Anda di halaman 1dari 2

BAHAGIAN A (i) [Masa yang dicadangkan : 40 minit] [20 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis suatu ringkasan tentang punca-punca semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan rakyat di negara ini. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Pada zaman moden ini, manusia telah menikmati taraf hidup yang lebih baik dan selesa. Namun begitu, gaya hidup yang semakin bertambah mewah dan canggih ini juga turut menimbulkan beberapa masalah sosial yang amat serius. Satu daripadanya ialah lunturnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini. Dewasa ini, kebanyakan jiran tidak mengenali jiran yang tinggal di sebelah rumah mereka. Berbanding dengan kawasan luar bandar, semangat kejiranan di bandar amat renggang. Corak hidup yang penuh dengan kemewahan di bandar menyebabkan setiap individu berlumba-lumba untuk mencari pendapatan dan rezeki lain supaya dapat menikmati segala kemewahan. Mereka juga begitu sibuk berusaha untuk membaiki taraf hidup keluarga. Kesibukan ini menyebabkan mereka tidak berpeluang ataupun tidak ada masa untuk bertanya khabar pada jiran di sebelah rumah mereka. Masa lapang pula dihabiskan bersama-sama dengan keluarga sahaja. Kalau di kampung masyarakat berpeluang untuk beramah mesra, keadaan sebaliknya berlaku di bandar. Di bandar, kemudahan untuk hiburan terlalu banyak dan masyarakat bandar ini banyak mempunyai peluang untuk menikmatinya. Tumbuhnya pusat-pusat hiburan seperti disko, karaoke, dan kelab malam membuatkan masyarakat bandar semakin lupa akan semangat kejiranan dan mereka lebih bersikap individualistik. Di bandar, biasanya pelan kawasan perumahan dirancang dengan berdasarkan kemudahan asas serta kuasa beli orang ramai. Konsep kejiranan langsung tidak diutamakan. Corak petempatan baharu terbukti menghalang semangat kejiranan. Pemilik setiap rumah pula membina tembok yang tinggi. Pintu pagarnya sentiasa terkunci kerana ancaman rompakan dan sebagainya. Mereka tidak mahu menyibukkan diri untuk mengambil tahu akan urusan orang lain kerana nanti dianggap sebagai jiran yang suka menjaga tepi kain orang.

Bahagian A (ii) : Pemahaman [10 markah] Berdasarkan petikan Bahagian A, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat sendiri. 1. Apakah yang dimaksudkan oleh rangkai kata semangat kejiranan? [2 markah] 2. Berdasarkan petikan, berikan dua bukti kejiranan di bandar sudah semakin longgar berbanding dengan di desa. [4 markah] 3. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk menyuburkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk di sesuatu kawasan? [4 markah] BAHAGIAN B [1]

[Masa dicadangkan : 25 minit] [20 markah] Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang jenis-jenis kemudahan awam. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

BAHAGIAN C [masa dicadangkan : 45 minit] [40 markah] Tulis sebuah karangan tentang satu daripada perkara di bawah. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan. a) Anda sedang berbincang dengan rakan anda bagaimana hendak meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Tulis perbualan itu selengkapnya. b) Gambarkan apa yang akan anda lakukan apabila anda telah menjadi jutawan. c) Kesan dan bahaya penyalahgunaan dadah. Bincangkan. d) Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Tuliskan cerita berdasarkan peribahasa tersebut. e) Kegiatan lumba haram semakin serius sejak kebelakangan ini. Nyatakan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan demi mengatasi aktiviti ini. BAHAGIAN D [Masa dicadangkan : 10 minit] [10 markah]
Jawapan anda mestilah berdasarkan daripada novel yang telah anda kaji sama ada di tingkatan 1 atau 2.

a) Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. b) Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd Ismail Sabrini 1. Huraikan tiga pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji. 2. Nyatakan watak utama novel yang anda kaji dan huraikan perwatakannya.

[2]