Apabila Sang Harimau mengaum, semua binatang akan bersembunyi dan yang tidak sempat, pasti akan menjadi mangsa harimau tersebut.
Suatu pagi, Sang Kancil sedang mencari makanan di dalam hutan. Tiba-tiba ia terdengar bunyi ranting patah dari arah belakangnya. Ia menoleh dan ternampak Sang Harimau cuba menghampirinya. Harimau itu mengaum dan Kancil tidak sempat untuk melarikan diri.
"Kali ini kau akan menjadi makananku Sang Kancil!," kata Harimau dengan garang. "Kalau engkau makan aku, kau akan di makan oleh binatang yang lebih besar," kata Sang Kancil. "Binatang yang mana pula berani melawan ku?" tanya Harimau dengan marah.
"Pagi tadi aku berjumpa dengan seekor harimau yang jauh lebih besar dari engkau dan ia mengatakan dialah harimau yang paling kuat di hutan ini." kata kancil. Harimau menjadi sangat marah dan meminta Kancil membawanya bertemu harimau tersebut. Sang Kancil membawanya ke tasik.
Sampai di tasik, Kancil pun berhenti. "Di sini lah aku berjumpa dengan harimau itu, cubalah kamu tengok, aku takut" kata Kancil. Harimau pun menjenguk ke dalam kolam dengan beraninya. Bayangbayangnya segera muncul di permukaan air yang jernih dan tenang itu.
Harimau mengaum dan membuka mulut seluas-luasnya menunjukkan taringnya begitu juga harimau di dalam kolam. "Kalau engkau harimau yang paling kuat, pergilah lawan dan tewaskannya," kata Kancil. Harimau bertambah berang dan terus terjun mendapatkan harimau itu sambil mengeluarkan kukunya yang tajam.
Bila ia terjun, bayang-bayang pun hilang. Barulah ia sedar yang ia telah di tipu oleh kancil. Harimau cuba naik ke tebing kolam tetapi tidak berjaya kerana tebing itu tinggi. Kancil pun melarikan diri. Oleh kerana terlalu angkuh, akhirnya Harimau tewas dengan bayang-bayang sendiri.