Anda di halaman 1dari 8

Hegemoni dan Ketuanan Melayu Dalam Politik Malaysia

Isu hegemoni dan ketuanan Melayu dalam politik negara bukanlah satu perkara baru dalam
kancah politik negara. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang
mengiktiraf hak keistimewaan serta kepentingan kaum Melayu dalam negara jelas menunjukkan
penguasaan politik orang Melayu. Di mana perkara-perkara seperti hak orang Melayu serta
kedaulatan Raja-Raja Melayu, peranan Bahasa Melayu serta status agama Islam diberi jaminan
dalam perlembagaan. Kaum bukan Melayu pada dasarnya terpaksa menerima perkara-perkara
tersebut sebagai ganti bagi mendapatkan hak kerakyatan.

Ini seterusnya membawa kepada satu perjanjian secara tidak rasmi di kalangan
pemimpin Melayu dengan pemimpin bukan Melayu. Di mana orang melayu yang mengorbankan
hak kerakyatan mereka kepada orang bukan Melayu akan diperakui secara bumiputera yang akan
mendapat beberapa keistimewaan dalam perlembagaan. Ia seterusnya membawa kepada satu
kontrak sosial yang dilihat saling melengkapi perlembagaan negara dan dilihat sebagai benteng
kepada ketuanan Melayu. Di mana ia meletakkan kaum lain di satu kelas yang lebih rendah
daripada orang Melayu dan bercanggah dengan perlembagaan negara yang menekankan
persamaan hak bagi semua warganegara tanpa diskriminasi terhadap mana-mana bangsa
mahupun agama. Malahan konsep ketuanan Melayu dilihat sebagai satu elemen yang berunsur
negatif yang melemahkan orang Melayu dan ia bersifat perkauman. Di mana menurut Datuk
Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ia mencerminkan orang Melayu hanya
mahu menjadi ‘tuan’ tanpa mahu berusaha dan bertanggungjawab kepada diri sendiri ( Utusan
Malaysia, 4 November. 2008 ). Ini jelas memberi satu gambaran negatif kepada orang Melayu
yang dianggap hanya mahu hak-hak tertentu dan penghormatan serta pengiktirafan tetapi tidak
mahu berusaha. Pada masa yang sama mereka tidak mampu membuktikan kemampuan diri serta
mengelak daripada persaingan secara global dan terus bergantung kepada kerajaan.

Hegemoni orang Melayu menjadi semakin ketara sejurus peristiwa 13 Mei 1969 yang
menyaksikan penstrukturan semula politik negara. Perubahan pucuk kepimpinan dari Tunku
Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak menyaksikan berakhirnya Perikatan dan bermulanya
penguasaan orang Melayu ( Vasil, 1980. 187 ). Parti Perikatan yang dipelopori oleh UMNO
mengambil kesempatan dari rusuhan kaum yang tercetus untuk menggantung parlimen serta
menangguh pilihan raya yang belum selesai. Negara diletakkan dibawah kawalan MAGERAN
1
yang diketuai oleh Tun Abdul Razak telah merombak asas-asas politik negara dengan memberi
penekanan terhadap aspak-aspek yang berkaitan kedudukan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja
Melayu, kedudukan agama Islam serta Bahasa Melayu. Di mana melalui pindaan perlembagaan
tersebut, ia menjadi satu kesalahan dalam menyoal perkara-perkara tersebut. Pada masa yang
sama, pindaan turut dilaksanakan ke atas Akta Hasutan dengan meminda Perkara 63 dan 72
dalam Perlembagaan Rang Undang-Undang yang menghapuskan perlindungan ke atas ahli
parlimen dan dewan undangan negeri dalam membicarakan isu-isu tersebut dalam dewan ( Nik
Abdul Rahsid, 1998. 17). Pada masa yang sama penambahan anggota dalam Perikatan dengan
kemasukan parti-parti seperti Gerakan dan PPP ternyata menjejaskan peranan dan kekuatan
MCA dan MIC. Ia seolah-olah satu hukuman kepada kedua-dua parti tersebut yang gagal
mencapai keputusan yang memberansangkan dalam Pilihan Raya 1969. Di samping itu,
penyertaan PAS dalam Barisan Nasional turut memperkukuhkan kuasa serta politik Melayu serta
memberi amaran kepada kaum bukan Melayu untuk tidak mencabar kuasa serta ketuanan
Melayu.

Syed Hussein Alatas dalam mengulas peristiwa 13 Mei mendakwa Perikatan telah
mengeksploitasi kekacauan yang tercetus untuk menekan pembangkang dan menguatkan
cengkaman politiknya ( Syed Hussein Alatas. 1972, 271 ). Ia jelas dalam kenyataan Tun Dr.
Ismail, Menteri dalam negeri yang mengatakan bahawa ‘amalan demokrasi telah pun berkubur
dalam negeri ini dan ia musnah di tangan pembangkang lantaran itu memandangkan demokrasi
tidak mampu mengawal kekacauan yang tercetus maka kerajaan terpaksa mengambil alih kuasa
untuk memulihkan situasi’ ( Kua. 2007, 105 ). Kelesuan amalan demokrasi negara pada ketika
itu amat ketara apabila sebaranag aktiviti politik diharamkan dan penggunaan kuasa tentera serta
penyalahgunaan Ordinan Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) bagi mengawal kritikan
pembangkang serta menakut-nakutkan rakyat jelata. Seramai 9,114 orang telah ditahan dari 13
Mei sehingga 31 Julai dan 5,561 telah didakwa di mahkamah ( Leon Comber. 1983, 71 ). Antara
pemimpin pembangkang yang ditahan termasuklah Lim Kit Siang yang menyifatkan
penahanannya sebagai sebahagian daripada reaksi anti demokratik yang bertentangan dengan
keputusan rakyat jelata ( DAP. 1981, 33 ).

2
Kebebasan media massa turut terjejas apabila kawalan yang ketat diperkenalkan dan majalah-
majalah asing seperti Far Easter Economic Review, Time dan Newsweek diharamkan ( John.
Funston. 1980, 213 ).

Kua Kia Soong ( 2007 ) dalam penulisan 13 May mendakwa tragedi 13 Mei 1969
merupakan satu konspirasi terancang di kalangan pemimpin elit dalam UMNO yang bertujuan
untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Beliau turut persoalkan tindak-tanduk pasukan
keselamatan dalam mengawal situasi semasa rusuhan dan masa yang diambil bagi menghentikan
keganasan di mana kebanyakkan mangsa terdiri daripada kaum Cina ( Kua. 2007, 109 ).
Lantaran itu, peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan penstrukturan semula parti Perikatan dan
pengenalan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB ) dilihat sebagai titik tolak kepada hegemoni
politik Melayu di Malaysia. Sia Keng Yek (1997 ) dalam penyelidikannya ‘Hua Tuan dan
Perkembangan Politik Malaysia: Satu Kajian Tentang Asal Usul Perkembangan Gagasan Dua
Barisan (1969-1995)’ telah membicarakan peranan pertubuhan Cina dalam perjuangkan serta
melindungi kepentingan komuniti Tiong Hua yang terjejas selepas rombakan dalam kerajaan
pimpinan Tun Abdul Razak. Di mana ketidak puasan hati masyarakat Cina telah mendorong
kepada pembentukan National Civil Right Committee yang menjadi penggerak kepada
pembentukan barisan pembangkang yang berjaya membentuk barisan alternatif kepada Barisan
Nasional. Ia telah menyaksikan penglibatan pemimpin-pemimpin dalam pertubuhan Cina seperti
Kua Kia Soong, Lim Fong Seng, Lee Ban Chen, Wu Wei Xiang, Yang Pei Keng dan Ngeow Yin
Ngee menyertai DAP.

Polemik hegemoni serta ketuanan Melayu menjadi semakin menarik selepas Tsunami 8
Mac 2008 yang menyaksikan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan Barisan Nasional
buat julung-julung kali gagal mendapat majoriti 2/3 dalam parlimen. Kee Thuan Chye ( 2008 )
dalam bukunya March 8 The Day Malaysia Woke Up berpendapat bahawa 8 Mac 2008
merupakan titik tolak kepada perubahan drastik dalam politik negara. Di mana para pengundi
berjaya keluar dari bayangan perkauman dalam usaha mewujudkan satu negara yang lebih baik.
Ia jelas satu tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang dilihat gagal
merealisasikan janji-janjinya serta acap kali mengecewakan rakyat dengan tindak-tanduknya
yang tidak popular. Kegagalan kerajaan bertindak dengan bijak semasa berhadapan dengan isu-
isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat majmuk serta ketelusan dan kecekapan dalam

3
pentadbiran turut menyumbang kepada kekalahan besar Barisan Nasional. Para pengundi muda
dilihat kurang memberi penekanan kepada faktor perkauman sebaliknya menekankan
kemampuan kerajaan menjana ekonomi negara, kecekapan serta ketelusan jentera pentabdiran,
aspek keselamatan dalam negeri dan isu-isu hak asasi manusia.

Kejayaan DAP dan PKR dalam pilihan raya 2008 jelas mengundang kegelisahan di
kalangan segelintir pemimpin Melayu terutamanya UMNO. Di mana kehadiran ramai ahli
parlimen mahupun ADUN bukan Melayu secara drastik dilihat sebagai ancaman kepada
hegemoni politik Melayu. DAP yang memenangi 28 kerusi parlimen dan 73 kerusi DUN berjaya
menguasai Pulau Pinang dan menempatkan ramai ADUN di Selangor dan Perak. Dominasi DAP
di Pulau Pinang begitu ketara apabila ia membolot 7 daripada 10 kerusi exco negeri dan ia tidak
termasuk jawatan ketua menteri yang dijawat oleh Lim Guan Eng di samping jawatan timbalan
ketua menteri dua yang diisi oleh Dr. Ramasamy (The Rocket. April/May, 2008). Di samping itu,
DAP turut menampakkan taringnya di Perak dan Selangor apabila ia berjaya menguasai beberapa
jawatan dalam exco negeri Pakatan Rakyat. Di Perak, DAP menempatkan 6 exconya yang
dipimpinan oleh gabungan Ngeh-Nga di samping jawatan speaker yang disandang oleh V.
Sivakumar dan Hee Yit Feng ADUN Jelapang sebagai timbalannya. Situasi yang hamper sama
berlakua di Selangor apabila Teressa Kok dilantik sebagai exco kanan dan Teng Chang Kim
sebagai speaker negeri tersebut. PKR yang diasaskan sebagai sebuah parti berbilang kaum tutur
menyaksikan kewujudan ramai calon bukan Melayu di Perak dan Selangor. Di Perak, ia
mempunyai tiga exco termasuklah Sivanesan, Tai Sing Ng dan Chen Fook Chye manakala di
Selangor, PKR menonjolkan dua calonnya Dr. Xavier dan Elizabeth Wong.

Senario ini jelas menimbulkan tanda tanya tentang masa hadapan politik serta hak
keistimewaan orang Melayu di Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang dikuasai oleh Pakatan
Rakyat yang pada dasarnya dikuasai oleh pemimpin bukan Melayu. Ia jelas dalam kenyataan
Datuk Seri Nazri Aziz yang berpendapat keputusan pilihan raya 2008 merupakan petanda awal
berakhirnya DEB dan terhakisnya hak keistimewaan orang Melayu ( The Star. 14 Mac, 2008 ).

Ini kerana pola pengundian generasi baru khususnya golongan berpendidikan tinggi tidak lagi
melihat perlunya wujud sebarang perbezaan mahupun keistimewaan bagi mana-mana pihak
sebaliknya ingin bersaing secara terbuka dan berdasarkan kemampuan sendiri.

4
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam mengulas dasar baru kerajaan Pulau
Pinang menekankan kepada konsep ketelusan dalam pentadbirannya. Beliau berpendapat dasar
DEB yang bergelumbang dengan penyelewengan kuasa serta kroni menyumbang kepada amalan
rasuah bakal ditamatkan dan diganti dengan system yang lebih telus. Kenyataan tersebut telah
menimbulkan bantahan dari pemimpin-pemimpin UMNO serta badan-badan NGO Melayu.
Malah satu siri tunjuk perasaan turut dianjurkan di sekitar Komtar bagi membantah kenyataan
Setiausaha Agung DAP tersebut. Para penunjuk perasaan telah berarak selepas sembahyang
Jumaat dan bergerak ke arah Jalan Dr Lim Chwee sambil melaung-laungkan bantahan mereka. Ia
telah diserta para pemimpin UMNO Pulau Pinang dan Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam,
Datuk Musa Sheikh Fadzir menegaskan UMNO Pulau Pinang akan menyerahkan satu
memorandum bantahan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas sebagai protes
terhadap kenyataan Menteri Pulau Pinang yang didakwa mencetuskan kemarahan orang Melayu
( The Star. 15 Mei, 2008 ).

Namun begitu, saranan Lim Guan Eng mendapat sokongan dari pemimpin Pakatan
Rakyat yang sependapat bahawa DEB telah gagal pada dasarnya kerana ia tidak memenuhi
aspirasinya iaitu mengagih kekayaan negara tanpa mengira kaum. Kelemahan dari pelaksanaan
telah mengakibatkan pelbagai penyelewengan yang berlaku dan bantuan yang sepatutnya
disalurkan gagal dimanfaatkan oleh golongan sasaran. DEB hanya berjaya memperkayakan
golongan tertentu yang mempunyai kepentingan politik dalam kerajaan. Lantaran itu, satu
mekanisme yamg baru perlu diperkenalkan agar semua kaum mampu memperoleh hasilnya.
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika membahas usul menjunjung kasih titah Yang di-
Pertuan Agong menyatakan bahawa DEB harus diganti dengan struktur yang lebih adil dan
bermakna kepada Bumiputera serta rakyat. Di mana pendekatan baru tersebut harus mengambil
kira kepentingan kaum Cina dan India yang termiskin serta terpinggir. Ia bagi memastikan
pengagihan manfaat ekonomi sampai ke peringkat akar umbi ( Berita Harian. 6 Mei, 2008 ).
Dalam mengulas isu yang sama, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hasan berpendapat dasar DAP
tidak akan menjejaskan orang Melayu. Ini kerana dasar murni DEB untuk menyusun semula
masyarakat gagal mencapai objektifnya. Oleh demikian, Pakatan Rakyat akan memperkenalkan
dasar yang berlandaskan konsep ‘negara kebajikan’ dengan mengekalkan beberapa ciri DEB
yang positif dalam usaha menjamin kehidupan rakyat jeata ( The Star. 15 March, 2008 ). Datuk
Seri Anwar Ibrahim pula telah menyarankan Agenda Ekonomi Malaysia ( AEM ) bagi
5
menggantikan DEB yang dilihatnya bukan sahaja gagal membela nasib orang Melayu tetapi turut
menafikan hak kaum yang lain.

Isu DEB semakin rancak apabila Datuk Chua Jui Ming, bekas Menteri Kesihatan turut
menggesa agar DEB dihapuskan demi keadilan semua kaum. Walaupun ia dilihat tidak lebih
daripada gimik politik tetapi saranan tersebut mendapat dokongan daripada MCA dan MIC.
Dalam mengulas isu tersebut, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Jui
Meng takut dengan bayang-bayangnya sendiri dan tiada idea baru sehingga terpaksa
mengunakan taktik yang sama digunakan oleh DAP bagi meraih sokongan perwakilan. Ini
kerana pada masa sekarang, isu berbentuk perkauman tidak begitu disukai oleh orang ramai, jadi
menggunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai cara untuk meraih sokongan tidak lagi
relevan dan ia merupakan satu taktik lapuk. Beliau turut menasihati Datuk Chua untuk memberi
idea bagaimana cara membantu masyarakat Cina untuk maju dan membasmi kemiskinan di
kalangan kaum tersebut dan bukannya menghentam kaum lain ( Utusan Malaysia. 29
Sepptember 2008).

Kerancakan isu hegemoni dan ketuanan Melayu dalam politik Malaysia seolah-olah tidak
ada penghujungnya apabila Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
mencadangkan 10 peratus daripada jumlah kuota pelajar UITM dibuka kepada bukan bumiputera
dengan tujuan mempertingkatkan kualiti pendidikan dan menggalakkan persaingan yang sihat di
kalangan pelajar IPT terutamanya UITM ( Utusan Malaysia. 11 Ogos, 2008 ). Pada dasarnya
saranan tersebut sememangnya satu usaha yang baik dan membina kea rah mewujudkan satu
masyarakat Malaysia yang adil serta progresif. Pada masa yang sama, ia turut mamapu
mempertingkatkan integrasi serta kerjasama di kalangan pelajar IPT yang berbilang kaum.
Malangnya saranan tersebut dilakukan ketika suasana politik negara yang masih belum pulih dari
Tsunami 8 Mac. Lantaran itu, ia dijadikan wadah politik oleh segelintir pemimpin UMNO dalam
usaha untuk memulihkan imej parti yang tercalar dan juga sebagai modal untuk menonjolkan diri
menjelang perhimpunan agung UMNO. Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad
Muhd Taib mengecam Tan Sri Abdul Khalid sebagai pemimpin yang tidak sensitive serta
mengabaikan perlembagaan. Malah beliau turut mempertikaikan keikhlasan PKR perjuangkan
nasib orang Melayu ( Utusan Malaysia. 11 Ogos, 2008 ). Isu ini turut mendapat perhatian
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri khaled Nordin yang menyelar Tan Sri Abdul Khalid kerana

6
menghina orang Melayu dan UITM dengan menggadai hak keistimewaan orang Melayu semata-
mata untuk mendapat sokongan masyarakat bukan Melayu ( Utusan Malaysia. 12 Ogos, 2008 ).

Kekalutan serta pertelingkahan yang berterusan tentang hegemoni politik Melayu serta
konsep ketuanan Melayu menjadi semakin hangat menjelang pilihan raya semula Parlimen
Permatang Pauh sejurus perletakan jawatan Datin Seri Wan Azizzah untuk memberi haluan
kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam kerancakan berkempen, Ketua UMNO Bahagian
Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail mencetuskan kontroversi apabila belaiu didakwa
mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkuaman serta mempertikaikan hak masyarakat Cina. Ia
menimbulkan bantahan besar-besaran di kalangan parti-parti politik berorentasi Cina
termasuklah komponen Barisan Nasional. Ia memaksa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak memohon maaf bagi pihak UMNO walaupun Datuk Ahmad Ismail enggan berbuat
demikian. Hubungan di kalangan komponen Barisan Nasional turut terjejas lantaran daripada
insiden tersebut di mana MCA dan Gerakan yang tidak berpuas hati dengan tindakan pemimpin
UMNO tersebut mendesak tindakan displin dikenakan ke atas pemimpin berkenaan. Akhirnya
UMNO terpaksa tunduk dengan tekanan komponen dalam Barisan Nasional dan mennyaksikan
Datuk Ahmad Ismail dijadikan ‘kambing hitam’ dalam percaturan politik UMNO yang semakin
lesu lantaran kegagalannya ia menawan semula Kelantan dan berputih mata di Kedah, Selangor
dan Perak.

Pilihan Raya Mac 2008 telah mencoret lembaran sejarah yang baru dalam politik . Ia
memperlihatkan satu pola baru dalam pengundian para pengundi khususnya pengundi muda di
kawasan bandar. Pertimbangan yang berasaskan perkauman tidak lagi menjadi keutamaan
sebaliknya isu yang bersifat nasional, hak asasi manusia serta kecekapan dalam pentadbiran
dijadikan asas dalam memilih perwakilan di parlimen mahupun negeri. Ia telah menyaksikan
penolakkan parti Barisan Nasional yang telah menerajui negara sejak 51 tahun dahulu dan
kekalahan di lima buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan merupakan amaran yang
perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan yang kehilangan majority 2/3 kerusi parlimen
buat julung-julung kali dalam sejarah negara. Isu hegemoni politik serta ketuanan Melayu turut
semakin menarik berikutan suara-suara sumbang yang semakin lantang mendesak ke arah
pembentukan sebuah masyarakat yang lebih adil dan telus dilakukan dalam usaha
merealisasikan pembentukan negara bangsa di Malaysia.

7
8