Anda di halaman 1dari 3

MINUM ARAK (KHAMAR)

A. Definisi Arak
Arak ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab arak dinamakan khamar, berasal dari kata khamara ertinya menutupi. Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah. Minum arak hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, hukum mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis / keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah Al-Maidah: 90)

B. Hukuman ke atas Peminum Arak


Seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80 kali sebat dan tidak kurang dari 40 kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib bermaksud: Rasulullah SAW telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah SAW dan inilah yang paling aku suka.

C. Kesabitan Kesalahan Minum Arak


Ada 3 sebab untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak:
1. Minuman yang diminum itu ialah khamar, iaitu minuman

yang memabukkan dan yang menghilangkan akal fikiran manusia. 2. Orang yang meminum itu mengetahui bahawa yang diminum tadi memabukkan dan menutup akal fikirannya. 3. Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan. Seseorang yang meminum sesuatu yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa perbuatannya itu menyebabkan mabuk tidak boleh dikenakan hukuman hudud, sekalipun dengan sebab meminum tadi ia menjadi mabuk.

D. Peminum Arak yang Boleh dikenakan Hukuman Hadd


Orang yang melakukan kesalahan minum arak (khamar) yang wajib dikenakan hukuman hadd adalah tertakluk dibawah syaratsyarat berikut: 1. Baligh 2. Berakal 3. Dengan kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa 4. Minuman itu masuk kedalam rongga melalui mulutnya Kanak-kanak yang belum baligh atau orang yang gila yang minum arak (khamar) tidak boleh dikenakan hukuman hadd ke atas mereka, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah syariyyah yang boleh dikenakan hukuman hadd. Dalil hadith Rasulullah SAW bermaksud: Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya, dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gila. (Al-Bukhari)

E. Bukti-bukti Yang Mensabitkan Kesalahan Minum Arak


Untuk sabit kesalahan yang boleh dikenakan hukuman hadd, perlu wujud: 1. Syahadah (kesaksian) 2. Ikrar (pengakuan peminum) Kesalahan boleh dibuktikan dengan keterangan lisan yang diberi oleh 2 orang saksi atau dengan ikrar (pengakuan) yang dibuat oleh orang yang dituduh itu dengan kerelaan dirinya sendiri tanpa paksaan dari mana-mana pihak. Saksi-saksi dari pihak pendakwa atau penuduh mestilah terdiri dari 2 orang lelaki yang mempunyai syarat-syarat yang cukup. Jika saksi-saksi itu semuanya terdiri dari orang-orang perempuan atau seorang lelaki berserta dengan beberapa orang perempuan, maka kesaksian mereka itu tidak boleh diterima dan tidak boleh disabitkan kesalahan orang yang dituduh tadi kerana kesaksian mereka itu mendatangkan keraguan.