Anda di halaman 1dari 5

Pidato Tema cinta dan kasih sayang dalam Surah Yusuf

Dapatkah putik kan menjadi bunga Kiranya cuaca sering gerhana Dapatkah kasih bersemi selamanya Tanpa keimanan di jiwa Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada seluruh kulawangsa dewan. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Penjaga masa yang sentiasa menepati masa, barisan peneraju hakim yang arif dengan bidangnya, guruguru, rakan-rakan, dan hadirin sekalian yang saya sayangi. Beradanya saya di sini pada hari yang nirmala adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk Kasih Sayang Berteraskan Keimanan Melahirkan Generasi Rabbani. Para hadirin yang dihormati sekalian, Sebelum lidah lebih petah berbicara mengajukan pelbagai mutiara hikmat untuk menyokong gagasan ini, izinkan saya mendefinisikan kompenen maksud kata-kata yang membina mauduk pidato saya. Kasih Sayang Berteraskan Keimanan Melahirkan Generasi Rabbani saya takrifkan sebagai mempunyai perasaan mencintai disulami dengan melakukan sesuatu kerana Allah SWT dapat menghasilkan generasi yang sempurna ilmu dan takwa hanya kepada Allah. Generasi ini dituntut dalam Islam sebagaimana firman Allah dalam surah Al Imran ayat 79.

Yang bermaksud hendaklah kamu menjadi Rabbani Sidang dewan yang saya hormati, Kasih sayang berteraskan keimanan memperlihatkan generasi rabbani yang mengutamakan cinta kepada Allah SWT. Perasaan ini wujud sekiranya generasi rabbani mempunyai akidah yang mantap serta jati diri yang kukuh dan sentiasa merasai kehadiran Allah swt disisinya. Sehinggakan walaupun dia berseorangan diri, dia masih tetap kuat untuk melakukan perkara yang Allah SWT redai. Saya ingin mengejutkan hadirin sekalian yang berada di dalam dewan ini dengan memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dari fail mahkamah syariah yang telah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010. Angka ini cukup membimbangkan saya bagaimana orang Islam sendiri sudah tidak menyayangi Allah SWT yang telah mencipta mereka dengan penuh kasih sayang sanggup mengambil keputusan untuk keluar dari agama Islam bagi memenuhi tuntutan duniawi. Jika sudah hilang rasa cinta pada Yang Esa sudah semestinya nilai keimanan semakin hilang, jadi usaha untuk melahirkan generasi rabbani tidak akan tercapai. Saya ambil contoh daripada kisah Nabi Yusuf. Walaupun difitnah di atas perbuatan yang tidak dilakukan lalu dipenjarakan, namun kasih sayangnya kepada Allah SWT tidak pernah luntur dan selalu berdoa untuk meninggal dunia dalam

keadaan muslim dan diletakkan bersama orang yang soleh. Firman Allah dalam surah yusuf ayat 101.

Yang bermaksud Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kekuasaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian takwil mimpi. Wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi, Engkaulah pelindungku di dunia dan akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan muslim dan gabungkanlah aku dengan orang yang soleh. Ayat ini memperjelaskan kepada kita walau setinggi mana jawatan dan kekayaan yang dimiliki, kita semestinya mencintai Allah lebih daripada segalagalanya dengan berbekalkan keimanan yang kukuh untuk melahirkan generasi rabbani. Hadirin sekalian, Saya pasti hadirin sekalian pernah mendengar kata-kata ungkapan seperti ini, Seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak namun 10 orang anak belum pasti dapat menjaga seorang ibu. Kata kata ini saya petik bagi menghuraikan isi kasih sayang berteraskan keimanan melahirkan generasi rabbani yang menyayangi ibu bapanya. Semestinya sebagai anak kita perlu menyayangi ibu bapa kerana merekalah yang telah membesarkan kita daripada dua tapak jari sehinggalah dewasa. Alangkah sedihnya kita telah digemparkan dengan penghantaran ibu bapa ke rumah orang-orang tua yang majoritinya orang Melayu. Menurut Timbalan Penguasa Rumah Orang-Orang Tua Seri Kenangan Cheng Melaka, Mohd Emran Abdul Salam memberitahu penghuni rumah berkenaan seramai 236 orang dan orang Melayu adalah majoriti penghuni di situ yang kebarangkalian besarnya beragama Islam. Senario ini jika dibiarkan akan hilanglah perasaan mencintai ibu bapa disebabkan oleh anak-anak sudah hilang cahaya keimanan dan generasi rabbani tidak dapat dilahirkan. Tamsil yang dapat saya ketengahkan dan boleh diteladani dalam surah yusuf ayat 8.

Ayat ini membawa maksud

Apabila mereka berkata, sesungguhnya yusuf dan saudaranya lebih dicintai ayah daripada kita, padahal kita adalah satu golongan. Sungguh ayah kita dalam kekeliruan yang nyata.

Bertitik tolak daripada ayat ini menerangkan bagaimana Nabi Yusuf begitu menyayangi ayahnya sehingga saudara-saudaranya berasa iri hati apabila ayah Nabi Yusuf iaitu Nabi Yaakub begitu mengambil berat akan Nabi Yusuf. Ketaatan Nabi Yusuf kepada ayahnya diperjelaskan lagi menerusi pesanan Nabi Yaakub kepada Nabi Yusuf supaya jangan menceritakan mimpinya kepada saudarasaudaranya takut timbul perasaan iri hati dalam kalangan mereka. Perasaan kasih sayang terhadap ibu bapa perlu dibajai sepanjang masa sehingga mereka kembali kepada Sang Pencipta. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa sebaik mungkin kerana Allah menyayangi umatnya yang memuliakan ibu bapa. Janganlah kita menjadi habis madu sepah dibuang atau kacang lupakan kulit apabila sudah mengecapi segalanya kerana permulaan kepada kejayaan yang dimiliki bermula dengan restu ibu bapa. Saudara dan saudari sekalian, Seterusnya, kasih sayang berteraskan keimanan melahirkan generasi rabbani yang senantiasa bersabar. Melalui kasih sayang diiringi keimanan menggalakkan manusia untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan segala yang ditegah oleh Allah swt walaupun diuji dengan pelbagai halangan. Dalam surah yusuf ayat 26-27.

Ayat ini menerangkan Dia (yusuf) berkata, Dia yang menggodaku dan merayu diriku. Seorang saksi dari keluarga perempuan itu memberikan kesaksian, Jika baju gamisnya koyak di bahagian depan, maka perempuan itu benar, dan dia (Yusuf) termasuk orang yang dusta. Dan jika baju gamisnya koyak di bahagian belakang, maka perempuan itulah yang dusta, dan dia (Yusuf) termasuk orang yang benar. Ayat ini memperlihatkan bagaimana Nabi Yusuf telah diuji dengan fitnah yang ditaburkan oleh Zulaikha isteri kepada Al Aziz pembesar di Mesir dengan mengatakan Nabi Yusuf ingin menggoda Zulaikha. Nabi Yusuf bersabar terhadap ujian yang diberi oleh Allah SWT sehingga sanggup memilih untuk dipenjarakan bagi membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah. Sepanjang berada di penjara,

Nabi Yusuf mendekatkan diri kepada Yang Esa dengan melakukan solat serta membuat kebaikan dengan mentafsirkan mimpi. Perbuatan Yang ditunjukkan ini bertentangan dengan masyarakat kita hari ini kerana statistik menunjukkan kebanyakan mereka mengambil jalan mudah dengan membunuh diri sebagai jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi. Berhubung dengan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam laporannya kepada Dewan negara yang bertarikh 19 April 2011 berkenaan kes bunuh diri dalam kalangan rakyat Malaysia berjumlah 731 kes dalam tempoh 3 tahun bermula 2007-2010. Jika isu ini dibiarkan berlarutan generasi rabbani tidak dapat dihasilkan disebabkan nilai kasih sayang tidak berlandaskan kepada keimanan. Sidang dewan yang saya sayangi, Bagaimana untuk melahirkan generasi rabbani yang mempunyai kasih sayang berteraskan keimanan dalam pembentukan akhlak yang mulia? Cuba hadirin fikir-fikirkan? Nampak termenung semuanya berteleku memikirkan jalan penyelesaian. Hadirin yang saya sayangi mari saya kupaskan dan memberi jalan penyelesaian yang terbaik dan boleh dijadikan panduan untuk memastikan negara diwarisi oleh generasi rabbani. Saya amat yakin bahawa hadirin sekalian sedia maklum akan kecantikan paras rupa Nabi yusuf sehingga sesiapa yang melihatnya akan terpesona malah ada yang mencederakan tangan mereka tanpa disedari. Keelokkan paras rupa Nabi Yusuf turut disulami dengan pembentukan akhlak yang mulia di mana Nabi Yusuf tidak tergoda dengan ajakan Zulaikha untuk melakukan maksiat yang dimurkai oleh Allah swt seperti mana yang telah dinyatakan dalam ayat ke 23 .

Ayat ini membawa maksud Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata, Marilah mendekati diriku. Yusuf berkata, Aku berlindung kepada Allah, sungguh, tuanku telah memperlakukan aku dengan baik. Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak akan beruntung. Pernolakan Nabi Yusuf atas permintaan Zulaikha menunjukkan Nabi Yusuf mempunyai akhlak yang mulia disebabkan kasih sayang yang bertunjangkan keimanan kepada Allah swt di samping kasih sayangnya kepada Al Aziz, suami kepada Zulaikha, yang menjaganya sejak kecil. Menurut laporan yang dibuat oleh wartawan tv 3 iaitu Mazidul Akmal sebanyak 59 anak luar nikah telah dilahirkan di

Sekolah Harapan dalam tempoh kurang setahun. Permasalahan ini turut mengundang kepada kelahiran anak tidak sah taraf yang semakin meningkat. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga julai 2008. Ini bermakna secara purata 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari atau satu kes dalam masa 17 minit 17 saat. Cuba para hadirin renung-renungkan, angka yang saya berikan sebentar tadi sudah cukup menggerunkan kita apa akan terjadi sekiranya kita tidak dapat melahirkan generasi rabbani yang berteraskan keimanan melalui kasih sayang. Saya tambahkan lagi kerisauan para hadirin sekalian. Dalam tempoh 2004-2010 sebanyak 576 kes pembuangan bayi dilaporkan dan pada tahun 2010 sebanyak 257 kes rogol mengandung turut dilaporkan. Sumber ini diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia. Oleh itu, langkah penyelesaian kepada isu ini memerlukan nilai kasih sayang berteraskan keimanan dengan pembentukan akhlak mulia yang menyumbang kepada penghasilan generasi rabbani. Hadirin yang saya hormati, Menjejaki babak-babak terakhir pidato ini, saya rumuskan semula tunjang dan tiang seri hujah yang telah saya ketengahkan tadi: Pertama : Kasih sayang berteraskan keimanan memperlihatkan generasi rabbani yang mengutamakan cinta kepada Allah swt Kedua : kasih sayang berteraskan keimanan melahirkan generasi rabbani yang menyayangi ibu bapanya Ketiga : kasih sayang berteraskan keimanan dapat melahirkan generasi rabbani yang senantiasa bersabar Keempat : kasih sayang berteraskan keimanan dalam pembentukan akhlak yang mulia melahirkan generasi rabbani. Hadirin sekalian, Rasulullah saw bersabda, Barangsiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan tidak memberi kerana Allah, maka sungguh telah sempurna imannya. (Hadis riwayat Dawud dan Al Tirmidzi). Daripada hadis yang diberikan kita perlu mengetahui bahawa memberikan kasih sayang dan kesetiaan hanya kepada Allah semata-mata. Kita harus mencintai apa yang dicintai Allah, membenci terhadap segala yang dibenci Allah, reda kepada apa yang diredai Allah, tidak reda kepada yang tidak diredai Allah, mengajak kepada apa yang diperintah Allah, menjauhi serta mencegah segala yang dicegah Allah, memberi kepada orang yang Allah cintai dan tidak memberi kepada orang yang Allah tidak sukai. Jika semua hujah yang saya perincikan di atas menjadi sandaran, sudah pasti kasih sayang berteraskan keimanan melahirkan generasi rabbani. Sekian, terima kasih. Wabilahhi..

Anda mungkin juga menyukai