Anda di halaman 1dari 7

PENGENALAN Al-Adatu Muhakkamah merupakan kaedah yang kelima daripada kaedah-kaedah fiqhiyyah yang utama.

Di dalamnya terkandung pula beberapa kaedah furu yang lain. Di dalam tulisan ini, tumpuan perbincangan diperkecilkan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan muamalat sahaja. Perbincangan berkenaan penggunaan adat atau urf sebagai penentu hukum dalam muamalat ini telah disentuh oleh ulama al-mutaqaddimin (terdahulu) yang terkemuka seperti al-Imam AlSuyutiy (911H) yang telah membincangkan masalah jual beli al-muatah , iaitu seorang membeli barang daripada penjual yang hanya menerima harga tanpa menyatakan ijab dan qabul, yang pada dasar hukumnya dalam mazhab al-Imam al-Syafiiy adalah tidak sah . Tetapi oleh kerana kebiasaan atau al-adah itu diambil kira maka jual beli tersebut menjadi sah. Keyataan ini juga mendapat sokongan daripada al-Imam al-Nawawi . Kedua-dua imam al-Suyutiy dan al-Nawawi adalah daripada mazhab al-Syafiiy. Perbincangan mengenainya diteruskan oleh ulama al-muasirah (kini) seperti Muhammad alZuhayliy (1999) yang menyatakan sekiranya berlaku jual beli yang tidak dinyatakan dalam akad sama ada bayaran secara tunai atau tangguh, dan diketahui di antara mereka secara kebiasaannya bayaran dijelaskan selepas seminggu atau sebagainya, maka pembeli tersebut pada masa itu tidak perlu (diwajibkan) menjelaskan bayaran barang tersebut serta merta, dan meninggalkan amalan biasa (dalam mazhab al-Syafiiy). Dalam keadaan ini, adat atau kebiasaan mereka berada pada kedudukan yang disepakati secara jelas. Penulis Melayu (Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali, 2000) juga ada memperkatakan tentang masalah pengambilan al-adah di dalam menentukan sesuatu hukum dalam muamalat. Mereka menyatakan seorang membeli barang dengan membayar deposit atau pendahuluan sahaja. Namun sebelum ia mengambilnya, harga barang telah naik. Penjual tidak boleh membatalkan jual beli tersebut atau menjualnya kepada orang lain dengan alasan jual beli belum terlaksana sepenuhnya, kerana adat kebiasaan masyarakat setelah dibayar sebahagian daripada jumlah harga barang, dianggap telah berlaku akad. Dalam keadaan ini, adat dikira sebagai perujuk. FAHAM AL-ADAH ATAU AL-URF DALAM MUAMALAT Perbincangan berkenaan dengan definisi al-adah atau al-urf telah mendapat sambutan yang agak hangat dalam kalangan para ulama. Ada di antara mereka yang tidak membezakan keduanya dan ada yang membezakannya. Namun sekiranya kedua-dua al-adah dan al-urf dilihat dari sudut muamalat maka akan terlihatlah perbezaannya yang amat ketara. Sekiranya di dalam bidang ibadah, penggunaan gantang untuk membayar zakat dan cupak untuk membayar fidyah tetap tidak berubah mengikut perubahan zaman. Tetapi di dalam bidang muamalat seperti jual beli, maka penggunaan cupak dan gantang bukan sahaja tidak digunakan bahkan tidak dikenali oleh generasi hari ini. Definisi al-adah Sekiranya dilihat di dalam kamus-kamus bahasa Arab, al-adatu bermaksud sesuatu yang berulang-ulang . Ia sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai kebiasaan. Ab Latif Muda mentakrifkan adat sebagaimana yang difahami daripada perkataan Arab itu sesuatu

perbuatan atau perkataan yang terus menerus dilakukan oleh manusia. Apa yang penting ia dapat diterima oleh akal manusia dan ia dilakukan secara berulang-ulang . Definisi al-urf Kamus-kamus Arab menyatakan maksud urf sebagai seerti dengan maruf iaitu sesuatu yang diketahui manusia daripada segala kebaikan dan mereka menerimanya dengan itminan . Manakala di dalam bahasa Melayu, ia sesuai diterjemahkan sebagai sesuatu yang difahami sebagai adat seperti adat resam, adat pepatih, adat Melayu dan sebagainya. Kerana adat-adat tersebut dikenali dalam kalangan orang-orang Melayu, Minangkabau dan lain-lain. Definisi Muamalat Muamalat bermaksud urusan yang melibatkan kewangan ( )di antara dua orang atau lebih seperti al-Salam, al-Rahn dan sebagainya . Ada dalam kalangan penulis yang menterjemahkannya sebagai harta dan konsepnya seperti yang dinyatakan dalam Islam . Kesimpulan Dalam bidang muamalat, al-adah atau kebiasaan yang diamalkan oleh manusia boleh berubah dari masa ke masa dan dari generasi ke generasi malah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya dalam bidang jual beli seperti yang disebutkan, kebiasaan yang diamalkan oleh generasi hari ini menggunakan alat sukatan dan timbangan dalam kilogram telah berbeza daripada generasi dahulu. Begitu juga kebiasaan (al-adah) pada suatu masa mereka berjual beli dengan menyatakan ijab dan qabul, kemudian berubah kepada bay al-muatah (bertukar tangan) sahaja. Kebiasaan kini orang membayar dengan tunai dan kad kredit atau kad debit tetapi tidak mustahil datang suatu masa orang tidak lagi menggunakan tunai langsung. Itulah kebiasaan (al-adah) yang akan berubah-ubah mengikut keadaan suatu generasi. Tetapi urf atau adat resam sesuatu bangsa atau kumpulan manusia itu diwarisi turun temurun dan mustahil akan berubah. Pepatah biar mati anak asal jangan mati adat jelas menggambarkan pegangan mereka kepada adat adalah amat kuat. Oleh yang demikian, persoalan mengapa pilihan para ulama menggunakan kaedah al-adah muhakkamah berbanding al-urf muhakkam nampak jelas sekiranya dilihat daripada segi bidang muamalat. KELAYAKAN URF SEBAGAI HUJJAH DALAM MUAMALAT. Sebelum perbincangan dilanjutkan terlebih dahulu dinyatakan beberapa signifikan yang menjadikan adat (kebiasaan) atau urf sebagai hujjah bagi menentu hukum dalam muamalat. Dr. Abd al-Karim Zaydan (1994) telah menggariskan tiga perkara seperti berikut : i. Adat atau urf yang baik. Syariat Islam tidak pernah mengetepikan adat atau urf yang baik yang mendatangkan kebaikan pula kepada masyarakat seperti bai al-Salam. Walaupun ia tidak thabit melalui nas sorih, namun amalan ahli Madinah yang baik itu diteruskan. Sebaliknya jual beli tamar dengan tamar

walaupun ia juga merupakan urf mereka, ia tidak dibenarkan kerana berlawanan dengan nas syarak yang mengharamkan riba. ii. Adat atau urf yang telah diamalkan secara menyeluruh menjadi suatu ijma . Urf merupakan suatu perkara yang kadang-kadang mempunyai kuasa tersendiri ke atas perilaku masyarakat, oleh yang demikian meraikannya adalah lebih mudah disamping ia meringankan kesakitan (beban) . Begitu juga sekiranya urf itu diamalkan secara berterusan oleh kebanyakan ahli masyarakat ia boleh dianggap seoalah-olah suatu ijma dalam kalangan mereka. Ijma pula merupakan suatu yang dianggap dalil bagi melayakkan sesuatu menjadi hujjah. iii. Adat atau urf boleh dianggap sebagai ijma al-sukuti. Urf telah mendapat perhatian para fuqaha dalam amalan ijtihad mereka sepanjang zaman dan amalan tersebut tidak pula mendapat bantahan daripada fuqaha yang lain membuktikan bahawa ia merupakan sesuatu yang layak dijadikan hujjah. SYARAT PENGGUNAAN KAEDAH DALAM MUAMALAT Dr. Abd al-Karim Zaydan juga telah menggariskan empat perkara yang menjadi syarat bagi sesuatu urf itu boleh dijadikan hujjah dalam sesuatu urusan muamalat. 1. Urf yang tidak berlawanan dengan nas syarak. Iaitu sesuatu urf atau mana-mana bahagiannya hendaklah tidak berlawanan dengan nas syarak. Contohnya mengembalikan barang yang disimpan ( )kepada isteri atau anak orang yang membuat simpanan. Urf ini tidak berlawanan dengan syarak kerana ia tidak pernah menetapkan hanya penyimpan sahaja yang boleh mengambil barang simpanannya. Sebaliknya jual beli pakaian yang mendedahkan aurat, walaupun ia merupakan adat sesuatu tempat tetapi sebahagian hasil daripada jual beli itu melanggar syariat iaitu membuka aurat, maka ia tidak dibenarkan. 2. Urf yang paling biasa. Iaitu suatu urf yang diamalkan oleh kebanyakan ahli sesuatu masyarakat. Kecuali sedikit sahaja yang tidak mengamalkannya. Hal ini kerana sesuatu yang menjadi pilihan ramai tidak mungkin akan hilang dengan mudah. 3. Urf yang masih diamalkan. Iaitu urf berkenaan masih berjalan dalam masyarakat pada masa akad. Bukannya urf yang pernah diamalkan dahulu dan kini sudah tidak diamalkan lagi, maka ia tidaklah dibenarkan. 4. Urf yang sunyi daripada perkataan atau perbuatan yang bersalahan. Iaitu kebiasaan sesebuah perniagaan itu mengamalkan jualan secara ansuran tetapi kedua-dua penjual dan pembeli bersetuju untuk membeli dalam keadaan tunai. Pada masa kini ianya seperti syarikat singer atau courth mammoth yang membenarkan juga pembeli membuat bayaran tunai, maka pada masa itu akad tidak perlu ditetapkan hanya kepada ansuran sahaja. KAEDAH-KAEDAH PECAHAN DALAM MUAMALAT. Berikut disenaraikan kaedah-kaedah pecahan daripada kaedah yang mendapat perbincangan ulama dalam bidang muamalat. Antaranya:

1. Sesuatu yang ditegah secara kebiasaannya adalah suatu yang dapat diterima pada hakikatnya. Contohnya seseorang mendakwa barang yang dibeli oleh seorang yang lain itu adalah miliknya, maka sudah tentu dakwaan tersebut tidak dapat diterima kerana ia suatu yang tidak berlaku (ditegah) daripada sudut hakikatnya. 2. Sesuatu yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat adalah dianggap hujjah dan wajib beramal dengannya. Sudah tentulah selama mana ia tidak bertentangan dengan nas syarak. Sebagai contoh kebiasaan amalan dalam masyarakat yang membeli almari atau perabot, kos penghantarannya adalah ditanggung oleh penjual dan barang tersebut (jual belinya akan sempurna apabila ia) diterima di rumah. 3. Ulama telah bersepakat bahawa sekiranya pertembungan berlaku di antara hakikat dan majaz hendaklah ditarjihkan hakikat. Manakala sekiranya bertembung antara hakikat dan adat maka hendaklah ditarjihkan adat yang mempunyai petunjuk atau penjelasan dalil. Hakikat yang diketepikan itu pula adalah apabila ia ada sekatan atau halangan. Namun sekiranya hakikat tidak mempunyai halangan atau sekatan maka pada masa itu hakikatlah yang diamalkan. Contohnya seseorang telah menulis di atas kertas dengan tulisannya sendiri bahawa ia telah melepaskan si fulan daripada hutangnya, maka hutang tersebut dianggap telah terhapus kerana adat menjelaskan iqrar dengan penulisan diterima sebagai iqrar dengan percakapan . 4. Sesuatu penetapan hukum berdasarkan urf adalah sama kedudukannya dengan penetapan hukum yang didasarkan oleh nas. Contohnya seorang yang menyewa sebuah kedai di kawasan bazar jualan kain, tidak boleh menjalankan perniagaan menukang besi atau membuat roti, atau sebarang pekerjaan yang boleh mendatangkan kesusahan kepada jiran-jirannya . 5. Sesuatu yang telah diketahui umum dan telah menjadi urf hendaklah dilaksanakan secara nyata tanpa meletakkan syarat. Ia hendaklah diraikan sebagaimana yang diketahui umum secara jelas. Contohnya seorang membeli komputer desktop tidak perlu disyaratkan membeli keyboard, mouse, moniter, cpu dan sebagainya. Kaedah ini juga disebut pada tempat yang lain sebagai BIDANG MUAMALAT Kaedah dalam bidang muamalat yang paling banyak mendapat perhatian para ulama untuk membincangkannya adalah yang bekaitan dengan urusan jual beli. Fenomena ini (jika boleh dikatakan) berlaku kerana ia (jual beli) merupakan bidang muamalat yang sering diamalkan dalam sesebuah masyarakat tanpa mengira jantina, tahap pendidikan, tahap ekonomi malah umur seseorang individu itu sendiri. Manakala bidang-bidang lain seperti sewaan hanya diamalkan oleh orang yang perlu menyewa, begitu juga pinjaman, gadaian, syirkah dan sebagainya. Maka sudah tentu ia tidak mendapat

begitu banyak perhatian dan perbincangan dalam kalangan fuqaha sama ada golongan almutaqaddimin atau al-muasirin. MUAMALAT YANG DIASASKAN DARIPADA KAEDAH 1. Bai Al-Salam ( ) Iaitu jual beli melalui tempahan seperti menempah pakaian, makanan dan sebagainya dengan didahulukan bayaran manakala barang akan diserahkan kemudian setelah tempahan tersebut selesai. Ia adalah satu-satunya bidang muamalat yang diasaskan oleh amal ahli Madinah (urf) berbanding jual beli ( ,)hutang, sewaan, qard al-hasan dan lain-lain yang diasaskan oleh nas syarak samada al-Quran ataupun al-Hadith. Dr Mustafa al-Bugha telah menyatakan bahawa bai al-salam ini berasal daripada jual beli barang yang tidak ada ( ) namun oleh kerana keperluan masyarakat maka ia dikecualikan daripada kategori tersebut . Beliau juga menegaskan bahawa hadith Abd al-Rahman yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhariy dan sebuah lagi hadith Ibnu Abbas yang diriwatkan oleh kedua-dua imam al-Bukhariy dan Muslim, serta ayat ke-282 surah al-Baqarah semuanya berkaitan dengan hutang. Maka oleh kerana hutang telah diharuskan oleh syarak maka jual beli secara tempahan (bay al-salam) juga adalah harus . 2. Jual beli ( ) Pensyariatan jual beli adalah berdasarkan ayat al-Quran (surah al-Baqarah: 275). Manakala dalam bidang jual beli ini, kaedah diguna pakai untuk mengharuskan perkaraperkara seperti berikut: 2.1 Bai al-Muatah (pertukaran tangan). 2.2 Jual beli dengan bayaran deposit . 2.3 Menentukan alat untuk sukatan atau timbangan dalam jual beli. Ahli Baghdad menggunakan cupak yang dikenali sebagai cupak Baghdad. 2.4 Penggunaan mata wang bagi tujuan pembayaran. Setiap tempat menggunakan mata wang yang tersendiri. 3. Sewaan atau upah ( ) Pensyariatan sewaan atau upah adalah berdasarkan ayat al-Quran (surah al-Talaq: 6) dan sebahagian ulama seperti Dr. Mustafa al-Bugha menjadikan ayat 26 surah al-Qashash yang mengisahkan Nabi Musa diupah oleh Nabi Syuaib dengan dikahwinkan anak perempuannya . Manakala dalam bidang sewaan atau upah ini, kaedah diguna pakai untuk mengharuskan perkara-perkara seperti berikut: 3.1 Perihal barang keperluan akibat daripada alat yang disewa. Seorang yang menyewa mesin jahit maka ia tidak memasukkan pembiayaan benang di dalam akad sewaan tersebut . Begitu juga orang yang menyewa kereta tidak boleh menuntut harga petrol daripada tuan punya kenderaan. 3.2 Kewajipan membayar upah. Seorang yang menyerahkan kain kepada tukang jahit tidak perlu mensyaratkan upah bagi

pekerjaan tersebut kerana kebiasaan setiap pekerjaan dibayar upah. Maksudnya syarat untuk membayar upah tidak diperlukan dalam akad . 4. Pawah Pawah adalah bentuk upah memelihara binatang yang diamalkan oleh sebahagian penduduk di beberapa kawasan di Malaysia dan menjadi adat atau curf sehingga kini. Sekiranya mereka memawah lembu betina untuk dipelihara oleh seseorang, anak pertama dan kedua akan dikembalikan kepada hak milik tuannya yang asal manakala anak ketiga akan menjadi milik orang yang memelihara (sebagai upah). Seterusnya anak keempat dan kelima akan kembali kepada tuannya dan anak keenam menjadi hak milik orang yang memelihara dan begitulah seterusnya. Imam al-Qurtubi (671H) di dalam menghuraikan ayat 26 surah al-Qashash beliau berpendapat tidak harus akad al-Ijarah yang difahami sebagai pawah. Iaitu menetapkan upah memelihara binatang dengan anak yang bakal dilahirkan oleh binatang berkenaan. Kerana sesuatu yang belum terjadi itu merupakan sesuatu yang belum pasti. Sekiranya dirujuk kepada tafsiran ini, maka urf sebegini tidak boleh diamalkan sebagai sebahagian dari al-Ijarah. Namun sekiranya urf sebegini diambil kira sebagai asas bagi menentukan keharusan akad pawah maka ia dibolehkan kerana selama ini ia berjalan dalam masyarakat tanpa menimbulkan sebarang persengketaan. ISU SEMASA MUCAMALAT BERKAITAN DENGAN URF/ADAT 1. Jual beli menggunakan kad kredit Penggunaan kad kredit kini terutama di dalam urusan jual beli sudah dianggap sebagai adat atau urf. Sehingga setiap individu yang bekerja ada memiliki sekurang-kurangnya satu kad kredit. Kebanyakan kedai-kedai terutama gedung yang besar kini menawarkan perkhidmatan bayaran menggunakan kad kredit. Walaupun di pihak pembeli, penggunaan kredit kad adalah bayangan kepada akad hutang tetapi di pihak penjual, penggunaan kredit kad diterima kerana mereka akan mendapatkan tunai apabila bil kredit kad tersebut dikemukan kepada pihak bank. Penerimaan kad kredit sebagai bayaran pada mereka adalah sama seperti bayaran tunai. 2. Jual beli menggunakan kad debit. Kad debit bermaksud kad tunai yang digunakan oleh pelanggan sebuah bank untuk urusan pembayaran di kedai-kedai yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Melalui penggunaan kad debit, para pelanggan tidak perlu membayar tunai sebaliknya jumlah yang akan dikenakan itu ditolak secara langsung dari akaunnya di bank. Ia berbeza daripada kad kredit kerana penggunaannya akan terhenti sekiranya tiada baki dalam akaunnya di bank. 3. Transaksi menggunakan internet Kecanggihan teknologi hari ini memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk melakukan urusan seharian secara atas talian. Perkara ini seakan-akan telah menjadi adat masyarakat kini dan ia diharuskan kerana memudahkan urusan. Di antara urusan yang dapat dilakukan menerusi internet adalah seperti:

a. Jual beli b. Hutang c. Sewa d. Perbankan e. Zakat f. Sedekah 4. Transaksi menggunakan telifon bimbit Ia berbeza daripada internet sekiranya dilihat daripada segi kepunyaan. Kemudahan intenet dapat dicapai di mana-mana sahaja (samada mereka memiliki komputer atau tidak) manakala kemudahan telifon bimbit hanya dapat dicapai oleh mereka yang memiliki telifon mudah alih. Kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi ini juga terhad. Antara urusan yang dapat dibuat adalah seperti: a. Jual beli (seperti tiket kapal terbang AirAsia) b. Perbankan Sekadar perkongsian.. wallahu aklam. p/s: Ini merupakan sebahagian daripada isi kertas kerja yang dibentangkan dalam kuliah usul fiqah, UKM 2008 (Subjek MA). Anda dibenarkan untuk mengulangcetak atau mengulangletak artikel ini dan anda digalakkan menyertakan bersama link ke artikel ini sebagai rujukan akademik yang sah (amanah ilmu) agar sekiranya terdapat komen, kritikan dsb maka pihak2 yang berkenaan itu dapat mengakses kepada penulisnya yang asal.