Seperti yang kita sedia maklum, permainan tradisional merupakan sejenis permainan warisan nenek moyang kita dahulu. Terdapat pelbagai jenis permainan tradisional yang popular di negara kita, dan setiap permainan mempunyai nama dan corak permainan yang berbeza.
Permainan tradisional mengandungi banyak nilai, falsafah, dan unsur Pendidikan yang tersirat dan perlu dihayati serta dipraktikkan. Permainan tradisional juga dapat menerapkan kemahiran sosial kapada setiap pemainnya. Ini dapat dipraktikan melalui cara permainanya yang melibatkan dua orang dan lebih.Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan interaksi sosial, toleransi serta semangat kerjasama di antara pemainnya. Permainan tradisional juga di kenali sebagai permainan rakyat. Ada diantara permainan ini yang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Akan tetapi, terdapat juga jenis permainan tradisional yang masih kekal dimainkan oleh anak-anak kita pada hari ini. Tidak lain dan tidak bukan, ialah batu seremban. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ini lah peribahasa yang amat sesuai dikaitkan dengan permainan batu seremban. Batu seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. Permainan ini adalah sebagai mengisi masa lapang yang menarik berdasarkan bentuk dan cara bermain. Batu seremban dimainkan di dalam
rumah, bawah rumah, halaman rumah dan tempat-tempat yang difikirkan bersesuaian. Permainan ini juga sering dimainkan di sekolah terutamanya semasa rehat atau sebelum kelas bermula. Namun yang menariknya, batu seremban ini masih dimainkan sehingga kini sama ada mereka tinggal di kampung ataupun mereka yang tinggal di bandar. Ini bermakna permainan ini masih dapat bertahan dan berjaya menarik minat kanak-kanak sehingga kini.
Permainan batu seremban merupakan satu permainan yang digemari oleh kanak-kanak dan remaja perempuan negara ini walaupun bermacammacam serta berjenis-jenis permainan yang ada di zaman yang moden ini bak cendawan tumbuh selepas hujan namun permainan batu seremban tetap menjadi pilihan. Namun begitu, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar permainan ini mula-mula dimainkan. Batu seremban berkait rapat dengan bandar Seremban, ibu negeri Negeri Sembilan. Terdapat satu cerita di sebalik nama permainan ini. Kononnya pada suatu hari ketika zaman dahulu, terdapat dua beradik perempuan bernama Embun dan Senja yang suka berkelahi yakni bergaduh. Mereka selalu bertindak membaling batu sesama sendiri apabila bergaduh. Sehingga pada satu ketika Embun dan Senja mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan akibat terkena balingan batu. Bapa mereka menjadi berang dan hilang sabar. Dua beradik ini diheret ke halaman. Bapa mereka menyuruh mereka mengutip batu-batu yang terdapat di halaman rumah. Oleh sebab mereka kerap membaling batu sesama sendiri, mereka didera melambung batu itu selagi terdaya. Mereka juga dikehendaki mengira batu yang dilambung. Rakan-rakan sekampung yang melihat perlakuan mereka itu kembali ke rumah dan meniru perlakuan itu. Kanak-kanak perempuan apabila duduk berkumpul di halaman rumah pasti akan memungut batu untuk dilambungkan sebagai permainan. Mereka menamakan permainan itu batu seremban sebagai mengingati peristiwa Embun dan Senja yang berlaku di Seremban.
ALAT PERMAINAN
Cara permainannya adalah sangat mudah dan peralatan yang sedikit serta kawasan permainan yang kecil menjadikan permainan batu seremban sebagai salah satu permainan yang popular. Antara peralatan yang digunakan ialah guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat. Biasa batu seremban digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objekobjek ini dikenali sebagai buah. Setiap pemain harus mempunyai satu set buah batu seremban. Buah batu seremban yang disediakan perlu mempunyai saiz yang sama dan bentuk yang bulat untuk memudahkan pengambilan buah semasa permainan dijalankan. Ada juga pemain yang menyediakan buah yang kecil untuk memudahkan buah ditimbang atau di cakup. Makin banyak buah yang ditimbang atau dicakup dengan menggunakan genggaman, makin banyak mata yang akan diperoleh. Oleh itu, buah yang bersaiz kecil memberi satu alternatif untuk memperoleh markah yang banyak berbanding buah yang bersaiz besar. Mengikut peredaran zaman, peralatan yang digunakan untuk bermain batu seremban juga bergerak seiring dengan peredaran. Dulu, batu kerikil, biji getah, guli digunakan untuk bermain, tetapi pada zaman sekarang, permainan batu seremban menggunakan kain yang berbentuk tiga segi dan ada juga yang berbentuk empat segi yang diisi dengan kacang hijau, pasir dan boleh juga diisi dengan beras.
Bagaimana bentuk dan peralatan yang digunakan namun permainan batu seremban masih lagi dimainkan, dan masih lagi diminati generasi masa kini.
Nota : Antara peralatan yang boleh digunakan semasa bermain batu seremban.
GOLONGAN SASARAN.
Permainan batu seremban sering dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sebagai mengisi masa lapang. Ada juga permainan ini dimainkan oleh golongan gadis belasan tahun. Permainan ini amat sesuai dengan kaum wanita kerana hanya memerlukan kemahiran dan tidak memerlukan tenaga yang banyak ketika memainkannya. Oleh sebab permainan batu seremban boleh dimainkan di mana-mana sahaja dan memerlukan ruang dan kawasan yang kecil menyebabkan batu seremban digemari oleh kaum perempuan. Permainan batu seremban bebas dimainkan oleh sesiapa sahaja perempuan mahupun lelaki tidak mengira usia sama ada secara perseorangan atau berkumpulan. Apabila dimainkan secara perseorangan, jumlah pemain tidak di hadkan sama ada dua, tiga, empat atau sebagainya. Namun begitu batu seremban hanya ideal apabila dimainkan oleh dua atau tiga orang sahaja untuk mempercepatkan permainan.
Nota: Permainan ini boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia, secara individu atau berkumpulan.
CARA-CARA BERMAIN Sebelum permainan bermula, jumlah pemain hendaklah ditentukan dan bentuk permainan juga perlu diputuskan sama ada satu lawan satu atau secara berpasangan. Para pemain dikehendaki duduk di atas simen atau lantai yang disediakan di samping menunggu giliran masing-masing untuk bermain. Cara menantikan giliran untuk memulakan permainan ialah dengan menimbang buah dahulu. Pemain yang menimbang buah yang terbanyak akan memulakan permainan dan diikuti oleh pemain yang kedua banyak dan seterusnya. Dalam permainan ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada buah tujuh.
MENENTUKAN GILIRAN
Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambungkan ke udara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan menggunakan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira mata. Mata yang banyak akan memainkan batu seremban dahulu diikuti pemain yang ,mengumpul mata kedua tertinggi. Ada lima cara untuk memainkan permainan batu seremban selepas menimbang dan menentukan giliran.
Nota: antara contoh cara-cara untuk menimbang buah bagi menentukan giliran.
CARA BERMAIN CARA PERTAMA Buah satu Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu sama lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan buah induk dan buah hendaklah dilambungkan ke udara dalam masa yang sama. Sementara buah induk masih berada di udara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah menyambut induknya kembali selepas melambungkannya ke udara. Apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam di dalam tangan yang sama. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.
Buah dua Cara buah dua dimainkan adalah serupa dengan buah satu, tetapi bezanya buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak. Ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu(induk) dilakukan.
Ambil satu buah sebagai ibu dan kemudian mengambil dua buah.( seperti yang ditanda )
Buah tiga Buah tiga terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengambil sebiji buah sebagai ibu(induk) dan melambungkannya dan di masa yang sama mengutip sebiji buah sahaja dahulu. Kemudiannya, lambungan kedua dibuat pemain dikehendaki mengutip tiga biji buah serentak.
Kemudian, lambungkan ibu untuk menyambut ketiga-tiga buah yang ditanda ini.
Ambil satu buah sebagai ibu dan lambungkan. Pada masa yang sama ambil satu buah lagi.
Buah empat Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai. Sebiji buah sebagai ibu dilambungkan dan pemain dikehendaki mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan tadi.
Ambil satu buah sebagai ibu dan lambungkan kemudian mengambil kempat-empat buah yang ditanda.
Buah lima Di peringkat ini urutan dari memainkan buah empat. Sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah. Sebiji buah hendaklah dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula serta menyambut buah ibu sahaja.
Buah enam Di tahap buah enam ini, terdapat perbezaan, ia juga dinamakan buah tukar di mana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah itu hendaklah ditukarkan dengan buah yang lain yang terdapat di atas lantai.
Buah tujuh Buah tujuh adalah turutan dari peringkat permainan buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serentak. Sementara itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan, sebiji di sebelah kanan dan sebiji lagi di sebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkan hendaklah juga disambut.
CARA KEDUA Kesemua buah yang berjumlah tujuh biji akan diserakkan ke lantai. Kemudian pemain harus pastikan hanya buah yang paling rapat dengan buah lain sahaja diambil supaya buah-buah yang berenggang mudah diambil ketika permainan dijalankan. Kemudian sebiji buah yang diambil akan dilambungkan ke udara. Pada masa yang sama buah yang terdapat di atas lantai akan diambil sebiji. Setelah itu buah induk dilambung semula dan mengambil dua buah biji. Setelah itu lambungan kali ketiga dilakukan untuk mengambil buah batu seremban tiga biji sekali gus. Cara yang lain pula akan dilakukan dengan menyerakkan buah. Kemudian buah induk dipilih untuk dilambungkan. Semasa lambungan dilakukan, pemain akan mengambil tiga biji buah sekali gus. Kemudian buah induk dilambung semula dan dua biji buah diambil. Kemudian sebiji buah yang terakhir pula diambil.
CARA KETIGA Selain itu batu seremban juga boleh menggabungkan guli dengan buah yang lain. Lazimnya guli dijadikan buah induk. Oleh itu hanya sebiji guli sahaja yang diperlukan dalam satu-satu set batu seremban tersebut. Cara permainannya agak mudah. Sebanyak lima atau tujuh buah batu seremban diserakkan ke lantai. Kemudian pemain akan mengambil guli sebagai buah induk. Guli akan dilambungkan dan kemudian harus melantun pada lantai. Pada masa yang sama buah yang lain akan diambil mengikut cara masing-masing. Harus diingat guli hanya perlu dilantun sekali sahaja. Sekiranya guli tidak dilantunkan atau melebihi sekali, permainan tersebut akan dibatalkan.
CARA KEEMPAT Cara keempat adalah kesinambungan daripada cara ketiga. Cuma bezanya permainan kaedah ini mengehendaki pemain mengulangi permainan secara terbalik. Selepas pemain mengambil buah menggunakan kiraan satu, dua, tiga, pemain harus menggenggam semua buah . Kemudian buah induk akan dilambungkan ke udara. Pada masa yang sama buah yang terdapat pada tangan akan diletakkan ke lantai dengan pantas. Kemudian buah induk dilambung semula untuk mengambil semua buah yang terdapat di lantai tersebut. Setelah proses itu barulah timbangan dilakukan.
CARA KELIMA Cara kelima adalah sama dengan cara yang pertama, kedua dan ketiga. Cuma bezanya permainan ini dimainkan dengan menggunakan tangan kiri. Bagi pemain yang kidal dikehendaki menggunakan tangan kanan. Biasanya cara kelima ini dilakukan setelah pemain telah mencapai angka 100 mata. Permainan melalui cara ini harus mendapat persetujuan setiap pemain. Permainan menggunakan tangan kidal lebih sukar dan akan merasa kekok. Oleh itu, kemahiran amat diperlukan. Hanya pemain yang bijak sahaja yang akan memenangi permainan tersebut.
MENIMBANG Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Menimbang buah di peringkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan ketika menentukan giliran pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya. Selain itu ketika menimbang, pemain harus memastikan jumlah buah yang perlu ditimbang atau dicakup. Sekiranya jumlah buah yang ditimbang adalah tujuh biji dan apabila dicakup terdapat buah yang terjatuh, bermakna mata tidak akan dikira dan pemain lain boleh memulakan permainan. Apabila proses menimbang buah dilakukan, pemain harus menjatuhkan buah yang sukar untuk dicakup atau disambut. Oleh itu hanya
buah yang mampu disambut sahaja yang akan dikira mata sedangkan buah yang terjatuh semasa proses tersebut akan dikira batal. Sekiranya pemain dapat bermain sehingga peringkat menimbang dengan memperoleh mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula.
TEMPOH PERMAINAN. Tempoh permainan batu seremban tidak dapat ditentukan. Ini bergantung pada pemain itu sendiri. Namun begitu terdapat beberapa peraturan mengenai masa sesuatu permainan. Sekiranya permainan batu seremban dimainkan oleh individu secara bergilir, setiap pemain akan ditentukan melalui kekerapan ketika bermain. Misalnya pemain A akan bermain tiga kali dan B bermain sebanyak tiga kali. Cara ini lebih adil kerana setiap pemain diberi peluang untuk bermain. Hanya pemain yang mempunyai markah yang banyak akan dikira sebagai pemenang. Selain itu permainan batu seremban juga boleh dihadkan dengan masa. Misalnya satu-satu permainan dihadkan kepada dua jam atau sebagainya. Cara ini lebih praktikal kerana setiap pemain boleh menggunakan kemahiran dalam tempoh yang ditentukan. Hanya pemain yang berkemahiran tinggi mampu bermain dalam tempoh yang lama dan mendapat markah yang banyak. Penggunaan masa adalah untuk mengehadkan sesuatu permainan supaya tidak berpanjangan.
KIRAAN DAN PUNGUTAN MATA Kiraan mata dibuat dengan menimbang dan mencakup buah mengikut jumlah yang dicakup. Jika pemain berjaya mencakup buah, matanya dikira berganda. Pemain yang mendapat kiraan mata yang terbanyak adalah dikira pemenang bagi permainan tersebut. Bagi yang bermain secara berkumpulan pula, mata akan dikira mengikut jumlah yang terkumpul melalui setiap pemain iaitu ahli kumpulan. Bagi kumpulan yang mendapat markah yang banyak hasil campuran mata daripada setiap pemain akan memenangi pertandingan tersebut.
PERKARA YANG MEMBATALKAN PERMAINAN Permainan akan diberhentikan sekiranya pemain melakukan beberapa kesalahan. Antaranya: 1. Sekiranya buah induk tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga buah induk jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ia dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya. 2. Semasa proses mengambil buah ketika buah induk dilambung dan pemain tidak mendapat buah seperti yang ditetapkan, pemain tersebut tidak dapat meneruskan permainan. 3. Sekiranya menggunakan guli sebagai batu induk dan lantunan guli melebihi sekali, pemain dikira mati.
4. Setelah serakan dilakukan dan bola induk dilambungkan, tangan pemain tidak boleh mengena buah yang lain selain daripada buah yang ingin diambil. Jika ini berlaku permainan tersebut dianggap terbatal.
PERATURAN-PERATURAN DAN SYARAT PERMAINAN Antara aturan permainan batu seremban ini adalah seperti berikut : 1. untuk bermain permainan ini mestilah ada lima biji atau tujuh biji batu. Jika pemain menggunakan guli, tidak dibenarkan melantunkan lebih dari sekali. 2. batu dan buah tidak boleh bersentuhan di antara satu sama lain semasa permainan berlangsung. 3. pemain tidak dibenarkan menyambut buah menggunakan kedua-dua belah tangan. 4. Jika kesemua buah berjaya dicakup, setiap buah yang diperoleh adalah dua mata(gandaan dua) 5. semua buah diambil mestilah disimpan di sebelah tangan. Sahaja. 6. Kiraan mata mestilah diingat oleh pemain. Sekiranya terlupa pemain berkenaan akan kehilangan mata dan matanya kembali kepada sifar semula.
TEMPAT PERMAINAN. Sebarang kawasan atau tempat lapang yang beralas boleh digunakan untuk bermain batu seremban. Oleh sebab kawasan permainan yang kecil, bayak tempat boleh dijadikan tempat permainan ini. Para pemain hanya perlu duduk dan membuat satu bulatan. Sebarang tempat yang bersimen dan rata lagi licin amat sesuai. Oleh itu pemain sering menjadikan kawasan rumah sebagai kawasan permainan seperti di serambi, dapur atau sebagainya. Permainan ini sering dimainkan di waktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau di mana sahaja mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai. Dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan.
PERMAINAN BATU SEREMBAN TERHADAP PERKEMBANGAN KANAKKANAK Dalam alam kanak-kanak, bermain merupakan satu kegiatan yang penting dan tidak dapat dielakkan. Secara am aktiviti bermain boleh
didefinisikan sebagai apa-apa kegiatan yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada kanak-kanak tanpa menimbangkan apakah hasil atau akibat kegiatan itu. Kanak-kanak bermain bukan kerana ingin akan sesuatu atau mencapai tujuan tertentu. Bermain bukanlah satu kegiatan yang dipaksa malah merupakan perkembangan semulajadi kanak-kanak. Dari sudut psikologi, terdapat dua belas bahagian perkembangan yang dapat dikenal pasti semasa memerhati kanak-kanak yang sedang bermain yakni perkembangan emosi, mengenal identiti diri sendiri, bermain dengan rakan sebaya, tingkah laku prososial, perkembangan motor kasar dan motor halus, perkembangan kognitif (klasifikasi dan seriasi), perkembangan kognitif (nombor, masa, ruang, memori), bahasa percakapan, bahasa penulisan, kemahiran seni dan imaginasi.
Melalui permainan batu seremban ini juga merupakan jalan alternatif kepada pendekatan pengajaran di peringkat sekolah terutamanya peringkat sekolah rendah dan kanak-kanak. Bermain permainan ini, dapat
menyumbang kepada pelbagai aspek perkembangan seseorang murid itu terutamanya dalam aspek pengembangan daya kreatif, fizikal, bahasa, sosioemosi, kognitif dan sosial. Ini bertepatan dengan konsep JERI iaitu perkembangan berkaitan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek seseorang kanak-kanak itu.
Istilah kognitif merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Kanak-kanak bermain menggunakan kemahiran kognitif secara tidak langsung dapat menguji tahap keupayaan dan kecerdasan mereka untuk belajar. Selain itu, mereka boleh mempelajari pelbagai kemahiran dalam bermain dan dapat mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka serta memperkembangkan kecekapan dalam berfikir dengan lebih kreatif dan logik cara untuk memenangi permainan dalam menewaskan pihak lawan. Sifat kanak-kanak yang gemar bermain permainan ini secara tidak langsung, dapat memberi banyak maklumat tambahan dan mendedahkan mereka tentang cara menyelesaikan sesuatu masalah dalam pelajaran, sebagai contoh subjek matematik. Ketika bermain permainan ini, pengiraan yang melibatkan operasi tambah dan gandaan secara congak perlu dilakukan oleh kanakkanak. Jelas sekali permainan batu seremban ini, bukan sebagai hiburan tetapi ada terselit kepentingan permainan itu sendiri dalam sudut
perkembangan kognitif kanak-kanak Bermain sangat penting bagi memastikan perkembangan fizikal kanakkanak berkembang dengan baik. Menurut Jean Piaget, bermain dapat memperkuatkan keupayaan berfikir serta mendorong kanak-kanak memberi makna kepada pembelajaran semasa mereka menjalankan aktiviti sesuatu permainan. Melalui bermain, kemahiran psikomotor, iaitu motor kasar, motor halus, koordinasi mata-tangan, pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor dapat dibina. Manakala, kemahiran fizikal pula termasuklah berlari, melompat,
memanjat, mengimbang, mengayuh basikal, bermain bola, menendang, menyambut, dan membaling bola. Imam Al-Ghazali (Hassan Langgulung, 1979) menitikberatkan bermain bagi kanak-kanak kerana dengan bermain kanak-kanak boleh
mengembangkan sifat semula jadi mereka di samping menyuburkan tubuh dan menguatkan otot-otot. Beliau juga menyatakan bermain boleh
mendatangkan kegembiraan, kerehatan bagi kanak-kanak selepas penat belajar. Ini di aplikasikan ketika bermain batu seremban. Permainan ini sangat sesuai di mainkan semasa rehat. Sekurang-kurangnya, kanak-kanak dapat merehatkan ketegangan minda buat seketika dengan bermain batu seremban. Teknik permainan batu seremban ini memerlukan pemainnya duduk bersila atau cara bersimpuh. Duduk secara bersila atau bersimpuh ini sememangnya dapat meregangkan otot kaki dan pinggang bersesuaian dengan pengajaran pendidikan jasmani yang memerlukan regangan otototot untuk kesihatan tubuh badan manusia. Selain itu, permainan batu seremban memerlukan pergerakan fizikal. Antara pergerakan yang terselit di dalam permainan ini adalah, keupayaan mengimbang dan mencakup batu (buah). Selain itu, Melalui proses berulang kali melambungkan buah dan menyambut buah secara berulang kali, secara tidak langsung akan dapat menguatkan otot jari dan otot lengan iaitu bisep dan trisep. Aktiviti berbentuk pergerakan psikomotor ini dapat melahirkan murid yang aktif dan cergas, secara tidak langsung murid dapat melibatkan diri dalam setiap aktiviti dan pengajaran dengan aktif di dalam kelas serta dapat
mengurang kadar pasif dalam kalangan murid. Di samping itu, melalui permainan ini, ia dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan pemain serta dapat mengeluarkan perasaan takut dan bimbang kepada peringkat sedar. Dalam kehidupan sosial kanak-kanak, bermain adalah pencetus kepada pembentukan perkembangan serta kemahiran sosial kanak-kanak. Untuk itu, kanak-kanak dari pelbagai umur perlu bersosial, sebagai penyumbang dalam kebudayaan masing-masing. Contohnya seperti
permainan batu seremban ini. Hal ini kerana permainan ini merupakan salah satu permainan yang memerlukan interaksi dua atau tiga orang dan mungkin. Kanak-kanak akan berinteraksi tentang pengalaman mereka semasa bermain dan bertukar pendapat mengenai cara bermain dengan lebih menarik. Sebagai contoh, kanak-kanak akan membuat penerangan tentang peraturan, dan cara bermain yang dikehendaki mengikut persetujuan semua pemainpemain. Secara tidak langsung ia dapat memupuk sikap sabar, melahirkan sikap toleransi dan tidak mementingkan diri sendiri. Ini dapat dilihat di dalam permainan batu seremban ini. Di mana kanak-kanak memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menunggu giliran ketika bermain. Bermain batu seremban juga adalah satu kesenian. Pergerakan jari jemari tangan ketika bermain dapat dilihat ketika permainan ini. Lentik nya tangan diperlukan ketika menimbang supaya batu yang ditimbang dapat memperoleh mata yang banyak.
PENUTUP
Batu seremban adalah salah satu permainan tradisional yang semakin hari semakin pupus dan jarang dimainkan oleh kanak-kanak pada zaman sekarang. Bukan itu sahaja, Kanak-kanak yang terdedah dalam permainan ini semasa kecil biasanya mempunyai kekuatan , keyakinan diri dalam pembentukan emosi mereka. Sememangnya tidak banyak usaha yang dilakukan untuk memastikan permainan ini dikenali ramai. Ini disebabkan ketiadaan pihak-pihak yang tertentu yang ingin mengetengahkan permainan ini di mata umum sehingga diyakini turut mengalami kepupusan. Mereka masih kabur dan tidak dapat mendalami kepentingan permainan batu seremban ini dari pelbagai sudut, yang bukan sahaja dapat memperkembangkan minda malahan ada unsurunsur pembelajaran seperti menaakul, mencongak, membilang dan sebagainya. Semoga ada timbul kesedaran tentang kepentingan bermain alat permainan tradisional ini kepada mata umum. Bukan sahaja bermain batu seremban sahaja, malahan permainan tradisional yang lain juga ada manfaat yang terselit di sebalik permainan itu sendiri.
REFLEKSI Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana telah menyiapkan tugasan ini dalam tempoh yang telah ditetapkan. Sepanjang menyiapkan tugasan ini, saya dapat mempelajari sesuatu yang baru. Sebelum ini mungkin permainan batu seremban sangat sinonim dengan zaman kanak-kanak saya. tapi saya tidak mengetahui apa yang perkara-perkara yang penting tersirat dalam permainan batu seremban ini. Ketika pencarian maklumat mengenai batu seremban ini, saya telah membuat rujukan buku di pusat sumber sekolah. Dari buku tersebut saya mengetahui sejarah batu seremban yang tidak pernah saya tahu. Timbul minat saya untuk mengetahui lagi mendalam mengenai permainan ini. Saya juga telah mengakses internet atas bantuan suami tercinta. Suami yang banyak membantu pencarian maklumat mengenai perkaitan permainan batu seremban dengan perkembangan kanak-kanak. Banyak yang saya pelajari dari tugasan ini. Permainan batu seremban bukan sahaja sekadar permainan, malahan terselit ilmu matematik, pendidikan jasmani serta ilmu yang diperlukan untuk seorang kanak-kanak ketika meniti alam kanak-kanak dengan penuh bermakna. Terima kasih juga pada pensyarah Cik Tan Kim Lan kerana memberi penjelasan yang sangat jelas berkenaan dengan KKBI ini, sehingga terhasilnya tugasan ini. Sekurangkurangnya saya mendapat pendedahan mengenai permainan tradisional yang bukan sahaja menjadi warisan anak bangsa tetapi ada unsur-unsur pembelajaran di dalam permainan itu sendiri.
Rujukan
Rozumah Baharuddin. (1992). Perkembangan Kanak-kanak. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur. Noriati A. Rashid, Boon Poong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Siri Pendidikan Guru: Murid dan Alam Belajar. Kuala Lumpur : Oxford Fajar Sdn. Bhd Pintrich, P.R. & Schunk, D.H. (1996). Motivation in Education: Theory, Research and Applications: Columbus, OH: Charles E. Merrill. Schunk, D. H. (1996). Learning Theories: An Educational Perspective (edisi kedua). Columbus, OH: Charles E. Merril. Scribd.com. (2009). Teori Pembelajaran Kognitif dan Maslow. Retrieved 19 Ogos, 2010, from http://www.scribd.com/doc/12899885/Teori-PembelajaranKognitif-dan-Maslow Crow & Crow. (1980). Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Aziz Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya & Fawziah Yahya. (2005). Aplikasi Kognitif dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Professionan Publishing Sdn. Bhd. Mok Song Sang (2008): Psikologi Pendidikan dan Pedagogi:Murid dan Alam Belajar. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. : Puchong, Selangor.
BORANG KOLABORASI
Bil. Tarikh
Tandatangan