Anda di halaman 1dari 19

Bukit Tengkok, Semporna, Sabah : Misteri Di Sebalik Nama PENGENALAN Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan

keluasan 73 619km2. Negeri yang terkenal dengan jolokan Negeri di Bawah Bayu ini dikelilingi oleh laut dari tiga arah dengan Laut Cina Selatan di sebelah Barat, Laut Sulu di sebelah Timur dan Laut Sulawesi di sebelah Selatan. Negeri Sabah dapat dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Tawau, Sandakan, Kudat, Pantai Barat dan Pendalaman. Daerah Semporna yang dikenali dengan Pintu Gerbang 40 Buah Pulau ini terangkum di dalam bahagian Tawau dengan keluasan 1145km2 atau 1.6% dari keluasan Sabah. Semporna terletak di bahagian Tenggara menghadap Laut Sulu di antara garis bujur 40-50 utara dan terletak pada garis lintang 1180-1190 timur. (Norahim Alison, (1999) : hal 15). Pulau-pulau di Semporna dan sekitar perairannya adalah antara kawasan yang tercantik di Asia dan kaya dengan kepelbagaian jenis hidupan marinnya. Etnik Bajau dan Suluk merupakan suku kaum yang mendominasi kawasan ini. Asal usul kedua-dua etnik ini sebenarnya berasal daripada selatan Filipina. Justeru majoriti kaum ini sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dari segi budaya dan sejarah dengan masyarat Bajau dan Suluk di Filipina. (Gerald Cubitt & Junaidi Payne, (2007), hal.199). Daerah Semporna mempunyai keluasan 442 batu persegi atau 113,412 hektar (282,880 ekar) dan terbahagi kepada dua kawasan iaitu Tanah Besar Semporna dan Kawasan Pulau yang dikenali sebagai Gugusan Pulau Bum-Bum. Daerah Semporna berhampiran dengan sempadan perairan antarabangsa iaitu Filipina dan Indonesia. Keindahan alam semulajadi dasar lautnya yang sebahagian dari pulau-pulaunya dikeliling oleh terumbu karang telah menjadikan destinasi pelancongan yang terunggul di rantau ini. (Buku Regatta Lepa, Sejarah Daerah Semporna, 23-25 April 2010). Lebih-lebih lagi di sinilah terletaknya Pulau Sipadan dan Pulau Mabul iaitu dua pulau yang dianggap sebagai antara pulau tercantik di dunia. Secara geografi, Semporna adalah sebuah pulau yang terbesar dan dihubungkan dengan Tanah Besar melalui Jambatan Pegagau. Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Peter Lo telah merasmikan pembukaan jambatan tersebut pada awal tahun 1965. Kebanyakan orang tidak mengetahui sebutan yang 1

betul bagi nama Semporna iaitu Sampulna yang disebur mengikut dialek kaum Bajau tempatan. Begitu juga dengan nama-nama pulau seperti Sibuan disebut Sibuun, Sipadan disebut Sipran, Mabul disebut Mabbul dan lain-lain Temubual bersama En. Amir Basan Asan, 03 September 2011). Kedudukannya berhampiran dengan negara Filipina dan Indonesia. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah sekiranya penduduk di sini mudah bertutur dan bercampur gaul dengan suku bangsa Filipina mahupun Indonesia sekaligus menyebabkan wujudnya kepelbagaian bahasa dan budaya di sini. Daerah Semporna mempunyai 49 buah pulau keseluruhannya yang menjadi tapak kepada 119 kampung. Bagi tujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, pihak Angkatan tentera Malaysia (ATM) telah mewujudkan pos-pos tentera di kebanyakkan pulau di daerah berkenaan. Selain itu, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin juga sentiasa bekerjasama untuk mengawasi sempadan negara. Sejarah Awal Daerah Semporna dan Bukit Tengkorak Kebanyakkan orang tidak mengetahui dengan jelas mengenai sejarah awal daerah Semporna. Nama asal bagi daerah Semporna ialah tong Talun dalam istilah suku kaum Bajau yang membawa maksud Hujung Hutan. Orang yang bertanggungjawab untuk menamakan Tong talun ialah Panglima Uddang, Penglima Sallehangi dan Panglima Sakti yang berketurunan Bajau Kubang. Mereka menamakan daerah ini sebagai Tong Talun kerana pada ketika awal penemuannya, Semporna diliputi oleh hutan belantara yang sangat tebal. Nama Tong Talun kemudiannya ditukar dengan nama Semporna yang membawa pengertian tempat yang aman atau damai dan nama ini digunapakai sehinggalah kini. (Buku Regatta Lepa, Sejarah daerah Semporna, 23-25 April 2010). Helen Lee Heiss (1984) juga ada menyatakan bahawa A government trading station was set up at a site the mainland known to the Bajaus as Tang Talon (meaning the end of the jungle) and re-named Semporna (meaning a place of rest) in Malay. Daerah Semporna juga dikenali sebagai tempat pertemuan dan perbincangan empat orang panglima iaitu Panglima Kabogan, Panglima Bum-Bum, Panglima Simunul dan Panglima Abdullah (http://www.wikipedi.com). Suatu masa dahulu daerah Semporna ini berada di bawah jajahan takluk Kesultanan Sulu iaitu sebuah kuasa politik yang dominan ketika itu. Jajahan takluknya meliputi sebagai 2

Filipina (sebelah Selatan) dan Borneo Utara. Pada tahun 1876, kawasan yang dikenali dengan Borneo Utara ini telah diperintah oleh Syarikat British North Borneo Chartered Company yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan British. Bermula pada saat itu, Sultan Sulu telah menyerahkan Sabah secara untuk selamanya dan berkekalan kepada syarikat ini sebagai wilayah kuasa urus-tadbir mereka. Selain British, terdapat juga kuasa asing lain yang pernah mencuba untuk menakluk Semporna termasuklah Belanda. Namun demikian, mereka gagal berbuat demikian lantaran kehadiran dan kekukuhan syarikat British yang menakluk Semporna pada ketika itu. Pada tahun 1963, akhirnya Sabah telah bersatu dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia. Masyarakat Bajau di Sabah sebenarnya berasal dari negeri Johor. Menurut Helen Lee Heiss (1984) dalam bukunya bertajuk SABAH menjelaskan bahawa The Bajaus however were at the bottom of Sulu social, political dan economic ladder in the 19 th century. Their origins are obscure but most popularly traced to Johore, the southermost state in present-day Peninsular Malaysia. Menurut satu cerita lagenda, seorang puteri Sultan Johor telah di hantar melalui pelayaran ke Sulu di Selatan Filipina untuk dikahwinkan dengan Sultan Sulu. Dalam perjalanan balik, para pengiring Puteri Sultan Johor tersebut takut melalui lautan yang dikuasai oleh Sultan Brunei. Justeru mereka mengambil keputusan untuk menetap sementara di satu tempat antara Kepulauan Borneo dan Selatan Filipina dengan harapan akan menerima bantuan penyelamat daripada Sultan Johor. Masyarakat bajau juga disebutkan dalam sejarah Sulu sebagai imigran dari Johor pada awal kurun ke 14 masihi iaitu sebelum Islam diperkenalkan oleh pedagang Arab. Para penghijrah dari Johor ini tidak diterima oleh Sultan Sulu dan masyarakat di Teluk Sandakan. Justeru, kaum penghijrah ini mengambil keputusan menetap di kawasan Tambesan, Tunku, Salurong, Giong dan Madai yang kesemuanya terletak di bahagian Tawau. (Helen Lee Heiss (1984), hal. 150). Sejak itu, kaum nomad yang diketuai oleh Omar bin Akmadal ini dikenali sebagai Bajau akronim kepada perkataan Belayar Jauh yang telah disingkatkan menjadi Bajau. Selain itu, daerah ini juga merupakan kawasan kediaman suku kaum nomad (orang asli) laut yang lebih dikenali sebagai Palauh. Kaum ini masih lagi wujud di Semporna sehingga kini dan boleh dilihat di sekitar perairan Semporna. Hidup dan kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada bot atau 3

perahu dan senantiasa berpindah randah dari satu pulau ke satu pulau yang lain. Kaum Palauh hanya akan singgah di tanah besar Semporna (pekan) jika memerlukan barangan harian. Kini, terdapat sesetengah daripada mereka yang telah berubah kepada kehidupan yang lebih moden dan tinggal di darat. (www.sabah.gov.my/pd.sprn/sejarah.html). Daerah Semporna terbahagi kepada dua bahagian iaitu Tanah Besar Semporna dan kawasan gugusan kepulauan. Di Sempurna juga berlaku percampuran budaya, bahasa dan bangsa. Masyarakat Bajau merupakan suku kaum yang paling dominan di daerah tersebut. Kaum Bajau, Suluk, Melayu, Cina dan Palauh hidup harmoni sejak dahulu lagi. Terdapat deretan bot-bot penambang, kapal-kapal besar dan perahu-perahu layar tradisional yang memenuhi ruang gigi air Semporna. Semporna juga turut merakamkan peristiwa dua buah pulau yang terkenal disebabkan pertikaian kedaulatan MalaysiaIndonesia iaitu Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan. Pada tahun 2002, Pihak Mahkamah Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan yang kedua-dua pulau ini adalah hak milik Malaysia. Ekoran itu, untuk mengekalkan keindahan alam semula jadi dasar laut Pulau Sipadan, kerajaan Malaysia telah memutuskan yang semua bahan binaan buatan manusia dimusnahkan dan dikosongkan pada 31 Disember 2004. Kini, Pulau Sipadan merupakan syurga dunia bagi para penyelam. (Sabah Malaysian Borneo Diving, Sabah Tourism Board, July 2005 : hal 23). Selain itu, Semporna juga terkenal dengan sambutan Regatta Lepa yang diadakan saban tahun di daerah berkenaan. Perahu atau lepa yang dihiasi sambulayang merupakan simbol ikatan perpaduan dalam masyarakat Bajau Semporna semenjak berkurun lamanya. Lepa yang dihiasi sambulayang adalah kenaikan rasmi panglima yang mengetuai sesuatu hawagan yang berkunjung ke sesuatu majlis keramaian. Lepa dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah di daerah Semporna adalah bermaksud perahu. Lepa biasanya diperbuat dari kayu jenis Ubar Suluk ataupun Seraya Merah dan merupakan peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh suku kaum Bajau Semporna. Kewujudan lepa adalah dipercayai bermula dari kaum pedagang dan pendakwah Islam yang tinggal di sekitar persisiran daerah Semporna. Walaupun ianya sudah wujud sekian lama, namun ia lebih dikenali setelah kawasan Tong Talun diisytiharkan sebagai daerah Semporna pada awal kurun kedua puluh. Sehingga kini, Kampung 4

Nusalalung di Pulau Bum-Bum masih lagi menjadi pusat pembuatan lepa yang utama dan di kampung ini jugalah lepa dibuat sejak dahulu kala. Kegunaan utama lepa pada zaman dahulu adalah sebagai kenderaan (alat perhubungan) bagi pedagang-pedagang tempatan untuk membawa muatan ke lain-lain tempat hingga ke kepulauan Sulu, Borneo, Kalimantan dan Sulawesi di sekitar kurun ke 14. Atas kesempatan ini juga, pendakwah tempatan turut mengambil peluang untuk menyebarkan agama Islam. Sebagai satu bukti untuk menyokong penyataan ini ialah terdapatnya motif corak awan larat pada hujung lepa, hulu parang dan mimbar masjid tempatan Semporna yang dipengaruhi oleh corak tulisan khat Islam dan ia kekal sehingga ke hari ini (Buku Regatta Lepa, Sejarah Daerah Semporna, 23-25 April 2010). Dalam persembahan kebudayaan, alat-alat muzik tradisional ataupun tagungguh akan dimainkan di atas lepa dan ini merupakan sesuatu yang amat menarik untuk disaksikan. Keunggulan seni budaya lepa dan sambulayang ini boleh dijadikan sebagai lambang kekuatan perpaduan 1 Malaysia. Daerah Semporna juga turut menempatkan Pulau Sipadan yang terkenal kepada penyelam dari dalam dan luar negeri. Ramai ahli samudera dan penyelam profesional datang saban tahun untuk meneroka keindahan lantai lautnya. Pulau Sipadan terletak 50 Utara di garisan Khatulistiwa di Lautan Sulawesi. Pulau Tropika ini dikelilingi oleh hutan-hutan tebal dan pantai yang berpasir. Pulau Sipadan ini terletak di tengah-tengah habitat marin terkaya di dunia iaitu di Lembangan Indo-Pasifik. Terdapat lebih daripada 3000 spesis ikan dan beratus-ratus spesis batu karang yang telah berjaya dikelaskan (Sabah Malaysian Borneo Diving, Sabah Tourism Board, July 2005 : hal.22). Jacques Cousteau telah mengiktiraf pulau Sipadan ini sebagai salah satu tempat menyelam yang terindah. Kehidupan marin di sini adalah pelbagai, dari hidupan mikro ke kerang gergasi, dari ikan buran ke jerung harimau dan dari geragau ke lobster menjadi sebab mengapa para penyelam ini datang ke mari. Tarikan lain seperti dinding dan gua dasar laut melengkapkan lagi penerokaan bawah laut. Pulau peranginan lain yang terkenal ialah Pulau Mabul, Kapalai, Mataking dan Sibuan. Selain itu juga, kini nama Pulau Bohey Dulang dan Pulau Gaya turut menjadi semakin popular dengan lingkaran gunung berapinya yang sudah mati. Pulau-pulau di Semporna telah diwartakan sebagai Taman Laut Tun Sakaran. Nama taman laut ini

diambil sempena nama bekas Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah yang juga berasal dari daerah Semporna. (En. Amir Basan Asan, 03 September 2011). Dari sudut prasejarah daerah Semporna juga turut menempatkan sebuah tapak arkeologi dunia iaitu Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak yang terletak di kawasan Tampi-Tampi. Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak merupakan salah satu daripada tempat peninggalan manusia zaman purba yang berada di negeri Sabah. Bukit Tengkorak ini terletak di daerah Semporna iaitu kira-kira 500 kaki di atas paras laut di persisiran pantai Semporna, Timur Sabah (Utara 4 27 0 20.080 dan 118 370 04.30 Timur). Bukit

Tengkorak yang terletak di selatan pekan Semporna berhampiran dengan Sekolah Menengah Agama Tun Sakaran dan merupakan sebuah tapak sejarah zaman batu. Bahan-bahan arkeologi yang ditemui membuktikan bahawa sejarah penduduk dan petempatan awal di Sabah boleh dijejaki sejak zaman paleolitik iaitu zaman batu awal kira-kira 200 000 300 000 tahun dahulu. Penduduk yang tinggal di dalam gua dipercayai merupakan penduduk yang terawal di Sabah dan telah dijumpai di Tingkayu, Sabah. Kemudiannya diikuti oleh zaman Neolitik iaitu kira-kira 7000 tahun dahulu. Pada zaman ini penempatan-penempatan manusia yang dikenali sebagai orang Hoabinh telah ditemui di Gua Madai, Kunak, di Bukit Tengkorak, Semporna dan di Gua Gomantong, Sandakan. Seterusnya zaman beralih dengan adanya kemunculan zaman logam kira-kira 4000 tahun dahulu. (Nor Aslina Bt Mamat & Norlela Bt Mamat, PNI NEURON (M) SDN. BHD, 2010 Masteri Memori Melalui Peta Minda Sejarah, hal : 7). Dalam perkembangan hidup dan budaya manusia, jumpaan alatan dan perkakasan dan untuk menghasilkan alatan daripada tanah liat merupakan salah satu kegiatan utama dan kesenian dalam kehidupan manusia dan perkembangan saintifik di zaman prasejarah. Perkakasan yang diperbuat oleh manusia ini wujud sejak zaman prasejarah Malaysia iaitu daripada bermulanya aktiviti memburu sehingga kepada aktiviti bercucuk tanam. Bekas tembikar yang dicipta oleh manusia zaman dahulu bukan sahaja digunakan untuk menyimpan makanan dan air tetapi turut digunakan dalam upacara ritual keagamaan dan kepercayaan masyarat dahulu. Di Malaysia, kebanyakkan peralatan zaman prasejarah ini ditemui di Sabah

bermula di Gua Tapadong di Sungai Segama, di Hagop Bilo, Gua Baturong, Agop Atas, Gua Madai dan tapak pelindung batuan utama di Bukit Tengkorak, Semporna (Nik Hassan Shuhaimi (2003), hal. 32). Peralatan perkakasan ini juga digunakan sebagai tujuan perhiasan dan digunakan dalam upacara adat-istiadat. Antara kegunaan peralatan tersebut adalah berfungsi sebagai belanga atau periuk untuk memasak, tempat menyimpan air, dan peralatan untuk makan dan minum. Beberapa serpihan tembikar yang dijumpai di Bukit Tengkorak Sabah dipercayai digunakan untuk penciptaan periuk belanga bagi alatan dapur oleh masyarakat purba dahulu. Artifak ini merupakan artifak yang pertama sekali berkembang di China sekitar tahun 4500 sebelum tahun Masihi dan masih lagi kekal diamalkan sehingga kini oleh masyarakat Bajau Laut (Palauh) di Sabah. Hasil daripada kajian tembikar prasejarah ini menunjukkan bagaimana kebudayaan berkembang daripada menggunakan alatan yang ringkas kepada yang lebih canggih dan berteknologi tinggi. Perkembangan ini termasuklah revolusi penciptaan alatan perkakasan, perubahan bentuk dan teknik pembakaran dan fungsi artifak ini sendiri. (Ibid. Hal : 33). Bukit Tengkorak juga telah dikenal pasti sebagai tempat pembuatan tembikar yang terbesar sekali di Asia Tenggara pada zaman neolitik iaitu kira-kira 3000 tahun dahulu. Kajian arkeologitelah dijalankan secara sistematik dan saintifik di Bukit Tengkorak dan kawasan sekitar daerah Semporna oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah semenjak tahun 1994 sehingga hari ni. (http://puadede.com/). Keunikan Bukit Tengkorak ini adalah kerana lokasinya yang strategik dikelilingi oleh pulau dan lautan berbanding dengan tapak-tapak arkeologi di Tingkayu, Gua Madai, Gua Gomantong dan Agop Batu Tulug yang terletak jauh di kawasan daratan atau bukit di Pantai Timur Sabah. Nama Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak, Semporna yang kini di bawah jagaan Muzium Sabah, kononnya diambil sempena dengan penemuan banyak tengkorak manusia di lereng bukit tersebut pada zaman dahulu dan juga kerana bentuk rupa batu yang seolah-olah tengkorak manusia di bukit berkenaan. (http://museum.sabah.gov.my/tengkorak.htm). Tengkorak manusia yang telah ditemui itu dipercayai merupakan tengkorak manusia pada zaman dahulu dan mempunyai hubungan yang berkait rapat dengan revolusi kehidupan masyarakat sebelum 7

kedatangan era kemodenan. Tengkorak merupakan suatu lambang cara hidup masyarakat zaman dahulu yang belum bertamadun dan dipengaruhi oleh era zaman batu sebagai intipati prasejarah di sesebuah kawasan. Sehingga hari ini, masih ramai lagi yang tertanya-tanya mengenai asal-usul nama bukit tengkorak yang sebenarnya. Hal ini berikutan terdapat dua perbezaan pendapat daripada masyarakat mengenai asal usul nama Bukit Tengkorak. Ada yang berpendapat bahawa bukit ini diberikan nama tersebut kerana mempunyai banyak jumpaan tengkorak manusia zaman prasejarah. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa tengkorak-tengkorak yang dijumpai itu merupakan tengkorak mangsa kekejaman Jepun. Akan tetapi, dengan adanya bukti penemuan tengkorak manusia yang berusia ribuan tahun dahulu yang banyak dijumpai di kawasan lereng-lereng bukit berkenaan menyebabkan nama bukit ini sebenarnya adalah bersempena dengan penemuan tengkorak masyarakat zaman prasejarah dahulu. (http://museum.sabah.gov.my/tengkorak.htm) Apa Ada Di Bukit Tengkorak? Berdasarkan kajian geologi yang telah dijalankan di Bukit Tengkorak dan kawasan sekitarnya, telah membuktikan bahawa Bukit Tengkorak adalah sebahagian daripada bibir kawah gunung berapi yang berdiameter 2km2 dan ianya telah meletus pada zaman pilosen iaitu kira-kira 5.2 juta hingga 1.8 juta tahun dahulu. (http://puadede.com/) Berdasarkan hasil kajian arkeologi yang diperolehi pula, menunjukkan bahawa Bukit Tengkorak merupakan sebuah tapak pembuatan tembikar prasejarah yang terbesar di Asia Tenggara. Antara bukti arkeologi yang telah ditemui terdiri daripada ribuan serpihan tembikar prasejarah dan tanah liat yang digunakan untuk pembuatan tembikar. Bukit Tengkorak juga dianggarkan mengandungi lebih daripada 6 juta serpihan tembikar prasejarah yang boleh ditemui di sekitar kawasan bukit berkenaan dengan pelbagai corak perhiasan yang diperbuat menggunakan alatan seperti kuku, siput dan bahan kayu. Selain itu, menurut kajian etnoarkeologi pula, telah menunjukkan bahawa teknologi pembuatan tembikar ini masih lagi diamalkan sehingga hari ini oleh masyarakat Bajau di daerah Semporna. Antara bukti arkeologi yang ditemui semasa ekskavasi di tapak berkenaan ialah artifak prasejarah seperti pengebumian manusia dalam keranda kayu balak, tempayan, dan pengebumian lunjur. Selain itu 8

terdapat juga alat batu mikrolit yang dibuat daripada akik, cert dan obsidian, serpihan tembikar tanah dan batu, loceng gangsa, alat-alat besi, manik, dan sisa-sisa flora dan fauna seperti tulang haiwan, ikan dan cengkerang laut. (http://www.edidik.com/). Dengan adanya penemuan artifak ini, kajian perbandingan jumpaan artifak seperti tembikar dan alat batu yang ditemui di Bukit Tengkorak ternyata menunjukkan banyak persamaan dengan artifak yang ditemui di tapak-tapak sezaman yang lain di Asia Tenggara dan Lautan Pasifik. Berdasarkan kajian paleoantropologi dan perbandingan rangka-rangka manusia yang ditemui di Semporna dan tapak arkeologi lain di Asia Tenggara, turut menyokong hipotesis migrasi dan penyebaran berleluasanya populasi manusia prasejarah di Asia Tenggara pada zaman neolitik dan zaman logam. Pertemuan alat batu mikrolit yang diperbuat daripada batuan akik, cert dan obsidian merupakan suatu penemuan yang sangat unik. Hal ini demikian kerana, industri alat batu mikrolit itu merupakan penemuan yang luar biasa dan jarang sekali ditemui di kepulauan Asia Tenggara. Penemuan penggerudi akik yang dipercayai digunakan untuk membuat lubang pada kulit haiwan atau perhiasan diri daripada kulit siput, serta penemuan kapak beliung kecik merupakan antara bukti peralatan yang telah digunakan oleh manusia pada zaman purba. Hadil daripada kajian arkeologi yang telah dijalankan di Bukit Tengkorak telah menunjukkan bahawa tapak arkeologi ini kaya dengan artifak dan bahan-bahan sejarah tersebut. Asosiasi artifak berkenaan menunjukkan bukti kewujudan aktiviti sibsisten seperti perburuan haiwan, penangkapan ikan dan pengumpulan cengkerang di laut oleh masyarakat zaman prasejarah ini. Bukit Tengkorak Sebagai Kawasan Tapak Arkeologi Sememangnya kita patut rasa bertuah apabila dapat berkunjung ke tapak arkeologi Bukit Tengkorak, iaitu satu lagi tapak prasejarah Malaysia dan Asia Tenggara di zaman Neolitik. Kewujudan tapak bersejarah ini telah memberikan peluang kepada pencinta sejarah untuk mengkaji dan mendalami ilmu mengenai susur-galur sejarah tamadun awal manusia prasejarah di sekitar Semporna khasnya dan Sabah amnya. Apabila melawat tempat berkenaan, para pengkaji dapat melihat kesan-kesan peninggalan sejarah manusia purba seperti penemuan lebih enam ribu tembikar dan 6 juta serpihan tembikar sejak hampir dua dekad yang lalu di lereng-lereng bukit berkenaan. Sesungguhnya bagi pencinta sejarah, 9

tempat ini sudah pastinya menjanjikan keseronokan yang tersendiri kerana mereka dapat melihat dengan mata kepala sendiri segala peninggalan zaman Neolitik kira-kira 3000 tahun dahulu. Mengikut sumber daripada New Sabah Times bertarikh 21 November 2010, Bukit Tengkorak di Semporna ini menyimpan bukti dan hipotesis baru mengenai penghijrahan manusia dan perdagangan atau pertukaran maritim prasejarah di kepulauan Asia Tenggara dan Pasifik. Hal ini terbukti jelas apabila terdapat penemuan mengenai bukti perdagangan laut yang terpanjang di dunia iaitu bermula dari Timur Sabah ke New Britain di Melanesia, sejauh lebih 3500 km kira-kira 3000 tahun yang lalu. (New Sabah Times, 21 Nov 2010) Selain itu, di tapak arkeologi ini juga generasi kita pada hari ini akan dapat melihat sendiri tapak pembuatan dan pemprosesan tembikar tanah iaitu tempat pasu dibakar yang terbesar di Asia Tenggara pada zaman neolitik. Dengan menghayati budaya dan ketamadunan manusia awal prasejarah ini, generasi muda dapat membuka fikiran mereka mengenai usaha gigih dan kejayaan manusia zaman purba dahulu yang boleh mencipta sejarah di zaman mereka. Manusia zaman purba telah berjaya membuat dan menjalankan aktiviti perdagangan maritim dan pergerakan manusia secara jarak panjang dan jauh walaupun berada pada zaman yang serba kekurangan ketika itu. Pemikiran dan penghayatan sebegini sudah tentu akan dapat membangkitkan semangat generasi muda kita hari ini untuk lebih berusaha dan berdaya saing untuk menjadikan negara Malaysia sebagai satu negara dan bangsa yang bertamadun kelak. Dengan penemuan pelbagai artifak seperti tembikar, alat-alat batu, tempayan, manik dan sisa tulang haiwan, ikan dan cangkerang laut dapat memberi pendedahan yang luas kepada masyarakat mengenai aktiviti harian masyarakat zaman purba dahulu yang melibatkan pelbagai kegiatan ekonomi. Di samping itu juga, bagi pengkaji sejarah batuan pula mereka sudah tentu akan dapat menimba banyak ilmu di kawasan tapak arkeologi ini. Formasi geologi bukit ini terdiri daripada bukit dan gunung terpencil yang merupakan bekas tapak gunung berapi yang sudah tidak aktif lagi sejak zaman pilosen iaitu kira-kira 5.2 juta tahun hingga 1.8 juta tahun dahulu. Dari puncak bukit ini juga jelas kelihatan Pulau Orang Tua Tidur yang terbentang luas. Pulau ini sebenarnya, adalah bibir sebuah gunung berapi besar yang telah meletup berjuta-juta tahun dahulu. Berikutan letupan itu telah mewujudkan tiga buah pulau 10

iaitu Pulau Bohey Dulang, Pulau Tatangan dan Pulau Gaya yang membentuk sebuah pulau yang berbentuk seseorang yang sedang berbaring dan dikenali Pulau Orang Tua Tidur

(www.facebook.com/note.php). Tempat yang menyimpan misteri kehidupan masyarakat zaman lampau ini hanya memerlukan perjalanan yang singkat iaitu selama 20 minit daripada pekan Semporna. Berjalan menaiki anak tangga yang diperbuat daripada kayu ke puncak bukit ini akan memberikan peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin melihat sistem-sistem gua di bukit berkenaan. Sejarah pengkajian berjaya membuktikan aktiviti perdagangan yang dijalankan di antara masyarakat yang hidup di Bukit Tengkorak dan komuniti masyarakat prasejarah dahulu berlaku di sepanjang pinggir pantai Selatan-Tenggara Sabah. Salah satu kepentingan utama yang menjadi tarikan daerah ini ialah tapak arkeologi ini akan berkembang dan menjadi warisan penting suku kaum Bajau (Joy Entry (2006), Semporna di Kaki Langit, hal : 23). Berdasarkan pemerhatian di sekitar Bukit Tengkorak, terdapat banyak batuan besar dan bongkah batu yang terdiri daripada pelbagai bentuk, warna dan struktur. Batuan besar dan tertonjol ini dihiasi dengan daun-daun rumput hijau yang tumbuh subur di sekitar kawasan batuan tersebut. Kehijauan rumput dan warna batuan yang terdiri daripada warna gelap dan cerah itu memberikan pemandangan yang indah semulajadi di puncak Bukit Tengkorak. Batu-batu besar itu terdiri daripada tekstur batuan yang kasar dan keras serta mempunyai rupa bentuk yang sangat unik. Hal ini terbukti jelas apabila kita berada di puncak bukit berkenaan, kita akan dapat melihat bentuk-bentuk batu yang kelihatan seperti tengkorak manusia, batu yang menyerupai mulut buaya, dan batu-batu sederhana yang mempunyai bentuk seperti kawanan anak gajah yang sedang bermain. Menurut Pegawai Penjaga Muzium Bukit Tengkorak ini, pada suatu masa dahulu semua pulau di Semporna ini berasal daripada satu pulau yang sama. Namun, apabila berlakunya kejadian letusan gunung berapi maka pulau yang satu itu terpecah dan terpisah-pisah menjadi beberapa buah pulau yang wujud di sekitar daerah Semporna ini. Menurut beliau, jumlah pengunjung yang datang berkunjung ke bukit ini sangat ramai iaitu lebih daripada 200 hingga 300 orang sehari terutamanya pada hari sabtu dan ahad. Para pengunjung yang datang juga terdiri daripada pelbagai lingkungan umur sama ada orang awam atau 11

pelajar sekolah dan dari pelbagai tempat di seluruh Malaysia (Temubual dengan Mohd Safri, 30 Julai 2011). Bagi kakitangan Tapak Arkeologi Tengkorak, En. Mohd Safri Sahri menyatakan bahawa sehingga ke hari ini pelbagai penemuan bukti arkeologi yang terdiri daripada ribuan serpihan tembikar prasejarah ditemui. Serpihan tembikar tanah yang berpuluh-puluh ribu diperbuat daripada tanah liat yang digunakan untuk membuat tembikar yang berusia 3000 tahun dahulu serta dihiasi dengan pelbagai corak. Hal ini sekaligus memberikan gambaran kepada kita mengenai aktiviti kehidupan masyarakat lampau yang lebih cenderung tinggal di kawasan tinggi selain menjadikan batu batan dalam pelbagai bentuk sebagai tanda kewujudan mereka di suatu tempat. Bukit Tengkorak Sebagai Kawasan Pelancongan Selain menjadi kawasan tapak arkeologi, Bukit Tengkorak juga berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan pelancongan baru di Semporna. Kedudukan Bukit Tengkorak yang strategik dan terletak di kawasan Kampung Tampi-Tampi membuatkan orang ramai yang datang berkunjung ke sini akan menemui sesuatu yang menakjubkan dan memperolehi maklumat yang sangat tepat untuk mengenali daerah Semporna dengan lebih mendalam. Pengarah-pengarah filem terkenal juga telah menggunakan kawasan Tampi-Tampi yang menempatkan tapak arkeologi ini untuk filem komersil dan dokumentari. Antara filem yang pernah diarahkan disini ialah filem Duyong terbitan KRU Films. Kebanyakan aksi filem Duyong diambil di kawasan Tampi-Tampi, Semporna. Selain itu, Pihak National Geographic juga telah membuka pejabat kecilnya di sini. Dengan adanya tempat-tempat pelancongan menarik di kawasan sekitar ini, menjadikan lawatan ke Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak menjadi serampang dua mata kepada aktiviti pelancongan negara. Apabila berada di Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak di Semporna, kita akan berada di suatu lokasi yang terbaik untuk melihat keseluruhan pemandangan daerah Semporna dan kedudukan paling baik bagi pengemar fotografi (http://puadede.com/). Menurut Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang merupakan Ahli Parlimen Semporna merangkap Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Malaysia, Bukit Tengkorak ini terletak di tengah-tengah laluan yang memberikan kesempatan kepada para pelancong untuk berkunjung ke kawasan ini. Pelancong 12

yang hendak ke Pulau Sipadan, Pulau Mabul atau Kapalai biasanya singgah di Bukit Tengkorak samaada semasa pergi atau balik dari pulau-pulau peranginan itu. (www.Bernama.com/bm/news) Bagi mereka yang gemarkan aktiviti pendakian bukit tanpa risiko, lokasi ini merupakan tempat yang sesuai kerana membenarkan kita berada di puncak Bukit Tengkorak dengan hanya perlu berjalan kaki menaiki anak tangga sahaja. Semasa berada di puncak bukit, kita akan dapat melihat dan memerhatikan seluruh kawasan daerah Semporna seperti kawasan Pulau Bum-Bum, Tampi-Tampi, Pulau Lelaki Tua Tidur, Kampung Sum-Sum dan Pekan Semporna. Keistimewaan bukit ini juga membolehkan pulau yang turut dikenali sebagai The Sleeping Old Man atau dalam bahasa Bajau Pulau Mattoa Lalla Atuli dilihat dengan lebih jelas dari puncak bukit. Pulau Lelaki Tua Tidur itu merangkumi tiga buah pulau iaitu Pulau Gaya di Utara (kaki), Pulau Bohay Dulang (badan), dan Pulau Tatangan (kepala). Pulau Lelaki Tua Tidur ini merupakan salah satu daripada daya penarik untuk orang ramai datang berkunjung ke Bukit Tengkorak. Pulau Lelaki Tua Tidur di Laut Sulawesi yang berhampiran dengan pesisir pantai pekan Semporna Sabah menyimpan seribu misteri dan kononnya pulau ini muncul sebagai bukti cinta sejati dan persahabatan. (http://mforum.cari.com.my/) Walaupun tiada bukti saintifik, cerita keunikan pulau itu boleh dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong ke pulau The Sleeping Old Man, sekaligus merupakan pakej tambahan bagi mereka yang mengunjungi destinasi pelancongan Bukit Tengkorak dengan menyaksikan keunikan pulau itu dari bukit berkenaan.

Kepentingan Bukit Tengkorak Kepada Sejarah Awal Sabah dan Malaysia Bukit Tengkorak merupakan sebuah tapak arkeologi yang penting di Malaysia dan Asia Tenggara. Kepentingan Bukit Tengkorak termasuklah dengan penemuan bukti dan hipotesis baru mengenai penghijrahan manusia dan perdagangan atau pertukaran maritim prasejarah di kepulauan Asia Tenggara dan Pasifik. Penyelidikan arkeologi di Bukit Tengkorak telah menemui bukti perdagangan laut yang terpanjang di dunia, iaitu dari Timur Sabah ke New Britain di Melanesia, sejauh lebih 3,500 kilometer kira-kira 3,000 tahun dahulu. Bukti ini secara tidak langsung mencadangkan kepentingan lautan

13

dari Melanesia ke kepulauan Asia Tenggara, 2,000 3,000 tahun sebelum Captain James Cook menjelajahi kepulauan Asia Tenggara dan Lautan Pasifik pada 17681779. (http://msmy.connect.facebook.com/note.php). Seterusnya, Bukit Tengkorak yang telah dikenalpasti sebagai salah satu tapak pembuatan tembikar tanah yang terbesar di Asia Tenggara pada zaman neolitik merupakan suatu yang bernilai bagi sejarah awal Sabah dan Malaysia. Bukit Tengkorak yang menyimpan banyak artifak, ekofak dan tinggalan manusia prasejarah dahulu seharusnya dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya kerana Bukit Tengkorak merupakan antara khazanah terulung negara. Hal ini berikutan terdapat banyak warisan sejarah purba seperti yang terdapat di Tingkayu dan Gua Madai kini telah dibangunkan oleh pihak kerajaan untuk tujuan yang lain sehinggakan sudah tiada lagi kesan sejarah di tapak-tapak arkeologi awal itu. Warisan seperti Bukit Tengkorak seharusnya dipelihara agar dapat menjadi tatapan dan iktibar kepada generasi akan datang. Penyelidikan arkeologi telah berjaya meletakkan nama Malaysia dalam peta arkeologi dunia. Jumpaan arkeologi merubah pensejarahan negara melalui penyelidikan yang sistematik dan saintifik. Pulau Borneo terutamanya Mansuli di Lahad Datu, Sabah, memberikan pentarikhan kebudayaannya yang berusia 100 000 tahun dahulu. Manakala, penyelidikan pada tahun 2007 telah berjaya meletakkan Bukit Tengkorak ini sebagai tapak industri pembuatan tembikar tanah yang terbesar di rantau Asia Pasifik. Secara keseluruhannya, setiap negeri di Malaysia mencatatkan penemuan bukti-bukti arkeologi dunia. Sabah memulakan usaha menjejak prasejarahnya dalam tahun 1960-an dengan menjalankan penyelidikan bermula pada gua-gua. Akan tetapi, hanya dengan melalui kajian arkeologi di kawasan Teluk Darvel (Tapak Terbuka Tingkayu, Gua Baturong dan Gua Madai) di pantai Timur, memberi gambaran bahawa prasejarah Sabah bermula sekitar 28 000 tahun yang lalu. Dapatlah disimpulkan bahawa lebih 20 000 tahun dahulu aliran lahar dari Gunung Berapi Mostyn yang kini sudah mati menghempas Sungai Tingkayu lalu membentuk tasik. Peralatan zaman batu yang halus dijumpai di dasar bekas tasik yang dipercayai tapak pembuatan alat-alat zaman batu, yang sama jenisnya di rantau Asia Tenggara dan menunjukkan kehadiran penghuni di persisiran tasik itu lebih daripada 17,000 tahun dahulu. 14

Apabila tasik mengering maka gua pun kelihatan terbentuk daripada batu kapur massif di Baturong. Penghuni mulai berpindah dan tinggal di gua itu dalam jangka masa lebih kurang 5,000 tahun. Sama ada penduduk di gua itu adalah keturunan penduduk yang tinggal di persisiran tasik itu atau sebaliknya, tidak dapat dipastikan tetapi yang nyata penduduk gua itu tidak lagi membuat peralatan yang sama. Lebih kurang 12,000 tahun yang lalu, tempat perlindungan di Baturong ditinggalkan. Dua ribu tahun kemudian manusia mulai mendiami gua-gua Madai yang lebih luas terletak disebelah timur gua Baturong selama lebih kurang 3,000 tahun. Pada ketika itu paras laut sudah mencapai takat seperti sekarang. Sesudah itu gua-gua Madai juga ditinggalkan. Pada kira-kira tahun 1,000 sebelum masihi manusia mendiami kembali gua-gua itu dengan membawa bersama peralatan baru seperti tembikar dan kemudian tembaga dan peralatan besi dan batu permata dari India yang akhirnya menjadi tinggalan di kawasan itu bersama-sama dengan peralatan sebelumnya. Gua Madai terletak di daerah Kunak, Parlimen P188 Silam Sabah. Sekitar tahun 500 Masihi gua-gua Madai ditinggalkan sekali lagi dan seperti juga gua Baturong, gua madai digunakan sekali sekala untuk pengebumian. Pada ketika itu, aktiviti memungut sarang burung giat dijalankan untuk dijual bersama-sama dengan hasil hutan yang lain kepada orangorang Cina sebagai tukaran untuk peralatan tembikar dan barang-barang lain dari China. (Silamgemilang.Wordpress.com/2009/02/24/Sejarah-Sabah-28000-tahun-lalubermula-di parlimen-p188Silam) Nasib Bukit Tengkorak Seterusnya Bukit Tengkorak telah di rancang sebagi kawasan pelancongan baru. Menurut sumber yang dipetik daripada Bernama.com yang bertarikh 18 April 2008, pihak Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan menggiatkan usaha memajukan kawasan arkeologi terbesar negara di Bukit Tengkorak, berdekatan pusat peranginan Pulau Sipadan, sebagai sebuah kawasan pelancongan baru. Menurut Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kesan-kesan peninggalan sejarah manusia purba serta laluan perdagangan antara negara-negara di sekitar Laut Andaman boleh dilihat dengan jelas di kawasan Bukit Tengkorak. Beliau juga berkata penemuan lebih 6,000 tembikar sejak hampir dua dekad lalu juga menjadi aset penting dalam menjadikan Bukit Tengkorak sebagai tempat tumpuan ramai, 15

terutama di kalangan mereka yang terbabit secara langsung dengan kajian sejarah. Oleh hal yang demikian, usaha untuk memajukan kawasan Bukit Tengkorak sebagai salah satu pusat pelancongan baru akan digiatkan lagi agar dapat mempromosikan Bukit Tengkorak sebagai satu lagi destinasi pelancongan yang menarik. Di samping itu, risalah-risalah dan makumat mengenai kawasan pelancongan ini akan disediakan dan diedarkan kepada orang ramai bagi tujuan mempromosikan Bukit Tengkorak kepada umum. Pada 8 November 2010, telah turut diadakan juga satu majlis bagi tujuan penyerahan tapak siap kerja projek pembangunan Bukit Tengkorak, Semporna, Sabah. Majlis penyerahan tapak ini telah dilangsungkan di Bangunan Galeri Warisan, Bukit Tengkorak Semporna yang telah dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Ellron Angin, Pembantu Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah, Ybhg. Profesor Datin Paduka Zuraina Majid, Ketua Pengarah, Jabatan Warisan Negara, YBrs Norsih bin Nusuri, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Pejabat Daerah Semporna, YBrs Tuan Haji Nurjaileh, wakil Ketua Daerah, Pejabat Mahkamah Anak Negeri Semporna dan YBrs Profesor Madya Dr. Stephen Chia, Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Malaysia, USM. Antara projek pembangunan Bukit Tengkorak yang dilakukan oleh Jabatan Warisan Negara adalah pembinaan Bangunan galeri Warisan, rumah penyelidik, pejabat Jabatan Muzium Sabah, tandas awam, papan penerangan, pelantar dan wakaf, pintu gerbang dan pelindung petak ekskavasi yang terdapat dimanfaatkan oleh pengunjung (http://www.heritage.gov.my/). Dalam majlis tersebut, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Alfred Angin berkata, projek pembangunan Bukit Tengkorak ini bernilai RM4.2 juta dan akan menjadi destinasi pelancongan baru Sabah. Beliau berkata pembangunan projek yang dikendalikan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) ini merupakan usaha untuk memelihara tapak sejarah yang melambangkan peradaban dan ketamadunan bangsa untuk dihayati oleh seluruh rakyat di negara ini. Bukan itu sahaja, tapak arkeologi ini juga sekaligus memberikan peluang dalam merancakkan industri pelancongan negeri Sabah. Tapak warisan dan monumen atau bentuk apa sahaja, termasuk warisan tidak ketara, akan terus dipelihara dan dikekalkan sepenuhnya selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005. 16

Terdahulu, Pesuruhjaya JWN Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid berkata Bukit Tengkorak merupakan salah satu tapak di kawasan pantai timur Sabah yang dikenal pasti mempunyai nilai prasejarah yang tinggi. Menurutnya, kawasan lain yang menjadi tumpuan JWN ialah Mansuli di Lahad Datu dan Tingkayu di Kunak. Sementara itu, Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Datuk Pounis Guntavid berkata jabatannya akan memulakan pengisian di ruang-ruang legar bangunan utama Bukit Tengkorak dengan artifak prasejarah yang ditemui di situ (New Sabah Times, 09 Nov 2010). Jabatan Warisan Negara bertanggungjawab dalam merancang pelan pembangunan tapak-tapak arkeologi di Malaysia yang merangkumi penyelidikan, pemeliharaan, pemuliharaan, konservasi, pembangunan fizikal, pendidikan, promosi dan lain-lain lagi. Pembangunan di Bukit Tengkorak turut melibatkan penyenggaraan tapak. Tapak arkeologi ini harus di buka kepada para pelancong untuk mempromosikan pendidikan sejarah negara serta menyuburkan rasa bangga dan cinta akan negara kita. Namun begitu, perlu diingat juga pembangunan yang dilakukan haruslah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan gangguan dan kemusnahan apa-apa jumpaan dan bukti arkeologi, atifak atau pun ekofak yang berada di tapak. Selain itu, landskap asal tapak arkeologi juga perlu dikekalkan dan dipelihara serta tidak merosakkan permukaan tanah di tapak kerana setiap kawasan berpotensi untuk dijalankan kerja-kerja ekskavasi atau penyelidikan lanjutan. Selanjutnya, langkah lain yang perlu di ambil perhatian serius ialah mengenai penggunaan bahan binaan bagi tujuan pembangunan fizikal hendaklah seimbang dengan nilai, ketahanan, estetika serta penggunaan bahan setempat. Ini termasuklah penyediaan kemudahan kepada para pelawat sama ada galeri, wakaf, panel, informasi, walkway, papan tunjuk arah dan sebagainya. Sesungguhnya, nasib tapak Arkeologi Bukit Tengkorak ini dapat bermula dan berakhir dengan baik sekiranya semua pihak bijak menghargai, menjaga dan memelihara kepentingan keunikan bukit prasejarah ini. Maka, kita perlu berganding bahu mengekalkan warisan tamadun awal manusia di negara kita. Oleh itu, usaha yang proaktif, pragmatik dan jitu ini memerlukan iltizam dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Semoga dengan pameran-pameran dan bahan yang bakal disediakan oleh pihak muzium tapak arkeologi ini akan mampu untuk membantu mewujudkan masyarakat yang berkualiti, 17

berilmu dan berbudaya tinggi sehingga terbentuknya masyarakat yang mencintai warisan budaya, sejarah dan alam semula jadi negara. Penutup Konklusinya, Bukit Tengkorak merupakan sebuah tapak arkeologi yang masih perlu dirungkai untuk mengetahui lebih banyak sejarah yang tidak ternilai kepada negara. Penemuan tinggalan manusia zaman purba membuktikan Bukit Tengkorak amat penting untuk kajian masa lalu khasnya pada zamanzaman awal manusia di Sabah. Mengikut perspektif dan pandangan lain, Bukit Tengkorak juga mungkin sama penting atau mempunyai kaitan dengan tapak-tapak arkeologi seperti yang terdapat di Tingkayu dan Gua Madai di daerah Kunak serta Gua Gomantong dan Agop Batu Tulug di daerah Kinabatangan yang mana semua kawasan ini terletak di pantai timur Sabah. Generasi sekarang cukup bertuah kerana dapat meneliti dan menghayati perubahan yang telah berlaku hasil daripada kemajuan yang telah dicapai oleh masyarakat lampau. Kita kini tahu bahawa hasil daripada pembangunan pengetahuan baik dari segi keagamaan, falsafah ataupun sains dan teknologi, begitu banyak perubahan yang telah berlaku dari masa ke masa. Pada hari ini kita dapat melihat sendiri bagaimana dengan peluang yang ada, kita berupaya untuk meningkatkan tamadun yang telah kita bina selama ini untuk mencapai kehidupan yang lebih baik sama ada dari aspek politik, ekonomi ataupun sosial. Bukti pencapaian masyarakat lampau ini dapat dilihat daripada warisan mereka seperti penemuan artifak, serpihan-serpihan tembikar dan ekofak. Satu pengajaran yang dapat diteladani daripada tamadun awal ini ialah keperluan mempunyai kebolehan menjangka perubahan yang akan berlaku. Dunia kian berubah kerana ilmu kian bertambah dan teknologi terus bercambah dan buktinya telah kita dapat lihat. Disamping itu juga, kita patut mencontohi kegigihan dan semangat berusaha yang ditunjukkan oleh masyarakat zaman prasejarah. Tanpa peralatan dan teknologi yang canggih, mereka mampu mencipta pelbagai peralatan daripada batu, tembikar, gangsa dan besi yang kemudiannya telah menjadi asas perkembangan teknologi masyarakat selepasnya.

18

Kegigihan, semangat berusaha, dan daya kreativiti masyarakat zaman prasejarah perlu diteladani agar kita menjadi warganegara yang gigih dan berdikari tanpa mengharapkan bantuan daripada orang luar. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya meneruskan usaha untuk meningkatkan pemikiran dan kemahiran kita dengan cara menambahkan ilmu yang ada atau meneroka bidang baru untuk mempertingkatkan tamadun kita. Hal ini amat penting supaya pencapaian kita pada hari ini dapat diwarisi atau dapat dinikmati dan dibanggai oleh generasi yang akan datang.

19

Anda mungkin juga menyukai