Anda di halaman 1dari 6

Amalan Gaya hidup Sihat

Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. . . ..........Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini. . ..........Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang. . ..........Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas. . ..........Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat. . ..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan

dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat. . ..........Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini. . ..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak. . ..........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010 Amalan Gaya Hidup Sihat

Dengan berdasarkan Soalan Percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) beberapa buah negeri, antara isu yang perlu difokuskan ialah amalan gaya hidup sihat. Antara negeri yang memfokuskan isu tersebut ialah Terengganu dan Negeri Sembilan. Di samping itu, soalan negeri Pahang turut memfokuskan isu yang sama tetapi dalam bahagian B iaitu soalan 2 yang berkaitan dengan peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga yang sihat (berformat ceramah). Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Kertas 1 Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu negeri Terengganu 2010). Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. Rangka Karangan Pendahuluan - kepentingan amalan gaya hidup sihat Isi-isi - amalan pemakanan seimbang - bersukan dan beriadah - Pemeriksaan kesihatan Penutup - amalan tersebut perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurangkurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat

melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara. Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas. Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah. Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010 Kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara.

Dengan berdasarkan soalan percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) negeri Perak, isu yang diketengahkan ialah kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara. Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu negeri Perak 2010 daripada blog Cikgu Zaki). Gambarajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada sambutan kemerdekaan negara. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara pada setiap tahun. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. Rangka Karangan Pendahuluan Hari ulang tahun kemerdekaan yang kita sambut setiap tahun mempunyai banyak kepentingannya Isi-isi (Sudah disediakan dalam bahan rangsangan) Memupuk semangat patriotik Memupuk perpaduan kaum Menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan Penutup Hari ulang tahun kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat Karangan Contoh Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu

disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya. Kebaikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ini adalah dapat memupuk semangat patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negaranya sendiri. Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka tak cinta, iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung. Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara. Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila. Intihanya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Sekiranya usaha ini tidak dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita kurang menyedari kepentingan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.