Anda di halaman 1dari 2

Lihat kelemahan diri dulu

December 13th, 2007 (http://nurjeehan.hadithuna.com/lihat-kelemahan-diri-dulu/ )

KITA terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang
menginginkan orang lain berubah.

Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita
berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita tetapi
malangnya anak isteri kita tidak mampu diubah.

Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya kita tidak pernah
memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat
untuk mengubah orang lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan
menjadi hampa.

Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di
sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan.

Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan perbandingan ini. Kalau kita hendak
membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak
tidak kita bina.

Mulakan dengan dirimu,kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani
mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani
melihat kekurangan diri sendiri.

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan
kelemahan diri sendiri.

Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar adalah juga mengubah orang lain.
Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatannya yang
berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain.

Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri tidak akan spontan dirasakan. Tetapi
percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.

Makin lama orang akan simpati dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas
bagaimana kaedah mengubah diri?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak
orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Jadilah seperti ‘ketam mengajar anak
berjalan betul’ nanti cakap tidak serupa bikin.
Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika
dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit
lama-lama jadi bukit.

Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah
diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.

Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh
semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri
dengan berpuasa kerana mengumpat.

Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati
dengan diri. Wassalam.