Anda di halaman 1dari 11

1.

0 PENGENALAN

Tingkahlaku bermaksud sebarang aksi murid yang dianggap oleh guru sebagai disruptif yang boleh mengganggu dan menghalang kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Menurut Raymond G.Miltenberger (2001), tingkahlaku adalah sesuatu yang dilakukan, merupakan cara untuk bertindak dan bagaimana tindak balas seseorang terhadap persekitarannya. Dengan ini, tingkahlaku adalah semua tindakan fizikal dan mental yang dilakukan oleh manusia yang merangkumi tingkahlaku sama ada baik atau buruk, betul atau salah, berguna atau tidak dan produktif atau membazir. Manakala, masalah tingkahlaku pula didefinasikan sebagai perlakuan yang dimanifestasikan secara konsisten dalam jangka masa lama yang memberi kesan kepada pembelajaran murid dan menghalang mereka untuk terlibat secara aktif di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Jenis-jenis masalah tingkahlaku terbahagi kepada tiga iaitu.... Bagi menyiapkan tugasan ini, saya telah memilih dua buah artikel jurnal berbahasa inggeris yang mempunyai kaitan dengan pengubahsuaian tingkah laku kanak-kanak. Artikel pertama bertajuk "The effects of token economy system to improve social and academic behavior with a rural primary aged child with disabilities". Artikel ini ditulis oleh Anna Klimas bersama-sama dengan T.F. McLaughlin dari Universiti Gonzaga. Artikel ini juga telah diterbitkan di dalam International Journal of Special Education volume 22, nombor 3 pada tahun 2007. Manakala artikel kedua pula bertajuk "Evaluating the social behavior of preschool of children with autism in an inclusive playground setting". Artikel ini pula merupakan kajian kerjasama yang dijalankan oleh dua universiti iaitu telah ditulis oleh Anibal Gutierrez Jr. dan Melissa N. Hale dari Universiti of Miami bersama-sama Krista Gossens-Archuleta dan Victoria Sobrino-Sanchez yang merupakan pengkaji dari Universiti Nova Southeastern. Artikel ini juga telah diterbitkan di dalam International Journal of Special Education, volume 22 nombor 3, juga pada tahun 2007. Kedua-dua artikel ini menceritakan kajian yang telah mereka lakukan terhadap murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran.

2.0 LAPORAN JURNAL

Bahagian ini akan menerangkan konsep dan penyelidikan yang dijalankan oleh pengkaji di dalam kedua-dua artikel tersebut.

Jurnal 1 : The Effects of a Token Economy System to Improve Social and Academic Behaviour with a Rural Primary Aged Child With Disabilities. Secara keseluruhan, pengkaji di dalam jurnal ini ingin melihat kesan pemberian token ekonomi terhadap perubahan tingkah laku kanak-kanak khas. Pengkaji di dalam artikel ini akan menumpukan kepada tiga perkara di dalam kajian mereka iaitu, masa murid pendidikan khas tersebut menyiapkan tugasan mereka, bilangan tugasan yang berjaya mereka siapkan dan juga frekuensi jumlah masalah tingkah laku yang terjadi di antara masa tugasan tersebut disiapkan oleh murid pendidikan khas tersebut. a) Objektif kajian

Objektif kajian pengkaji di dalam artikel ini adalah untuk meningkatkan lagi penyempurnaan tugasan murid-murid pra-sekolah pendidikan khas dengan mengurangkan tingkah laku yang tidak sesuai (masalah tingkah laku) yang terjadi di dalam kelas. b) Persoalan kajian

Sistem pemberian token telah menunjukkan keberkesanannya merentasi pelbagai peringkat gred, populasi sekolah dan tingkah laku akademik dan sosial murid. Keadaan ini dibuktikan melalui kajian-kajian yang telah dilakukan oleh Kazdin (1977), McLaughlin dan RL Williams (1988), O'Leary dan Drabman (1971), S.G.O'leary dan K.D.O'Leary (1977) serta kajian yang telah dilakukan oleh B.F Williams, R.L Williams dan McLaughlin (1988). Sistem-sistem token ini telah banyak dikaji oleh pengkaji dan diguna pakai di sekolah seterusnya (Swain dan McLaughlin, 1998). Walau bagaimanapun, dengan hasil

mengagumkan melalui pemberian token kepada kanak-kanak khas, namun timbul pula kontroversi berkaitan program pemberian token ini di dalam pendidikan. Hal ini kerana terdapat pandangan yang mengatakan bahawa pemberian ganjaran seperti token ini akan mengurangkan juga tingkah laku sesuai di dalam bilik darjah (Lepper dan Greene, 1978). Pemberian ganjaran token ekonomi ini juga dilihat sebagai salah satu bentuk rasuah kepada murid (Kohn, 1999). c) Kaedah kajian/ Instrumen kajian

Pengkaji telah memilih seorang peserta yang bersesuaian untuknya melakukan kajian ini. Peserta tersebut merupakan murid berusia 6 tahun yang mendaftar di gred 3 sebuah tadika. Masalah tingkah laku murid ini adalah dengan sentiasa berjalan di dalam bilik darjah, menjerit, enggan melakukan kerja, tidak mahu menjawab soalan atau menyertai sesi pembelajaran, memukul, menendang dan memanjat di atas perabot. Murid ini juga senang dipengaruhi oleh tingkah laku rakannya yang tidak sesuai. Bagi menjalankan kajian ini, pengkaji akan melihat kepada kelas murid ini. Kelasnya mempunyai 9 orang murid pendidikan khas lain dan akan diajar oleh seorang guru yang bertauliah. Masa ujikaji dijalankan adalah dari jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi. Tugasan dan arahan yang akan diberikan kepada murid nanti akan dibuat dengan jelas supaya murid dapat menyiapkan tugasan mereka dengan sempurna. Prosedur pengukuran yang akan digunakan pula adalah dengan memberikan penilaian terhadap masa tugasan murid tersebut disiapkan. Masa yang diberikan adalah dalam 30 minit. Masalah tingkah laku murid yang terjadi di dalam tempoh tersebut akan direkodkan. Masalah-masalah tersebut termasuklah seperti menjerit, tidak mahu melakukan tugasan dan sebagainya. Kaedah merekodkan perjalanan pembelajaran telah digunakan untuk mengumpul data. Pengkaji akan merekodkan perjalanan kajian ini dan terdapat tiga perkara yang akan dilakukan oleh pengkaji di dalam ujikaji ini. Pertamanya adalah dengan mendapatkan data baseline kajian. Kedua adalah melakukan intervensi A iaitu kajian melibatkan pemberian 3 token ekonomi. Terakhir adalah dengan melakukan intervensi B iaitu kajian yang melibatkan pemberian 5 token ekonomi pula. Setiap kajian yang berlangsung akan mengambil masa 30 minit.

Ketika pengumpulan data baseline kajian dijalankan, murid tersebut akan diminta untuk menyiapkan 3 tugasan. Guru akan memberikan arahan kepada murid tersebut tentang bagaimana tugasannya perlu disiapkan. Sistem tiket akan dipamirkan di dalam kelas. Jika murid enggan untuk melakukan kerja atau mengikut arahan, murid dikehendaki menarik 1 tiket yang akan mengakibatkannya mengalami kerugian keistimewaan yang sepatutnya diperoleh olehnya pada hujung minggu apabila tiga tiket telah ditarik dalam sehari. Murid akan melakukan kerjanya di dalam tempoh 30 minit atau sehingga dia menyudahkan ketigatiga aktiviti tersebut. Semasa fasa kedua kajian ini dijalankan (sistem tiga token/intervensi A), murid sekali lagi diminta untuk menyiapkan tiga tugasan selepas arahan diberikan di dalam kelas. Selepas murid menyiapakan tugasan yang diberikan, guru akan memeriksa tugasan tersebut dan akan membenarkan murid meletakkan cip poker ke papan tanda Velcro. Selepas murid memperolehi 3 cip, murid tersebut akan boleh memilih aktiviti yang disukainya untuk dibuat dalam waktu rehat 5 minit. Seterusnya papan tanda baru akan dikeluarkan dan murid akan berkerja lagi sehinggalah dia mendapat rehat yang lain. langkah ini akan diulangi sehingga tempoh 30 minit itu berakhir. Fasa ketiga kajian ini pula (sistem lima token/intervensi B), murid juga diminta untuk menyiapkan tugasan. Tetapi untuk kali ini, tugasannya telah ditambah menjadi lima tugasan. Gerak kerja untuk fasa ini masih lagi sama dengan fasa dua, cuma ditambah lagi dengan 2 tugasan. Kesemua tugasan ini juga perlu disiapkan oleh murid tersebut di dalam tempoh 30 minit. d) Keputusan kajian

Berdasarkan graf perbandingan (sila rujuk jurnal) yang dihasilkan melalui data yang direkodkan, hasil keseluruhan kajian menunjukkan penurunan dalam jumlah masa yang diperlukan oleh murid tersebut untuk menyiapkan tugasannya. Selain daripada itu, hasil kajian juga menunjukkan yang terdapat penurunan dalam kekerapan berlakunya masalah tingkah laku yang tidak diingini di dalam bilik darjah.

e)

Implikasi kajian

Implikasi daripada kajian ini adalah, ia boleh diaplikasikan oleh guru-guru pra-pendidikan khas di dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Melalui kajian ini juga terbukti bahawa sistem ganjaran token ini boleh juga dipraktikkan penggunaannya kepada muridmurid pendidikan khas pra sekolah. Implikasi penggunaan sistem token ke atas populasi kajian juga amat memberangsangkan. Selain itu, kaedah mengumpul data dengan cara merekod data ke dalam jadual juga memudahkan guru untuk menilai perubahan tingkah laku murid.

Jurnal 2 : Evaluating The Social Behavior Of Preschool Of Children With Autism In An Inclusive Playground Setting. Memasukkan kanak-kanak dengan masalah autisme bersama-sama rakan-rakan tipikal lain di dalam persekitaran sekolah biasa dilakukan untuk mewujudkan peluang bersosial dan pengalaman bersosial kepada kanak-kanak dengan autisme. Walau bagaimanapun, terdapat hanya sedikit penyelidikan yang menunjukkan terjadinya interaksi secara semulajadi di antara kanak-kanak dengan autisme dan kanak-kanak tipikal yang lain. Teknik pengubahsuaian tingkah laku yang dijalankan oleh pengkaji adalah dengan memanipulasi peristiwa dalam persekitaran iaitu dengan menempatkan kanak-kanak autisme yang terlibat dalam kajian ke dalam sesuatu tempat yang menempatkan individu lain untuk mewujudkan perubahan tingkah laku yang dikehendaki. Keadaan ini bermaksud, persekitaran yang semulajadi diharap dapat membantu murid yang dikaji agar bertingkah laku seperti yang diharapkan. a) Objektif kajian

Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji tingkah laku interaksi kanak-kanak autisme yang berlaku secara semulajadi apabila ditempatkan di taman permainan yang sama bersama-sama dengan kanak-kanak tipikal yang lain.

b)

Persoalan kajian

Walaupun terdapat penyelidikan berkaitan campur tangan yang direka untuk meningkatkan pengalaman sosial murid autisme namun, kurang diketahui tentang keberkesanan prosedur yang digunakan jika diaplikasikan ke atas persekitaran yang berbeza selain dari bilik darjah. Sehingga kini, hanya terdapat maklumat yang terhad menunjukkan manfaat campur tangan yang sistematik ke atas murid autisme untuk mewujudkan tingkah laku bersosial yang positif. Penyelidikan menunjukkan yang murid autisme yang diletakkan di dalam sesuatu suasana ketetapan baru menunjukkan tingkah laku yang kurang berbanding apabila tidak dimasukkan ke dalam ketetapan baru (McGee, 1993). Myles, Simpson, Ormsbee dan Erikson (1993), pula menyatakan apabila diletakkan di dalam persekitaran yang inklusif, murid dengan masalah autisme kurang menerima arahan terus daripada guru berbanding jika tidak diinklusifkan. Menurut Koegel (2001), berhubung dengan tingkah laku kanak-kanak autisme ketika diletakkan di dalam persekitaran inklusif, mendedahkan beberapa tingkahlaku sosial yang terjadi. Contohnya, didapati kanak-kanak dengan autisme jarang berinteraksi dengan rakan-rakan mereka apabila diletakkan di dalam persekitaran yang inklusif. Secara keseluruhan, terdapat keperluan untuk memeriksa pengalaman sosial murid dengan autisme dengan kepelbagaian prosedur untuk membentuk tingkah laku yang diingini iaitu meningkatkan interaksi sosial kanak-kanak autisme. c) Kaedah kajian/Instrumen kajian

Tiga kanak-kanak autisme prasekolah telah dipilih untuk mengambil bahagian di dalam ujikaji ini. Kesemua kanak-kanak ini telah menghadiri perkhidmatan persekolahan eksklusif bagi kanak-kanak dengan masalah autisme. Dua daripada murid tersebut mempunyai tingkah laku yang stereotaip dan echolalia, serta hanya menggunakan satu perkataan untuk berkomunikasi. Murid ke-3 pula menggunakan 3 frasa perkataan tetapi jarang ditunjukkan secara spontan. Guru-guru dan staf sekolah akan dimaklumkan tentang kajian ini yang akan mengambil tempat di taman permainan sekolah. Sebelum kajian dijalankan juga, pengkaji memastikan ibubapa ketiga-tiga murid autisme itu telah bersetuju untuk membenarkan anak mereka mengambil bahagian di dalam kajian ini.

Pemerhatian telah dijalankan di padang permainan sekolah semasa peserta kajian dijadualkan secara tetap untuk berada di taman permainan. Peralatan yang terdapat di taman permainan tersebut, seperti papan gelongsor, jongkang-jongkit dan bahan-bahan seperti basikal roda tiga dan kotak pasir boleh diakses oleh murid-murid autisme ini dalam tempoh pemerhatian. Pemerhati akan mencatatkan data semasa 10 minit pemerhatian menggunakan jam randik dan lembaran kertas data. Pada waktu permainan dua kelas prasekolah yang biasa akan sama-sama berkongsi taman permainan itu. Salah satu daripada kelas itu adalah kanak-kanak yang telah mendapat pendidikan berkaitan autisme. Manakala, kelas kedua pula merupakan kelas dari sekolah berhampiran yang tidak mendapat pendedahan berkaitan kanak-kanak autisme. Ketika kajian, 10-15 murid biasa akan diletakkan di taman permainan itu bersama-sama dengan murid autisme. Pemerhatian telah dijalankan sekali sehari, 5 hari seminggu selama 4 minggu untuk setiap kanak-kanak itu, dengan jumlah 10 pemerhatian seorang. Pemerhati akan memerhati dari kawasan yang tidak mengganggu murid autisme tersebut dan data kelakuan murid autisme itu ditulis bagi setiap 10 minit cerapan. Penyelidik tidak akan berinteraksi langsung dengan murid kajian atau kakitangan bilik darjah tersebut. Guru yang terlibat dalam kajian ini juga tidak menerima sebarang latihan tertentu. Ini termasuklah guru dan kakitangan pembantu dari sekolah berhampiran yang terlibat sama. Semasa pemerhatian, pengkaji mencatatkan pelbagai tingkah laku sosial yang ditunjukkan oleh murid autisme tersebut dan juga tingkah laku yang ditunjukkan murid tipikal apabila berkomunikasi dengan murid autisme itu. Tingkah laku yang dicatatkan telah dikategorikan sebagai pertamanya, interaksi sosial yang dimulakan kanak-kanak sasaran biasanya membantu rakan sebaya, kedua interaksi yang dimulakan rakan sebaya biasanya membantu kanak-kanak sasaran, ketiga interaksi sosial yang dikendalikan guru, dan keempat interaksi yang sesuai ditunjukkan di taman permainan. d) Keputusan kajian

Keputusan kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak autisme jarang memulakan interaksi sosial walaupun diletakkan di dalam suasana yang memungkinkan pergaulan sosial itu

berlaku. Di samping itu juga, kanak-kanak tipikal yang lain juga jarang memulakan interaksi sosial terhadap kanak-kanak autisme ini. Di dalam kes ini, berdekatan dan sama-sama berkongsi pengalaman juga tidak menghasilkan beberapa interaksi sosial yang bermakna yang ingin dibentuk oleh guru terhadap murid-murid autisme tersebut. e) Implikasi kajian

Implikasi daripada kajian ini membolehkan kita untuk melihat keberkesanan pengubahsuaian tingkah laku murid dengan autisme apabila diubah suasana pembelajarannya daripada kebiasaan iaitu dengan beralih dari bilik darjah ke taman permainan dan diinklusifkan untuk mendapat tingkah laku yang diingini iaitu murid tersebut mampu bersosial secara semulajadi dengan kanak-kanak tipikal yang lain. Walaupun kajian ini menunjukkan kegagalan murid autisme untuk mengubah tingkah laku kepada lebih bersosial dengan menyediakan peluang sosial yang luas, pengkaji mencadangkan agar guru serta kakitangan sokongan diberikan latihan khas untuk meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan dengan murid autisme serta kaedah meningkatkan pergaulan mereka ketika berada di dalam suasana inklusif. Kerana data yang dikumpul adalah secara deskriptif, tidak terdapat cara untuk mengetahui jika murid autisme tersebut mendapat manfaat daripada pengubahsuaian ini.

3.0 PANDANGAN, KEKUATAN DAN KELEMAHAN ARTIKEL

Pada pandangan saya, untuk mempertingkatkan lagi kesahan dan isi kandungan kedua-dua artikel ini adalah pertamanya dengan memanjangkan tempoh kajian yang dijalankan. Hal ini supaya kita boleh melihat maklumat yang lengkap sehinggalah tingkah laku yang tidak dikehendaki dihapuskan serta sehinggalah tingkah laku yang ingin dibentuk tercapai dilaksanakan. Pengkaji juga boleh mempelbagaikan teknik pengubahsuaian yang dijalankan supaya kita boleh melihat perbezaan diantara dua kaedah berlainan yang digunakan. Dengan ini, guru boleh memilih antara kaedah yang terbaik untuk cuba diaplikasikan kepada murid mereka. Secara keseluruhan kekuatan artikel pertama adalah dapat mengaplikasikan teknik pengubahsuaian yang baik dan berjaya mengubah tingkah laku murid kepada tingkah laku

yang dikehendaki. Kelemahannya pula, kajian hanya dilakukan didalam tempoh masa yang singkat, oleh itu pembaca tidak dapat mengetahui apa yang akan berlaku di dalam tempoh sehinggalah tingkah laku bermasalah kanak-kanak tersebut terhapus. Bagi artikel kedua pula, kekuatannya yang terdapat di dalam artikel tersebut adalah, ia berjaya membuktikan bahawa teknik memanipulasi persekitaran yang dijalankan ke atas murid autisme itu tidak akan berjaya tanpa sokongan dari guru atau kakitangan sekolah tersebut. Artikel itu juga menunjukkan pentingnya guru dan kakitangan sekolah mendapatkan lebih pengetahuan untuk mengendalikan murid autisme dan seterusnya membantu mereka untuk bersosial apabila diinklusifkan. Kelemahan artikel kedua pula adalah kaedah yang digunakan pengkaji hanyalah dengan memerhati. Hasil dapatan artikel tersebut pasti boleh dikukuhkan lagi jika, pengkaji juga memasukkan satu lagi kaedah kajian contohnya kali ini dengan membantu guru dan kakitangan sekolah tersebut untuk mengendalikan murid autisma yang diinklusifkan dengan lebih baik dalam mencapai hasrat utama mereka iaitu murid autisme itu mampu bersosial dengan murid tipikal lain. Dengan ini satu data perbandingan boleh disediakan sebagai rujukan pembaca. Hasilnya pasti menarik untuk diketahui.

4.0 KEKUATAN DAN KELEMAHAN TEKNIK PENGUBAHSUAIAN YANG DILAKUKAN.

Terdapat kekuatan dan kelemahan dalam mengaplikasikan kedua-dua teknik yang telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji di atas. Antaranya, kekuatan teknik pengubahsuaian tingkah laku menggunakan sistem token ekonomi adalah ianya dapat mengubah tingkah laku murid kepada yang diingini oleh guru berdasarkan ganjaran yang ditawarkan. Tingkah laku murid dapat dibentuk dengan membantu mereka menilai sesuatu yang baik dan sesuatu yang buruk iaitu dengan menunjukkan kepada mereka bahawa tingkah laku yang baik akan menerima ganjaran dan tingkah laku yang tidak dikehendaki pula akan membuatkan mereka kehilangan ganjaran tersebut.Kekuatan teknik pengubahsuaian melalui manipulasi peristiwa dalam persekitaran pula adalah ia satu modifikasi tingkah laku secara semulajadi yang senang diaplikasikan. Keadaan semulajadi persekitaran sebagai alat bantuan modifikasi diharap dapat membantu murid ke arah perkembangan yang diharapkan.

Walaupun terdapat kekuatan dalam melaksanakan kedua-dua teknik tersebut, namun terdapat juga kelemahannya. Sistem pemberian ganjaran token kepada murid contohnya melibatkan kos perbelanjaan sekiranya ganjaran yang ingin diberikan adalah di dalam bentuk material atau makanan. Sistem ganjaran token ini juga mengambil masa yang lama bagi ganjaran yang lebih besar yang ditawarkan guru misalnya, mungkin memerlukan murid mengumpul tiket/cip yang banyak sebelum boleh menikmati ganjaran tersebut. Masa yang lama, mungkin akan menyebabkan murid hilang minat dan bosan terhadap ganjaran yang ditawarkan apabila gagal mengumpul mata dalam tempoh yang diingini oleh murid itu sendiri. Manakala teknik memanipulasi keadaan mungkin akan memberikan kesan yang berlainan untuk murid pendidikan khas yang berlainan. Persekitaran yang berbeza berbanding persekitaran biasa ketika pembelajaran mungkin akan menyebabkan murid pendidikan khas sukar untuk menyesuaikan diri yang seterusnya menimbulkan masalah tingkah laku yang lain pula. Keadaan semulajadi persekitaran sebagai alat bantuan untuk berkomunikasi juga mungkin akan membataskan hasil dapatan kajian. Adalah, lumrah untuk keinginan murid bermain dan bergerak secara bebas ketika waktu bermainnya yang akan menyukarkan pemerhatian pengkaji dan mengurangkan interaksi murid tersebut. Selain itu juga, alat permainan yang menarik termasuklah alat mainan yang boleh dioperasikan secara individual (basikal roda tiga) yang terdapat di taman permainan itu juga pasti menghalang keputusan dapatan yang tulen diperolehi. Pengkaji artikel kedua tidak boleh menyatakan bahawa tiada interaksi murid autisme itu dengan murid lain kerana kurangnya campur tangan guru berpengalaman kerana murid tersebut mungkin hanya mahu bermain dengan permainan yang disukainya sahaja.

5.0 RUMUSAN Teknik pengubahsuaian tingkah laku telah lama dipraktikkan di dalam dunia pendidikan. Walaupun ianya mempunyai sejarah yang lama, namun masih terdapat perbincangan dan debat tentang keberkesanan teknik yang dijalankan. Terdapat juga teknik yang akhirnya ketinggalan zaman mengikut peredaran masa contohnya sesetengah teknik dendaan seperti merotan dan sebagainya yang banyak dilakukan guru-guru era 80-90an dahulu. Teknikteknik tersebut sudah tidak lagi releven untuk dilakukan dan digantikan pula dengan teknik

yang lebih kepada menunjukkan kasih sayang guru kepada murid-murid seperti sentiasa menanyakan kesihatan murid, ucap selamat dan sebagainya. Sesuai dengan peredaran zaman, guru-guru perlulah sentiasa mengemaskini ilmu pengetahuan mereka berkaitan teknik-teknik pengubahsuaian yang boleh mereka laksanakan di sekolah. Guru juga perlu mengambil pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu dalam menangani tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas. Jika tingkah laku positif berjaya diterapkan di dalam pembelajaran dan pengajaran murid pendidikan khas, sudah pasti akan banyak membantu guru dalam meningkatkan lagi serta mengeluarkan potensi sebenar murid yang sepatutnya di dalam pembelajaran.

5.0 RUJUKAN

Anna Klimas dan T.F. McLaughlin, (2007). The effect of a token economy system to improve social and academic behaviour with a rural primary aged child with disabilities. International Journal of Special Education. Volume 22 (3). Anibal Gutierrize Jr., Melisa N. Hale dan Krista Gossens, (2007). Evaluating the social bahavior of preschool of children with autism in an inclusive playground setting.International Journal of Special Education, Volume 22 (3). Slid persembahan power point bertajuk Tingkah laku,Dr Hanafi Mohd Yasin dan Puan Aliza Alias (2012).