Anda di halaman 1dari 5

KEBEBASAN ASASI Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih tidak pernah memberikan penjelasan tentang makna sebenar kebebasan

asasi mengikut perlembagaan negara. Walau bagaimanapun, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 19991 telah menakrifkan bahawa perkataan hak asasi manusia yang dirujuk di dalam akta tersebut merujuk kepada kebebasan asasi sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 4(4) akta yang sama ada menyatakan bahawa perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakatmana perisytiharan tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Perkara 5. Kebebasan diri (1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. (2) Jika pengaduan dibuat kepada Mahkamah Tinggi atau mana-mana hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang sedang ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkamah itu hendaklah menyiasat pengaduan itu dan, melainkan jika mahkamah itu berpuas hati bahawa tahanan itu adalah sah, hendaklah memerintahkan supaya orang itu dibawa ke hadapan mahkamah itu dan melepaskannya. Peruntukan ini merujuk kepada hak bagi mereka yang ditahan untuk membuat permohonan di Mahkamah Tinggi supaya menyiasat permohonan mereka dan melepaskan tahanan tersebut sekiranya didapati bahawa penahanan tersebut adalah tidak sah. Hak ini adalah berasaskan kepada undang-undang common law2 Inggeris tentang permohoan habeas corpus3.

(3) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya. Peruntukan ini memperuntukkan dua hak sebagaimana berikut: i. ii. Hak untuk mengetahui alasan-alasan sesuatu penangkapan itu dibuat; dan Hak untuk berunding dan dibela oleh peguambela pilihan orang yang ditangkap.

1 2

Akta 597 Common law bermaksud undang-undang tradisi tidak bertulis England, berasaskan kebudayaan dan adat tempatan, yang mula menapak semenjak beribu-ribu tahun dahulu sebelum kewujudan Amerika Syarikat lagi. Hari ini, kebayakan common law ini sudah pun dimaktubkan secara bertulis (statut). Walau bagaimanapun, kadang-kadang para pakar undang-undang akan merujuk kepada asas prinsip common law dalam memahami maksud sebenar sesuatu statut. 3 Habeas corpus adalah perkataan Latin yang secara literalnya bermaksud you have the body, merujuk kepada permohonan di mahkamah bagi meminta mahkamah menentukan sama ada sesuatu penahanan itu sah atau tidak di sisi undang-undang.

Siti Norma Yaakob FJ dalam kes Mohamed Ezam Bin Mohamed Noor4 memutuskan bahawa, a complaint by a person while under lawful detention that he has been refused access to counsel contrary to the second limb of art. 5(3) will not have the effect of rendering his detention unlawful...it would be otherwise if for example there has been a failure to inform the person arrested of the grounds of his arrest, contrary to the first limb of art. 5(3) and such failure would render his subsequent detention unlawful. Ini bermaksud bahawa sekiranya dibuktikan bahawa sesuatu penahanan itu bercanggah dengan hak yang pertama iaitu hak untuk mengetahui alasan-alasan sesuatu penahanan itu dibuat, maka penahanan tersebut boleh dikira sebagai penahanan yang tidak sah, manakala jika dibuktikan bahawa semasa penahanan tersebut, orang yang ditahan tidak diberi hak untuk berunding dan dibela oleh peguambela tidaklah membawa kepada kesan bahawa sesuatu penahanan itu tidak sah. Keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Persekutuan di atas seolah-olah menunjukkan bahawa hak yang kedua bukanlah hak yang mutlak (fatal). Pandangan Yang Arif Hakim ini diragui oleh Professor Dr. Abdul Aziz Bari yang menyatakan bahawa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri tidak pernah menyebut tentang perkara ini dan kedua-dua peruntukan ini hendaklah sepatutnya ditafsir secara sama berat.5 Keputusan majoriti di Mahkamah Persekutuan di dalam kes Kam Teck Soon6 memutuskan bahawa hak untuk mengetahui alasan-alasan sesuatu penangkapan itu dibuat tidak dibenarkan atau boleh dinafikan di dalam keadaan sekiranya sesuatu undang-undang itu digubal berdasarkan peruntukan Perkara 149 dan 150 Perlembagaan Malaysia.7 Dalam kes ini, pemohon ditahan di bawah seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969. Frasa seberapa segera yang boleh telah diputuskan di dalam kes Aminah8 yang membawa maksud as ready as is reasonable in the circumstances of the case. Di dalam kes Yit Hon Kit9 mahkamah telah memutuskan bahawa kelewatan 57 hari di antara masa penahanan dan pemberitahuan tentang alasan-alasan tentang sesuatu penangkapan adalah bercanggah dengan perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan dan oleh hal yang demikian, pemohon adalah dilepaskan. Setakat mana sesuatu alasan penangkapan itu hendaklah diberitahu kepada yang ditahan ada dihuraikan oleh mahkamah di dalam kes Chong Kim Loy10 yang mana Yang Arif Hakim Edgar Joseph Jr memutuskan bahawa, the right to be informed, at the earliest possible moment, not in detail and not necessarily in strict legal terminology, but only in general terms, by virtue of that
4

Mohamed Ezam Bin Mohd Noor lwn Ketua Polis Negara & Lain-lain [2002] 4 CLJ 309, [2002] 4 AMR 4053, m/s. 4152 5 Abdul Aziz Bari & Farid Sufian Shuaib, Constitution of Malaysia; Text and Commentary, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Prentice Hall, 2009, m/s. 23-24. 6 Kam Teck Soon lwn Timbalan Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Lain-lain [2003] 1 CLJ 225, [2003] 1 MLJ 321 7 Perkara 149 adalah berkenaan perundangan menentang perbuatan subversive, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb. dan Perkara 150 adalah berkenaan proklamasi darurat. 8 Aminah lwn Superintendent of Prison, Pengkalan Chepa, Kelantan [1968] 1 MLJ 92 9 Yit Hon Kit lwn Minister of Home Affairs [1988] 2 MLJ 638, m/s. 641-643 10 Chong Kim Loy lwn Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Satu Lagi [1989] 3 MLJ 121, m/s. 127

power he is being arrested and of the grounds of his arrest. But enough must be made known to him to afford him the opportunity of giving explanation of any misunderstanding. Ini membawa maksud bahawa pemberitahuan secara oral sudahpun memadai. Di dalam kes ini, pemohon telah diberitahu bahawa penahanannya adalah berkaitan dengan kegiatannya yang terlibat dengan dadah tetapi pemohon pada awalnya tidak diberitahu bahawa penahanannya adalah berkaitan dengan pengedaran dadah yang boleh membawa hukuman mati mandatori mengikut seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952. Peguam bagi pemohon menghujahkan bahawa terdapat perbezaan antara kegiatan berkaitan dadah secara umum dan kegiatan pengedaran dadah yang lebih spesifik. Walau bagaimanapun, mahkamah berpuas hati dan memutuskan penahanan pemohon tidak bercanggah dengan perkara 5(3). Mengenai hak untuk berunding dan dibela oleh peguambela, mahkamah di Singapura di dalam kes Lee Mau Seng11 telah memutuskan bahawa hak tersebut boleh digunakan dalam waktu yang munasabah setelah seseorang itu ditahan. Hal ini telah dijelaskan dengan lebih lanjut di dalam kes Ooi Ah Phua12 yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa, "The right of a prisoner to have access to legal advice must of course be subject to such legitimate restrictions as may be necessary in the interests of justice in order to prevent any undue interference with the course of investigation. For instance a legal adviser cannot claim to have interviews with a prisoner at any time he chooses. Similarly, although ordinarily a member of the Bar may be presumed to understand his responsibility in the matter, if there are any good reasons to believe that a particular pleader has abused or is likely to abuse the privilege, that pleader may be refused an interview. But, in such cases the police must of course be prepared to support their action on substantial grounds." Di dalam kes ini Karpal Singh telah dihalang daripada bertemu anak guamnya atas alasan pihak polis masih menyiasat dan mahkamah memutuskan bahawa keseimbangan hendaklah dibuat antara tugas polis dan tugas peguambela. Di dalam kes Theresa Lim Chin Chin13 Salleh Abas LP telah memutuskan bahawa pihak yang kena tahan hendaklah membuktikan bahawa pihak polis telah dengan sengaja dan berniat jahat menghalang orang yang kena tahan daripada mendapat hak berunding dengan peguambela. Mengikut Professor Dr. Abdul Aziz Bari, keputusan dalam kes Theresa Lim Chin Chin tidak selari dengan keputusan dalam kes Ooi Ah Phua yang mana keputusan dalam kes Ooi Ah Phua adalah lebih hampir dengan semangat perkara 5(3).14 Di dalam kes Ramli bin Salleh15 mahkamah memutuskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk membuktikan bahawa hak untuk berunding dengan peguambela boleh menjejaskan penyiasatan. Kes ini juga memutuskan bahawa pihak polis tidak boleh menangguhkan atau menghalang sesuatu rundingan atas alasan yang tidak logik atau pelik dan sekiranya hak untuk

11 12

Lee Mau Seng lwn Minister of Home Affairs, Singapore & Satu Lagi [1971] 2 MLJ 198. Ooi Ah Phua lwn Officer-in-Charge, Criminal Investigations, Kedah/Perlis [1975] 2 MLJ 198. 13 Theresa Lim Chin Chin lwn Inspector-General of Police [1988] 1 MLJ 293, SC, p. 298. 14 Abdul Aziz Bari, Supra. 15 Ramli bin Salleh lwn Inspector Yahaya bin Hashim [1973] 1 MLJ 54.

berunding diberikan, ia hendaklah dibuat di luar pendengaran pihak polis walaupun mungkin pihak polis masih boleh hanya melihat. Tentang frasa seorang pengamal undang-undang pilihannya, mahkamah telah memutuskan bahawa hak ini adalah juga bergantung kepada kesanggupan peguambela yang dipilih tersebut.16 Walau bagaimanapun, di dalam kes Re G.G. Ponampalan17 dan D Cruz18 mahakamah memutuskan bahawa orang yang ditahan tiada hak untuk berunding dengan peguam dari luar negara. Satu perkembangan yang menarik boleh dilihat di dalam kes Abdul Malek bin Hussin19 yang mana mahkamah telah member pampasan kepada orang yang kena tahan sekiranya terbukti bahawa penahanan tersebut adalah tidak sah dan bercanggah dengan perkara 5(3). Dalam kes ini, plaintif telah ditahan tanpa waran oleh pihak polis. Seterusnya, plaintif telah didera secara oral dan fizikal. Pihak polis juga telah mengambil tanpa waran beberapa barangan dan dokumen milik plaintif. Plaintif memfailkan saman menuntut gantirugi tort atas penahanan yang tidak sah termasuk pampasan akibat penderaan. Mahkamah memutuskan bahawa penahanan plaintif bercanggah dengan perkara 5(3). Defendan berhujah bahawa plaintif telah diberitahu alasan-alasan penangkapan tetapi mahkamah memutuskan bahawa alasan-alasan yang diberikan adalah tidak memadai. Yang Arif Hakim Mohd Hishamuddin telah memutuskan, the plaintiff was not given the slightest clue as to what he had allegedly done or likely to do or was about to do that was prejudicial to the security of the country. Yang Arif Hakim menyatakan bahawa apa yang berlaku semasa 19 hari penyiasatan di Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman hanyalah memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti plaintif dan peranannya dalam gerakan reformasi dan pertemuan-pertemuannya dengan pemimpinpemimpin pembangkang seperti Dato Fadzil Noor, Dr. Wan Azizah dan hubungannya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim. Selain daripada kos, plaintif juga diberi pampasan sebanyak RM2.5 juta.

(4) Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu) dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu: Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi penangkapan atau penahanan mana-mana orang di bawah undang-undang yang sedia ada yang berhubungan dengan kediaman terhad, dan kesemua peruntukan Fasal ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perkara ini mulai dari hari Merdeka: Dengan syarat selanjutnya bahawa dalam pemakaiannya bagi seseorang, selain seorang warganegara, yang ditangkap atau ditahan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan imigresen, Fasal ini hendaklah dibaca seolah-olah perkataan "tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa
16 17

Lihat Mohamed Ali Abdullah lwn Public Prosecutor [1980] 2 MLJ 201. [1945] 2 MLJ 263. 18 [1971] 2 MLJ 130. 19 Abdul Malek bin Hussin lwn Borhan bin Haji Daud & Lain-lain [2008] 1 MLJ 368.

apa-apa perjalanan yang perlu)" telah digantikan dengan perkataan "dalam tempoh empat belas hari": Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah Syariah, sebutan dalam Fasal ini mengenai majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan mengenai hakim mahkamah Syariah. (5) Fasal (3) dan (4) tidaklah terpakai bagi orang asing musuh. Klausa (4) di atas telah membezakan antara hak kepada warganegara dan hak kepada bukan warganegara yang mana hak kepada bukan negara adalah sedikit berbanding dengan hak kepada warganegara. Hak untuk dibawa ke hadapan majistret bagi warganegara adalah dalam tempoh 24 jam manakala hak untuk dibawa ke hadapan majistret bagi bukan warganegara adalah dalam tempoh 14 hari. Di dalam kes Lee Kim Hoong20 Yang Arif Hakim Harun telah memutuskan bahawa orang yang ditahan hendaklah dibawa ke hadapan majistret pada hari yang sama setelah penahanan dibuat. Di dalam kes Re Detention of S. Sivarasa21, Yang Arif Hakim K.C. Vohrah menekankan bahawa penahanan seseorang oleh pihak polis selepas 24 jam hendaklah dibuat dengan memenuhi syaratsyarat yang dinyatakan di dalam seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.22 Disediakan oleh: Ahmad Termizi Bin Abdullah Pensyarah Hak Asasi Dan Masyarakat Jabatan Pengajian Malaysia Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak. Email: mizico@gmail.com

20 21

Inspector-General of Police & Satu Lagi lwn Lee Kim Hoong [1979] 2 MLJ 291. In Re the Detention of R. Sivarasa & Ors [1997] 1 CLJ 471. 22 Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah adalah seperti berikut: Procedure where investigation cannot be completed within twenty-four hours 117. (1) Whenever any person is arrested and detained in custody and it appears that the investigation cannot be completed within the period of twenty-four hours fixed by section 28 and there are grounds for believing that the accusation or information is well founded the police officer making the investigation shall immediately transmit to a Magistrate a copy of the entries in the diary hereinafter prescribed relating to the case and shall at the same time produce the accused before the Magistrate. (2) The Magistrate before whom an accused person is produced under this section may, whether he has or has not jurisdiction to try the case, from time to time authorize the detention of the accused in such custody as the Magistrate thinks fit for a term not exceeding fifteen days in the whole. If he has no jurisdiction to try the case and considers further detention unnecessary he may order the accused person to be produced before a Magistrate having such jurisdiction or, if the case is triable only by the High Court, before himself or another Magistrate having jurisdiction with a view to transmission for trial by the High Court. (3) A Magistrate authorizing under this section detention in the custody of the police shall record his reasons for so doing.

Anda mungkin juga menyukai