Anda di halaman 1dari 2

Zihar

Definisi
Zihar ialah suami menyerupakan isterinya dengan ibunya walau pun setengah ulama mengatakan dikira zihar jika diserupakan isteri dengan semua perempuan yang haram dikahwininya selama-lamanya. Contohnya suami yang berkata: Punggung kamu serupa dengan punggung emak aku. Jika seseorang suami berkata demikian kepada isterinya, isterinya menjadi haram disetubuhi sebelum suami membayar kaffarah.

Kaffarah Zihar
Seseorang suami yang melakukan zihar terhadap isterinya dikenakan dengan dua bentuk hukuman, iaitu: a. Dia ditegah menyetubuhi isterinya sehingga ia membayar kaffarah. b. Dia wajib membayar kaffarah ekoran penarikan semula zihar yang dia lakukan. Penjelasan berkaitan kaffarah zihar untuk membolehkan suami bersetubuh dengan isterinya semula terbahagi kepada tiga bentuk dan mesti mengikut tertibnya, iaitu: i. Memerdekakan seorang hamba mukmin, lelaki atau perempuan. ii. Sekiranya tidak mampu, boleh membuat pilihan kedua, iaitu berpuasa dua bulan berturut-turut. iii. Sekiranya tidak mampu juga, bolehlah berpindah kepada pilihan ketiga, iaitu memberi makan utama kepada 60 orang miskin. Jumhur ulama sepakat bahawa kaffarah itu mestilah dilaksanakan berdasarkan tertib kerana banyak hadith yang menyuruh supaya dilakukan secara tertib. Ia sebagaimana dijelaskan di dalam hadis sahih tentang kaffarah berkaitan orang yang menyetubuhi isterinya ketika berpuasa Ramadan. Konteks selanjutnya, mana-mana suami yang menziharkan isterinya serta tidak membayar salah satu daripada bentuk kaffarah yang ditetapkan itu, menurut penyelesaian Islam, isteri hendaklah menunggu selama 4 bulan sahaja. Sekiranya tamat tempoh tersebut, suami mesti memberi kata putus samada menceraikan isterinya atau membayar kaffarah dan kembali hidup bersama. Sekiranya suami masih enggan berbuat demikian, hakim atau kadi boleh menceraikan isterinya itu dengan talak satu sebagai mewakili isteri.

Orang Dan Anggota Yang Terlibat Waktu Zihar


Di zaman jahiliah zihar termasuk talak. Islam membatalkan hukum talak secara zihar. Terdapat khilaf di kalangan ulama mengenai penyerupaan atau perumpamaan melibatkan ibu dan selainnya atau dengan punggung dan belakang sematamata atau sama ada ia juga meliputi segala anggota lain. Untuk menjelaskan perkara tersebut: 1. Menurut pendapat jumhur ulama: Telah disepakati bahawa mana-mana suami yang melakukan zihar dengan menyamakan isterinya dengan belakang atau punggung dikira sebagai perbuatan zihar dan isterinya menjadi haram disetubuhi sebelum dibayar kaffarah. Begitu juga, jika seseorang itu menyamakan isterinya dengan neneknya atau mana-mana mahram, seperti: Adik beradik dan emak saudaranya juga terlaksana zihar. Seterusnya lagi, menurut ulama Mazhab Maliki dan Hanbali: Begitu juga kiranya suami menyamakan mereka itu dengan mana-mana anggota lain selain punggung atau belakang, seperti: Tangan, rambut, telinga, kaki dan perut tetap dikira zihar. 2. Menurut pendapat imam Abu Hanifah: Jika seseorang suami menyamakan isterinya atau mana-mana mahram dengan selain daripada belakang atau punggung, iaitu anggota sensitif yang ada kaitan dengan persetubuhan secara jelas seperti perut, faraj dan paha dikira sebagai zihar. Sebaliknya, jika apa yang disamakan itu dengan anggota-anggota lain selain itu, tidak dikira sebagai zihar. Menurut Abu Hanifah lagi: Isteri yang diziharkan sebelum dibayar kaffarah, haram terhadap suami buat selama-lamanya dari sudut nasab, perkahwinan, penyusuan dan persetubuhan sebagaimana haram ia menyetubuhi isteri bapanya. Begitu juga, aurat dan anggota badan isterinya itu haram dilihat, seperti: Belakang dan perut.