Anda di halaman 1dari 24

SEJARAH OLAHRAGA

Sejak bertahun-tahun dahulu lagi kekuatan dan keupayaan manusia dinilai menerusi perlakuan berlari, melompat dan melontar. Seseorang yang mempunyai ketiga-tiga kemahiran asas ini dianggap sebagai seorang yang berkedudukan tinggi pada mata masyarakat dan pemerintah. Kekuatan menjadi sesuatu yang dikejar dan diimpikan oleh setiap individu khususnya kaum lelaki. Kemahiran-kemahiran ini diperkembangkan lalu diperbaiki dari semasa ke semasa sehingga menjadi sukan yang kemudiannya dipertandingkan. Tujuan diadakan pertandingan hanyalah semata-mata untuk mencari siapa yang lebih pantas, melompat lebih tinggi atau melontar lebih jauh daripada yang lain. Untuk mencapai hasrat ini, setiap individu akan berusaha menandingi yang lain dan akhirnya wujud ciri-ciri ingin berjaya, ingin menumpaskan lawan dan mewujudkan sifat berlumba sesama individu. Mereka yang menang akan berusaha mengekalkan kemenangan itu atau berusaha untuk meningkatkan keupayaan supaya kejayaan dapat dikekalkan. Bagi mereka yang gagal pula sudah tentu akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menumpaskan lawan dan muncul sebagai pemenang pula. Di sini mula wujud suatu pertandingan yang sudah tentu menarik dan mendapat perhatian orang ramai. Pertandingan seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa dan semakin ramai pula individu yang mahu mengambil bahagian untuk menguji kebolehan. Lama kelamaan lebih ramai yang mengambil bahagian bagi menguji keupayaan masing-masing. Untuk mencapai kemenangan sudah tentu mereka akan berlatih bersungguh-sungguh dan akan mempamerkan kebolehan sebenar semasa pertandingan. Ini menjadikan pertandingan untuk menguji kebolehan itu lebih menarik dan berjaya pula menarik minat orang ramai di merata dunia. Walaupun ada kalanya bentuk pertandingan agak berbeza-beza, namun matlamat dan tujuannya sama. Hari ini kita dapat melihat di merata tempat di dunia, pelbagai bentuk pertandingan diadakan untuk menguji kebolehan dan kekuatan manusia, malah terdapat juga pertandingan dikalangan wanita. Inilah yang mewujudkan pertandingan olahraga atau athletics. Sejak zaman Sebelum Masihi lagi sudah terdapat pertandingan olahraga ini, khususnya di kalangan penduduk Greek Kuno.

SEJARAH AWAL Walaupun diakui sudah terdapat pertandingan seperti yang dinyatakan pada awal bab ini sejak zaman Sebelum Masihi lagi, tetapi adalah sukar untuk mengetahui dengan jelas dan tepat bila manusia menjadikan aktiviti berlari, melompat dan melontar ini sebagai satu pertandingan. Jika permulaan di Greek Kuno diambil kira seperti yang dinyatakan oleh kebanyakan buku sejarah, bermakna olahraga sudah bermula sejak 3000 tahun yang lampau lagi. Jika pendapat ini diterima, bermakna olahraga sudah tentu merupakan sukan terawal di dunia. Salah satu bukti yang kukuh untuk menjelaskan kesahihan kenyataan ini, dapat dilihat pada sejarah awal Sukan Olimpik Kuno. Sukan itu dipercayai bermula pada tahun 776 SM, sehingga kini sudah diakui merupakan catatan awal bermulanya olahraga sebagai satu acara sukan. Ini disebabkan olahraga merupakan acara utama sukan tersebut. Dengan kata lain orang Greek sudah mengambil bahagian dalam pertandingan olahraga, walaupun matlamat asal olahraga mereka bukanlah menjadikan olahraga sebagai acara sukan yang dipertandingkan. Mereka lebih menganggap olahraga sebagai salah satu cabang seni melalui persembahan peserta-peserta yang mengambil bahagian. Dalam perjumpaan Sukan Olimpik Kuno, olahraga merupakan acara yang mendapat perhatian ramai. Sebuah buku tentang sejarah dan perkembangan sukan iaitu The Encyclopedia of Sports ada menyatakan tentang olahraga yang bermula pada zaman Greek Kuno, dan mencatatkan bahawa lompat jauh dianggap sebagai acara pertama yang dipertandingkan dalam sukan tersebut. Sukan Olimpik ini yang bermula pada tahun 776 SM berjaya diadakan setiap empat tahun sekali sehingga tahun 397 SM. Selepas itu Sukan Olimpik tidak dapat diadakan lagi atas arahan Maharaja Rom, Theodosius, tanpa menyatakan alasannya. Ketiadaan sukan itu menyebabkan penduduk pada ketika itu berasa kehilangan sesuatu. Mereka tidak lagi dapat berkumpul dan bertanding seperti sebelumnya. Bagaimanapun, mereka tetap meneruskan aktiviti berlari, melompat dan melontar. Setidaktidaknya mereka dapat juga mempamerkan kemahiran dan kebolehan mereka untuk diadili oleh orang ramai. Oleh sebab pertandingan sukan olahraga menerusi Sukan Olimpik Kuno itu diadakan khusus untuk penduduk sekitar Greek sahaja, tiada negara lain yang sanggup meneruskan tradisi sukan tersebut akhirnya berkuburlah sukan itu.

Hal ini berlanjutan sehingga abad ke-19. Walaupun tanpa sukan tersebut mereka terus mengadakan pertandingan sesama mereka secara kecil-kecilan. PERKEMBANGAN PADA ZAMAN MODEN Menjelang abad ke-19 barulah timbul ura-ura untuk menghidupkan semula Sukan Olimpik yang sekian lama berkubur. Dalam pada itu terdapat pula usaha negara-negara lain, yang mula menunjukkan minat (selain Greek) untuk menghidupkan semula sukan olahraga. Di England umpamanya, olahraga berjaya dihidupkan kembali oleh Royal Military College menerusi temasya sukannya yang diadakan pada tahun 1812. Perjumpaan sukan itu dianggap sebagai yang pertama diadakan selepas berkuburnya Sukan Olimpik Kuno. Kejayaan kolej itu mengadakan temasya sukan olahraga telah mendorong pihak-pihak lain untuk turut sama mengembangkan sukan ini ke merata tempat di England. Tidak berapa lama selepas itu, muncul kelab olahraga yang pertama di dunia iaitu Kelab The New Guild di England. Penubuhan kelab ini juga turut mendorong kemunculan beberapa kelab olahraga yang lain selepas itu. Kebanyakan sekolah turut menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam olahraga, begitu juga dengan universiti dan kolej. Sasaran menjadikan sekolah, kolej dan universiti sebagai tempat mengembangkan sukan olahraga amat wajar dan dengan segala kemudahan serta pengurusan yang teratur, peluang untuk mengembangkan sukan olahraga amat cerah. Universiti Oxford adalah antara beberapa universiti yang terawal menubuhkan pasukan olahraga, iaitu Exeter College Athletics Club yang ditubuhkan pada tahun 1850. Apa yang menarik kelab itu masih wujud hingga ke hari ini. Perkembangan sukan di negara-negara Eropah khususnya di England termasuk sukan olahraga pada abad ke-19 memang ketara. Ini menjadikan penduduk di situ mudah mempelajari dan menerima kedatangan sukan olahraga ini. Oleh itu, tidak hairan jika dikatakan bahawa tahun-tahun 1860-an merupakan tempoh perkembangan sukan olahraga yang pesat di England. Sambutan penduduk setempat yang menggalakkan memudahkan lagi perkembangan sukan ini. Bagi meningkatkan perkembangan sukan olahraga ini, kejohanan olahraga berbentuk terbuka mula dianjurkan oleh kelab-kelab olahraga di negara tersebut. Sekali lagi sukan olahraga mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada penduduk di situ. Orang

ramai sudah mula meminati dan turut menonton kejohanan-kejohanan yang dianjurkan. Selain itu, olahraga turut diperkenalkan ke Amerika Syarikat dan Kanada. Usaha pengembangan sukan ini di England diteruskan dan pada tahun 1876, negara tersebut berjaya mengadakan kejohanan olahraga pertama yang berbentuk pertandingan peringkat antarabangsa. Kejohanan tersebut melibatkan England dan Ireland. Kemunculan sukan olahraga di Amerika Syarikat telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat negara tersebut. Perjumpaan olahraga turut diadakan dalam masa yang singkat. Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, ahli-ahli olahraga Amerika Syarikat yang baru sahaja didedahkan dengan sukan ini mampu menunjukkan prestasi yang membanggakan. Sebilangan besar daripada atlit Amerika Syarikat bukan sahaja berjaya memenangi malah menguasai banyak perjumpaan sukan yang diadakan, termasuk di luar Amerika Syarikat. Turut membanggakan lagi ialah penguasaan ahli-ahli olahraga Amerika ini amat menonjol sehingga mampu mencipta dan memecahkan rekod yang terdahulu. Bagaimanapun, ketika itu kebanyakan rekod dunia masih belum mendapat pengiktirafan maka rekod-rekod ini tidak dicatat untuk rujukan. Bagaimanapun, daripada senarai pemenang pada kebanyakan perjumpaan olahraga menunjukkan bahawa sebahagian besarnya adalah peserta dari Amerika Syarikat. Perkembangan seterusnya ialah ke negara-negara Eropah yang lain, selain daripada kepulauan Inggeris dan ke beberapa negara dunia yang lain. Kemasukan sukan ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat, malah dalam masa yang singkat sahaja sudah mampu menghasilkan olahragawan bertaraf dunia. Walau bagaimanapun, prestasi dan kebolehan para olahragawan Amerika Syarikat masih belum tergugat. Mereka masih menguasai sebilangan besar perjumpaan olahraga antarabangsa. Hal ini ditambah lagi dengan kemunculan atlet Amerika Syarikat yang berketurunan Negro, menunjukkan prestasi yang membanggakan dan menakjubkan. Di negara-negara lain juga dturut diadakan kejohanan olahraga yang disertai oleh peserta-peserta luar negara. Malahan menerusi persatuan-persatuan olahraga masing-masing, mereka menjadikan perjumpaan olahraga sebagai perjumpaan tahunan yang meriah. Perjumpaan olahraga seperti Sukan Olimpik telah menjadi medan perjumpaan para olahragawan dari seluruh dunia untuk mengukur kebolehan dan keupayaan para peserta masing-masing dalam bidang olahraga. Sejak diadakan pada zaman kuno lagi, perjumpaan

sukan ini dianggap sebagai perjumpaan sukan yang terbesar di dunia, dan olahraga dijadikan acara yang utama dalam sukan tersebut. Australia dan New Zealand juga berjaya melahirkan olahragawan yang mampu menandingi peserta dari negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Olahragawan dari Asia, Afrika dan Amerika Selatan ketika itu masih belum mampu menggugat atau menandingi mereka, walaupun sukan olahraga telah diperkenalkan ke negara-negara tersebut. Hanya selepas tahun 1960-an barulah muncul peserta-peserta dari tiga bahagian dunia ini yang mampu menandingi dan memberi saingan, walaupun potensi mereka masih belum mampu menggugat potensi ahli-ahli olahraga dari Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada. Bagaimanapun, kini semakin ramai olahragawan dari ketiga-tiga rantau Afrika, Amerika Selatan dan Asia yang telah menunjukkan prestasi yang baik dan memenangi beberapa acara sejak kebelakangan ini. Ini menjadikan pertandingan olahraga, khususnya menerusi Sukan Olimpik semakin mencabar dan menarik. Kebanyakan negara mula menubuhkan persatuan olahraga masing-masing setelah beberapa tahun olahraga diperkenalkan di negara mereka. Persatuan-persatuan ini bertujuan menjadi badan penyelaras kepada setiap aktiviti dan kejohanan yang diadakan serta yang disertai negara berkenaan. Persatuan ini juga bertindak sebagai badan yang bertanggungjawab ke atas perkembangan dan kemajuan olahraga di negara masing-masing. Negara kita juga tidak ketinggalan menubuhkan persatuan olahraga sendiri sejak tahun 1926 lagi. Dengan adanya persatuan-persatuan olahraga ini telah memberi kesempatan dan peluang kepada peserta-peserta dari pelbagai negara mengambil bahagian dalam kejohanan dan perjumpaan olahraga yang dianjurkan oleh mana-mana persatuan yang bergabung dengan Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) atau anjuran badan dunia itu sendiri.

SUKAN OLIMPIK : PERJUMPAAN SUKAN YANG TERBESAR DI DUNIA Jika ditanya apa perjumpaan sukan yang terbesar di dunia, tanpa ragu-ragu kita sudah dapat memberi jawapannya. Dengan penglibatan lebih daripada 10 000 orang peserta merangkumi seluruh negara di dalam IAAF serta berpuluh-puluh ribu pegawai dan petugas, sememangnya Sukan Olimpik kini merupakan perjumpaan sukan yang terbesar di dunia. Malah sejak pertama kali diadakan hingga kini, Sukan Olompik berjaya menarik minat dan tumpuan seluruh masyarakat dunia tanpa mengira agama, warna kulit dan perbezaan corak hidup. Inilah keunikan sukan ini. Sebenarnya Sukan Olimpik bermula sejak zaman Greek Kuno lagi. Namun seperti yang dinyatakan pada awal bab ini, sukan yang diadakan ketika itu amat berlainan dari segi corak dan formatnya. Apabila Sukan Olimpik diadakan buat kali pertama pada tahun 1896 di Greek, ramai yang mengalu-alukannya. Sukan olahraga merupakan acara utama dan wajib dalam sukan ini sehingga terdapat lebih daripada 30 acara yang dimasukkan dalam senarai acara Sukan Olimpik, tetapi olahraga masih menduduki tempat teratas dari segi keutamaannya. Sekiranya sukan itu diadakan tanpa acara olahraga, sudah tentu suasana tidak semeriah yang dapat kita lihat sekarang. Sukan ini diadakan empat tahun sekali, dan diadakan di pelbagai negara dunia mengikut kemampuan dan persetujuan negara berkenaan menjadi penganjur. Pengaruh Sukan Olimpik terus menular ke merata dunia dengan olahraga terus menjadi acara utama. Kali terakhir sukan ini diadakan ialah pada tahun 1992 di Barcelona Sepanyol, dengan penyertaan 135 buah negara, termasuk Malaysia. Sukan Olimpik berikutnya akan diadakan pada tahun 1996. Motto atau cogan katanya berbunyi : Citius, Altius, Fortius (Swifter, Higher, Stronger) jelas menunjukkan bahawa sukan olahragalah menjadi tunjang kepada cogan kata ini. Ini ditambah lagi dengan kenyataan yang turut dijadikan cogan kata Sukan Olimpik, iaitu : Perkara yang lebih penting dalam sukan bukanlah kemenangan, tetapi mengambil bahagian. Ini seolah-olah memberi dorongan kepada negaranegara kecil untuk turut serta dan telah mengakui bahawa kemenangan bukanlah harapan atau cita-cita negara mereka.

MALAYSIA DAN SUKAN OLIMPIK Berbicara tentang Sukan Olimpik, tentu ada antara kita yang tertanya-tanya bila negara kita mula mengambil bahagian dan pernah kita memenangi sebarang pingat sepanjang penyertaan kita. Negara kita mula mengambil bahagian dalam sukan ini pada tahun 1956, iaitu ketika sukan itu diadakan di Melbourne, Australia. Pada penyertaan kali pertama itu kita mengambil bahagian dalam acara hoki, olahraga, renang dan angkat berat. Sejak itu, negara kita tidak pernah gagal mengambil bahagian, kecuali pada tahun 1980 sebagai menyokong pemulauan terhadap pencerobohan penganjur, Rusia ke atas Afghanistan ketika itu. Sepanjang penyertaan negara kita dalam sukan terbesar di dunia itu, cuma satu pingat gangsa yang mampu kita menangi, iaitu menerusi acara badminton pada tahun 1992, yang pertama kali memasukkan badminton sebagai salah satu acara. Dalam acara atau sukan lain, kita masih belum mampu memenangi sebarang pingat. Semangat Olimpik, pengalaman dan persahabatan, serta perasaan ingin turut serta merupakan beberapa faktor penyertaan kita, dan mungkin sebilangan besar negara lain. Sukan olahraga telah berjaya meletakkan Sukan Olimpik ke tahap yang tinggi sehingga mampu menjadi daya tarikan utama peminat dan peserta dunia. Di samping itu Sukan Olimpik juga berperanan melupakan sejenak sebarang masalah dan krisis yang timbul. Secara tidak langsung sukan ini berjaya meyelesaikan sebarang pertikaian antarabangsa.

PERSATUAN DAN ORGANISASI OLAHRAGA Seperti kebanyakan sukan dunia, cara paling baik dan berkesan untuk mengembang dan menyelaraskan segala aktiviti dan perjumpaan sukan termasuk olahraga ialah menerusi persatuan. Oleh itu adalah penting ditubuhkan persatuan-persatuan sukan mengikut peringkat tertentu. Bagi olahraga, badan atau pertubuhan tertinggi untuk tujuan ini ialah Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) yang ditubuhkan pada tahun 1912. Keahlian badan ini terdiri daripada persatuan-persatuan olahraga peringkat nasional negara masing-masing. Setiap negara boleh bergabung dalam persekutuan ini. Negara kita menerusi Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) turut menganggotai badan ini. Dengan adanya IAAF, sebarang kejohanan dan perjumpaan sukan olahraga diperingkat antarabangsa hendaklah terdapat kebenaran dan pengiktirafan IAAF ataupun dianjurkan sendiri oleh badan berkenaan. Badan ini juga bertanggungjawab dalam menyelesaikan sebarang masalah atau pertikaian yang mungkin timbul dikalangan negaranegara atau persatuan-persatuan gabungannya. Umpamanya, dalam menganjurkan perjumpaan sukan utama seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan sebagainya, badan berkenaan harus mendapat persetujuan dalam Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan IAAF. Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) juga berperanan mengeluarkan segala undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan sukan olahraga untuk dipatuhi oleh semua negara anggota. Begitu juga dengan rekod-rekod pencapaian yang dicipta oleh setiap peserta, tidak kira dimana asalkan mendapat kelulusan IAAF, dicatat dan dikemaskinikan oleh badan ini pada setiap masa. Ringkasannya, IAAF sememangnya berperanan dalam semua hal yang berkaitan dengan sukan olahraga diperingkat dunia.

OLAHRAGA SEBAGAI SUKAN Tiga kemahiran utama manusia sejak bertahun-tahun, iaitu berlari, melompat dan melontar sememangnya memerlukan asas kepada setiap pergerakan dan aktiviti lain yang mampu dilakukan oleh manusia. Seseorang itu sama ada lelaki ataupun perempuan, tua atau muda, bekerja sebagai buruh atau pegawai, asal sahaja sihat tubuh badan, mereka pernah dan akan melakukan ketiga-tiga aktiviti ini baik secara sedar mahupun tidak. Daripada pergerakan inilah muncul suatu bidang sukan yang amat diminati sehingga sekarang, ataupun olahraga. Sebagai sukan yang dipertandingkan, sudah tentu aktiviti ini diubah suai dan diperkemaskan dari semasa ke semasa mengikut kehendak dan aturan yang ditetapkan. Begitu juga dengan cabang daripada olahraga juga turut dicipta dan diperbaiki untuk lebih menarik dan sesuai dipertandingkan. Yang nyata kini ialah daripada perlakuan memenuhi riadah atau rekreasi lama kelamaan menjadi acara sukan yang diminati sehingga menjadi bidang pertandingan yang menarik walaupun sengit. Tidak dapat dinafikan banyak lagi kebaikan yang menyebabkan orang ramai berlumba-lumba menceburi sukan ini, dari peringkat yang paling rendah seperti di sekolah rendah, sehinggalah ke peringkat yang paling tinggi seperti Sukan Olimpik. Sukan khususnya olahraga mampu menjadi penyumbang utama ke arah perkembangan tingkah laku manusia serta peribadi seseorang. Sifat-sifat seperti bersemangat kental, keazaman yang kuat, berdisiplin tinggi, keinginan untuk berjaya, semangat berpasukan, bertimbangrasa dan bertolak ansur, tolongmenolong, menenangkan fikiran, bersaingan dan sebagainya adalah antara ciri-ciri yang membantu perkembangan mental, fizikal dan fikiran serta peribadi seseorang yang melibatkan diri dalam sukan ini. Ini diperolehi bukan sahaja oleh mereka yang menjadi peserta, tetapi merangkumi pegawai, jurulatih, pengajar, pembantu, malahan penonton amnya. Sebagai sukan, olahraga mempunyai sejarah yang paling tua. Seperti yang dinyatakan pada bab terdahulu, manusia sudah mula melakukan aktiviti berlari, melompat dan melontar sejak zaman kuno lagi. Sukan Olimpik Kuno yang membuktikan bahawa aktiviti yang manusia lakukan itu kemudiannya dijadikan sukan yang dipertandingkan sehingga menjadi persaingan menarik dan diminati ramai. Kini ramai anak muda dan remaja yang telah menceburkan diri dalam olahraga. Ada yang mengambil bahagian di peringkat sekolah. Ada

juga yang telah mewakili daerah, negeri dan tidak kurang pula yamg berjaya mewakili negara. Pertandingan dan perjumpaan olahraga dianjurkan di pelbagai peringkat. Pelbagai acara diadakan sama ada untuk lelaki ataupun perempuan. Daripada pertandingan yang dijalankan, para pemenang akan diberi hadiah yang menarik. Kepuasan mencipta rekod baharu dari setiap peringkat sehingga kemuncak menerusi Sukan Olimpik atau kejohanan dunia menyebabkan peserta olahraga terpaksa berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai impian tersebut. Oleh yang demikian, kita dapat lihat dalam setiap perjumpaan olahraga ada sahaja rekod baharu yang dicipta mengatasi yang lama.

SIFAT-SIFAT OLAHRAGAWAN Seseorang yang mengambil bahagian dalam olahraga disebut atlit bagi lelaki dan olahragawati bagi perempuan. Seseorang olahragawan atau olahragawati mungkin terdiri daripada peserta yang mengambil bahagian sebagai amatur dan mungkin juga bertaraf professional, yakni mereka dibayar gaji atau ganjaran tertentu untuk mengambil bahagian. Kini ramai juga olahragawan dan olahragawati terutamanya di barat yang dikategorikan sebagai profesional. Malah ada di antara mereka yang telah menjadi jutawan. Adakah setiap orang boleh mengambil bahagian dalam sukan olahraga? Dan apakah acara yang sesuai untuk disertai? Disebabkan terdapat banyak acara dalam sukan olahraga, seseorang atlit bebas memilih acara yang paling sesuai baginya berdasarkan keupayaan dan kebolehan sendiri. Adalah tidak mungkin seorang olahragawan mampu mengambil bahagian dalam semua atau sejumlah besar acara, padahal ia hanya berupaya dalam satu dua acara tertentu sahaja. Ada pula atlit yang terpaksa membuat pilihan walaupun dia mampu mencapai prestasi yang baik dalam sebilangan besar acara. Sebagai atlit, seseorang itu mempunyai beberapa ciri yang tertentu yang diharapkan mampu membawa kejayaan kepadanya. Penentuan penyertaan dalam sesuatu acara itu walaupun bergantung kepada diri individu itu, juga bergantung kepada kebijaksanaan jurulatih atau guru pengawas. Antara ciri-ciri itu adalah seperti berikut : 1. Berdisiplin tinggi Setiap atlit seharusnya mempunyai disiplin yang tinggi, sama ada semasa mengikuti latihan ataupun pertandingan. Arahan jurulatih dan guru pengawas hendaklah dipatuhi. Begitu juga segala peraturan dan undang-undang hendaklah dipatuhi. 2. Semangat untuk bertanding Setiap atlit harus mempunyai semangat yang tinggi untuk bertanding dan seterusnya mencapai kejayaan. Semua ini hanya akan tercapai menerusi latihan dan tunjuk ajar jurulatih.

3.

Berperibadi mulia dan dihormati Olahragawan dan ahli-ahli sukan sering menjadi perhatian dan ikutan orang ramai. Oleh itu mereka harus menunjukkan peribadi dan mempamerkan gerak geri yang terbatas serta tidak terkeluar daripada etika kemasyarakatan, keagamaan dan kehendak negara.

4.

Mempunyai semangat berpasukan Sebagai atlit mereka juga diharapkan mempunyai semangat berpasukan dan bekerjasama serta bertanggungjawab terhadap pasukan yang mereka wakili, terutama jika penyertaan mereka menerusi acara berpasukan.

5.

Bersemangat tinggi dan tidak mudah menyerah kalah Matlamat utama seseorang mengambil bahagian dalam olahraga adalah untuk mencapai kejayaan serta mempamerkan prestasi yang terbaik menandingi pihak lawan. Di sini mereka dikehendaki mempunyai semangat juang yang tinggi tanpa mudah mengaku kalah. Walaupun mereka tidak mencapai kejayaan, tetapi mereka tetap berusaha mempamerkan persembahan terbaik sedaya mungkin.

6.

Penyabar dan bertimbang rasa Atlit haruslah mempunyai sifat sabar dan bertimbang rasa khususnya dalam hal yang melibatkan pungutan mata, lebih-lebih lagi jika dia gagal dalam kejohanan itu. Di samping itu banyak lagi contoh teladan yang baik yang menjadi ciri-ciri olahragawan. Walaupun ada kalanya terdapat berita yang tidak disenangi daripada olahragawan, keseluruhannya mereka mempunyai ciri-ciri yang menjadi ikutan masyarakat umum. Mereka juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dan mengamalkan sifat serta sikap yang dapat membantu meningkatkan prestasi mereka. Tidak dapat dinafikan mereka sering dijadikan teladan oleh mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Segala yang baik daripada mereka dijadikan pendorong dan galakan kepada olahragawan yang baru ini.

PENGLIBATAN WANITA DALAM OLAHRAGA Olahraga bukan hanya diceburi kaum lelaki sahaja, kaum wanita juga turut melibatkan diri. Mungkin pada peringkat awal penglibatan kaum wanita dalam olahraga dan sukan amnya mendapat tentangan daripada beberapa pihak tertentu, tetapi lama-kelamaan diakui bahawa penglibatan mereka adalah setanding dengan kaum lelaki, sehinggakan adakalanya pencapaian mereka mengatasi kaum lelaki. Banyak acara olahraga yang disertai lelaki juga menjadi acara untuk wanita. Gaya larian, keupayaan, teknik dan prestasi mereka ada yang menakjubkan. Penglibatan wanita dalam sukan khususnya olahraga tidaklah seawal penglibatan dan mengalami sejarah pahit seperti kaum lelaki. Mengikut sejarah olahragawan, wanita pada mulanya dilarang daripada mengambil bahagian dalam acara sukan. Pelbagai anggapan negatif dilemparkan kepada mereka. Malah mereka juga dilarang menonton kaum lelaki mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Kuno. Ketika olahraga rancak menular ke negara-negara Eropah khususnya England, wanita masih dilarang mengambil bahagian dalam olahraga. Persatuan olahraga juga enggan mengatur serta menganjurkan kejohanan dan perjumpaan olahraga untuk wanita. Bagaimanapun ini tidaklah bermakna tiada pula usaha dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menganjurkan kejohanan untuk wanita. Menyedari penglibatan dan penyertaan wanita juga perlu, maka sebuah persatuan olahraga khusus untuk kaum wanita ditubuhkan. Persatuan ini diberi nama Federation Sportive Feminine Internationale. Tujuan utama penubuhan persatuan ini ialah untuk mencadangkan kepada Majlis Olimpik Antarabangsa supaya penyertaan Sukan Olimpik yang bakal diadakan pada tahun 1924, dibuka juga kepada wanita. Cadangan itu mendapat sambutan yang menggalakkan. Tetapi bukan untuk Sukan Olimpik tahun 1924 seperti yang dicadangkan itu. Sukan Olimpik tahun 1928 akhirnya membuka pintu kepada kaum wanita. Penerimaan wanita dalam sukan yang terbesar di dunia itu telah disambut dengan gembira oleh atlit pelbagai negara yang sudah tentu mahu menunjukkkan pencapaian mereka yang tidak kurang hebatnya daripada kaum lelaki. Sejak itu penyertaan kaum wanita dalam Sukan Olimpik tidak pernah diketepikan. Di samping berjaya mempamerkan persembahan dan prestasi yang bermutu tinggi. mereka juga mampu menarik minat sebahagian besar peminat sukan dunia. Secara tidak langsung penyertaan mereka memeriahkan lagi temasya sukan itu.

Negara kita juga memberi peluang kepada kaum wanita untuk menceburkan diri bukan sahaja dalam sukan olahraga tetapi juga dalam bidang-bidang sukan lain. Prestasi yang mereka pamerkan bukan sahaja tinggi dari segi mutu, tetapi turut menaikkan nama negara dalam sukan antarabangsa, khususnya olahraga. Bagitu juga dengan pelajar-pelajar sekolah, yang turut diberi peluang mengambil bahagian dalam sukan ini sejak dari sekolah rendah lagi. Ini jelas menunjukkan bahawa olahraga khususnya dan sukan amnya adalah milik semua rakyat tidak kira lelaki atau wanita.

PERALATAN UNTUK OLAHRAGA Dahulunya soal peralatan tidak begitu di ambil kira oleh para olahragawan. Mereka memakai kasut biasa, dan ada kalanya berlari berkaki ayam, selain memakai seluar pendek dan baju-T atau singlet. Apabila terciptanya kasut lari (spikes) pada penghujung abad ke-19, spikes terus menjadi peralatan penting para pelari acara pecut sehingga para pelari merasakan spikes adalah suatu yang penting bagi mereka. Umumnya dalam sukan olahraga, terutamanya dalam acara-acara larian, terdapat beberapa peralatan yang diperlukan selain spikes ini. 1. Kasut Kasut atau spikes merupakan peralatan penting para olahragawan bukan sahaja mereka yang mengambil bahagian dalam acara lari pecut, tetapi juga untuk kegunaan dalam acara lain, termasuk acara padang. Walau bagaimanapun, penggunaan kasut ini amat penting malah dimestikan bagi acara olahraga masa kini, terutama untuk acara lari pecut. Jenis kasut bergantung pada keselesaan atlit secara individu. Bagaimanapun biarlah daripada jenis yang ringan. 2. Blok permulaan Blok permulaan (starting block) merupakan sejenis alat yang digunakan untuk membantu para pelari pecut membuat lonjakan yang pantas semasa memulakan larian. Biasanya para pelari tidak diwajibkan menggunakan blok permulaan ini, tetapi bagi kebanyakan pelari blok ini amat diperlukan, termasuk dalam perlumbaan di peringkat sekolah. Pelari boleh meminta nasihat guru pengawas atau jurulatih tentang pemilihan jenis blok permulaan yang sesuai. 3. Pakaian sukan Seperti acara sukan lainnya, para olahragawan juga perlu mengenakan pakaian yang sesuai untuk setiap acara yang mereka sertai. Dalam kebanyakan perjumpaan sukan terbesar dunia, para olahragawan akan memakai singlet yang terdapat nombor peserta, negara atau pasukan yang mereka wakili serta nama penaja yang menganjurkan perjumpaan itu. Bagaimanapun, setiap peserta dibolehkan memakai pakaian yang mereka gemari asalkan dipersetujui oleh negara dan pasukan

mereka. Contohnya dalam Sukan Olimpik yang dapat kita tontoni menerusi kaca televisyen tidak lama dahulu, pelbagai jenis dan bentuk pakaian yang dipakai oleh para olahragawan lelaki dan wanita asalkan pakaian itu selesa dan tidak mengganggu pergerakan dan larian mereka. 4. Peralatan sampingan Setiap olahragawan juga digalakkan mempunyai beg peralatan masing-masing. Mungkin ada di kalangan olahragawan yang menganggap perkara ini sesuatu yang tidak penting, namun sebagai olahragawan, sesuatu yang mempunyai kaitan dengan mereka hendaklah diberi perhatian. Bagi peralatan ini pula harus mengandungi barangan seperti berikut : a. Tuala b. Peralatan kecemasan yang ringan, seperti minyak urut, plaster, aspirin, botol minuman dan sebagainya. c. Seluar pendek dan singlet (sebaik-baiknya dua pasang) d. Kasut jogging dan kasut berlari (spikes) e. Jam randik (stop-watch) atau pita pengukur f. Barangan lain yang difikirkan perlu

ACARA-ACARA OLAHRAGA : BALAPAN Sebelum kita mempelajari prinsip dan teknik sesuatu yang terdapat dalam sukan olahraga, adalah perlu kita ketahui apa acara yang tergolong dalam acara balapan atau trek. Dengan mengetahui acara-acara ini barulah mudah bagi kita mempelajari satu demi satu sebagai panduan kepada mereka yang ingin melibatkan diri dalam mana-mana acara yang mereka ingini. Sukan olahraga merupakan sejenis sukan yang menarik dan amat berlainan daripada sukan-sukan lain. Ini disebabkan dalam olahraga terdapat banyak acara baik untuk lelaki mahupun wanita, dan acara-acara ini sama ada secara perseorangan ataupun berpasukan. Jika dalam sukan bola sepak, hanya satu pingat emas dijadikan rebutan dalam kebanyakkan sukan terbesar dunia seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia atau Sukan SEA, walaupun terdapat sekurang-kurangnya 11 orang pemain dalam sesebuah pasukan. Dalam olahraga setiap acara mempertaruhkan pingat emas. Dengan hanya memenangi satu acara sahaja sudah cukup untuk mendapatkan pingat. Ini bermakna dalam kebanyakan perjumpaan sukan yang dinyatakan, hampir 40 pingat dipertaruhkan bagi acara olahraga. Semua acara dalam olahraga merangkumi aktiviti larian, lompatan dan lontaran. Seorang atlit mungkin berkemampuan dalam satu atau dua aktiviti, tetapi adalah sukar bagi seseorang itu mahir dalam ketiga-tiga acara ini. Kebanyakkan atlit lebih suka mengkhususkan penyertaan dan penglibatan mereka, terutamanya di peringkat antarabangsa. Dengan itu mereka lebih mudah meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa dengan hanya mengambil bahagian dalam satu atau dua acara.

PENGKHUSUSAN Di peringkat sekolah, seseorang murid dibenarkan mengambil bahagian dalam sejumlah tertentu acara yang mereka gemari atau yang mereka kuasai, sama ada daripada kumpulan larian, lompatan atau lontaran. Selain mengambil bahagian dalam acara-acara individu, mereka juga digalakkan mengambil bahagian dalam acara-acara berpasukan seperti lari berganti-ganti. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika kita dapati dalam sesuatu perjumpaan olahraga peringkat sekolah, seseorang murid mampu merangkul banyak pingat menerusi berbagai acara. Bagaimanapun guru pengawas atau jurulatih akan memberi nasihat dan panduan tentang sesuatu acara yang harus disertai atau dikhususkan. Ini disebabkan peringkat yang lebih tinggi, teknik sesuatu acara sukan menjadi lebih rumit. Tidak mungkin seseorang atlit itu mampu meraih kejayaan dalam semua acara yang disertainya. Jadi bagi mengelakkan daripada menemui kegagalan, sudah tentu peserta akan memilih acara yang sesuai baginya yang mampu menjanjikan sesuatu kejayaan. Malah diperingkat antarabangsa sekalipun, dengan hanya mengambil bahagian dalam satu acara tertentu sahaja seseorang olahragawan mampu mencatat nama di peringkat tertinggi, dan mampu dijadikan contoh kepada ol;ahragawean lain di seluruh dunia. Dengan melakukan pengkhususan begini, mereka dapat menumpukan seluruh perhatian kepada setiap aspek latihan yang bakal mereka ikuti. Malah mereka akan mempunyai jurulatih khas mengikut jenis acara yang mereka ceburi. Dengan itu sudah tentu bentuk latihan yang lebih khusus dan merndalam akan mereka ikuti, dan bentuk ini mungkin berbeza mengikut perbezaan acara, walaupun semua mereka akan mengikuti latihan umum secara bersama.

JENIS-JENIS ACARA BALAPAN Pelbagai acara terdapat dalam sukan olahraga, walaupun olahraga merupakan salah satu acara sukan sejak berabad-abad lagi. Perbezaan yang ketara antara olahraga dengan jenis sukan lain ialah bilangan acara yang banyak dan menyebabkan banyak jumlah pingat yang boleh dimenangi menerusi olahraga, berbanding hanya satu pingat dalam sukan bola sepak atau hoki. Secara logiknya, adalah lebih ekonomik dan mudah jika penumpuan diberikan kepada sukan olahraga kalau pungutan pingat dijadiakn ukuran tidak rasmi dalam menentukan keupayaan sesebuah pasukan atau negara. Seperti yang dinyatakan terdahulu, acara-acara olahraga dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu larian, lompatan dan lontaran. Terdapat acara-acara yang dikhaskan untuk lelaki sahaja, dan ada pula acara yang boleh desertai oleh lelaki dan wanita. Setiap acara mempunyai undang-undang dan peraturan tersendiri, yang harus dipatuhi oleh semua peserta. Dengan itu penentuan pertandingan adalah mengikut penyertaan dalam sesuatu acara dan bukan olahraga secara keseluruhannya. Justeru itu pemenang dalam sesuatu acara dipilih daripada kalangan peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu sahaja. Penganjur sesuatu perjumpaan olahraga boleh menentukan jenis atau bilangan acara yang mereka akan pertandingkan. Faktor-faktor seperti bilangan peserta, tingkat keupayaan mereka, kemudahan peralatan, keupayaan pihak penganjur, kewangan, keselamatan, keupayaan pegawai dan kakitangan pengelola dan tempoh pertandingan akan menentukan bilangan dan jenis acara yang akan di pertandingkan dalam sesuatu perjumpaan. Umpamanya di peringkat sekolah, bilangan acara sukan mudah tentu berkurangan daripada jumlah acara untuk sukan-sukan seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan Olimpik. Dalam Sukan Olimpik, walaupun dianggap mempunyai jumlah acara olahraga yang maksimum, tetapi masih belum lengkap sepenuhnya. Biasanya dalam kejohanan balapan dan padang antarabangsa, semua acara olahraga dipertandingkan, termasuk wanita. Senarai lengkap acara-acara olahraga yang sering dipertandingkan di peringkat aanatarabangsa, dan juga kebangsaan adalah seperti berikut :

Kategori 1. Lari jarak dekat (pecut)

Acara 100 meter 200 meter 400 meter

Peserta Lelaki/Wanita Lelaki/ Wanita Lelaki/ Wanita

2. Lari jarak sederhana

800 meter 1500 meter

Lelaki/ Wanita Lelaki/ Wanita Wanita Lelaki/ Wanita Lelaki Lelaki Wanita Lelaki Lelaki/ Wanita Lelaki/ wanita Lelaki/ wanita Lelaki/ Wanita

3. Lari jarak jauh

3000 meter 5000 meter 10 000 meter

4. Lari berhalangan 5. Lari berpagar

3000 meter 100 meter 110 meter 400 meter

6. Lari berganti-ganti

4 x 100 meter 4 x 400 meter

7. Marathon 8. Heptathlon 9. Dekathlon 10. Berjalan kaki 7 acara 10 acara 5000 meter 10 000 meter 20 000 meter 50 000 meter

Wanita Lelaki Wanita Lelaki/ Wanita Lelaki

ACARA-ACARA KHAS Selain acara-acara yang dinyatakan, terdapat beberapa acara lain lagi yang juga turut dipertandingkan sebagai acara olahraga. Oleh sebab ciri-ciri acara ini agak berbeza dan tersendiri, agak sukar untuk di kategorikan sebagai acara balapan, atau acara padang. Umpamanya, acara dekathlon dan heptathlon yang merupakan gabungan ketiga-tiga kumpulan cara tersebut, mungkin juga boleh dikategorikan sebagai balapan dan juga padang. Begitu juga dengan acara marathon dan lumba jalan kaki. Satu lagi acara yang sering diadakan di peringkat sekolah dan mendapat sambutan yang menggalakkan ialah tarik tali tetapi di kebanyakan perjumpaan olahraga dunia, acara ini tidak diadakan. Di negara kita pertandingan tarik tali lebih merupakan salah satu acara dalam sukaneka yang dianggap sebagai sukan sambil bergembira dan bukan pertandingan. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu ada pihak yang menganjurkan pertandingan tarik tali secara khusus, dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Marathon Acara marathon juga merupakan acara olahraga yang disertai oleh lelaki dan perempuan. Marathon juga sering diadakan dalam perjumpaan olahraga utama duania, walaupun di negara kita, khususnya di peringkat sekolah tidak diadakan. Marathon adalah acara lari hjarak jauh sejauh 26 batu 385 ela diadakan sejak Sukan Olimpik Kuno lagi. Mengikut sejarah, acara ini adalah sempena sejarah Greek Kuno sebagai lambang pembawa berita yang berlari sejauh 26 batu 385 ela sebelum dia meninggal dunia disebabkan keletihan. Acara marathon diadakan diluar kawasan balapan, menggunakan jalan raya biasa. Hanya permulaan dan akhir acara sahaja diadakan di dalam balapan. Disebabkan jarak yang amat jauh, kebanyakkan penganjur olahraga mengetepikan acara marathon daripada senarai acara mereka untuk acara ini disamping diadakan secara berasingan. Adakalanya juga diadakan pada jarak yang lebih dekat dan dinamakan marathon mini.

Lumba Jalan Kaki Dilihat pada nama acara Lumba Jalan Kaki adalah sejenis acara berjalan laju yang mungkin juga merupakan gabungan antara aktiviti berjalan dan berlari. Di perinkat sekolah acara ini tidak diadakan kecuali dalam perjumpaan sukan olahraga dewasa sahaja. Terdapat beberapa jarak yang di pertandingkan, khusus untuk lelaki ataupun perempuan. Biasanya lumba jalan kaki diadakan berasingan, bersempena sesuatu peristiwa atau hari-hari perayaan. Pekara penting dalam lumba jalan kaki ialah jarak serta kekerapan membuat langkahan. Kelenturan pergerakan badan dan gabungan ayunan tangan dapat meningkatkan kelajuan. Peserta tidak dibenarkan berlari dalam acara ini. Disebabkan kelajuan langkahan yang ditunjukan oleh para peserta, penonton seolah-olah beranggapan mereka berlari anak ,tetapi sebenarnya tidak.

Dekathlon Dekathlon adalahn gabungan 10 acara yang merangkumi larian, lompatan dan lontaran. Semua acara ini dijalankan sepanjang 2 hari, dan dikhaskan untuk lelaki sahaja. Susunan pertandingan acara adalah seperti berikut : Hari pertama 100 meter Lompat jauh Lontar peluru Lompat tinggi 400 meter Hari kedua 110 meter lari berpagar Lempar cakera Lompat bergalah Rejam lembing 1500 meter

Atlit yang menjuarai acara ini sering dianggap sebagi atlit yang paling lengkap. Peserta yang mengambil bahagian harus mengabungkan kelajuan, kekuatan, kelenturan, keazaman serta semangat kesukanan yang tinggi. Mereka juga harus mampu mengekalkan prestasi yang tinggi sepanjang 2 hari acara itu diadakan. Untuk memenangi acara ini secara keseluruhannya, peserta perlu mengambil bahagian dalam semua acara. Setiap pencapaian

dalam sesuatu acara diberikan mata mengikut ketetapan yang digariskan oleh Persatuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF). Peserta yang menunjukkan prestasi yang tinggi sudah tentu memperoleh mata yang tinggi. Mata yang dipungut oleh para peserta dalam kesemua 10 acara itu dijumlahkan dan peserta yang memungut mata tertinggi dikira sebagai pemenang. Acara Dekathlon ini dipercayai bermula pada akhir abad ke-19 ketika itu terdapat 10 acara yang digabungkan, tetapi tempoh pertandingan hanya dalam sehari sahaja. Dekathlon pertama kali disenaraikan sebagai acara Sukan Olimpik pada tahun 1012 ketika sukan itu diadakan di Stockholm. Ketika itu semua acara ini dijalankan dalam masa tiga hari. Bagaimanapun, kini acara tersebut diadakan dalam tempoh 2 hari sahaja bagi mengelakkan peserta daripada kemungkinan menjadi bosan dan membebankan. Kini dekathlon merupakan acara tetap dalam setiap perjumpaan olahraga utama dunia. Heptathlon Heptathlon merupakan gabungan tujuh acara yang dikhususkan untuk wanita sahaja. Untuk menguji kemampuan para peserta menerusi gabungan ketiga-tiga acara olahraga. Acara heptathlon juga diadakan dalam tempoh dua hari. Acara-acara yang terdapat dalam acara heptathlon ini mengikut susunannya adalah seperti berikut : HARI PERTAMA 100 meter lari berpagar Lompat tinggi Lontar peluru 200 meter Rejam lembing 800 meter HARI KEDUA Lompat jauh

Seperti dekathlon, pemenang dalam acara heptathlon ditentukan menerusi jumlah keseluruhan mata yang dipungut dalam semua acara yang dipertandingkan. Peserta yang berjaya memungut mata terbanyak dikira pemenang. Hanya pemenang keseluruhan diberi hadiah dan bukan pemenang untuk setiap acara yang dipertandingkan. Pemenang acara ini dianggap sebagai juara keseluruhan bahagian wanita.

BALAPAN UNTUK OLAHRAGA Pihak penganjur sukan hendaklah memastikan supaya semua acara yang akan dipertandingkan dalam sesuatu perjumpaan olahraga dapat dijalankan dengan baik dan sempurna. Persediaan awal yang merangkumi peralatan dan kemudahan untuk setiap acara hendaklah diberi perhatian. Salah satu kemudahan yang utama ialah balapan yang bakal diadakan dalam perjumpaan itu. Biasanya balapan diadakan di padang besar seperti stadium bola. Di negara kita boleh dikatakan di setiap stadium disediakan balapan mengelilingi padang bola. Ini memudahkan mana-mana pihak untuk menganjurkan sesuatu kejohanan atau perjumpaan olahraga. Biasanya balapan yang mengandungi lapan lorong disediakan. Balapan diperbuat daripada bitumen dan ada pula daripada tartan. Setiap lorong balapan sejauh 400 meter. Di sekolah atau daerah, kebanyakan balapan dibuat apabila perjumpaan olahraga diadakan. Begitu juga dengan kemudahan untuk acara-acara padang. Bahagian atau kawasan tertentu di dalam padang dikhaskan bagi semua acara padang. Setiap pihak penganjur akan berusaha mengadakan kemudahan ini sebaik mungkin mengikut kesesuaian atau peringkat perjumpaan itu.