Anda di halaman 1dari 11

Silahkan download e-book ini di halaman download pada situs

EKONOMI ISLAM: PERSPEKTIF DAN


CABARAN
Profesor Dato’ Dr. Mansor Md. Isa
Pengarah, Jabatan Pengajian Malaysia,
Universiti Kaherah
PENGENALAN
Ekonomi bukanlah persoalan baru dalam Islam.
Perancangan dan aktiviti ekonomi telah berlaku dalam
zaman Nabi Yusuf a.s yang menjadi Menteri Ekonomi
pertama di Mesir. Baginda telah meletakkan asas Ilmu
Ekonomi dengan membuat satu perancangan rapi bagi
memastikan negara mempunyai bekalan yang
mencukupi apabila menghadapi musim kemelesetan.
Namun begitu kegiatan ekonomi pada awal Islam agak
terbatas dengan kegiatan jual-beli sahaja di pasaran
yang mudah. Mulai abad kedua Hijrah bermulalah
beberapa kajian mengenai kegiatan ekonomi secara
khusus dan lahirlah tulisan-tulisan mengenai hukum
riba, sistem harga, monopoli, percukaian, zakat,
kewangan kerajaan dan sebagainya. Tulisan-tulisan ini
membicarakan hukum hakam muamalat mengikut
mazhab masing-masing.1
Dua tokoh yang sering disebut sebagai bapa
Ekonomi Islam ialah Ibni Taymiyah (1262-1328
Masehi) dan Ibn Khaldun (1332-1406 Masehi). Ibn
Taimiyah yang berpusat di Damsyik adalah terkenal
dengan pandangannya mengenai harga setara, pasaran
sempurna, kawalan harga, monopoli, penyorokan dan
spekulasi. Manakala Ibn Khaldun pula, di dalam
kitabnya yang terkenal, iaitu Mukaddimah Ibn Khaldun,
menyentuh banyak perkara ekonomi seperti nilai, buruh,
sistem harga, hukum permintaan dan penawaran,
penggunaan dan pengeluaran, wang, modal, kewangan
negara, dll. Beliau yang berasal dari Haramaut dan
berpindah ke Andalus merupakan tokoh ekonomi
dengan pemikiran ekonomi yang penting yang
mendahului Adam Smith dengan jarak waktu 400 tahun.

Walaubagaimana pun momentum pengembangan


ilmu Ekonomi Islam ini mengalami kemerosotan
bersama dengan zaman kejatuhan empayar Islam yang
berlaku disekitar kurun ke 13 Masehi. Inilah zaman
kegelapan Islam di mana masalah politik dan sosial di
kalangan umat Islam telah menjadi kucar-kacir sehingga
membantutkan isnstitusi keilmuan. Para ilmuan tidak
mampu lagi mengkaji dan berijtihad. Mereka hanya
mampu bertaklid dan dengan rela hati menutup pintu
ijtihad. Ilmu Ekonomi Islam yang yang di asaskan oleh
Ibn Taimiyah dan Ibn Khaldun dan yang lain sebelum
mereka tidak dikembangkan dan hanya tersimpan dalam
kitab-kitab kuning tanpa waris untuk menyambung
usaha mereka.2
Selepas dari tempoh ini penumpuan ilmu beraleh
ke Barat. Lahirlah tokokh ilmu ekonomi Barat seperti
Adam Smith (1723-1790), David Ricardo (1772-1823),
J.S. Mills (1806-1873), Irving Fisher (1867-1947), John
Maynard Keynes (1883-1946), dan lain-lain.
Cendikiawan dari negara Islam pula menghala ke Barat
untuk menuntut ilmu yang kemudiannya diterapkan
amalannya di negara masing-masing. Zaman kejatuhan
kegemilangan Islam juga berganti dengan zaman
penjajahan kuasa Barat ke atas negara-negara Islam.
Maka dengan strategi serampang dua mata ini, iaitu
melalui penjajahan politik dan penjajahan ilmu, boleh
dikatakan kesemua negara Islam kini mengamalkan
sistem pemerintahan dan sistem ekonomi Barat yang
dikatakan sekular itu.
Natijah daripada sejarah pengembangan ilmu
yang yang tebantut itu, persoalan yang mendepani kita
ialah apa dia dan di mana dia Ekonomi Islam? Adakah
sistem ekonomi Barat sesuai di amalkan oleh umat,
negara dan masyarakat Islam dengan pengubahsuaian
yang sewajarnya (proses Islamisasi)? Atau, adakah
Ekonomi Islam itu merupakan satu bidang ilmu yang
sama-sekali berlainan dari Ekonomi Barat sehinggakan
tidak mungkin ianya diubahsuai daripada acuan
ekonomi konvensional? Pendekatan kedua ini kurang
praktikal kerana adanya tempoh beku dalam ilmu
ekonomi Islam selepas zaman Ibn Khaldun. Pendekatan
pertama lebih mudah dan lebih praktikal memandang
kepada kemantapan dari segi teori dan amalan ekonomi
konvensional. Para ilmuan Islam boleh menggunakan
ekonomi konvensional sebagai titik tolak dan membuat
penyaringan untuk mengambil perkara yang dibenarkan
Islam, mengubahsuai perkara yang tidak sesuai dan
menolak yang jelas tidak dibenarkan.
PERSPEKTIF EKONOMI ISLAM:
BEBERAPA ISU
Teori Penggunaan
Apabila membicarakan mengenai ilmu ekonomi
kita sebenarnya membicarakan gelagat manusia untuk
memenuhi keinginannya yang tiada berbatas dengan
menggunakan sumbernya yang terbatas. Manusia (atau
pengguna) kemudiannya dikembangkan pula kepada
entiti yang lebih luas, iaitu firma dan kerajaan. Inilah
definisi asas Ilmu Ekonomi. Ekonomi Islam pula boleh
diberi definisi berikut: Satu bidang ilmu yang mengkaji
gelagat pengguna yang mempunyai keinginan yang
tidak terhad menggunakan sumbernya yang terhad bagi
mendapatkan pahala yang maksimum (kebahagian di
dunia dan akhirat).
Apabila kita membuat perbandingan di antara
dua definisi di atas, kita dapati bahawa Islam
mengutamakan pahala maksimum bukannya kepuasan
maksimum. Disamping itu Islam juga percaya bahawa
setiap manusia itu diperuntukkan rezkinya oleh Tuhan.
Saya berpendapat definisi konvensional lebih mudah
kerana kita memahami proses yang berlaku bagi
seorang pengguna dalam memuaskan kehendaknya.
Kita juga boleh memodelkan apa yang dimaksudkan
dengan ”penggunaan” yang membawa kepada
pencapaian ”kepuasan” atau dalam bahasa ekonomi
disebut ”utiliti”. Model ini merupakan asas kepada teori
permintaan dalam ilmu ekonomi konvensional.
Ekonomi Islam pula menyebut objektif
penggunaan sebagai mencapai pahala maksimum (atau
untuk mencpai kebahagiaan di dunia dan di akhirat).
Dalam hal ini pahala adalah urusan Tuhan yang
merupakan fungsi kepada beberapa variable lain yang
abstrak seperti keikhlasan, niat, situasi, dan lain-lain.
Bagaimanakah objektif penggunaan ini hendak
dimodelkan sehingga ia boleh membawa kepada teori
permintaan? Walaupun ada percubaan untuk
memodelkan fungsi permintaan Islam ini tetapi
sehingga kini belum diterima dengan meluas.
Teori Pengeluaran
Unsur yang paling penting dalam menetukan
teori penawaran ialah hasrat manusia untuk mendapat
untung yang maksimum. Oleh itu firma akan
menjalankan segala usahanya untuk mencapai jumlah
hasil yang maksimum dengan kos yang minimum.
Objektif memaksimumkan untung ini merupakan idea
ciptaan Adam Smith dalam bukunya The Wealth of
Nations yang diterbitkan dalam tahun 1776. Beliau
mengutarakan pandangan bahawa setiap manusia
didorong oleh ”suatu tangan yang tidak kelihatan”
untuk melakukan sesuatu perkerjaan yang pada zahirnya
nampak mulia, tetapi sebenarnya orang itu
melakukannya untuk mendapat untung bagi dirinya
sendiri. Pengusaha kilang kasut, contohnya, bukanlah
berniat untuk menyediakan pakaian kepada orang
ramai, tetapi beliau membuat kasut demi mencari
keuntungan untuk dirinya sendiri.
Lihat petikan di bawah daripada ”The Wealth Of
Nations”:
...every individual necessarily labours to render
the annual revenue of the society as great as he can. He
generally, indeed, neither intends to promote the public
interest, nor knows how much he is promoting it. By
preferring the support of domestic to that of foreign
industry, he intends only his own security; and by
directing that industry in such a manner as its produce
may be of the greatest value, he intends only his own
gain, and he is in this, as in many other cases, led by an
invisible hand to promote an end which was no part of
his intention. Nor is it always the worse for the society
that it was no part of it. By pursuing his own interest he
frequently promotes that of the society more effectually
than when he really intends to promote it. I have never
known much good done by those who affected to trade
for the public good.
Ramai para ilmuan Ekonomi Islam mempertikai
objektif memaksimumkan untung ini dengan
menekankan bahawa ianya bercanggah dengan Islam.
Objektif ini digambarkan sebagai sesuatu yang tidak
bermoral, malah boleh membawa kepada amalan
kegiatan haram seperti penindasan, riba, penipuan dan
sebagainya. Pengeluar Islam boleh menjadikan
keuntungan yang berpatutan sebagai objektifnya, tetapi
harus juga mengambil kira aktiviti ekonomi sebagai
suatu ibadat yang harus disertai dengan niat yang ikhlas.
Selain dari itu pengeluar Islam juga harus memenuhi
tuntutan fardhu kifayah dan mematuhi prinsip-prinsip
syariah seperti, keadilan, khidmat masyarakat,
keuntungan yang sederhana, dan sebagainya. Dapat
dilihat bahawa ruanggerak pengeluar Islam mempunyai
batasan-batasan yang lebih berbanding dengan
kawannya yang konvensional. Adakah kekangan yang
banyak ini menjejaskan kemampuan pengeluar Islam
untuk bersaing dengan rakannya yang konvensional?
Dari segi teori, Metwally (1989) telah
memasukkan factor zakat dalam analisis keluk hasil dan
kos dan mendapati titik keseimbangan pengeluar Islam
adalah lebih tinggi berbanding pengeluar konvensional.
Ini bermakna jika pengeluar Islam sememangnya
mematuhi kehendak Islam maka kesejahteraan yang
dicapai oleh masyarakat Islam seharusnya lebih baik
daripada masyarakat bukan Islam. Namun begitu kita
harus ingat bahawa kebagusan sesuatu teori harus
dilandaskan keatas amalan yang berfaedah. Dan ini
memerlukan kajian empirikal yang khusus dan teliti.
Faktor Pengeluaran
Dalam bidang agihan pendapatan Ekonomi Islam
menggariskan adanya pulangan kepada faktor
pengeluaran dan juga ada habuan untuk bukan faktor.
Ekonomi Islam hanya mengiktiraf tiga faktor
pengeluaran iaitu, Manusia, Tanah dan Pengusaha. Ini
berbeza daripada Ekonomi konvensional yang
menyatakan ada empat faktor pengeluaran, iaitu Boroh,
Tanah, Modal dan Pengusaha (ada juga penulis yang
menjadikan Teknologi sebagai faktor pengeluaran
kelima). Walaupun terdapat tiga faktor yang bersamaan,
namun terdapat perbezaan yang ketara mengenai
pendekatan Ekonomi Konvensional dan Ekonomi Islam
terhadap faktor-faktor ini.
Tanah merangkumi segala kekayaan dan
khazanah yang terdapat di bumi laut dan udara. Ini
adalah anugerah Tuhan kepada manusia. Ekonomi
konvensional hanya menyebut manusia harus
mengambil kekayaan bumi ini dan menggunakannya
atau memprosesnya untuk menjadikan barang
penggunaan selagi mana ada permintaan untuknya.
Islam juga menggalakkan manusia menikmati kekayaan
ini, tetapi ada batasan dan syaratnya, seperti tidak
merosakkan alam, tidak mengeluarkan barang haram,
dan sebagainya. Mengenai faktor Tanah, nampaknya
tiada perbezaan yang ketara di antara ekonomi
konvensional dan ekonomi Islam.
Bagi faktor Modal dan Pengusaha, terdapat
perbezaan yang penting di antara pendekatan ekonomi
konvensional dan ekonomi Islam yang mempunyai
implikasi yang besar. Mengenai Modal, Islam tidak
tidak mengiktiraf modal pinjaman sebagai faktor
pengeluaran tetapi hanya mengiktiraf modal ekuiti,
manakala ekonomi Islam mengiktiraf hutang dan ekuiti
sebagai sumber modal yang penting. Malah terdapat
teori gelagat firma yang agak mantap mengenai
campuran modal, iaitu adanya campuran yang optimum
di antara hutang dan ekuiti. Disebabkan ilmuan
ekonomi Islam kini sudah sependapat bahawa faedah
keatas pinjaman adalah riba, maka perbincangan
mengenai campuran modal dalam perniagaan Islam
tidak releven kerana kesemua pembiayaan firma adalah
melalui ekuiti. Adakah ini meletakkan firma Islam
dalam keadaan kurang berdaya saing kerana pada
teorinya, kos modal ekuiti adalah lebih tinggi daripada
kos hutang.
Seperkara yang perlu diberi perhatian oleh
ilmuan ekonomi Islam ialah amalan menyamatarafkan
Modal Ekuiti dan Pengusaha (tanpa modal) dalam
tuntutan ke atas keuntungan firma. Prinsip inilah yang
mendasari amalan mudarabah oleh perbankan Islam di
mana bank akan menyediakan wang modal dan
Pengusaha akan menyumbangkan usaha dan kemahiran
pengurusanya. Kedua-dua pihak akan berkongsi
keuntungan yang terhasil, manakala kerugian
sepenuhnya ditanggung oleh bank. Ini berbeza daripada
ekonomi konvensional yang mengiktiraf penyumbang
modal ekuiti sebagai pemilik firma manakala Pengusaha
tanpa modal sebagai pekerja.
Persoalannya di sini ialah model mudarabah
dalam pembiayaan firma telah menemui kegagalan. Ini
telah dibuktikan daripada data-data sejarah perbankan
Islam di Malaysia dan di negara lain. Kegagalan ini
mudah diterangkan: Pengusaha (Islam atau bukan
Islam) akan cenderung untuk menggunakan pembiayan
mudarabah untuk projek berisiko tinggi, dan
menggunakan pembiayaan konvensional untuk projek
berisiko rendah.3
Ekonomi Tanpa Faedah
Pada hari ini nampaknya ilmuan Islam tidak lagi
membincangkan status halal atau haramnya faedah
bank, sebaliknya telah sepakat menerima bahawa
faedah bank adalah riba dan ianya haram dalam Islam.4
Namun begitu amalan ekonomi berasas faedah begitu
meluas dan merangkumi sistem ekonomi yang
menyentuh individu, firma dan juga kerajaan. Serentak
dengan pengharaman faedah, maka banyak aspek ilmu
ekonomi perlu ditulis semula. Ini termasuklah konsep
nilai masa wang, mekanisma hutang untuk individu
firma dan kerajaan, operasi bank pusat, dan sebagainya.
Sebagai contoh, kadar faedah digunakan sebagai
sendi untuk menerangkan gelagat manusia
mengagihkan pendapatan dan perbelanjaan mengikut
masa. Kadar faedah juga amat penting dalam analisis
pelaburan, untuk mendapatkan nilai kini dan nilai
hadapan pelaburan dan membuat perancangan
pelaburan. Kadar faedah adalah penentu asas kepada
kadar diskaun dan kadar kompaun dalam pengiraan
nilai masa wang ini. Apakah kadar yang hendak
digunakan jika faedah dikeluarkan daripada kamus
ekonomi kewangan Islam?
Satu lagi implikasi penting ialah penghapusan
pasaran bon. Pasaran bon digunakan dengan meluas
oleh korporat dan kerajaan untuk mendapatkan dana
bagi membiayai projek-peojek pelaburan. Firma yang
ingin menambah modal atau membiayai projek
pelaburan tiada pilihan melainkan menerbitkan ekuiti
tambahan. Ini semestinya merupakan kekangan
terhadap operasi firma. Kerajaan juga tidak lagi dapat
menerbitkan bon kerjaan bagi membiayai projek
pembangunan. Jika negara mengamalkan belanjawan
kurangan, sumber kewangan yang terbuka adalah
pencetakan wang tambahan dan ekuiti (Habibi 1987).
Tapi apakah dia ekuiti kerajaan itu, dan apakah tarikan
pelabur untuk melanggannya?
Bank pusat menggunakan mekanisma operasi
pasaran terbuka untuk mengawal penawaran wang
dalam ekonomi. Penghapusan faedah bermakna Bank
Pusat perlu mendapatkan alternatif lain. Dalam hubungi
ini para ilmuan Islam telah mengutarakan berbagai
pilihan untuk kerajaan mengamalkannya. Berbagai
pandangan telah diutarakan, terutama oleh Siddqi
(1970), Iqbal dan Khan (1981) dan Chapra (1985). Di
antara mekanisma yang dicadangkan termasuklah
Nisbah Pembiayan Semula, Nisbah Perkongsian
Untung, Nisbah Rizab dan Sijil Simpanan Pusat.
Di Malaysia usaha memartabatkan perbankan Islam
menunjukkan kejayaan yang terhad. Ia dimulai dengan
penggubalan Akta Perbankan Islam 1983 yang menubuhkan
bank Islam hinggalah kepada beberapa pindaan akta-akta
berkaitan bagi membolehkan bank-bank konvensional turut
membuka kaunter yang menawarkan perkhidmatan perbankan
dan kewangan Islam. Di samping itu, pelbagai infrastruktur
dan prasarana sokongan kepada industri perbankan Islam turut
diperkenalkan seperti penubuhan syarikat takaful dan
mewujudkan pasaran modal Islam. Hingga kini terdapat 30
institusi kewangan dan perbankan menawarkan produk dan
perkhidmatan berasaskan syariat Islam. Malangnya jika diukur
daripada jumlah keseluruhan penguasaan pasaran perbankan,
industri perbankan Islam hanya menguasai sekitar 12 peratus
daripada keseluruhan pasaran dana perbankan (Laporan
Tahunan Bank Negara 2005).

Kesimpulan
Kertas ini tidak bertujuan untuk mengupas secara
menyeluruh isu mengenai perspektif dan cabaran
ekonomi Islam. Objektif kertas ini hanyalah memberi
beberapa pandangan mengenai beberap isu yang
mendasari ekonomi Islam. Persoalan pokok yang
hendak diutarakan ialah sama ada ilmu ekonomi Islam
pada hari ini mampu menyediakan satu alternatif yang
lebih baik dari ekonomi konvensional. Jawapan yang
didapati adalah tidak menyakinkan. Setakat ini ekonomi
Islam masih ditahap pengkajian dan percubaan. Ini
merangkumi keseluruhan kerangka ilmu ekonomi
daripada ekonomi mikro kepada ekonomi makro,
daripada teori utiliti kepada teori ekonomi
pembangunan dan kebajikan.
Terdapat banyak cabaran yang harus dilalui oleh
para cendikiawan Islam untuk mengembangkan dan
memantapkan ilmu ekonomi Islam. Setelah menjadi
mantap ia harus pula diyakinkan kepada penggunanya,
iaitu individu, negara dan masyarakat Islam. Cabaran
yang amat nyata di sini ialah ekonomi konvensional itu
sendiri telah berakar umbi dikalangan individu dan
negara, Islam dan bukan Islam, dan diamalkan secara
meluas dan menyeluruh, walaupun terdapat beberapa
kelemahan dalam perlaksanaannya. Islamisasi yang
menyeluruh hendaklah dilakukan ke atasnya.
Satu contohnya yang khusus ialah mengenai
perbankan Islam. Kajian empirikal mengenai prestasi
perbankan Islam di Malaysia dan negara lain yang
mengamalkan dwi sistem mendapati produk perbankan
Islam mempunyai tahap kecekapan yang kurang
berbanding dengan produk perbankan konvensional.
Model mudarabah dalam pembiayaan perniagaan adalah
satu kegagalan tetapi penulisan mengenai perbankan
Islam masih menekankan ianya adalah sesuatu yang
baik. Para penyokongnya mengatakan kelemahan
adalah pada perlaksanaan bukan pada modelnya. Apa
baiknya sesuatu model jika tidak dapat diamalkan?
Seperkara yang perlu diberi pertimbangan ialah
perlunya gabungan para ilmuan dua bidang, iaitu
ekonomi konvensional dan ekonomi syariah. Ini adalah
perlu kerana bidang pengajian dewasa ini amat
menekankan pengkhususan sehingga seseorang itu
menjadi pakar dalam bidang yang amat kecil skopnya.
Mana-mana satu golongan secara bersendirian amat
sukar untuk menghasilkan model ekonomi Islam yang
tahan diuji apabila berhadapan dengan ekonomi
konvensional.
Rujukan
1. Sarimah Hanim Aman Shah, ”Ekonomi
dari Perpektif Islam”, Penerbit Fajar Bakti,
2006.
2. Virginia Hooker and Amin Saikal
(editors), ”Islamic Perspectives on the
New Millenium”, ISEAS, 2004.
3. Azlan Khalil Shamsudin dan Siti Khursiah
Mohd Mansor, “Pengantar Ekonomi
Islam”, iBook, 2006.
4. Surtahman Kastin Kasan dan Sanep
Ahmad, “Ekonomi Islam: Dasar dan
Amalan”, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Edisi Kedua, 2005.
5. Mustafa Dakian, “Sistem Kewangan
Islam”, Utusan Publications, 2005.
http://www.pmram.org/mambo/images/stories/kertas_semina
r_ekonomi_islam%5B1%5D.doc.