Anda di halaman 1dari 1

LAPORAN KEMAJUAN PENYELIDIKAN TAJUK : AMALAN PENGURUSAN KEWANGAN SEKOLAH MENENGAH BERTARAF PTj DI DAERAH KUBANG PASU

Sebelum kajian sebenar dilakukan, pengkaji telah menjalankan satu kajian rintis yang melibatkan seorang Ketua Pembantu Tadbir di salah sebuah sekolah menengah harian yang bertaraf PTj di Kubang Pasu. Kajian rintis ini dijalankan supaya pengkaji dapat menilai kesesuaian instrumen yang akan digunakan. Setelah selesai menjalankan kajian rintis, pengkaji membuat keputusan untuk membuang beberapa soalan yang dirasakan tidak perlu. Pengkaji juga telah membetulkan beberapa soalan agar dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Selepas dua minggu setelah kajian rintis dijalankan, pengkaji membuat temu janji bersama responden-responden kajian. Responden dalam kajian ini terdiri daripada tiga orang Ketua Pembatu Tadbir dari tiga buah sekolah menengah bertaraf PTj. Ketiga-tiga responden ini terlibat secara langsung dalam urusan kewangan sekolah bertaraf PTj. Namun, pengkaji telah memohon kebenaran daripada Pengetua ketiga-tiga buah sekolah untuk membuat kajian sebelum temu janji ditetapkan. Walaupun responden terpaksa menangguhkan sesi temu bual kerana urusan audit sekolah, namun temu bual berjaya dilakukan oleh pengkaji. Pengkaji juga dibenarkan untuk membuat salinan dokumen-dokumen yang terlibat dengan urusan kewangan bagi mengukuhkan jawapan yang diberikan oleh responden. Pengkaji mengambil masa selama dua minggu untuk mengorganisasikan semula jawapan-jawapan yang diberikan oleh responden. Tindakan ini penting bagi memudahkan pengkaji memahami jawapan yang diberikan responden. Setelah semua jawapan disusun, pengkaji memulakan proses menganalisis dapatan temu bual tersebut. Dapatan ini kemudiannya dibincangkan dalam bab terakhir kajian.