Anda di halaman 1dari 9

PENDIDIK MILLENIUM Muhammad Khairool Haque Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang (Pemenang Hadiah Kedua Sayembara Cerpen

Pelajar 2007 anjuran ASAS 50)

ku bukan bodoh! Aku ada otak juga! Aku boleh maju dalam hidup jika aku usaha! Aku hanya kurang pandai! Oleh kerana itu, aku masih berada di sekolah ini, mempelajari segala ilmu yang aku perlukan untuk masa depanku, Salim membentak di dalam hatinya untuk menyedapkannya. Cikgu Halim berjalan mundar-mandir di bahagian hadapan bilik darjah. Hatinya yang penuh dengan sisipan kegusaran. Dahinya berkerut seolah-olah dia sedang memikirkan sesuatu dengan amat dalam sekali. Keningnya yang tebal menggambarkan hatinya yang juga tebal.. Cikgu Halim berkemeja lengan panjang berwarna ungu hari itu. Rambutnya rapi. Giginya pula berwarna putih kekuning-kuningan, mungkin kesan tabiat merokoknya. Perutnya pula buncit bak seorang wanita yang bunting enam bulan kerana kurang bersenam, terlalu banyak makan atau kerana dia seorang kaki botol. Ataupun ketiga-tiganya sekali. Dia boleh dikatakan sebagai antara cikgu yang paling tampan di sekolah ini. Jerawat di wajahnya menyebabkannya kelihatan lebih matang. Namun sayang, muridmurid membencinya kerana perangainya. Murid-murid kelas Cikgu Halim terdiam mendengarkan kata-kata tajamnya bak pisau belati yang menikam menusuk dada. Setiap mereka berasa bingung berbaur takut, Namun pula perasaan sayu di dada-dada marak. Mengapakah Cikgu Halim memarahi mereka hari itu? Kemarahan Cikgu Halim tidak seperti selalu. Marah ada kala, tanpa sebab-sebabnya! Hakim diam di kerusinya. Matanya memandang jendela yang berada di sebelahnya. Beberapa ekor burung gagak yang terbang bebas di bahagian luar sekolah menangkap perhatiannya. Dia juga mahu bebas. Bebas seperti burung-burung gagak itu, terlupa pula makanan burung gagak tidak sempurna. Benda-benda yang kotor dipilih mereka. Hakim terasa benar seperti dipenjarakan di dalam kelas bersama seorang guru yang marah tanpa bersebab. Setahunya semua kerja rumah rakan-rakan kelasnya telah dihantar dan ujian mengejut yang diberi kepada mereka minggu lepas agak mudah. Rakan-rakan kelasnya semua mengatakan bahawa mereka tidak ada masalah menyelesaikan kertas ujian itu walaupun ia diberi secara mengejut, tanpa diberi peluang untuk mengulang kaji.

Tidak. Aku bukan bodoh! Orang yang bodoh adalah orang yang tidak menggunakan ilmu yang ada. Ilmunya hanya dibuat perhiasan sahaja, fikir Hakim lagi. Ayat itu terngiang-ngiang di benaknya umpama sebuah pita rakaman yang dimainkan jelas dan nyaring di benaknya. Namun, pita itu tidak mahu berhenti. Hakim mula menggenggam tangannya dengan kuat. Genggaman tangan yang penuh bersemarak dengan kemarahan yang berombak naik. Cikgu Halim masih bermundar-mandir di kelas. Matanya merenung setiap pelajar yang berada dihadapannya. Lakunya bak seekor harimau yang mahu membaham mangsanya. Harimau gersang yang lapar. Dia berjalan ke arah meja guru lalu mengeluarkan seperanggu kertas lalu membahagikannya kepada murid-murid. Ini, kertas latihan tatabahasa. Selesaikan semuanya. Hantarkannya kepada saya esok. Faham tak? Siapa lambat hantar, siap kamu. Saya malas nak ajar kamu semua. Saya penat semak buku-buku kerja kamu suara Cikgu Halim semakin meninggi. Cikgu Halim mengambil beg sandangnya yang diletakkan di atas meja lalu keluar daripada kelas. Angin jam lapan suku pagi melirih perlahan-lahan langsung memasuki corong telinga Hakim. Bunyi angin silir-semilir seperti bunyi senandung buaian seorang ibu. Murid-murid kelas semua hanya terdiam, tidak berani membuat bising. Takut jika Cikgu Halim tiba-tiba menjelma dan kemudian mereka akan dimarahi lagi. Hakim hanya memikirkan mengenai masalah yang menimpa dirinya. Fikirannya terbang bebas seperti burung gagak di luar jendela. Eh bila Cikgu Halim menyemak buku kerja? fikir Hakim dengan hairan. Hakim mengangkat begnya lalu membuka zipnya. Dia melihat bukubuku di dalamnya. Ternyata buku kerjanya ada di dalam begnya. Hakim mula berasa keliru. Setahunya, buku kerjanya sudah dikembalikan minggu lepas. Hakim bingung. Hakim merenung kertas yang baru diberi Cikgu Halim tadi. Tatabahasa. Hakim melihat soalan-soalannya. Agak payah. Mereka belum lagi diajar cara-cara menjawab soalan-soalan seperti yang tertera di kertas latihan itu. Hakim hanya memandang jendela di sebelahnya. Burung gagak itu masih terbang bebas. Hakim juga mahu terbang bebas. Bilik darjah adalah penjaranya, dia perlu menghapuskan orang yang memenjarakannya itu, Cikgu Halim. Dia hanya terdiam seperti murid-murid lain yang sedang asyik menyelesaikan kertas latihan yang diberi. Matanya hanya memandang kertas itu. Namun fikirannyanya melayang, terbang seperti burung gagak di luar jendela. Cikgu Halim. Guru bahasa Melayunya yang telah membuatnya membenci bahasa ibundanya sendiri. Kakinya sentiasa berasa berat setiap kali apabila dalam perjalanan ke bilik darjah untuk mengikuti kelas bahasa Melayunya. Sebaik-baik sahaja dia berada di dalam bilik itu, dia seolah-olah berada di dalam penjara. Kunci untuk membebaskan diri daripada penjara itu hanya dimiliki Cikgu Halim. Cikgu yang memilih pekerjaan itu hanya kerana

gajinya yang lumayan. Hakim masih tidak dapat membendung perasaan marahnya yang mengganas di hatinya yang sudah terbakar. Loceng masih belum berbunyi. Hakim melihat jam yang tergantung di dinding bilik darjah yang bercat putih. Setengah jam lagi. Penantian yang memengap-mengap bisa. Senja sudah terbaring di mana-mana. Matahari sudah tidak lagi menyilaukan sisik-sisik cahayanya ke bumi yang sudah terbalik ini. Bulan berdiri tegak di peterana persemayaman lena matahari yang sudah kepenatan. Bulan tidak begitu kuat cahayanya tetapi ia masih berdaya menambahkan lagi keindahan malam yang sudah terasa keheningannya itu. Hakim terpaksa pulang lewat hari itu. Dia terpaksa mengikuti latihan pengakap kerana menurut gurunya ada pengakap dari sekolah lain yang mahu melihat cara pengakap sekolahnya berlatih. Disebabkan itu, para pengakap sekolahnya sudah diberitahu perkara-perkara yang harus dibuat dan juga perkara-perkara yang tidak patut mereka buat. Seperti sebuah robot, mereka sudah diprogramkan oleh guru mereka itu untuk berlakon sebagai seorang pengakap yang baik. Suasana sekolah amat sunyi pada waktu itu, berbeza sekali dengan suasananya pada waktu pagi apabila murid-murid sedang berkumpul untuk mengikuti upacara menaikkan bendera. Angin jam lapan malam mengusap-ngusap wajah Hakim. Terdapat tanda-tanda hujan akan turun tidak lama lagi. Sesekali kelihatan kilat sabungmenyabung disusuli dengan bunyi petir yang menyentap lubang telinga Hakim. Setiap dentuman petir lebih kuat daripada yang sebelumnya, seolaholah ada pertandingan. Hanya hujan sahaja yang belum turun-turun mengiringi serangan petir dan kilat. Sedang Hakim terus berjalan menuju ke arah pagar sekolah, dia terperasan Cikgu Halim keluar daripada bilik guru dengan tergesa-gesa. Hakim hairan kerana biasanya Cikgu Halim adalah guru pertama yang meninggalkan sekolah. Bajunya kelihatan basah dengan peluhnya. Bilik guru berhawa dingin. Mungkin rosak. Bajunya pula ronyok sekali. Selalunya, baju Cikgu Halim digosok rapi. Cikgu Halim terus ke keretanya yang diletakkan berdekatan dengan bilik guru. Kereta Honda Integra berwarna merahnya terletak di tengah-tengah dua kereta, kereta hitam Nissan Sunny yang dimiliki seorang guru baru dan juga sebuah kereta Mercedes Benz milik pengetua sekolah. Hanya tiga kereta sahaja yang masih berada di tempat meletak kereta sekolah. Sebentar kemudian, guru baru yang memiliki kereta Nissan Sunny berwarna hitam keluar daripada bilik guru. Cikgu Halim memecut laju meninggalkan perkarangan sekolah. Hanya kereta pengetua sahaja yang berada di tempat meletak kereta sekolah. Perasaan curiga mula membalut Hakim dengan kuat sekali dengan setiap balutan lebih ketat daripada yang sebelumnya.

Pelbagai soalan menghantui fikiran Hakim. Dia terasa amat hairan. Cikgu Halim kelihatan terlalu tergesa-gesa. Ms Wong, pengetua sekolah pula masih belum pulang. Guru baru itu memang pulang lewat sejak dia menjadi guru sekolah itu. Soalan-soalan yang menghantui Hakim tercantas daripada benaknya dengan tiba-tiba apabila bunyi petir memeranjatkannya. Hakim terus berjalan. Hujan yang dijangkakannya akhirnya turun. Kali ini, ia tidak bermula dengan gerimis, ia terus turun lebat seolah-olah awan melepaskan peluru-peluru yang mencengkam bumi. Namun peluru ini bukan peluru yang dihasilkan manusia yang membawa kerosakan. Ini peluru Tuhan yang merupakan rahmat. Air mula memenuhi padang bola sekolah yang sebelum ini begitu kering. Padang itu kini kelihatan seperti sup rumput yang telah sejuk. Hakim basah kuyup. Perasaan serba-salah mula bersarang di dalam diri Cikgu Halim. Memang puas dia menjelajahi bukit bukau dan gunung-ganang yang disusuli dengan semburan lahar gunung berapinya. Namun, di sebalik itu, Cikgu Halim mula berasa bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena. Entah mengapa? Perasaan serba salah yang disebabkan oleh butiran-butiran iman yang masih terdapat di dalam hatinya walaupun hanya sedikit. Aaaaahhhhhh! kemarahan memalit sanubarinya yang busuk dan kotor. Cikgu Halim sudah tidak sabar lagi. Dia bingkas bangun daripada kerusi malasnya lalu bergegas ke bilik pengetua, Ms Wong. Dia terus memusingkan daun pintu dan masuk ke dalam bilik pengetua tanpa mengetuk pintu. Ada apa Halim? Segar nampak hari ini? Ms Wong ketawa gembira. Teringat pula jambatan yang dititi mereka berdua malam semalamnya. Jembatan yang sungguh menyeronokan. Aku rasa ada yang tidak kenalah, nada Cikgu Halim rendah dan menggambarkan kebimbangan yang memaut hati. Mengapa?Mengapa awak berfikiran begitu? Ms Wong bersuara manja.. Entah. Aku takut jika ada orang nampak, Cikgu Halim bingkas menjawab. Jangan bimbang. Tiada sesiapa yang nampak lagipun pejabat ini berkunci Ms Wong kelihatan tidak bimbang. Tapi aku nampak budak pengakap baru habis latihan mereka, Cikgu Halim merintih. Tapi mereka tidak berada di pejabat ini bukan? Ms Wong cuba menenangkan Cikgu Halim. Dia tersenyum menyeringai. Aaaaaaahhhhhh, nada suara Cikgu Halim bergetar panjang, melepaskan keluhan hatinya. Cikgu Halim terus keluar daripada bilik pengetua. Dia masih berasa tidak tenteram. Di dalam hatinya sebenarnya tersemat satu niat untuk mengulangi penjelajahan semalam sekali lagi. Kali ini dia mahu mencuba jalan yang lain. Nafsunya merumbu-rumbu.

Cikgu Halim memegang seperanggu kertas di genggamannya, mukanya menggambarkan seseorang yang senang marah-marah. Tatkala dia sedang marah, wajahnya kelihatan seperti harimau gersang yang lapar dan dia mampu membaham seseorang murid pada bila-bila masa sahaja. Hakim mula berasa semacam ketakutan yang mengisi hatinya. Jerawat di muka Cikgu Halim seperti hendak cabut lari daripada mukanya yang sudah merah itu. Merah kerana marah. Ini! Karangan kamu. Saya suruh buat topik mengenai bangsa-bangsa di Singapura yang hidup bersatu. Kamu semua tulis mengenai perkara lain! suara Cikgu Halim meninggi. Semua orang terdiam. Wajah-wajah mereka semua tunduk layu seperti pucuk layu yang sudah lama tidak disiram hujan. Pucuk yang dahagakan kasih sayang daripada seorang guru. Hakim juga tertunduk layu. Namun, disebalik kelayuan itu, perasaan marah berbaur geram menyalut daun-daun di pucuk itu. Kamu Hakim! Saya suruh kamu tulis mengenai Singapura. Mengapa kamu kaitkan dengan kaum-kaum berlainan bangsa yang hidup pada zaman nabi yang berabad-abad lalu! Ini Singapura! Cikgu Halim meneruskan kemarahannya. Hakim terus tersepit. Dia tidak tahu apa yang perlu dia jawab kerana dia memang suka mengaitkan sesuatu dengan kehidupan pada zaman Rasullullah s.a.w. Namun, dia tahu Cikgu Halim membencinya. Entah mengapa? Dia dapat membacanya daripada tikaman mata Cikgu Halim. Hakim teringat karangannya. Karangan itu adalah mengenai kehidupan berbilang bangsa di Singapura dewasa ini. Hakim telah mengaitkan keadaan ini dengan kehidupan di zaman Rasullullah s.a.w di mana semua orang hidup aman bersama. Kaum Yahudi, Muhajirin dan Ansar semua hidup bersama. Hanya Yahudi sahaja yang akhirnya menjejas keamanan tersebut. Hakim masih terpinga-pinga kerana baginya, itulah hakikat yang perlu digenggam dan kemudian ditelan walaupun ia pahit bagi mereka yang memang sukar menerima kenyataan. Hakim bingung. Apa kamu buat Hakim? Kamu ingat kamu pandai sangat? Ishcikgu tak fahamlah dengan kamu. Suka berlagak pandai, Cikgu Halim menambah lagi memandangkan Hakim masih terdiam. Tiada seorang pun yang berani menjawab. Hakim tidak menjawab juga. Dia bukan tidak mahu menjawab tetapi dia takut nanti dia menjawab keterlaluan sehingga dikatakan sebagai biadap. Di dalam hatinya juga terdapat cebisan perasaan takut. Tiada siapa yang berani mempertahankannya. Dia terpaksa mempertahankan dirinya sendiri, menegakkan kebenaran yang tidak berani ditegakkan. Mengapa Hakim? Jawab! Cikgu Halim mencabar Hakim. Kemarahan di dalam diri Hakim semakin membakar dirinya. Hakim tidak tertahan lagi. Tangannya sudah digenggam kuat seperti seorang peninju yang mahu menumbuk lawannya. Hakim tidak tahu apa yang patut dia katakan. Lidahnya kelu dengan tiba-tiba. Sasa..saya tidak tahu cikgu, terdesis satu suara yang amat perlahan daripada mulut Hakim.

Apa yang kamu tak tahu? Kamukan yang menulis karangan ini? Atau orang lain yang menuliskan kamu? Cakap, Cikgu Halim bersuara lagi. Hakim tidak tahu apa yang perlu dia cakap. Lidahnya tiba-tiba kelu dan fikirannya juga dengan tiba-tiba berhenti berlari. Mengapa diam? Saya sedang menunggu jawapan awak. Cepat! kata-kata Cikgu Halim membuat Hakim semakin tersepit. Tersepit di dalam satu masalah yang dibuat-buat gurunya. Cikgu Halim tahu Hakim akan tewas akhirnya. Dia bersorak di dalam hati. Eh! Saya diam awak pun diam? Cepat jawab, suara Cikgu Halim menerpa dengan tiba-tiba sedang Hakim masih dalam lamunannya. Hakim masih tidak tahu apa yang perlu dia jawab. Sudah beberapa lama dia mendiamkan diri dan Cikgu Halim kelihatan semakin marah dan hanya mahu menimbulkan suatu masalah buat dirinya. Hakim tidak tahu mengapa Cikgu Halim perlu berbuat demikian tetapi dia bertekad untuk menghadapi semuanya dengan penuh berani. Dia perlu mengorak langkah berani untuk melepaskan dirinya daripada cengkaman masalah yang menimpanya. Hakim hanya mahu menunggu Cikgu Halim bersuara lagi. Dia mula menyusun kata-kata yang mahu dihamburkannya di dalam benaknya. Hakim tahu dia akan dikatakan sebagai biadap. Namun, dia terpaksa kerana dia sedang berhadapan dengan seorang manusia seperti seekor harimau gersang yang lapar. Dengan itu, dia perlu menggunakan kata-kata yang dapat menyucuk dan kemudian membuatnya takut untuk membahamnya seperti seekor pelanduk di tengah-tengah hutan. Cikgu Halim hanya memandang Hakim. Matanya seperti bebola api yang akan membakar diri Hakim. Hakim hanya tertunduk layu seperti pucuk yang sudah lama tidak disiram air. Dia tidak tahan tikaman mata yang menggambarkan kemarahan Cikgu Hakim terhadapnya. Hakim! Cikgu sedang cakap dengan kamu! suara Cikgu Halim akhirnya kedengaran di bilik darjah. Hakim sudah bersedia untuk melepaskan segala kalimah-kalimah yang sudah tersusun indah di benaknya. Ya, Cikgu! Memang betul Cikgu menyuruh kami menulis karangan perbincangan mengenai kehidupan rakyat Singapura yang berbilang bangsa tetapi itu tidak bermaksud saya tidak boleh mengaitkannya dengan keadaan pada zaman Rasullullah dahulu, yang mana pelbagai kaum dan bangsa hidup aman bersama seperti kita di Singapura ini, Hakim terasa gugup sedikit. Namun, dia cuba menyembunyikannya agar ia tidak terlalu ketara. Dia perlu berani. Ya! Betul! Tetapi soalannya adalah mengenai kehidupan rakyat Singapura yang berbilang bangsa. Saya bukan suruh kamu singkap semula sejarah nabi! Cikgu Halim marah.

Tetapi sejarah nabi ada kaitan dengan kehidupan berbilang bangsa di Singapura, Hakim tidak mahu menyerah kalah. Apa? Saya cakap mengenai Singapura, sebuah negara. Ini bukan mengenai agama Islam, Cikgu Halim semakin marah. Dia berasa Hakim biadap terhadapnya. Baiklah. Rasullullah berjaya menyatukan kaum Madinah, Aus dan Khazraj sehingga menjadi satu kaum Ansar. Bersama kaum Ansar, kaum Muhajirin dan juga Yahudi yang terdiri daripada tiga puak semua hidup aman bersama, Halim masih tidak mahu menyerah kalah. Perasaan gugupnya mula malap sedikit demi sedikit. Jadi, apa kaitannya? Cikgu Halim bingkas bersuara. Dia tidak boleh kalah dengan seorang murid. Dia seharusnya lebih pandai daripada seseorang murid. Ini sama seperti kita di Singapura yang dikatakan sebagai negeri yang hidup aman, tanpa mengira bangsa dan agama, tanpa melihat warna kulit dan bermacam-macam lagi yang semuanya baik-baik, kali ini Hakim lebih tenang daripada dialog sebelumnya. Jadi apa yang kamu hendak buktikan? Cakap dengan saya! suara Cikgu Halim lebih tinggi. Dia sudah tidak tahu apa yang perlu dia kata. Dia pula yang berasa tersepit. Identiti hidup berlainan bangsa dan agama, yang sedang diperbesarbesarkan sekarang telah wujud beratus-ratus tahun lalu di zaman Rasulullah Hakim menghela nafas panjang setelah mengeluarkan suara buat beberapa lama. Terasa semacam keriangan dan kelegaan di hati Hakim. Dia tahu Cikgu Halim tersepit. Namun, dia mula berasa bersalah sedikit. Cikgu Halim terdiam. Dia terkejut dengan kata-kata Hakim yang difikirnya benar. Dia tidak tahu apa yang perlu dia cakap. Mukanya merah. Tidak pasti sama ada merah kerana marah atau malu. Ish! Sugguh biadap anak ini! Keluar! Saya tidak mahu lihat kamu lagi! Jangan berlagak pandai! Saya ini cikgu kamu, bukan adik kamu! Cikgu Halim marah. Kata-katanya membuat semua murid berasa takut dan marah terhadapnya. Bagi mereka, Hakim hanya menegakkan kebenaran yang harus digenggam dan ditelan, bukan ditepis dan dihalau dengan begitu sahaja. Hakim, yang sudah sedia untuk menghadapi semuanya mengemas barangbarangnya dan keluar daripada kelas. Pada pandangannya, Cikgu Halim telah kalah dengan menyuruhnya keluar daripada bilik darjah kerana itu menunjukkan bahawa Cikgu Halim tidak boleh tahan dengan kebenaran katakatanya itu. Hakim hanya tersenyum kecil sambil mengangkat begnya. Terima kasih Cikgu. Terima kasih, Hakim sempat mengucapkan terima kasih sebelum keluar daripada kelas. Terima kasih yang menyindir Cikgu Halim. Hakim terus melangkah ke luar kelas tanpa memandang ke belakang. Fikiran Hakim terganggu memikirkan masalah yang tiba-tiba menerpanya. Masalah yang dimulakan Cikgu Halim, musuh terbarunya.

Dalam hanya satu detik sahaja semuanya terjadi dengan begitu laju sekali. Perlbagai soalan mula menari-nari dengan penuh ganas seperti seorang penari jalanan. Kali ini penari itu menari tanpa mempunyai rentak dan irama, semuanya berkecamuk. Hakim sudah tidak tahan dengan kelakuan Cikgu Halim tadi. Jika boleh dia tidak mahu berhadapan dengan Cikgu Halim. Pendidik yang tidak dapat menelan kenyataan. Pendidik yang tiada bezanya seperti samseng-samseng jalanan lain. Hanya samseng jalanan ini memakai topeng. Topeng yang menyerupai seorang pendidik yang hakiki. Hakim termangu panjang. Terdapat kemahuan di batinnya untuk memberitahu kejadian tersebut kepada pengetua. Walaupun Hakim telah menang, dia masih tidak puas hati. Dia mahu lihat Cikgu Halim jatuh terjerembab di hadapannya. Biar padan mukanya nanti. Batin Hakim mendesaknya untuk memberitahu pengetua mengenai kejadian tadi. Dia tidak terdaya melawan desakan batinnya tadi. Hakim bingkas bangun lalu bergegas ke bilik pengetua Ms Wong. Hakim mengetuk pintu bilik pengetua. Terdengar bunyi buku jarinya mencecah permukaan kayu. Masuk! suara Ms Wong yang lembut menyelinap masuk ke dalam corong telinga Hakim. Hakim memusingkan daun pintu lalu masuk ke dalam bilik pengetuanya. Itulah kali pertama dia memasuki bilik pengetuanya. Memang besar dan selesa. Ms Wong sedang duduk melihat sesuatu di komputernya. Dia kelihatan sibuk. Apa hal ni? Ms Wong bertanya dengan suara yang lemah. Saya Hakim pelajar dari 3A , saya mahu... Hakim tidak dapat meneruskan kalimahnya. Siapa? Hakim dari 3A. Awak hanya buang masa saya. Keluar dari pejabat saya ini! Mrs Wong tiba-tiba marah. Hakim tidak tahu mengapa. Saya kata keluar , keluar, sekarang juga! Ms Wong masih marah sedang Hakim terus berdiri di biliknya seperti sebuah tunggul. Hakim terus bergegas keluar daripada bilik Ms Wong. Dia terlalu terkejut dengan bentakan Ms Wong. Dia tidak tahu mengapa Ms Wong menghalaunya keluar sebelum dia dapat menjelaskan sebab kehadirannya. Hakim masih terpinga-pinga. =========

Anda mungkin juga menyukai