Anda di halaman 1dari 15

KURSUS KKD 2063 : PEMBANGUNAN SAHSIAH MOD PPG PJJ

Tugasan 3 :

Kajian kes tentang seorang guru bermasalah di sekolah

Isi Kandungan

Tajuk kajian Pengenalan Latar belakang guru bermasalah Pernyataan masalah Analisis masalah Cadangan pelan tindakan Rumusan Bibliografi

1 2 3-4 5-6 7-11 11-13 14

1. Pengenalan
Profesion perguruan adalah antara profesion yang diiktiraf dan dihormati di Malaysia. Guru dianggap sebagai individu yang paling utama dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan pelajar dan masyarakat. Dalam era globalisasi moden ini, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Dalam erti kata lain, guru adalah individu yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Justeru itu, peranan yang dipikul oleh seseorang guru bukan sahaja terhad kepada murid, malah turut melibatkan bagaimana guru membantu rakan sekerja serta dirinya sendiri agar sama-sama dapat menjalankan kewajipan tugas dengan sempurna. Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kurikulum dan pendidikan di sekolah. Coopes ( 1988 ) berpendapat guru yang berkesan ialah guru yang mempunyai ilmu pengetahuan, khususnya kemahiran mengajar. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan peranan dan tanggunjawab ini, seseorang guru perlulah lengkap dengan ilmu pengetahuan secara khusus secara formal. Namun begitu, nilai atau sahsiah diri yang terdapat dalam seseorang individu sebagai warga pendidik perlulah disertai dalam mencapai aspirasi dan matlamat sekolah. Tidak dapat dinafikan bahawa sesebuah institusi persekolahan tidak akan berjaya mencapai objektifnya sekiranya barisan gurunya mempunyai sahsiah diri atau personaliti yang mencabar profesionalisme dan kredibiliti sebagai golongan pendidik. Oleh itu, satu perkara yang harus diberi perhatian adalah golongan guru yang bermasalah kerana setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza. Personaliti di sini bermaksud ciri ciri keperibadian seseorang dalam menonjolkan tingkahlaku samada yang bernilai positif atau yang bernilai negatif. Guru yang berjaya atau gagal dilihat dan dinilai oleh masyarakat dari sudut peribadi guru dalam pembinaan negara bangsa. Justeru itu, fokus kajian kes dalam tugasan ini adalah tentang guru yang bermasalah di sekolah. Kajian ini meliputi masalah yang dikenalpasti dan menganalisis masalah tersebut dengan menggunakan teori yang dipilih. Dengan itu, satu pelan tindakan dibentuk dalam membina semula sahsiah guru berkenaan dan berlaku perubahan tingkahlaku ke arah nilai positif dan seterusnya dapat melancarkan peranan sebagai seorang guru yang mempunyai nilai kualiti tinggi. 3

2. Latar Belakang Guru 2.1 Latar belakang peribadi


Puan Maskiah ( bukan nama sebenar ) yang berumur 37 tahun merupakan seorang guru akademik di Sekolah Kebangsaan Kampung Perik ( bukan nama sekolah sebenar ). Puan Maskiah telah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Beliau kini adalah seorang ibu tunggal setelah berpisah dengan suaminya. Beliau mempunyai dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Dua orang anaknya masih belajar di sekolah rendah dan anak beliau yang bongsu berumur empat tahun. Puan Maskiah mempunyai sijil akademik Sijil Peperiksaan Malaysia. Setelah tamat tingkatan lima, beliau mendapat tawaran ke maktab perguruan di Pulau Pinang dalam Pengajian Melayu. Setelah tamat kursus di maktab, Puan Maskiah menjadi seorang guru di Sekolah Kebangsaan Seri Pinang. Setelah lima tahun, beliau dapat bertukar ke Perak iaitu tempat kelahiran beliau sendiri. Suami beliau yang juga merupakan seorang guru Bahasa Melayu telah berpisah dengan Puan Maskiah atas sebab-sebab peribadi. Oleh itu, sehingga kini beliau menjalankan kehidupan sebagai seorang ibu tunggal dengan tanggungjawabnya sebagai seorang guru. Puan Maskiah telah berpindah dan sekarang tinggal berdekatan dengan keluarganya di Kampung Keroh Hilir. Ibubapa beliau telah uzur dan memerlukan penjagaan memandangkan adik-beradik Puan Maskiah adalah dua orang sahaja.

2.2 Latar belakang kerjaya


Dalam kajian kes guru ini, Puan Maskiah merupakan seorang guru akademik biasa yang mempunyai sijil perguruan maktab. Beliau adalah guru matapelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni dan Visual. Puan Maskiah mengajar tahun tiga dan tahun dua di sekolah tersebut. Selain itu, beliau adalah setiausaha Panitia Bahasa Melayu di sekolah dan ahli jawatankuasa dalam Panitia Pendidikan Seni dan Visual. Beliau telah mengajar matapelajaran Bahasa Melayu sejak tamat kursus di maktan perguruan. Sekolah yang mula-mula menjadi tempat mengajarnya adalah Sekolah Kebangsaan Seri Pinang ( bukan nama sekolah sebenar ). Setelah beberapa tahun berkhidmat di sekolah tersebut, Puan Maskiah telah memohon untuk kembali ke negeri kelahirannya iaitu negeri Perak untuk mendidik anak murid. Beliau telah berpindah ke sekolah ini sejak tahun 2009 bersama keluarganya 4

sebelum bercerai dengan suaminya. Tempoh perkhidmatan dalam pendidikan sehingga kini adalah selama 9 tahun. Puan Maskiah mula berkhidmat di sekolah ini pada bulan Julai 2009 dan pernah mengajar murid-murid di kelas pemulihan. Beliau adalah seorang guru matapelajaran biasa dan merupakan seorang guru kelas murid-murid tahap 1.

3. Masalah yang dikenalpasti


Dalam kajian kes ini, tumpuan adalah kepada masalah yang dihadapi guru yang dipilih sebagai subjek kajian. Oleh itu, saya dapati Puan Maskiah menghadapi masalah dari segi tingkahlaku dan juga emosi dalam urusan harian dan komitmen dalam peranan sebagai seorang pendidik. Secara tidak langsung sikap beliau mempengaruhi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di samping tanggungjawabnya dalam profesion perguruan terutamanya terhadap rakan sejawat dan anak murid yang dididik. Gangguan emosi yang dialami oleh Puan Maskiah iaitu rasa rendah diri dan merasa kekurangan diri adalah satu masalah pada diri beliau dan mempengaruhi tingkahlaku yang mendatangkan nilai negatif. Beliau dilihat tidak mahu bekerjasama dengan guru-guru lain kerana takut dikritik oleh orang lain terutamanya dalam tugasan-tugasan yang diberi oleh pihak pentadbiran. Selain itu, Puan Maskiah juga tidak bergaul dengan guru-guru lain dan selalu meminggirkan diri dengan melakukan kerja-kerja bersendirian. Justeru itu, beliau dilihat menghadapi masalah pemikiran dan tingkahlaku yang memerlukan suatu penyelesaian ke arah membentuk jati diri semula dalam diri beliau. Etika perguruan bermaksud satu set tingkahlaku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat, negara, pelajar, rakan sejawat dan ibubapa pelajar. Guru perlu memiliki kod etika demi memartabatkan profesion perguruan yang bertujuan melahirkan modal insan guru yang berkualiti, berketerampilan dan menjadi model unggul kepada pelajar-pelajarnya. Seseorang guru perlu mempunyai tatasusila yang tinggi dan berkomitmen menjalankan tugas sebagai pendidik yang baik. Sebagai seorang pendidik yang membimbing aspek tingkahlaku pelajar ke arah konsep kendiri yang positif, masalah yang dihadapi oleh guru dalam kajian kes ini mengakibatkan kewibawaan profesion perguruan tergugat. Hal ini adalah bertentang dengan Kod Etika perguruan dan Standard Guru yang diperlukan dalam menjalankan tugas mendidik. Etika yang dipegang inilah menjadi landasan yang perlu dihayati oleh para guru kerana kod etika ini 5

menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam pendidikan. Dengan erti kata lain, pengamalan etika-etika ini akan memartabatkan kedudukan guru sebagai profesion yang dimuliakan oleh masyarakat. Justeru itu, tingkahlaku Puan Maskiah dikira tidak patut dilakukan selaras dengan etika guru yang berkaitan dengan norma-norma atau nilai-nilai yang perlu ditaati oleh semua guru yang menjalankan kerjaya perguruan. Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap murid-muridnya dan Puan Maskiah tidak harus bertingkahlaku sebegitu rupa kerana berdasarkan Etika dan Standard Guru, tujuan utama pendidikan ialah berusaha ke arah melahirkan modal insan yang mempunyai nilai sahsiah diri yang cemerlang.

Perkembangan masalah-masalah tingkahlaku


Dalam kajian kes yang dijalankan, saya dapati Puan Maskiah adalah seorang guru yang mengalami masalah dalam tingkahlaku yang didorong oleh keperluan-keperluan yang tidak tercapai. Dalam kes ini, Puan Maskiah berasa terganggu dengan kehidupan peribadinya setelah berpisah dengan suaminya. Sejak dari itu, beliau tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik kerana merasakan dirinya tersisih dan rasa rendah diri dengan keadaan dirinya, Beliau juga seringkali suka melihat kekurangan dirinya apabila diserahkan sesuatu tugasan kerana kurang keyakinan dir. Sebagai contoh, apabila diminta untuk mengendalikan sesuatu acara atau majlis di sekolah, Puan Maskiah akan memberi alasan supaya tidak memikul tanggungjawab tersebut kerana takut hasil kerjanya akan dikritik oleh orang lain. Berdasarkan kajian ini, saya dapati bahawa subjek yang dikaji berasa kecewa dengan situasi dimana terdapat kekurangan penghargaan dan perhatian samada dari segi situasi tempat kerja dan rumahtangganya. Justeru itu, beliau mengalami masalah dalam mengembangkan potensi dan kemahuannya dalam memenuhi keperluan. Apabila keadaan ini berlaku, ia mempengaruhi tingkahlaku Puan Maskiah di dalam kelas dan di luar kelas. Seperti contoh, beliau mengajar kelas Bahasa Melayu dan sentiasa merasa kekurangan dalam mendidik anak muridnya. Guru tersebut selalu berasa bimbang dengan keupayaannya mengajar seiring dengan perubahan dasar baru dalam bidang pendidikan. Justeru itu, beliau seringkali tidak dapat penilaian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Jelas di sini bahawa, keperluan yang tidak dapat dicapai menyebabkan Puan

Maskiah melakukan tindakan-tindakan negatif akibat rasa kecewa dan tidak mempunyai kepuasan dalam kehidupannya.

4. Analisis Masalah 4.1 Rasional pemilihan teori


Dalam kajian kes ini, saya telah memilih Pendekatan Humanistik melibatkan Teori Hierarki Keperluan Maslow. Pendekatan ini melibatkan teori-teori yang melihat kepada nilai-nilai kemanusiaan dalam memperkembangkan potensi seseorang. Teori pendekatan Humanistik memberi tumpuan kepada apa yang berlaku dalam diri seorang individu seperti perasaan atau emosinya. Justeru itu, dalam kajian guru bermasalah ini, teori ini adalah dilihat relevan dengan tingkahlaku yang ditunjukkan oleh guru berkenaan. Teori ini menyatakan bahawa individu terdorong bertindak melakukan sesuatu kerana mempunyai satu kemahuan atau keperluan dan bertanggungjawab di atas segala tindakannya. Setiap guru tidak kira apa jawatan mereka dalam sesuatu organisasi, ingin berasa gembira melakukan tugas-tugas harian. Kegembiraan yang dikecapi oleh seseorang individu ini dikenali sebagai kepuasan kerja . Oleh sebab guru berkenaan yang mempunyai masalah tingkahlaku dan pencapaian kepuasan bekerja dapat dikaitkan dengan keperluan asas. Ini adalah selaras dengan Teori Keperluan Maslow dalam Pendekatan Humanistik yang diutarakan oleh ahli-ahli psikologi seperti Abraham Maslow dan Carls Roger. Pendekatan psikologi yang dipilih memfokus kepada aspek dalam diri manusia iaitu kemahuan manusia dengan potensi untuk berkembang dan mempunyai sasaran untuk dicapai. Oleh sebab itu, banyak faktor yang menyumbang kepada keperluan dalam kepuasan kerja sebagai seorang pendidik. Faktor-faktor ini dapat dikaitkan dengan apa yang dikatakan lima keperluan insan yang dinyatakan oleh pakar psikologi Maslow menerusi pendekatan humanistik. Oleh itu, adalah rasional bagi saya untuk memilih teori ini untuk menganalisa masalah ini guru berkenaan dan seterusnya merangka satu penyelesaian yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Pendekatan ini sesuai kerana teori ini yakin bahawa manusia adalah individu yang bebas dan terdorong bertindak melakukan sesuatu kerana mempunyai harga diri yang mesti dimuliakan. 7

4.2 Konsep-konsep dalam Teori Hierarki Keperluan Maslow


Salah satu faktor dalaman yang mempengaruhi kejayaan ialah apa yang disebut sebagai dorongran keperluan. Di dalam diri setiap individu, wujud faktor dalam dirinya yang mendorongnya melakukan pelbagai perbuatan dan tingkahlaku. Pendekatan Humanistik berpandangan bahawa manusia adalah individu yang unik dengan potensi untuk berkembang serta kebebasan mereka untuk memilih matlamat hidup. Menurut pendekatan ini, kuasa motivasi seseorang individu adalah kecenderungan untuk berkembang dan mencapai hasrat diri. ( self-actualization ). Ini bermakna setiap individu mempunyai keperluan untuk mengembangkan potensinya ke tahap yang maksimum. Abraham Maslow dan Carls Roger merupakan dua orang pelopor kepada psikologi kemanusiaan ini yang juga merupakan ahli psikologi humanis. Abraham Maslow ( 1970 ) mengemukakan Teori Hierarki Keperluan Maslow dengan andaian bahawa manusia tidak pernah puas dengan apa yang telah dicapai. Abraham Maslow berpendapat bahawa perkembangan personaliti atau sahsiah individu banyak bergantung kepada keperluan yang paling dominan pada dirinya. Mengikut Maslow, kehendak-kehendak manusia terbahagi kepada lima peringkat yang disusun mengikut hierarki. ( rujuk rajah 1 ) , iaitu daripada keperluan peringkat rendah ( keperluan asas ) sehinggalah kepada keperluan peringkat tertinggi ( keperluan bersifat psikologi ). Manusia akan sentiasa aktif bergerak dari satu peringkat ke satu peringkat setelah memenuhi peringkat itu, dari bawah ke atas. Rajah 1 : Model Hierarki Keperluan Maslow

Keperluan Kesempurnaan Kendiri Keperluan Penghargaan Kendiri Keperluan Kasih Sayang Keperluan Keselamatan Keperluan Fisiologi

Teori Abraham ini menghuraikan ada lima keperluan asas manusia yang mempengaruhi dan mengarahkan tingkahlaku manusia. Lima keperluan insan yang dicadangkan adalah keperluan asas / fisiologi , keperluan keselamatan , keperluan kasih sayang , keperluan penghargaan kendiri dan keperluan kesempurnaan kendiri . Ia berkait dengan kepuasaan dan kegembiraan bekerja. Rogers ( 1956 ) pula mengatakan bahawa manusia sentiasa berusaha memahami diri sendiri mempengaruhi dan mengawal perlakuan dirinya dan orang lain. Rogers berpendapat bahawa manusia lahir dengan kecenderungan untuk kesempurnaan yang akan memandunya menjadi insan yang matang dan sihat. Jelas di sini bahawa pendekatan ini memberi penekanan bahawa setiap manusia dilahirkan dengan keperluan-keperluan tertentu yang akan membolehkan seseorang itu berkembang dan mencapai kepada kesempurnaan. Sekiranya keperluan di sesuatu peringkat tidak dipenuhi atau dipuaskan, maka terjadilah masalah psikologi pada seseorang individu guru tersebut. Dalam Hierarki Keperluan Maslow, pada peringkat keperluan untuk diri yang rendah ialah keperluan asas atau fisiologi seperti makan, minum, pakaian, tempat berlindung dan lain-lain lagi. Sekiranya keperluan asas ini tidak dipenuhi, maka seseorang individu akan kurang bermotivasi dalam menjalankan kerjayanya kerana keperluan ini bersifat biologikal. Apabila ini dapat dipenuhi, seseorang individu rasa bersemangat hendak bekerja. Tiap-tiap individu perlukan keselamatan. Keperluan ini termasuk keperluan perlindungan daripada bahaya semasa bertugas di tempat kerja, insuran nyawa dan kemalangan, pergantungan dan perlindungan bebas daripada rasa takut dan bimbang. Dengan adanya undang-undang dalam masyarakat akan menolong memenuhi keperluan mendapat ketenteraman dan bebas dari perasaan resah dan gelisah yang boleh mengancam nyawa dan emosi. Apabila keperluan ini dipenuhi, seseorang individu berasa selesa bekerja di sesuatu organisasi dan ceria melakukan pekerjaannya dengan berkesan. Keperluan kasih sayang merupakan keperluan untuk hubungan yang mesra dan perasaan diri itu diperlukan. Hubungan yang baik dan erat perlu diadakan antara rakan sejawat dan juga antara pelajar dan guru supaya seseorang individu itu merasakan mereka diterima oleh anggota lain dalam sesuatu masyarakat. Jika keperluan ini tidak dipenuhi, seseorang akan merasai gelisah, kecewa dan seterusnya berlaku ganguan emosi.

Tiap-tiap orang memerlukan penilaian yang tinggi dan stabil tentang diri mereka. Untuk membolehkan ini berlaku, seseorang itu perlu menghormati dirinya sendiri dan juga dihargai oleh orang lain. Justeru itu, ini merupakan keperluan untuk mendapat pengiktirafan, perhatian dan penilaian diri orang lain. Justeru itu, jika keperluan penghargaan kendiri dapat dipenuhi, dengan sebaiknya, ianya boleh membuatkan individu memiliki keyakinan diri dan lebih berdikari. Keperluan untuk mendapatkan penghargaan dari orang lain diperlihatkan keperluan untuk mendapatkan penghormatan dan pengikhtirafan. Bagi mereka yang ingin mencapai hasil kerja yang baik dan sempurna, mereka pasti cuba memenuhi keperluan ini. Individu yang berjaya mencapai peringkat kesempurnaan kendiri ini memiliki keyakinan diri yang tinggi, kepuasan dalam kehidupan, ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Oleh sebab seseorang itu mesti jadi apa yang ia boleh jadi ( Maslow, 1954 ) ia akan berlatih dengan sendiri, tanpa apa-apa paksaan. Kegagalan seseorang individu untuk memenuhi keperluan kesempurnaan kendiri ini akan menyebabkan individu rasa kecewa dan tidak mempunyai kepuasan dalam kehidupannya. Dalam kajian kes ini, masalah tingkahlaku guru berkenaan adalah disebabkan kegagalan dalam mencapai atau memenuhi keperluan dalam peringkat atasan. Di sini, saya dapati bahawa guru berkenaan mengalami kekecewaan dalam rumahtangga yang sekian lama dibina dan mewujudkan sifat negatif dalam dirinya. Berdasarkan teori keperluan, secara lumrahnya setiap orang ingin berasa dihargai dan keperluan untuk disayangi. Justeru itu, apabila keperluan itu tidak diisi, guru berkenaan mengalami gangguan emosi yang terarah ke nilai negatif. Berdasarkan kes dikaji, guru berkenaan iaitu Puan Maskiah mengalami tekanan setelah berpisah dengan rasmi dengan suaminya. Beliau mula menunjukkan kemurungan dengan tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna. Kemudian, setelah beberapa minggu, guru berkenaan hilang motivasi diri dan keyakinan diri kerana berasa dirinya tidak dihormati dan rasa rendah diri dengan padangan orang terhadap dirinya. Di samping itu, guru berkenaan mengalami masalah dalam menepati waktu semasa proses pembelajaran dan pengajaran. Akibatnya, murid-murid dalam kelasnya juga mengalami masalah disiplin dan sedikit ketinggalan dalam pelajaran kerana masalah faktor dalaman

10

yang wujud dalam diri guru berkenaan. Oleh kerana sesuatu keperluan yang bangkit yang perlu dipenuhi untuk mencapai kepuasan diri, maka guru itu berasa serba tidak kena dan perasaan itu mendorongnya untuk melakukan pelbagai tingkahlaku untuk menghilangkanya. Punca tidak memiliki keyakinan diri supaya lebih berdikari telah mendorong beliau bertindak kerana setiap keperluan itu mempunyai matlamat yang mesti dicapai. Seterusnya, dengan masalah yang dikenalpasti, suatu alternatif perlu di bina untuk mendorong guru berkenaan ke arah nilai-nilai dan sahsiah diri yang positif. Tidak dapat dinafikan bahawa pendorong yang paling kuat adalah faktor-faktor yang ada dalam diri guru berkenaan.

5. Pelan Tindakan Membentuk Semula Sikap dan Sahsiah Guru


Merujuk kepada kajian kes tentang guru bermasalah itu, satu pelan tindakan telah dirangka untuk membantu guru tersebut membentuk semula sikap dan sahsiah ke arah yang lebih baik. Kaedah yang dirangka dapat membantu guru dengan membuat penyesuaian yang cukup dengan permintaan seterusnya dengan tidak melupakan batasan yang dikenakan oleh keadaan dan kebolehan semulajadinya. Oleh sebab itu, Pendekatan Humanistik melibatkan Teori Motivasi Maslow telah menjadi garis panduan untuk merangka pelan tindakan dalam usaha membantu guru berkenaan supaya mempunyai motivasi bagi menggerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja cemerlang. Teori keperluan mengatakan bahawa sebagai manusia biasa, seseorang itu melakukan apa yang dilakukannya disebabkan dia hendak memnuhi keperluankeperluannya baik keperluan jasmani, emosi dan rohani. Salah satu faktor dalaman yang mempengaruhi kejayaan ialah apa yang disebut sebagai dorongan keperluan yang mendorong manusia bertindak. Maslow menerangkan motivasi melalui analisis keperluan. Motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan untuk berjaya atau untuk mencapai sesuatu. Ia juga dikatakan sebagai rancangan untuk kejayaan seseorang atau rangsangan untuk mengelakkan diri daripada kegagalan. Dalam bidang pendidikan, motivasi mempunyai peranan yang sangat penting. Guru memerlukan motivasi untuk menggerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja. Justeru itu, dalam kajian kes ini, motivasi dianggap sebagai satu unsur yang membolehkan subjek dikaji iaitu Puan

11

Maskiah untuk melibatkan diri secara aktif bagi meningkatkan semangat dalam menghasilkan prestasi kerja yang lebih baik. Motivasi intrinsik adalah motivasi yang berkaitan dengan kecenderungan dan dorongan dalaman yang membuat seseorang insan melakukan sesuatu perkara. Ini adalah lebih kepada perasaan dalaman dan kekuatan dorongan individu. Oleh sebab itu, dalam kajian kes ini, bagi membentuk semula sikap guru tersebut, haruslah memberi penghargaan yang sewajarnya kepadanya supaya beliau berasa dihargai atas hasil usaha. Di samping itu, tunjukkan kesediaan untuk mendengar dan menimbang idea atau pendapat yang diutarakan mahupun masalahnya. Apabila berasa dirinya dalam kedudukan yang selesa, akan mendorong kepada guru tersebut memiliki keyakinan diri dan lebih berdikari. Motivasi ekstrinsik pula merujuk kepada sumber luaran yang mendorong individu membuat tindakan. Teori Motivasi Maslow mengatakan bahawa ganjaran atau reward sangat besar pengaruhnya ke atas tingkahlaku individu. Dalam erti kata lain, apabila sesuatu tingkahlaku itu diberi ganjaran maka itulah yang dilakukan. Seseorang itu terdorong melakukan sesuatu perbuatan dengan harapan dia akan mendapat ganjaran yang diharapkan. Dalam hal ini, umpamanya, pujian oleh pihak pentadbir terhadap kerjanya yang menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan baik akan menyebabkan daya usaha guru tersebut meningkat. Di samping itu, pihak sekolah boleh mengadakan majlis bagi guru-guru yang mempunyai daya usaha atau dinilai sebagai pendidik yang baik sebagai satu tanda pengiktirafan. Semua usaha ini secara tidak langsung dapat mewujudkan satu suasana dimana guru tersebut merasa ada kepentingan dalam kalangan rakan sejawat di tempat kerja. Ini mewujudkan persaingan yang sihat dan kerja berpasukan di kalangan guru supaya dapat menjalankan tanggungjawab mendidik dengan lebih baik. Mengikut kajian yang pernah dijalankan, suasana kerja yang menggembirakan membawa kebaikan dan manfaat daripada segi psikologi dan menyebabkan dorongan dalaman guru tersebut untuk menghasilkan prestasi kerja yang lebih baik. Dalam usaha membentuk semula sahsiah guru yang dikaji, pihak sekolah seharusnya perlulah peka dalam menyedari keperluan seseorang guru kerana setiap individu melalui proses perkembangan yang berbeza. Guru tersebut boleh diberi tugasan yang berada dalam zon perkembangan proksimal sehingga ia dapat menyempurnakannya

12

dengan cemerlang tanpa bantuan daripada orang yang lebih berkemahiran. Pengalaman kejayaan ini boleh mempertingkatkan persepsi tentang kebolehannya dan kawalan usahanya. Oleh itu, guru tersebut dapat diberi peluang untuk berusaha dalam zon perkembangan proksimal dan seterusnya memberi kesan positif dalam motivasi dirinya supaya potensi diri dapat dikembangkan. Selain itu, rakan-rakan sejawat dapat memupuk nilai motivasi dirinya melalui bimbingan supaya guru tersebut memahami dan menerima keadaan diri serta terlibat secara aktif dalam aktiviti sosial. Satu lagi tindakan yang boleh membantu guru tersebut adalah dengan mendekatkan hubungan melalui perjumpaan kecil dengan meluangkan masa bersua muka. Di samping dapat menunjukkan penghargaan dengan memberi galakan mengikut kebolehan guru tersebut melalui motivasi perkembangan diri yang lebih sihat dan positif.Selain itu, guru berkenaan dapat meluahkan masalah yang dialami dan ini dapat mengurangkan tekanan yang dialami dengan keadaan dirinya. Secara tidak langsung, ini dapat mewujudkan semangat positif dalam dirinya untuk memperbaiki keperluan dirinya. Apa yang ada dalam fikiran dan hati seseorang itu amat besar pengaruhnya ke atas proses perkembangan individu dalam persekitaran sosial. Suasana kerja yang kondusif dan menyeronokkan adalah mustahak dan ia ada kaitan dengan kebaikan psikologi. Dengan kerjasama dari semua pihak dalam organisasi, menjadikan tempat bekerja sebagai tempat yang gembira dan selesa dapat meningkatkan dorongan untuk memajukan diri apabila mempunyai pemikiran yang menggembirakan. Oleh itu, tindakan untuk mewujudkan suasana kerja yang menyeronokkan bagi memotivasikan guru yang bermasalah dilihat sebagai satu alternatif yang berkesan bagi memotivasikan guru berkenaan. Bimbingan juga merupakan satu pelan tindakan yang sesuai untuk membentuk semula sikap guru berkenaan. Melalui bantuan yang dihulurkan dapat mencari satu penyelesaian kepada diri guru berkenaan dan seterusnya dapat mengatasi masalah tingkahlakunya. Melalui bimbingan, dapat memupuk nilai dan membantu guru berkenaan mengurus diri dengan lebih efektif dan berkembang secara positif dan mencapai potensinya. Ini akam memudahkan perubahan tingkahlaku dengan menggalakkan interaksi sosial dan mempunyai perasaan ada kepentingan diri dalam kelompok rakan dengan memahami dan menerima diri.

13

Rumusan
Abraham Maslow, seorang pakar psikologi terkenal yakin bahawa setiap manusia itu mempunyai harga diri dan maruah yang mesti dimuliakan. Berasarkan teori Humanistik , manusia itu sesungguhnya bersifat baik dan berpandangan positif dengan potensi untuk berkembang dan mempunyai sasaran untuk dicapai. Menurut beliau, seseorang individu itu melakukan apa yang dilakukannya kerana di dalam dirinya wujud lima fitrah keperluan manusia. Maslow juga menekankan bahawa faktor yang wujud dalam diri seseorang individu yang mendorongnya melakukan pelbagai tingkahlaku adalah keperluan. Teori Hierarki Keperluan Maslow telah mula diperkenalkan kerana Abraham Maslow berpendapat bahawa perkembangan personaliti atau sahsiah individu banyak bergantung kepada keperluan yang paling dominan pada dirinya. Keperluan manusia yang diterangkan secara hierarki mempunyai peringkat yang tersusun iaitu bermula daripada keperluan peringkat asas sehinggalah kepada keperluan peringkat psikologi. Oleh sebab itu, manusia akan sentiasa aktif bergerak untuk mencapai satu peringkat keperluan dan ini secara tidak langsung menimbulkan perasaan untuk memenuhi kepuasan pada peringkat yang lebih tinggi. Jika sesuatu keperluan tidak tercapai, ianya akan menimbulkan masalah tingkahlaku kepada individu seperti dalam kajian kes guru yang bermasalah di sekolah. Berdasarkan kajian kes yang dijalankan, jelaslah di sini bahawa proses perkembangan individu perlu melalui beberapa tingkat kepuasan dan merupakan usaha berterusan untuk mencapai kecemerlangan diri. Justeru itu, dengan melihat kajian kes tersebut, kegagalan memenuhi keperluan-keperluan terutamanya di peringkat atasan seperti penghargaan kendiri dan kasih sayang menyebabkannya mengalami ketidakpuasan dalam hidupnya. Secara kesimpulannya, semua pihak dalam organisasi perlulah berperanan mengatur strategi untuk membantu guru tersebut membentuk semula sahsiah dan sikap yang lebih baik demi kecemerlangan yang maksimum.

14

Bibliografi
1. Ainon Mohd. Abdullah Hassan. ( 2002 ). Guru Sebagai Pendorong Dalam Darjah. Pahang : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. 2. Atan Long. ( 1976 ). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 3. Fakulti Pendidikan, Sastera dan Sains Sosial. ( 2003 ). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Open University Malaysia. 4. Fakulti Pendidikan, Sastera dan Sains Sosial. ( 2004 ). Bimbingan dan Kaunseling. Kuala Lumpur : Open University Malaysia. 5. Pusat Pendidikan Luar. KKD22063 Pembangunan Sahsiah. Kuala Lumpur : UPSI. 6. Saedah Siraj, Zainun Ishak, Tunku Mohani Tunku Mokhtar. (1996 ). Motivasi Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 7. Sufean Hussin. ( 1991). Pengajaran Nilai Dalam Kurikulum. Selangor : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 8. Wan Abdul Kader Wan Ahmad. ( 1994 ). Kaunseling Kelompok Berstruktur, Pengurangan Kebimbangan Sosial. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 9. Zainuddin Zakaria, Goh Ying Soon. ( 2006 ). Memotivasi Pekerja. Selangor : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

15