Anda di halaman 1dari 8

Falsafah Dan Pengajaran Ibadat Qurban

Ibadat qurban ialah menyembelih haiwan ternakan unta [1], lembu, kambing, biri-biri sebagai bertaqarrub kepada Allah pada hari-hari Nahr, iaitu pada 10, 11, 12, 13 Dhi al-Hijjah dengan syarat-syarat yang khusus. Tidak dinamakan ibadat korban jika disembelih bukan untuk taqarrub seperti untuk dijual, dimakan atau menyambut tetamu. Jika disembelih kerana Allah s.w.t. tetapi pada hari yang lain tidak juga dinamakan korban kerana ia ibadat yang mempunyai waktu yang dikhususkan baginya. Juga bukan ibadat korban sembelihan dengan niat aqiqah atau sembelihan kerana meninggalkan perkara wajib atau melakukan perkara yang ditegah semasa mengerjakan haji, atau bayaran dam kerana melakukan haji tamattu atau haji qiran. Dalil kepada korban ialah


Iaitu hendaklah didirikan sembahyang dan sembelihlah binatang korban, untuk diberikan kepada mereka yang berhajat. (Surah al-Kawthar)


Daripada Zayd bin Arqam, katanya, para sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya: Apa dia sembelihan korban itu? Rasulullah s.a.w. menjawab: Itu adalah sunnah bapa kamu, Nabi Ibrahim. Mereka bertanya: Apakah yang kami perolehi padanya, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Dengan setiap bulu satu kebaikan. Mereka bertanya: Bagaimana dengan bulu biri-biri? Baginda bersabda: Dengan setiap bulu daripada bulu biri-biri satu kebaikan. (Ibn Majah: 3127) Falsafah Hari Raya Dalam HujjatuLlah al-Balighah[2], al-Dahlawi menyatakan bahawa setiap kaum mempunyai hari yang dirayakan dengan menghiaskan diri dan mereka keluar dengan pakaian perhiasan mereka. Semasa Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah mereka mempunyai beberapa hari yang dirayakan.


Daripada Anas katanya, Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah pada waktu itu penduduknya mempunyai dua hari yang mereka bermain-main dan berseronok (Hari Niruz dan Mahrajan). Rasulullah bertanya: Hari apakah ini? Mereka menjawab: Kami bermain-main padanya di zaman Jahiliyah. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t. menukarkan untuk kamu apa yang lebih baik darinya, iaitu hari raya Adha dan Fitr. (Abu Dawud) Sebab baginda menukarkannya kerana hari kebesaran manusia mempunyai sebab kewujudannya iaitu meninggi lambang sesuatu agama, atau menyampaikan pegangan seseorang pemimpin atau sesuatu sepertinya. Rasulullah s.a.w. bimbang sekiranya mereka dibiarkan dengan adat mereka itu maka terdapat unsur meninggikan adat jahiliyyah atau mewarwarkan cara nenek moyang mereka. Lalu baginda menukarkannya kepada sunnah Nabi Ibrahim di samping menambahkan beberapa pintu kebaikan supaya perhimpunan orang-orang Islam bukanlah semata-mata bermain dan berhibur lagha. Dan supaya tidak sunyi dari maksud meninggikan kalimah Allah. Hari raya puasa dikaitkan dengan puasa mereka serta zakat fitrah. Disunnatkan bertakbir sebagai bersyukur kerana dapat menyempurnakan puasa. Hari raya haji, adalah hari Ibrahim menyembelih anaknya dan nimat Allah untuk baginda berdua dengan ditebuskan dengan sembelihan yang besar. Kelebihan


Daripada Aishah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada amalan anak Adam yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (kerana ibadat korban). Sesungguhnya ia datang pada hari Qiamat dengan tanduknya, bulu dan kakinya (datang dalam keadaan sempurna, sebagai pahala). Sesungguhnya darah itu berada di sisi Allah pada tempat keredaannya sebelum jatuh ke tanah, maka hendaklah kamu merasa senang gembira. (al-Tirmidhi, 1493) Hikmah qurban

Qurban merupakan ibadat, setiap ibadat yang dilakukan mempunyai hikmat taabbudi. Mana yang menonjol dalam ibadat ini antaranya ialah: Pertama, menghidupkan mana pengorbanan agung iaitu sunnah Nabi Ibrahim yang diperintahkan supaya menyembelih anak sendiri. Baginda mengutamakan perintah Allah daripada anak sendiri. Umat Islam hendaklah mengingati kesabaran dan kekuatan keazaman keluarga Nabi Ibrahim dalam menjalankan perintah Allah s.w.t. Sebagai tanda simpati dan turut sama meringankan kesusahan orang yang miskin dan melarat. Memberikan kegembiraan kepada mereka dan ahli keluarga pada hari raya. Ini mengukuhkan lagi perpaduan dan persaudaran serta dapat menanam semangat jamaah dan kasih sayang di hati orangorang beriman.


Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (al-Hajj: 28)


Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orangorang yang tunduk taat. (al-Hajj: 34) Orang tunduk sifatnya,

1. Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, 2. dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, 3. dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, 4. serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.

Setiap sifat ini manifestasi kepada sifat tawadu walaupun tidak disyaratkan semua sifat pada setiap orang Islam namun maksudnya salah satu dari sifat tersebutnya semestinya ada.


Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nimat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Hajj: 37) Oleh kerana qurban membelanja harta maka memilih yang terbaik merupakan syarat bagi menyatakan keinginan yang sahih untuk mendapat keredaan Allah. Maksud sembelihan qurban bukan semata-mata menumpahkan darah dan dipotong-potong daging tetapi ia wasilah untuk manfaat manusia dengan daging, kulit dan bahagian anggota sembelihan yang lain. Maksud hanya tercapai apabila disembelihkan binatang tersebut. Maksud yang terbesar ialah supaya dapat meraih ketaqwaan kepada Allah.


Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. (al-Hajj: 32) Qurban Dan Tawhid Korban mempunyai kaitan yang kuat dengan aqidah, persoalan menghalalkan yang halal dan mangharamkan yang haram adalah sebahagian daripada Tauhid, sebagaimana sembelihan hanya untuk Allah tidak boleh dibuat untuk orang lain. Syukur kepada Allah s.w.t. yang memberikan nimat dan takbir membesarkannya ketika

menyembelihkannya kerana nimat hidayah yang menyelamatkan daripada syirik kepada tauhid. Di mana kaum musyrikin yang sesat menumpahkan darah untuk berhala. Orang kristian mendakwa Nabi Isa menjadi korban untuk menebus dosa anak cucu Nabi Adam dan itulah korban yang terakhir. Sebab itulah

di sisi mereka tidak ada lagi korban melainkan dalam bentuk jamuan ketuhanan iaitu ritual yang dilakukan golongan Katolik dengan menghidangkan arak dan roti kemudian rabbi mereka membaca beberapa bacaan. Mereka mendakwa arak itu bertukar menjadi darah Nabi Isa dan roti bertukar menjadi daging maka dengan ini sempurna pengorbanan. Tetapi Protesten membantah pertukaran ini dan menolak ritual jamuan ketuhanan. Mereka mengatakan al-Masih adalah korban terakhir maka tidak ada lagi sembelihan. [3] Allah s.w.t. menyelamatkan umat ini dari khurafat dan syirik ini. Ibadat korban disyariatkan sebagai simbol kepada menjunjung perintah Allah dan penyerahan kepada hukum hakam-Nya. Ia juga sebagai tanda kerelaan hamba terhadap apa yang diredai dikasihi oleh Allah. Tanda tunduknya hamba kepada Penciptanya dalam senang dan susah, berat atau ringan, sama ada diterima akalnya atau tidak, disetuju oleh nafsu keinginannya atau tidak.

Sejarah Pengorbanan


Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): "Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!" (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa; Pengorbanan pertama umat manusia ialah Habil. (al-Maidah: 27) Pengorbanan Nabi Ibrahim tidak dilihat sebagai pengorbanan individu diri baginda sahaja tetapi merangkumi seluruh keluarga, isteri dan anaknya. Baginda meninggalkan anak isteri di tanah Mekah yang tidak berpenghuni. Doa beliau dirakamkan oleh al-Qur`an:


"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (tanah suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan

sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (Surah Ibrahim: 37)


Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (surah al-Saffat: 101-102) Perintah ini merupakan ujian yang besar yang bertujuan menyatakan kekuatan azam dan keteguhan diri menjunjung ketaatan kepada Allah. Ini kerana anak merupakan orang yang paling dikasihi dan berat pada hati ayah berlaku keburukan pada anaknya. Anak merupakan satu-satunya harapan ayah di masa hadapan. Nabi Ibrahim pernah berdoa supaya dikurniakan seorang putera untuk mewarisi keturunannya. Setelah diperkenankan doa tersebut diperintahkan pula supaya mengorbankan nyawanya. Nabi Ibrahim bermimpi baginda menyembelih anak sendiri dan baginda memahami bahawa ini adalah perintah Allah s.w.t. Keazaman baginda melaksanakan perintah ini didorong oleh keimanan dan kasih kepada Allah mengatasi segala-galanya. Inilah sepatutnya sikap orang-orang Islam. Allah s.w.t. berfirman


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan

RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah al-Tawbah: 24) Ayat inilah tidaklah menafikan kasih terhadap selain Allah dan Rasul-Nya kerana merupakan sifat semula jadi manusia. Apa yang penting kasih kepada Allah yang utama dari yang lain. Kasih kepada Allah bererti taat kepada perintah-Nya dan Rasul-Nya serta sanggup berkorban di jalan-Nya. Apabila berlaku pertentangan antara kepentingan diri atau dunyawi dengan kepentingan agama dan akhirat maka hendaklah didahulukan tuntutan agama. Ini kerana kepentingan agama itulah yang lebih dikasihi Allah. Apa yang mengkagumkan dari kisah ini, Nabi Ibrahim dan anaknya saling bersedia untuk menjunjung perintah Allah.


Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; (alSaffat: 103-107) Nabi Ismail Suri Teladan Untuk Pemuda Islam Kisah penyembelihan Nabi Ismail merupakan suri teladan untuk pemuda Islam di mana baginda menunjukkan keyakinannya akan perintah Allah dan memberi semangat kepada bapanya untuk melaksanakannya walaupun terpaksa mengorbankan nyawa sendiri. Persoalan utama kepada para pemuda yang memperjuangkan dan mempertahankan keimanan ialah sejauh mana dalam merealisasikan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dalam setiap konteks kehidupan. Ini menuntut supaya kita membuktikan bahawa cinta kepada Allah mengatasi cinta kepada yang lain.

:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Demi tuhan yang nyawaku berada di tangan-Nya! Tidaklah beriman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari ayahnya dan anaknya. (al-Bukhari) Natijah Ibadat Korban Semangat dari korban ialah sifat ithar iaitu mengutamakan orang lain dalam perkara keperluan hidup. Ini dengan cara kita memikirkan hal orang lain yang lebih memerlukan kepada keperluan duniawi. Sebagai contoh, umat Islam sentiasa memerlukan kepada infaq dan sumbangan masyarakat untuk membangunkan dan menyempurnakan tanggungjawab bersama yang disebutkan sebagai fardu kifayah. Sekiranya pengorbanan itu terhenti hanya kepada ibadat korban yang hanya setahun sekali maka umat tidak akan berkeupayaan untuk menyempurnakan tuntutan fardu kifayah demi untuk membina sebuah peradaban yang utuh. Contoh yang boleh diberikan di sini, keperluan untuk membina pusat pengajian yang mapan dengan pendidik dan penyelidik yang berwibawa dengan segala kemudahan serta mempunyai pusat rujukan yang lengkap dan muktabar. Kelangsungan pusat seperti ini memerlukan kepada pengorbanan masyarakat Islam bagi menyediakan dana yang mencukupi.