Anda di halaman 1dari 1

Selamat sejahtera dan salam perpaduan, saya ucapkan kepada Guru Penolong Kanan Kurikulum En.

Rosli b Johar, Guru Penolong Kanan HEM Pn. Soh Choon Moi, Guru Penolong Kanan Kokurikulum Pn. Hajah Fatimah bt Salam, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memilih saya mewakili murid-murid SK Lereh untuk memberikan sepatah dua kata sempena Hari Guru yang di raikan pada pagi yang mulia ini. Bersyukur kepada Allah kerana pada tahun ini, kita warga SK Lereh berpeluang lagi untuk meraikan Sambutan Hari Guru bersama-sama bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru yang bertungkuslumus untuk menjadikan sekolah kita sebagai antara sekolah terbaik di kawasan ini. Kegigihan guru-guru mengajar kami di sini tanpa kenal penat dan lelah sangat kami hargai. Tanpa bimbingan guru-guru, kami mungkin gagal dalam pelajaran, seterusnya dalam hidup. Kami amat terharu akan jasa dan pengorbanan guru-guru. Komitmen guru-guru amat tinggi dalam memastikan kecemerlangan kami hingga sanggup mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga dengan mengadakan kelas tambahan, kelas intensif dan pelbagai program untuk membimbing kami. Selain dalam bidang pelajaran, guru juga berperanan membentuk peribadi mulia dalam kalangan kami supaya apabila kami cemerlang dalam bidang pelajaran kami juga cemerlang dalam akhlak kami. Cuba fikirkan sejenak, adakah selama ini kita berbuat sesuatu untuk guru-guru kita? Adakah kita sentiasa mendengar nasihat mereka? Oleh itu saya menyeru kepada rakan sekalian agar sentiasa menghargai guru dan mengenang jasa mereka yang ibarat ibu bapa kita di sekolah. Setidak-tidaknya jadilah manusia yang berguna kepada bangsa dan negara pada masa hadapan sebagai tanda penghargaan kita kepada mereka.

Akhir sekali, saya merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran, saya berdoa agar SK Lereh ini akan terus cemerlang dan lebih gagah menghadapi cabaran serta mencapai matlamat menjadi sekolah terbaik bukan sahaja di peringkat daerah, tetapi peringkat negeri dan kebangsaan. Semoga dengan keizinan Allah, guru-guru kita akan sentiasa diberkati, sihat dan sejahtera. Sebelum saya mengundur diri, dengarkan serangkap pantun daripada saya. Melaka Maju Negeriku Sayang, Bandaraya bersejarah sudah terkenal, Jasamu guru tetap dikenang, Dalam solat doa tak tinggal.