Anda di halaman 1dari 7

Izinkan saya paparkan sumbangan psikolanguistik secara terinci yang mampu.

Umumnya psikolinguistik memberikan sumabngan kepad guru kerana memberikan peluang agar guru dan pelajar mempelajari empat topik utama: (a) kefahaman, iaitu proses-proses mental yang dilalui oleh manusia sehingga mereka dapat menangkap apa yang dikatakan oleh orang dan memahami apa yang dimaksudkan, (b) penghasilan, iaitu proses-proses mental pada diri kita yang membuat kita dapat membuat ujaran seperti yang kita ujarkan, (c) dasar biologi serta neurologi yang membuat manusia dapat berbahasa, dan (d) pemerolehan bahasa, iaitu bagaimana kanak-kanak memperoleh bahasa mereka. Pada tahap ini, psikolinguistik telah menjadi ilmu yang disokong oleh ilmu-ilmu lain seperti neurologi, filsafat, primatologi dan genetik. Gabungan ilmu-ilmu ini membantu pemerolehan bahasa dan perkembangan bahasa manusia . Maka penyampaian ilmu dapat disalurkan dan dikembangkan dengan lebih berkesan. Neurologi mempunyai fungsi yang sangat rapat dengan bahasa kerana kemampuan manusia berbahasa bukan kerana persekitarannya sebaliknya banyak bergantung kepada kudrat neurologi yang dikurniakan Allah sejak lahir lagi. Jelas di sini membuktikan bahawa tanpa otak dengan fungsi-fungsinya yang lengkap pasti tidak akan membantu manusia berbahasa. Itu secara jelasnya dapat dimanifestasikan melalui perlakuan dan amalan oleh guru dan pelajar.

Psikolinguistik ialah ilmu yang berkaitan dengan hubungan antara bahasa dengan perilaku dan akal budi manusia. Sumbangannya besar jika diaplikasikan dengan bijak oleh warga guru dan pelajar.Pengetahuan psikolanguistik. Terdapat pelbagai definisi yang dikemukakan oleh para sarjana barat. Aitchison(1998:1) member definisi sebagai suatu kajian tentang bahasa dan minda. Harley(2001:1) pula member maksud sebagai suatu kajian tentang proses mental dalam penggunaan bahasa. Clark dan Clark(1977:4) menjelaskan bahawa bidang ini berkaitan dengan tiga hal utama: Kefahaman, penghasilan dan perolehan bahasa. Psikolinguistik dikatakan bidang yang mengkaji bagaiamanakah manusia yang lahir tanpa tahu apa-apa sehingga mahir berbahasa pada tempoh tertentu. Bidang ini juga mengkaji perlakuan menyusun tahap pola-pola ayat serta proses berbahasa kanak-kanak daripada yang tidak tahu berbahasa sehinggalah mereka mahir berbahasa dengan baik melalui proses-proses tertentu iaitu proses pendidikan. Ini menjelaskan tentang universalnya bahasa semakin mengarah kepada perolehan bahasa. Walau di mana jua kanak-kanak dibesarkan, mereka memperoleh bahasa dengan menggunakan strategi yang sama. Hal ini adalah kerana pertumbuhan bahasa pada manusia itu terancang secara genetik berbanding dengan haiwan yang hanya boleh meniru gaya berbahasa manusia tanpa boleh menggabungkan perkataan untuk membina ayat apatah lagi untuk bertutur dengan baik. Manusia sudah memiliki kudrat pada masa lahir dan bekalan inilah membantu manusia mengembangkan bahasa. Hal-hal lisan sememangnya dapat membezakan manusia dan haiwan. Oleh itu tahap linguistik ini memberi fokus kepada perkembangan bahasa manusia sejak dari umur bayi, kanak-kanak sehinggalah waktu dewasa.

Eufemisme (euphemism) merupakan perkataan atau frasa yang lebih sopan dan halus sifatnya untuk menggantikan perkataan atau frasa asalnya yang sudah pun dianggap sebagai kasar dan keji, malah dilarang penggunaannya. Dalam bahasa Melayu, banyak gejala tabu bahasa dan eufemisme ini. Antaranya ialah kencing, berak, kentut, mati, jamban, babi, tahi, datang haid, beranak, pelacur, dan sebagainya. Eufemisme dapat mengatasi masalah ini dengan menggantikannya dengan buang air kecil, buang air besar, buang angin, meninggal dunia, bilik air, khinzir, uzur, bersalin, dan pekerja seks atau tunasusila. Peribahasa Melayu turut menggunakan ungkapan siapa hendak mengaku berak di tengah jalan dan kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kepentingan memberikan huraian dan penerangan yang berpada kepada pelajar akan menjadikan mereka lebih bersopan, mengerti dan akhirnya matlamat dan falsafah pendidikan bahasa akan tercapai sekiranya dijadikan amalan yang dipupuk setiap masa. Selain itu, untuk maksud kesantunan bahasa, kata ganti nama orang kedua hendaklah digunakan dengan mengambil kira beberapa faktor secara serius; umur, generasi, status, konteks (sama ada rasmi atau tidak rasmi), dan jarak sosial. Bentuk panggilan untuk ganti nama orang kedua boleh terdiri daripada panggilan kekeluargaan, panggilan profesional, gelaran profesional atau kerjaya, panggilan anugerah, dan nama peribadi. Oleh sebab orang Melayu menyedari bahawa masalah kekasaran kesemua kata ganti nama orang kedua , maka bentuk anda diperkenalkan pada 1960-an. Bentuk anda dianggap sebagai bentuk halus, yakni tidak kasar dalam wacana sopan. Selain bentuk sapaan, para guru dapat mengajar pelajarnya tentang pantang larang dalam bahasa. Terdapat banyak perkara yang tidak boleh dibicarakan dengan sewenangwenangnya, terutamanya di khalayak ramai. Antaranya ialah berkenaan dengan seks, fungsi badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis.

Izinkan saya mengupas kepentingan sosiolanguistik kepada guru . Saya akan fokuskan elemen laras bahasa. Laras bahasa perlu diterangkan kepada pelajar kerana laras bahasa merupakan fenomena yang penting dan mendidik pelajar untuk menghayati situasi yang berlainan yang wujud di sekitar mereka. Menurut Nik Safiah dalam Laras Bahasa (1989), laras bahasa ialah satu gaya bahasa atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Pengetahuan tentang laras bahasa akan memberikan panduan dan pilihan yang tepat untuk pelajar menentukan laras yang sepatutnya mengikut situasi yang cocok. agar pelajar berupaya dan berkemampuan menggunakan bahasa secara teratur. menggambarkan kepekaan mereka terhadap situasi sosial yang berlainan. Malahan, kecekapan berbahasa juga merujuk kepada penggunaan berbagai-bagai variasi bahasa yang bersesuaian dengan masyarakat di sekitarnya. Kegagalan pelajar menggunakan laras bahasa yang betul memberikan gambaran bahawa mereka telah mengetepikan salah satu aspek penting untuk mendampingi sifat dan fungsi bahasa. Guru sewajarnya menerapkan disiplin ini untuk melahirkan warga pelajar yang bukan sahaja berkemahiran menggunakan bahasa dalam komunikasi, malah dapat membantu pelajar semasa menghadapi peperiksaan. Pelajar perlu mengetahui laras bahasa yang sesuai dan tepat sewaktu menulis yang dapat dikesan melalui penggunaan perkataan tertentu, frasa tertentu, dan ayat tertentu dalam keadaan-keadaan yang tertentu pula. Malahan, dalam bidang penterjemahan, guru dapat mendidik pelajar untuk membuat terjemahan yang baik dan berkesan tanpa menjejaskan maksud daripada bahasa sumber. Keadaan ini akan memperkaya perbendaharaan kata pelajar, selain memastikan terjemahan yang dilakukan persis dengan sumber asalnya. Oleh sebab negara kita sekarang berada dalam dunia yang semakin mengecil kerana taraf perhubungan antara negara yang memuaskan, bahasa Melayu harus mempunyai satu sifat yang disebut keupayaan menterjemahkan buah fikiran untuk disalurkan kepada bahasabahasa tersebut. Menyedari hakikat ini, laras bahasa seharusnya turut mendapat tempat yang lebih dominan dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah-sekolah.

Izinkan saya mengupas serba sedikit sumbangan laras bahasa dalam pengunaan sosiolanguistik guru. Pengaruh laras bahasa sastera telah membuka ruang kepada disiplin stilistik atau ilmu gaya menganalisis karya sastera dengan dari sudut bahasa sesuai dengan sifatnya dalam hubungan yang lebih luas. Para pelajar akan didedahkan dengan menilai kemampuan karyawan memanipulasikan segala keupayaan mereka mengeksploitasikan kemungkinan bahasa. Kekuatan sesebuah karya terletak pada kekuatan bahasanya, dan sudah semestinya bergantung pada kebijaksanaan pengarangnya mengungkapkan wacana melalui fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, dan pragmatik. Pengetahuan yang baik dalam laras bahasa akan membantu pelajar menghayati karya yang dipelajari dan hal inilah yang memungkinkan pencapaian yang lebih memberangsangkan dalam peperiksaan. Pelajar harus didedahkan dengan beberapa banyak laras yang ada supaya mereka dapat menggunakan bahasa dengan baik dan berkesan. Pelajar hendaklah juga dibantu oleh guru dalam penggunaan laras yang pelbagai untuk kesesuaian konteks dan situasi dalam mengungkapkan fikiran tentang ilmu yang ada. Kepentingan mengajarkan laras bahasa dapat ditemukan dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia yang mengesyorkan satu peraturan hendaklah dibuat untuk memastikan kursus latihan guru dalam perkhidmatan hendaklah mengandungi unsur laras bahasa bagi bidang ilmu yang diajarkannya. Bahasa bukan satu cara pertuturan yang digunakan dalam keadaan statik, oleh semua orang bagi semua situasi, dan dalam bentuk yang sama. Sebaliknya, bahasa berbeza-beza bergantung pada faktor persekitarannya. Dengan berlandaskan pandangan tersebut, ternyata disiplin sosiolinguistik dapat membantu guru merencanakan dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pemelajaran bahasa yang lebih hidup, menarik, dan membantu mencapai objektif pendidikan bahasa.

Dalam buku Explorations in the Functions of Language (1973), Halliday menyatakan tujuh fungsi bahasa yang wajar dikuasai, iaitu instrumental, penentu, interaksi, peribadi, heuristik, imaginatif, dan perlambangan. Fungsi instrumental berkaitan dengan tujuan bahasa digunakan untuk mencapai kesejahteraan hidup manusia, fungsi penentu berkaitan dengan tindakan atau gerak-geri penutur, sama ada menghukum, mendenda, merayu, dan sebagainya, fungsi interaksi berkenaan dengan hubungan antara sesama manusia lain, fungsi peribadi berkaitan dengan penggunaan bahasa yang mencerminkan keperibadian penuturnya, dan fungsi heuristik berkaitan dengan peranan bahasa sebagai saluran penyataan pandangan, pengetahuan, dan sikap. Selain itu, fungsi imaginatif berkaitan dengan aplikasi bahasa untuk melahirkan pandangan dan cetusan dengan cara yang estetik, indah, dan berseni, manakala fungsi perlambangan berkaitan dengan penggunaan bahasa secara lebih tersirat dan implisit. Dengan menelusur fungsi bahasa yang digariskan oleh Halliday ini, para guru pasti akan menyedari bahawa penerapan disiplin sosiolinguistik amat wajar diterapkan kepada pelajar supaya fungsi bahasa dapat dikecap oleh pelajar dengan lebih efisien. Apabila membicarakan soal ini, hasil kajian Basil Bernstein, ahli sosiologi dari Universiti London pada era 60-an dan 70-an dapat dijadikan pegangan dan fahaman bahawa umumnya manusia mempunyai dua kod bahasa yang digunakan, iaitu bahasa terbina (elaborated code) dan bahasa terbatas (restricted code). Bahasa terbina merupakan jenis bahasa yang kurang dikuasai tetapi penting dalam sistem pendidikan, sebaliknya bahasa terbatas digunakan dalam lingkungan yang tidak formal oleh golongan dalam lingkungan sosial yang sama. Dialek merupakan contoh bahasa terbatas dan tidak mungkin dapat dihilangkan dalam sistem pendidikan bahasa yang formal kerana kajian mendapati unsur atau pengaruh dialek dapat memperkaya kosa kata pelajar. Dalam pengajaran, guru diharapkan dapat membimbing pelajar untuk memahami unsur dialek, khususnya dalam karya kreatif agar pelajar beroleh kemampuan dan rangsangan untuk menggunakannya dalam situasi yang berbeza. Oleh sebab itu, disiplin sosiolinguistik yang menjadi antara cabang kajian linguistik yang terpenting mutakhir ini sepatutnya mendapat tempat yang lebih baik dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa. Yang tidak dapat disangkal lagi bahawa pengetahuan dan penerapan disiplin ini adalah penting bagi guru melaksanakan dasar dan objektif yang telah ditetapkan dalam sistem pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang berkemahiran, berkebolehan, fleksibel, dan dapat memenuhi aspirasi masyarakat yang berkehendakkan pelajar yang mampu menguasai bahasa dengan baik, bukan sekadar untuk lulus dalam peperiksaan, malah dapat membina peradaban yang cemerlang melalui penggunaan bahasa yang betul dan kena pada tempatnya.