Anda di halaman 1dari 4

Usul Kesembilan: Asal Dalam Ibadat Adalah Ditegah Atau Tawqif

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya www.darulkautsar.net

Kaedah ini bermaksud tidak disyariatkan satu ibadatpun melainkan ada dalilnya kerana pada asalnya ibadat itu tawqifi yani bergantung kepada dalil syara. Kita ditegah melakukan sesuatu perkara dengan tanggapan sebagai ibadat melainkan jika ada dalil tentang sabitnya perkara tersebut. Ini bererti mana-mana ibadat yang tidak bersandarkan kepada dalil tertolak dan dihukumkan sebagai bidah. Ini berdasarkan kepada ayat al-Qur`an dan hadis Rasulullah s.a.w.


Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? (al-Shura: 21) Rasulullah s.a.w. bersabda:


Sesiapa yang mengadakan dalam urusan kami ini (agama Islam) sesuatu yang bukan darinya maka ia tertolak. (al-Bukhari dan Muslim) Seseorang itu tidak boleh melakukan sesuatu sebagai ibadat melainkan setelah mengetahui bahawa ia disyariatkan berdasarkan kepada dalil yang muktabar. Jika tidak, bererti dia beramal mengikut akal fikirannya bukan mengikut apa yang disyariatkan. Ibadat-ibadat yang disyariatkan kepada ummat ini seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, zikir dan ibadat yang lain telah sabit berdasarkan kepada dalil dan segala hukumnya, syaratnya telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dan diamalkan oleh para sahabat.

Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. mengikut bentuk dan cara yang disyariatkan merupakan salah satu prinsip agama yang penting dan ini merupakan tuntutan dua kalimah syahadah, iaitu amalan hendaklah ikhlas dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Usul ini memberikan kepada kita kefahaman bahawa sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu amalan atau perkara sebagai ibadat maka dia dituntut supaya mengemukakan dalil al-Qur`an atau Sunnah tentang sabitnya amalan tersebut. Jika dia gagal mengemukakan dalil maka ia termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam hadis:


Sesiapa yang mengadakan dalam urusan kami ini (agama Islam) sesuatu yang bukan darinya maka ia tertolak. (al-Bukhari dan Muslim) Seorang mukallaf tidak boleh mengadakan atau mencipta sendiri sebarang amalan walaupun dengan niat untuk menjadikannya sebagai ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ini kerana, niat yang baik sahaja tidak memadai untuk menjadikannya sebagai ibadat tetapi memerlukan juga kepada asalnya. Amalan yang direka sendiri ini tidak dipanggil sebagai ibadat tetap bidah dan setiap bidah itu menyesatkan. Hal ini berbeza dengan perkara adat iaitu asal dalam adat ialah dibolehkan. Apa yang dimaksudkan sebagai adat di sini ialah urusan manusia yang tidak berkait dengan ibadat mendekatkan diri kepada Allah. Ia merujuk kepada kebiasaan manusia dalam urusan dunia mereka dalam perkara yang diperlukan mereka. Apa bentuk urusan manusia diharuskan kecuali dalam perkara yang ditentukan syara sebagai haram. Sebagai contoh seseorang itu boleh melakukan apa bentuk akad selagi mana tidak bercanggah dengan prinsip syara iaitu tidak ada unsur penipuan, perjudian dan riba. Begitu juga untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak boleh dikerjakan dengan perbuatan adat itu sendiri tetapi hendaklah dilakukan dengan perkara ketaatan wajib ataupun sunnat yang sabit dengan dalil-dalilnya. Ini seperti semata-mata berdiri, atau semata-mata berjalan kaki. Ringkasnya, dalam bab ibadat, syara menjadi penentu dan pengasas manakala dalam bab adat dan muamalat sebagai pembaik dan pemurni. Maksudnya, syara mengasaskan ibadat dengan

menyatakan dalil-dalil khusus dan memperelokkan urusan adat manusia dengan meletakkan prinsip umum. Sabitnya ibadat dalam pengertian syara bergantung kepada penetapan dalil dari dua sudut: Pertama: dalil dari nas yang sahih tentang sabitnya ibadat ini dari sudut asalnya dan permulaan pensyariatannya. Ini bererti riwayat yang lemah lagi palsu, pendapat akal, amalan sebahagian ulama, tradisi masyarakat, kisah-kisah ahli ibadat, mimpi, kasyaf dan zawq tidak boleh sama sekali mensabitkan adanya sesuatu ibadat. Apabila sabitnya amalan itu ada asal melalui dalil yang sahih maka ia perlu kepada perkara kedua yang tidak kurang pentingnya iaitu: Kedua: Adanya dalil itu dari sudut sifat dan kayfiyatnya. Mana-mana ibadat yang disebutkan oleh syara secara mutlak maka ia tidak boleh diikatkan tanpa dalil sama seperti ibadat yang disebutkan secara khusus, maka ia tidak boleh dilakukan secara mutlak. Masing-masing mempunyai ketentuan yang tersendiri. Sebagai contoh, ibadat puasa Ramadan telah diwajibkan dalam bentuk terikat pada bulan Ramadan dan dilakukan pada siang hari. Mengubahnya menjadi mutlak dengan berpuasa pada waktu malam atau bukan dalam bulan Ramadan menjadikannya bidah yang sesat. Hal ini samalah dengan ibadat yang disebutkan secara mutlak seperti puasa sunat lalu dikhususkan pada hari 27 Rejab dan qiyam pada malamnya pada hal tidak ada dalil sahih maka ia menjadi bidah. Contoh lain seperti mengadakan jamuan di rumah si mati dengan niat jamuan itu sebagai sedekah dari pihak si mati untuk yang datang bertahlil. Secara asasnya mengadakan jamuan kepada tetamu adalah dituntut namun ia tidaklah disebutkan secara terikat dengan masa tertentu. Tetapi apabila diadakan dengan cara yang tidak diizinkan oleh syara maka ia jatuh sebagai bidah jua. Antara persoalan yang termasuk dalam kaedah ini ialah sambutan hari lahir Rasulullah s.a.w. yang dianggap sebagai perayaan, disambut dengan perarakan dan disediakan pelbagai jenis jamuan makanan sehingga mengeluarkan banyak perbelanjaan untuknya. Perkara ini tidak pernah disyariatkan dan pendokongnya mengganggap sebagai ibadat yang terpuji. Pada hal tidak ada satu nas yang menganjurkan amalan seperti ini dan para sahabat yang paling kasih kepada Rasulullah s.a.w. sendiri tidak menyambut hari kelahiran baginda. Bahkan kehidupan

mereka yang penuh dengan perjuangan untuk menegakkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. itu sepatutnya diteladani. Kesimpulan dari perbincangan di atas, kaedah ini adalah kaedah yang sangat penting, kerana ia merupakan kaedah untuk menjaga syariat ini dari penyelewengan dan pengubahan. Sekiranya dibolehkan untuk mencipta atau mengada-ada perkara baru dalam ibadah maka yang demikian itu akan membuka ruang dan menjadi jalan untuk menokok tambah dan mengubah syariat Islam. Tanpa disedari akan timbul dalam fikiran satu tanggapan bahawa agama dan syariat Islam belum sempurna, dan orang yang membawa ibadah yang baru tersebut dikira sebagai pelengkap dan penyempurna agama ini, dan tindakan ini sebenarnya merupakan tohmahan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai menyembunyikan syariat.

Sumber: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=4699

Anda mungkin juga menyukai