagai tentang pengertian dan konsep ilmu. Umumnya mereka bersepakat bahawa semua sumber ilmu pada hakikatnya datang information and

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

189

daripada sumber yang satu. Ruang lingkup ilmu amat luas dan tidak terbatas. Oleh itu ilmu yang sempurna atau mutlak adalah milik Allah. Menurut Wan Mohd Nor (1994) ilmu dalam perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Justeru itu, istilah ilmu dalam Islam menegaskan bahawa tidak wujud sebarang pertentangan antara proses dan kandungan dan ia meliputi pelbagai perkara dan maksud seperti Al-Quran, syariah Islam, sunnah, Islam, iman, ilmu kerohanian (ilmu al-laduni), hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan. Sebagai landasan perbincangan, penulis memilih takrifan ilmu yang dikemukakan oleh al-Attas. AlAttas (1978) mentakrifkan ilmu dengan mengemukakan semula takrif Fakhruddin Al-Razi dalam bentuk yang diperbaiki dan diubahsuai sebagai; apabila merujuk kepada Allah sebagai sumber segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna bagi sesuatu ke dalam diri seseorang. Sebaliknya apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu. Takrifan ini membawa maksud bahawa Allah adalah sumber sebenar ilmu dan manusia adalah makhluk aktif yang berusaha mendapatkan ilmu. Oleh itu semua ilmu bertolak daripada premis tauhid iaitu ilmu terbit daripada sumber yang satu. Takrifan tersebut memberi beberapa implikasi penting. Sesuatu itu dikatakan ilmu jika ia berdasarkan maklumat yang benar dan memberi makna kepada pemiliknya. Ini bermakna ilmu tidak sama dengan fakta, teori, kemahiran atau maklumat walaupun ilmu tentunya meliputi maklumat dan kemahiran. Maklumat yang tidak tersusun secara sistematik belum mencapai tahap ilmu. Justeru, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) tidak disebut sebagai ilmu walaupun ia menawarkan pelbagai maklumat yang rencam bentuknya. Komputer yang amat canggih dan memiliki keupayaan menyimpan maklumat yang sangat banyak juga tidak dianggap sebagai berilmu kerana maklumat tersebut tidak memberi apaapa makna kepadanya. Berdasarkan hujah sebelumnya, Abdul Rahman (2005) menganggap ledakan ilmu pengetahuan itu sebenarnya lebih merupakan ledakan maklumat sahaja. Takrifan itu juga memperakukan bahawa sumber ilmu itu pelbagai dan boleh dikelaskan kepada lima jenis iaitu pancaindera, akal, intuisi, ilham dan wahyu. Dengan menyepadukan sumber metafizik dengan sumber empirikal dalam satu sistem hierarki yang berlandaskan prinsip tauhid, tradisi keilmuan yang berasaskan epistemologi Islam bebas daripada tiga permasalahan besar yang melanda tradisi keilmuan Barat moden iaitu masalah pandangan atomisme (juzi), dualisme (pemisahan kepada dua) dan skeptisme (keraguan). Al-Attas adalah antara ilmuan Islam yang secara konsisten menganjurkan agar sistem pendidikan umat Islam mengambil kira semula secara jelas konsep klasifikasi dan hierarki ilmu secara tepat khususnya pembahagian ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah untuk menjaga peradaban Islam daripada kehilangan identitinya di bawah pengaruh pensekularan ilmu. Kesepaduan Ilmu Konsep kesepaduan ilmu turut dibincang oleh tokoh-tokoh ilmuan Barat (Haught 1995 ; Robert & Kellough 2000). Setiapnya mengupas kesepaduan ilmu dalam konteks yang berbeza-beza dan tersendiri berdasarkan disiplin masing-masing. Menurut Fuller (2001), kesepaduan ilmu seharusnya difahami sebagai proses sosial. Berlatar belakangkan bidang sosiologi, Fuller melihat kesepaduan ilmu dari sudut sejarah sosiologi boleh disorot melalui dua perspektif. Pertama, kesepaduan ilmu dilihat sebagai proses pembangunan ilmu secara semulajadi samada secara induktif atau deduktif. Kedua, kesepaduan ilmu adalah sesuatu yang tidak asli kerana kecenderungan ilmu untuk mencapah dan berkembang secara pemecahan. Dalam konteks pendidikan, kesepaduan ilmu dilihat dalam tiga pendekatan iaitu kesepaduan beberapa disiplin ilmu (interdisciplinary), kesepaduan dalam pelbagai disiplin ilmu (multidisciplinary) dan kesepaduan melampau disiplin-disiplin ilmu

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

190

(transdisciplinary) (Drake 1991). Konsep kesepaduan ilmu telah pun dilaksanakan di pelbagai institusi pendidikan dan mendapat maklumbalas yang pelbagai. Walaupun diakui bahawa konsep kesepaduan ilmu memberi banyak kebaikan kepada para pelajar, pakar-pakar pendidikan turut memberi perhatian besar untuk mengurangkan impak negatif daripada proses kesepaduan tersebut seperti pengabaian aspek kedalaman dan ketepatan sesuatu bidang ilmu serta hubungan isi yang longgar antara pelbagai disiplin ilmu (Ingram 1979 ; McNeil 1996). Secara keseluruhan, konsep kesepaduan ilmu difahami secara berbeza-beza oleh tokoh-tokoh pendidikan Barat berdasarkan disiplin ilmu masing-masing dengan perspektif yang pelbagai. Kepelbagaian tersebut tidak pula diikat atau disatukan oleh manamana prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama. Salah satu ciri penting pengertian ilmu menurut perspektif Islam ialah sifat kesepaduannya. Kesepaduan ilmu terpancar dari epistemologinya yang mengiktiraf lima sumber ilmu dengan martabat yang berbeza. Sebahagiannya bersifat kebenaran mutlak dan sebahagiannya bersifat relatif. Disepakati bahawa semua sumber ilmu tersebut hakikatnya datang dari Allah (Yang Maha Alim) yang disampaikan kepada manusia dalam bentuk yang beragam. Justeru, ilmu yang sempurna atau mutlak adalah milik Allah. Oleh kerana puncanya satu, maka sekalian ilmu akhirnya akan kembali kepada sumber asalnya yang satu (tauhid ilmu). Kefahaman ini memberi implikasi terhadap kesatuan dan kesepaduan semua sumber dan matlamat epistemologi. Berpunca dari kesedaran ini, ilmuan Islam di sepanjang zaman telah menghasilkan banyak penulisan mengenai pengelasan ilmu (maratib al-ulum). Mereka berusaha menyusun pelbagai disiplin ilmu menurut skema keutamaan. Dalam pandangan alam Islam, ilmu boleh dibahagikan kepada beberapa pembahagian dan pengelasan berdasarkan kepada pelbagai dimensi. Ramai pemikir Islam terdahulu dan kontemporari telah menformulakan beberapa bentuk klasifikasi ilmu. Osman Bakar (1992) menyatakan bahawa klasifikasi ilmu yang terkenal ialah yang dibuat oleh Al-Farabi (870 950 M), Al-Ikhwan Al-Safa, Ibn Sina (980 1037 M), Al-Ghazali (1058 1111M) dan Ibn Khaldun (1332 1406 M). Pada zaman sekarang perbincangan mengenai kesepaduan ilmu diangkat kembali dan sangat signifikan untuk menghadapi krisis keilmuan khususnya sekularisme dan dualisme pendidikan. Sebahagian besar ilmuan Islam yang melihat bahawa krisis tersebut sebagai punca kemunduran umat menyeru supaya sistem pendidikan umat Islam disemak semula. Dalam konteks tersebut, konsep kesepaduan ilmu mula dibincangkan semula secara meluas. Ramai tokoh ilmuan kontemporari seperti al-Faruqi (1989), Abdul Hamid Abu Sulayman (1994) Taha Jabir al-Alwani (1994) dan Shahahir Mohd Zain (1984) memberi penumpuan kepada aspek kesepaduan ilmu dalam bentuk kesepaduan ilmu naqli dan aqli atau ilmu warisan Islam dan sains moden sekular. Di samping itu, terdapat sebahagian daripada para ilmuan seperti al-Attas (1978), Syed Ali Ashraf (1994), Hassan Langgulung (1995) dan Mohd Syukri Salleh (1984) memilih konsep kesepaduan ilmu yang merujuk kepada kesepaduan antara ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain adalah ilmu teras agama yang mengandungi kebenaran mutlak, disampaikan melalui perantaraan wahyu, mengisi keperluan rohani manusia, mengandungi panduan-panduan yang bersifat abadi dan diwajibkan ke atas setiap orang untuk mengetahui dan mempelajarinya. Manakala ilmu fardhu kifayah pula memenuhi keperluan intelek dan emosi serta berkaitan dengan kehidupan dan kemakmuran dunia. Setiap bahagian tersebut mempunyai fungsi-fungsinya yang tersendiri dan perlu diletakkan pada tempatnya yang betul. Dewasa ini, al-Attas (1978) telah mengangkat kembali martabat ilmu fardhu ain dengan mengembalikan fungsinya sebagai teras dalam sistem pendidikan umat khususnya di peringkat pengajian tinggi. Justeru, kesepaduan ilmu menurut perspektif Islam bukan sekadar memasukkan semua jenis ilmu

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

191

pengetahuan dalam satu bekas yang sama tanpa sebarang hierarki dan fungsinya yang tertentu. Kesepaduan ilmu yang dimaksudkan ialah kesepaduan klasifikasi dan hierarki ilmu sekaligus di mana setiapnya diletakkan mengikut kategori dan hierarkinya yang wajar, disepadukan kesemuanya dalam keadaan saling kait-mengait, dimurnikan segala kecelaruan yang wujud pada topeng-topeng ilmu dan kesemua proses tersebut berpaksikan prinsip tauhid. Kesepaduan Ilmu Dan Hubungannya Dengan Gagasan Islamisasi Ilmu Moden Dalam konteks epistemologi ilmu dalam Islam, perkembangan ilmu fardhu kifayah perlu berpaksikan kepada ilmu fardhu ain. Walau bagaimanapun, ilmu fardhu kifayah yang berkembang pesat masa kini (merujuk khusus kepada ilmu sains moden Barat) terpisah dari paradigma tauhid (Ashraf 1981; al-Attas 1978). Ini menjadikan proses kesepaduan ilmu fardhu ain dengan ilmu fardhu kifayah tidak lagi dapat dilakukan dengan mudah. Justeru proses kesepaduan ilmu di peringkat IPT memerlukan satu pendekatan yang jitu dan tepat. Jika ia tidak dilakukan dengan sempurna, proses tersebut hanya akan mengulangi kesilapan yang sama iaitu mengekalkan kesinambungan keterpisahan ilmu naqli dan aqli. Untuk itu, lahir gagasan Islamisasi ilmu moden yang cuba merungkaikan permasalahan umat Islam dengan memberi tumpuan kepada agenda pendidikan (Mohd Nasir Omar 2001). Premis Islamisasi ilmu ialah ilmu sains moden kini tidak bersifat neutral kerana ia telah dipengaruhi oleh pandangan keagamaan, kebudayaan dan filsafat manusia Barat. Kesepaduan ilmu dan Islamisasi ilmu pada dasarnya adalah perkara yang sama. Pun begitu konsep kesepaduan ilmu bersifat lebih umum manakala Islamisasi ilmu pula lebih mengkhusus. Ini bermakna bahawa tidak semua konsep kesepaduan ilmu boleh dikaitkan dengan Islamisasi ilmu tetapi sebaliknya pula bagi gagasan Islamisasi ilmu. Walau bagaimanapun, tujuan dan matlamatnya adalah sama. Hubungan antara keduanya juga boleh dilihat dari sudut bahawa konsep kesepaduan ilmu diperlukan di semua peringkat pendidikan khususnya di peringkat rendah dan menengah. Manakala gagasan Islamisasi ilmu pula diperlukan di peringkat pendidikan tinggi bagi menghadapi cabaran perkembangan ilmu pengkhususan yang semakin kompleks. Setiap konsep tersebut (kesepaduan ilmu dari perspektif Islam dan Islamisasi ilmu) mempunyai pendekatan yang pelbagai walaupun dasar dan matlamatnya adalah sama. Kepelbagaian konsep kesepaduan ilmu telah dijelaskan sebelumnya. Menurut Syed Azad Syed Attar (1998), gagasan Islamisasi ilmu juga mempunyai pelbagai pendekatan walaupun matlamatnya adalah sama. Kepelbagaian pendekatan tersebut berkait rapat dengan pendefinisian Islamisasi ilmu yang dikemukakkan oleh tokoh-tokoh berkenaan. Antara tokoh-tokoh penting tersebut ialah Syed Muhammad Naquib al-Attas (1978), Ismail al-Faruqi, al-Alwani (1995), Ziauddin Sardar (1984), Abu Sulayman (1994), Shaharir Mohamad Zain (1984), Hassan Langgulung (1984), dan Ragab (1995). Dikemukakan dua pendekatan yang masyhur dalam gagasan Islamisasi ilmu secara ringkas iaitu pendekatan al-Attas (1978) dan al-Faruqi (1982). Proses dan kaedah pelaksanaan gagasan Islamisasi ilmu moden menurutt al-Attas (1978) melibatkan proses dua tahap; iaitu pembebasan diri dan pengembalian diri kepada kejadian asalnya (fitrah). Tahap pertama ialah penyingkiran segala elemen dan konsep yang mencirikan peradaban Barat dalam setiap cabangan ilmu pengetahuan. Manakala tahap yang kedua ialah proses memasukkan elemen-elemen dan konsep-konsep Islam dalam setiap cabangan ilmu. Apabila pemikiran telah dibebas dan dibersihkan maka ia kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu mengakui hakikat dan kebenaran. Pendekatan al-Faruqi pula melibatkan 12 langkah yang amat masyhur yang diringkaskan oleh Yasin (1993) kepada tiga proses berikut. Pertama, seseorang itu haruslah menguasai ilmu Barat moden dan berupaya membuat penilaian dan

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

192

kritikan terhadap ilmu-ilmu ini dari segi kaedah dan nilai-nilai yang terkandung di dalamnnya. Keduanya, seseorang itu juga haruslah menguasai ilmu Islam dan membuat penilaian dari segi perspektif Islam, keperluan ummah pada masa ini dan pengetahuan moden terkini. Ketiga, menjalankan sintesis yang kreatif di antara ilmu-ilmu Islam dan ilmu-ilmu moden. Kesepaduan Ilmu dan TMK Penggunaan TMK yang begitu meluas pada hari ini bukan sahaja telah mengubah gaya hidup manusia, bahkan juga proses keilmuan. Teknologi maklumat adalah teknologi yang digunakan untuk memperolehi, memproses, menyimpan, merekod, menganalisis dan memanipulasikan data dan maklumat. Teknologi komunikasi pula adalah penggunaan teknologi untuk menghubungkan atau menyampaikan data dan informasi dalam bentuk teks, grafik, audio, video dan animasi atau secara kombinasi bentuk-bentuk ini dari seorang individu kepada individu yang lain dan dari satu tempat ke tempat yang lain. Gabungan teknologi maklumat dan komunikasi adalah semua bentuk teknologi yang terlibat dalam bentuk pengumpulan, manipulasi, komunikasi, persembahan dan menggunakan data (dan data yang ditransformasi kepada maklumat)(Martin et al. 1994). Menerusi TMK, kita diperkenalkan dengan beberapa istilah dan pendekatan baru dalam pendidikan khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) seperti e-learning, open university, pengajian jarak jauh (PJJ), pendidikan interaktif, pembelajaran secara maya dan lain-lain (Musa Abu Hasaan 2002). Adakah TMK memerlukan proses kesepaduan ilmu dan Islamisasi ilmu sekaligus? Jika ya bagaimana dan apakah pendekatan yang patut digunakan? Diyakini bahawa ramai yang berpendapat TMK sememangnya memerlukan proses kesepaduan ilmu walaupun mungkin bentuk kesepaduan tersebut tidaklah begitu jelas. Namun adakah TMK juga memerlukan proses Islamisasi ilmu ? Untuk menjawab persoalan tersebut, konsep ilmu, sains dan teknologi perlu diperjelaskan. Persoalan tentang ilmu telah diperjelaskan sebelumnya. Sains adalah perkataan Bahasa Inggeris science yang berasal dari bahasa Latin scentica yang bermaksud pengetahuan atau ilmu. Menurut Baiquni (1983) sains secara singkatnya boleh dirumuskan sebagai himpunan pengetahuan manusia yang dikumpulkan melalui suatu proses pengajian yang dapat diterima oleh akal, ertinya dapat difikirkan untuk dibuat penilaian. Jadi dapat kita katakan bahawa sains adalah himpunan rasionaliti kolektif insane. Teknologi adalah istilah yang sering disalah tafsirkan kerana ia sering dianggap sinonim dengan sains. Teknologi dari segi bahasa berasal dari Yunani iaitu techne yang bermakna kerja tangan dan logos bermakna wacana atau kajian. Teknologi merupakan ilmu yang bersifat praktikal berbanding dengan sains yang bersifat teoritikal. Dalam sejarah sains Islam, teknologi bukanlah sesuatu yang asing di mana ia dikenali dengan istilah sinaah yang bererti ilmu gunaan. Teknologi ketika itu sangat pesat dan memberi sumbangan yang besar kepada keagungan Tamadun Islam khususnya sebelum abad ke 16 M. Mudahnya, teknologi adakah cara atau kaedah atau perkakas yang membuatkan kerja manusia lebih mudah, selamat, jimat dan efisien. Manusia kini tidak boleh mengelak lagi dari TMK. Pembangunan TMK berjaya mengubah hubungan antara tiga dimensi iaitu masa (kepantasan), ruang (jarak) dan kos (perbelanjaan). Malahan TMK telah menjadi satu budaya, kerjaya dan gaya hidup. Barbour (2001) telah memberi ingatan bahawa terdapat tiga aliran pandangan mengenai teknologi iaitu teknologi sebagai pembebas, ancaman dan alat kekuasaan. Pembahagian tersebut menunjukkan bahawa penilaian terhadap teknologi adalah pelbagai. TMK memberi kesan

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

193

positif dan negatif kepada pengguna dan masyarakat. Impak TMK dalam bidang pendidikan khususnya dalam aspek p&p amat besar. Dari aspek postif, TMK boleh membantu guru merekabentuk p&p yang kreatif dan inovatif, mengadun pelbagai maklumat dari pelbagai sumber, mempercepatkan proses kefahaman dan merangsang aras pemikiran tinggi di kalangan pelajar. Walau bagaimanapun,TMK juga memberi impak negatif seperti pendedahan pengaruh budaya asing, kebanjiran maklumat yang tidak bermanfaat, dan mengubah tradisi dan konsep berguru. TMK juga menjadikan proses p&p berorientasikan pelajar sepenuhnya di mana guru atau pensyarah hanya bertindak sebagai pemudahcara sahaja. Berdasarkan kepada penjelasan di atas, TMK mempunyai dua wajah yang berbeza. Persoalannya ialah adakah TMK itu satu entiti yang mempunyai nilai tertentu (sarat nilai atau bebas nilai?). Penulis berpandangan bahawa teknologi tidak seperti ilmu atau sains dengan maksud ia bersifat bebas nilai. Nilai hanya akan muncul apabila ia melibatkan aplikasi teknologi tersebut. Sekiranya aplikasi dan impaknya bertepatan dengan prinsip shariah, maka teknologi tersebut adalah baik dan demikianlah sebaliknya. Berdasarkan prinsip yang dikemukakan oleh Ziauddin Sardar (1990), teknologi akan menjadi sesuatu yang baik dan harus jika ia mematuhi prinsip-prinsip berikut iaitu tauhid, khilafah, ibadah, halal, adl dan istislah. Sebaliknya teknologi boleh bertukar menjadi buruk dan fasad jika ia membelakangi prinsip-prinsip sebelumnya dan bertukar menjadi haram (lawan halal), zulm (lawan adl), dan dhiya (lawan istihsan). Berdasarkan kefahaman tersebut, TMK hanya perlu melalui proses kesepaduan ilmu dan bukannya Islamisasi ilmu. Kesepaduan tersebut hanya melibatkan aplikasi dan impaknya yang perlu bertepatan dengan kerangka pandangan alam Islam (ruyat al-Islam lil wujud) dan mematuhi prinsip-prinsip umum shariah. Dalam konteks pendidikan, TMK seharusnya berkhidmat sebagai wasilah untuk mencapai tujuan dan matlamat pendidikan dan pelaksanaannya tidak harus melanggar prinsip-prinsip dan adab-adab dalam pendidikan Islam. Dalam konteks ini, adalah lebih strategik sekiranya umat Islam melihat TMK secara positif tetapi berhati-hati supaya tidak bersalahan dengan prinsip-prinsip shariah. Bagaimana bentuk kesepaduan tersebut ? Berdasarkan pandangan Tajul Ariffin (1993) dengan beberapa pengubahsuaian, kesepaduan ilmu dalam TMK boleh dibahagikan kepada lima tahap. Pertama, aplikasi TMK sebagai pemangkin untuk mempelbetulkan pandangan masyarakat terhadap konsep Pendidikan Islam yang kini difahami secara sempit. Kedua, TMK dimanfaatkan untuk membantu proses p&p bagi menyepadukan ilmu naqli / fardhu ain dengan ilmu aqli / fardhu kifayah. Ketiga, mengguna dan mengeksploitasi TMK secara positif untuk membina pengajian Islam teras yang tepat dan berkesan di semua peringkat pendidikan terutama di IPT. Keempat, menguasai TMK untuk mewujudkan suatu rangkaian pendidikan Islam sedunia dengan membina satu paradigma dan kurikulum Pendidikan Islam (sebagai satu sistem) yang sama untuk Negara-negara Islam. Kelima, memanfaatkan TMK untuk membina konsep ketauhidan ilmu-ilmu (kesatuan ilmu) bagi membina tamadun Islam yang baru. Ini bermakna kesepaduan ilmu dalam TMK memerlukan umat Islam bertindak bukan lagi sebagai pengguna atau penyewa TMK tetapi pembina atau pencipta TMK bagi mencapai tujuan yang bertepatan dalam kerangka pandangan alam Islam. Dalam kerangka yang lebih jauh, kesepaduan ilmu dalam TMK perlu didahului dengan pembinaan iklim keilmuan dalam bidang sains dan teknologi untuk membina masyarakat yang mengamalkan budaya dan tradisi saintifik Islam sebagaimana yang telah berlaku suatu ketika dahulu. Pembentukan budaya tersebut bukan pula didorong oleh kepentingan komersil dan ekonomi semata-mata tetapi lebih kepada pembangunan akal budi, pemikiran dan keilmuan serta keperluan masyarakat yang berlandaskan prinsip dharuriyat, hajiyat dan tahsiniyat. Justeru, TMK hanya bertindak sebagai teknologi atau alat dalam pendidikan dan bukannya sebagai matlamat pendidikan. TMK sangat berperanan sebagai pemangkin untuk

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

194

merangsang dan mempercepatkan proses kesepaduan ilmu (sebelumnya) dan bukannya sebagai sebahagian daripada proses kesepaduan ilmu biasa (dalam pengertian pelbagai bidang ilmu aqli yang juga diakui bermanfaat). Isi kesepaduan ilmu yang sebenar ialah apabila berlakunya proses kesepaduan di antara ilmu fardhu ain (yang bersifat dinamik) dengan ilmu fardhu kifayah khususnya ilmu sains moden yang bersifat sarat nilai. Sebenarnya, kesepaduan ilmu fardhu ain dengan ilmu sains moden tidak mudah untuk dilaksanakan walaupun dengan menggunakan bantuan TMK. Langkah-langkah Melaksanakan Proses Kesepaduan Ilmu Dengan Memanfaatkan TMK Dengan kefahaman bahawa TMK adalah wasilah yang perlu dimanfaatkan secara optimum untuk melaksanakan proses kesepaduan ilmu yang sebenar, al-Attas mencadangkan supaya seseorang itu mestilah terlebih dahulu menguasai ilmu fardhu ain yang bertepatan dengan peringkat kehidupannya. Perlu difahami bahawa ilmu fardhu itu bersifat dinamik dan sentiasa berkembang mengikut tahap kerohanian, perkembangan sosial dan profesional serta tanggungjawab yang dipikul. Dalam konteks KUIS, ilmu fardhu ain tersebut diwakili oleh sekelompok kursus yang berjumlah 12 jam kredit di mana ia diwajibkan kepada semua pelajar. Kursus-kursus tersebut terdiri daripada kursus Aqidah dan Akhlak, Fiqh Islami I, Fiqh Islami II, Fiqh al-Muamalah, Sistem Ekonomi dan Kewangan Islam dan Falsafah Sains Dan Teknokrat Muslim. Dalam komponen ini, kesepaduan ilmu yang diperlukan ialah kesepaduan intra. Kesepaduan intra bermaksud kesepaduan antara pelbagai komponen di dalam kandungan ilmu fardhu ain yang dapat membina kekuatan dalaman, melahirkan kefahaman tasawwur Islam yang jelas, diikuti dengan amalan yang benar dan seterusnya menghasilkan peribadi yang bertaqwa. Pada tahap ini, pelajar seharusnya memahami dengan jelas konsep-konsep penting yang membentuk tasawwur Islam seperti konsep Tuhan, manusia, ilmu, wahyu, alam, realiti dan kebenaran, serta akhlak dan nilai. Kesepaduan intra perlu disusuli dengan kesepaduan inter. Kesepaduan inter bermaksud roh ilmu fardhu ain dihayati secara bersepadu dalam kurikulum bidang pengkhususan. Kesepaduan akan berlaku apabila seseorang individu mampu meletakkan semua maklumat yang diperolehi dan ilmu yang dipelajari (bidang pengkhususan) dalam kerangka epistemologi ilmu yang berpaksikan prinsip tauhid. Pelaksanaan proses kesepaduan intra dan inter memerlukan rekabentuk instruksi dan kurikulum yang khusus. Noor Hisham (2008) mencadangkan supaya IPTS yang berorientasikan kesepaduan seperti KUIS menggunakan rekabentuk pusatan nilai bagi Kurikulum Fardhu Ain (Kurikulum Pengajian Islam Teras) dan rekabentuk pusatan pengetahuan bagi Kurikulum Fardhu Kifayah (bidang pengkhususan) di mana kedua-duanya meletakkan prinsip-prinsip shariah sebagai prinsip penyusunnya. Prinsip-prinsip shariah tersebut terdiri daripada tiga unsur iaitu konsep, kemahiran dan nilai-nilai asas yang mesti dikuasai oleh setiap pelajar. Rekabentuk tersebut membantu proses kesepaduan intra dan inter di mana penyusunan yang dibuat pada aspek kandungan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan membimbing pelajar melihat setiap konsep, kemahiran dan nilai saling berhubung kait antara satu sama lain secara bermakna. Sebagai contoh pelajar dapat melihat hubungan yang jelas antara prinsip tauhid (aqidah) dan ibadat zakat (fiqh), nilai sabar (akhlak) dan konsep sad al-zaraie (usul-fiqh) ; atau fenomena murtad dari perspektif aqidah, syariah, akhlak, dakwah, perundangan dan lain-lain dalam satu kerangka tasawwur Islam yang jelas (kesepaduan intra). Demikian juga pelajar akan dibantu untuk melihat perkaitan di antara ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah (bidang pengkhususan) dengan menjadikan ilmu fardhu ain sebagai paksinya seperti hubungan di antara konsep khilafah

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

195

dengan bidang bioteknologi serta sub-sub kursus di bawahnya. Setiap subjek diterapkan dengan konsep dan nilai-nilai Islam untuk menunjukkan bahawa semua ilmu saling kait mengait dan mempunyai matlamat yang sama. Rekabentuk ini dipilih dengan tujuan untuk memastikan ilmu fardhu kifayah akan dipandu selia oleh prinsip-prinsip dari ilmu fardhu ain. Ia juga bertujuan supaya proses kesepaduan ini tidak berlaku secara tohor atau tempelan sahaja. Rekabentuk kurikulum tersebut diharapkan akan dapat membantu proses kesepaduan ilmu dan Islamisasi ilmu moden dengan menyediakan suasana pengalaman pembelajaran yang kondusif untuk mengasingkan elemen-elemen asing dan memasukkan konsep-konsep Islam dalam pelbagai kursus/mata pelajaran. Dengan cara ini, ilmu fardhu kifayah yang tidak neutral akan sedia untuk diolah semula mengikut epistemologi Islam dan kembali berperanan untuk melengkapkan kesalingan hierarki ilmu serta membentuk kesepaduan ilmu yang asal. Di samping itu, pendekatan ini juga akan menjadikan semua pihak khususnya guru dan pelajar secara automatik menjadi kritis dan kreatif terhadap idea dan isi kandungan bukubuku teks dari Barat. Dalam kaitan sebelumnya, TMK memainkan peranan yang sangat penting untuk merangsang dan mempercepatkan lagi proses kesepaduan tersebut. Melalui TMK, kemampuan pelajar untuk memahami dan menguasai prinsip-prinsip shariah dapat ditingkatkan dan seterusnya mengaplikasikannya dalam situasi yang pelbagai. P&p yang menggunakan TMK secara optimum boleh membantu untuk membuahkan hasil yang terkandung di dalamnya olahan-olahan baru paduan ilmu warisan Islam dan disiplin ilmu moden dalam bentuk analisis dan sintesis kreatif. Dengan cara ini, pelajar akan mengalami sendiri proses kesepaduan ilmu atau Islamisasi ilmu moden dengan bimbingan guru yang berwibawa. Peranan TMK sangat besar untuk membantu proses p&p supaya pelajar mampu berfikir dan melihat keseluruhan idea dan aspek kehidupan menurut perspektif Islam. Kesepaduan IImu Dan TMK Serta Hubungan Dengan Konsep Berguru. TMK telah menjadikan proses penyampaian ilmu berlaku dengan cepat dan mudah tanpa perlu hubungan bersemuka antara pelajar dengan guru. Akibatnya, guru kini disaran supaya berperanan sebagai fasilitator atau pemudahcara bagi membantu pelajar membina skema ilmu pengetahuannya sendiri. Dengan kata lain, TMK telah mengubah konsep berguru dan menggantikannya dengan konsep pembelajaran berorientasikan pelajar dalam kerangka baru. Guru seolah-olah direndahkan tarafnya hanya sebagai penyampai maklumat. Adakah budaya baru ini bertepatan dengan prinsip dan adab belajar dalam Islam serta membantu proses kesepaduan ilmu ? Berdasarkan kepada definisi ilmu dan pendekatan kesepaduan ilmu yang dikemukakan oleh al-Attas, ilmu memerlukan maklumat yang benar dan memberi makna. Makna di sini bermaksud ilmu tersebut membawa pemiliknya kepada pengenalan dan pengakuan tentang kedudukan yang tepat bagi Allah selaku Pemilik dan Pentadbir alam, kedudukan diri sendiri selaku hamba dan khalifahNya serta kedudukan makhluk Allah yang lain dengan peranan dan fungsinya yang tersendiri (al-Attas 2001). Ilmu yang benar bukan sekadar diisi ke dalam akal fikiran tetapi juga dalam hati nurani manusia sehingga ilmu tersebut dapat dizahirkan dengan amalan praktikal melalui tingkah laku yang beradab dan berakhlak. Pemahaman terhadap makna memerlukan guru yang berautoriti. Autoriti yang paling tinggi adalah al-Quran dan Nabi Muhammad. Seterusnya adalah para sahabat, para ilmuan yang benar-benar mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w., memiliki pengetahuan, kebijaksanaan dan pengalaman spiritual serta selalu mengamalkan agamanya pada tingkatan ihsan (Wan Mohd Nor 1998). Berdasarkan kepada konsep kesepaduan ilmu yang telah

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

196

dikemukakan, konsep berguru bagi kategori ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah perlu dibezakan. P&p kategori ilmu fardhu ain memerlukan konsep berguru yang tersendiri di mana pelajar perlu mempelajari konsep, kemahiran dan nilai asas secara langsung dari guru yang berwibawa. Sebagai contoh, kemahiran membaca dan memahami makna ayat-ayat alQuran tidak boleh dipelajari semata-mata menggunakan TMK tanpa bimbingan guru secara langsung. Ini bermakna bahawa TMK hanya berperanan sebagai alat bantuan untuk membantu proses p&p dengan lebih efektif dan bukannya menggantikan peranan guru. Peranan guru sebagai sumber bimbingan kerohanian dan pembentukan akhlak tidak seharusnya hilang. Namun secara tidak langsung, ia juga bermaksud guru atau pensyarah ilmu fardhu ain seharusnya melengkapkan diri dengan kemahiran menggunakan malahan jika mampu membina TMK untuk membantu proses p&p yang menarik dan bermakna. Dalam konteks p&p yang melibatkan ilmu fardhu kifayah, konsep berguru lebih fleksibel di mana guru boleh berperanan sebagai fasilitator di samping peranan-peranan asalnya yang lain. Namun perlu diperingatkan bahawa guru atau pensyarah dalam bidang berkenaan mempunyai tugas yang berat untuk menyepadukan prinsip-prinsip shariah dengan bidang ilmu pengkhususan yang dikuasainya. Ini bermakna guru atau pensyarah juga mesti menguasai ilmu mengenai asas-asas Islam untuk melaksanakan proses kesepaduan tersebut. Pelajar akan dibimbing supaya melihat perkaitan dan hubungan di antara prinsip-prinsip shariah dengan bidang pengkhususan secara bermakna. Konsep berguru yang melibatkan bidang TMK perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut untuk melaksanakan proses kesepaduan ilmu : 1) Pensyarah memahami dan menginsafi konsep hierarki ilmu dan TMK adalah salah satu cabang ilmu fardhu kifayah yang perlu dikuasai dengan baik. 2) Pelajar yang mengikuti bidang pengkhususan TMK perlu melepasi dan menguasai ilmu fardhu ain peringkat pengajian tinggi. 3) Dalam proses keilmuan secara maya, perlu wujud juga hubungan bersemuka meskipun tidak kerap. Seandainya keadaan tidak mengizinkan untuk tujuan itu, taaruf antara guru dan murid (secara maya) harus berlangsung dalam semangat penuh kejujuran, ikhlas dan penuh adab. 4) Penuntut ilmu harus bersikap selektif terhadap maklumat di internet. Penuntut ilmu harus sentiasa memastikan kesahihannya dengan merujuk kepada sumber yang muktabar dan juga berbincang dengan guru yang berwibawa secara bersemuka. 5) Meskipun penyampaian maklumat secara maya, guru muslim seharusnya memasukkan nilai-nilai ketauhidan kepada Allah dalam isi pengajarannya. Penutup Kesepaduan ilmu memerlukan jaringan kerjasama semua pihak bermula dengan pembinaan sistem pendidikan yang betul, rekabentuk kurikulum yang tepat, pensyarah yang berwibawa, prasarana yang baik, persekitaran yang kondusif dan pelajar yang ikhlas dan bersemangat. TMK memainkan peranan yang sangat penting sebagai alat untuk membantu proses tersebut dari pelbagai sudut khususnya dari dimensi kepantasan, kedekatan ruang dan penjimatan perbelanjaan. Pun begitu aspek-aspek negatif perlu juga dipantau dengan cermat. Ringkasnya kesepaduan ilmu menatijahkan bahawa pelajar akhirnya akan menemui kebesaran Allah (dalam bentuk yang luas dan pelbagai) dan kemudian tunduk serta taat kepadaNya.

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

197

RUJUKAN Abdul Rahman Abdullah. ( 2005). Wacana falsafah ilmu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (1978). Islam and secularism. Kuala Lumpur : Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM). al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (1979). Aims and objective of Islamic education. Jeddah: King Abdul Azis University. al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (2001). Prolegomena to the metaphysics of Islam. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC). Baiquni, A. (1983). Islam dan ilmu pengetahuan moden. Bandung : Penerbit Pustaka. Barbour,I .(2001). Dlm Hester, D. M and Ford, P. J. (2001). Computers and ethics in the cyberspace. New Jersey : Prentice Hall. Drake, S.M. (1991). How our team dissolved the boundaries. Educational leadership, 49(2), 20-22. Fuller, S. (1988). Social epistemologi. Bloomington : Indiana University Press. Rosenthal, F. (1997). Keagungan ilmu. Terj. Syed Muhammad Dawilah Syed Abdullah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Haught, J.F. (1995). Science and religion : from conflict to conversation. New York : Paulist Press. Ingram, J.B. (1979). Curriculum integration and lifelong education. Oxford: Pergamon Press. Martin et al. (1994). Dlm Abdul Razak et al. (2000). Teknologi maklumat. Kuala Lumpur : Mc Graw Hill. McNeil, J.D. (1996). Curriculum ; a comprehensive introduction. Ed. ke-5. New York: Harper Collin College Publishers. Mohd Nasir Omar. (2001). Gagasan Islamisasi ilmu: suatu telahan tentang signifikasi, konsep dan metodologi. Pemikir 26: 67-103 Musa Abu Hasaan (2002). Peranan dan penggguna ICT di kalangan masyarakat. Serdang : Universiti Putra Malaysia. Noor Hisham Md Nawi. (2008). Pembinaan garis panduan bagi pembentukan Kurikulum Teras Fardhu Ain di IPTS. Tesis Ph.D. Universiti Kebangsaan Malaysia Osman Bakar. (1992). Classification of knowledge in Islam. Kuala Lumpur: Institute of Policy Research. Robert, L.P & Kellough, R.D. (2000). A guide for developing interdisciplinary thematic unit. Ed. ke-2. USA: Prentice Hall. Syed Ali Ashraf. (1981). Islamic curricula for muslim education. Islamic Education Quarterly 1(1): 61-82. Syed Azad Syed Attar. (1998). Gagasan Islamisasi ilmu dan implikasinya kepada falsafah dan sistem pendidikan negara. Tesis Sarjana Pendidikan. Universiti Malaya. Tajul Ariffin Noordin. (1993).Penggunaan teknologi canggih dalam Pendidikan Islam pada abad ke 21. Kertas kerja Seminar Islam Dan Cabaran Abad 21. ITM Shah Alam. Wan Mohd Nor Wan Daud. (1994). Konsep ilmu dalam Islam. Terj. Rosnani Hashim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Wan Mohd Nor Wan Daud. (1998). The educational philosophy and practice of Syed Muhammad Naquib Al-Atass; an exposition of the original concept of Islamization. Kuala Lumpur: ISTAC. Yasin, Mohammed. (1993). Islamization of knowledge: a comparative analysis of Faruqi and Rahman. Muslim Education Quarterly 11(1): 27-40. Ziauddin, Sardar. (1990). Masa hadapan Islam. Bentuk idea yang akan datang. Terj. Mohd Sidin Ahmad Sahak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010

198

Anda mungkin juga menyukai