Dalam meniti arus globalisasi yang serba mencabar ini, adalah amat signifikan bagi setiap individu untuk memiliki intelek yang tinggi. Demi menjadi seorang individu yang berintelektual, seseorang itu hendaklah membudayakan amalan membaca kerana ia merupakan wadah yang paling efisien bagi seseorang itu untuk meluaskan ilmu pengetahuan. Namun begitu, masyarakat marcapada ini kurang mempraktikkan budaya tersebut dalam kehidupan mereka. Kebobrokan ini bakal menganjur kepada lahirnya generasi yang dangkal ilmu pengetahuan. Oleh hal yang demikian, konflik ini perlu ditemukan solusinya agar tidak terus tidak menjadi semakin bertambah kritikal. Apakah inisiatif-inisiatif yang boleh diaplikasikan bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar? Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam memupuk amalan membaca dalam atma anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa sewajarnya menjadi role model kepada anak-anak dengan sentiasa mempraktikkan amalan membaca terlebih dahulu sebelum menyuruh anak-anak untuk mengamalkan sikap tersebut. Dengan itu, afiniti anak-anak untuk turut sama mengaplikasikan budaya membaca adalah lebih tinggi. Selain itu, anak-anak juga mestilah didedahkan kepada pelbagai jenis bahan bacaan yang boleh menarik minat mereka untuk membaca. Sekiranya mereka mula berminat untuk membaca, pada saat itulah amalan membaca sudah muncul dalam sanubari mereka. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecila lagi kerana hanya dengan itulah budaya tersebut akan terbuku dalam kalbu mereka. Persis peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika ditinjau dari perspektif yang berbeza, pihak sekolah juga tidak kurang pentingnya dalam usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar. Guru perpustakaan sewajarnya merancang aktiviti galakan membaca yang bervariasi seperti pertandingan mengulas buku, menulis esei, syarahan, dan lain-lain. Rententan daripada itu, hadiah yang menarik juga hendaklah disediakan bagi menarik lagi minat para pelajar untuk menyertai pertandinganpertandingan yang dianjurkan. Selain itu, perpustakaan juga mestilah dilengkapi dengan bahan bacaan yang meliputi keseluruhan spektrum berkaitan pelbagai perkara dan kondisi yang menyelesakan serta kondusif. Oleh hal yang demikian, para pelajar akan lebih cenderung untuk meminjam buku serta meluangkan masa untuk membaca bahan bacaan di perpustakaan. Secara tidak langsung, perasaan cinta akan buku bakal tersemai dalam jiwa mereka. Selain itu, pihak kerajaan juga seharusnya memainkan peranan mereka dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Sebagai analoginya, kerajaan hendaklah mempergiat kempen galakan membaca agar para pelajar akan lebih terdedah dan dapat mengetahui dengan lebih terperinci lagi tentang kemaslahatan mengamalkan budaya membaca. Kewujudan gajetgajet yang canggih dalam zaman IT ini memudahkan lagi pihak kerajaan untuk melakukan kempen tersebut. Ia boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif terbaik bagi pihak kerajaan untuk mempergiat lagi usaha mereka dalam memupuk para pelajar untuk mencintai amalan
membaca. Mereka boleh membina laman-laman sesawang yang dikhususkan untuk memuatkan pelbagai jenis informasi dan fakta-fakta yang boleh diamati oleh para pelajar yang kerap melayari internet. Tuntasnya, pihak kerajaan mestilah memikul tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dalam menyemarakkan lagi semangat cinta akan membaca dalam kalangan pelajar. Konklusinya, amalan membaca perlu dipraktikkan oleh setiap pelajar. Pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini agar pembinaan modal insan yang diuaruarkan oleh Perdana Menteri kita dapat direalisasikan. Sehubungan dengan itu, generasi yang berwawasan juga dapat dilahirkan. Amatlah penting bagi negara kita untuk memiliki generasi muda yang sedemikian kerana merekalah yang bakal mengambil alih pucuk pimpinan negara sekali gus menentukan masa depan negara pada masa yang akan datang. Persis peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Kepentingan membaca kepada remaja. Marcapada ini, amalan membaca kian dipandang enteng oleh masyarakat khususnya golongan remaja. Walaupun Laporan Kajian Tabiat Membaca Rakyat Malaysia menunjukkan kadar literasi ataupun celik huruf dalam kalangan rakyat Malaysia ini ialah 93 peratus, kajian itu juga mendapati bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Kondisi tabiat membaca rakyat Malaysia masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan walaupun telah bertambah baik kerana sedekad yang lalu rakyat Malaysia hanya membaca sebuah buku setahun. Majoriti rakyat Malaysia sememangnya sudah tahu tentang kepentingan membaca namun masih tetap memandang enteng terhadap budaya ini khasnya golongan remaja. Ulat buku semakin berkurangan marcapada ini dan kebobrokan ini bakal mengakibatkan implikasi yang buruk kepada negara kita kerana memiliki generasi muda yang kurang intelektual. Oleh hal yang demikian, para remaja sewajarnya menyedari tentang seribu satu kemaslahatan mempraktikkan budaya membaca dalam kehidupan mereka kerana ia bakal memberikan kesan yang amat positif kepada diri mereka sendiri dalam mengharungi era modenisasi ini. Amalan membaca, sekiranya diaplikasikan bakal menyumbang kepada sejuta kebaikan kepada individu yang membudayakannya. Peribahasa ada menyatakan bahawa, membaca jambatan ilmu. Sememangnya kata-kata tersebut tidak dapat dinafikan lagi kerana setiap bahan bacaan mengandungi variasi informasi yang boleh meningkatkan lagi ilmu pengetahuan seseorang. Informasi seperti isu semasa, fakta-fakta sains, cakerawala dan perubahan politik pasti akan dapat diketahui menerusi pembacaan yang meluas. Hayatilah aforisme daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa maksud, nilai seseorang anak pascamerdeka itu pasti akan bertambah andai individu itu berusaha melakukan anjakan paradigma untuk dirinya daripada terus berada di takuk yang lama. Sekiranya ditelusuri, ungkapan ini boleh dijadikan realiti dengan amalan membaca yang sudah tentu dapat mengubah mentaliti seseorang ke arah yang lebih baik. Oleh hal yang demikian, untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan yang sedia ada, membaca merupakan antara kaedah yang terbaik. Selain itu, budaya membaca juga dapat mengelakkan seseorang daripada membuang masa senggang dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah kepada diri mereka. Firman Allah dalam surah Al-Asr ada menyatakan bahawa demi masa, sesungguhnya semua manusia itu berada dalam kerugian. Ayat ini menjelaskan bahawa manusia akan rugi apabila tidak memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Remaja marcapada ini kurang afiniti untuk memilih budaya membaca sebagai hobi. Seperkara yang menyedihkan lagi ialah mereka lebih memilih untuk mengamalkan budaya hedonistik Hakikatnya, mereka lebih gemar untuk melungsuri Internet, melepak bersama kawan-kawan dan bermain permainan komputer selama berjam-jam berbanding dengan membaca. Ini akan menganjur kepada remaja menggunakan masa yang ada melakukan perkara yang sia-sia. Cendekiawan memfasiqkan bahawa masa itu ibarat pedang, sekiranya engkau tidak memotongnya maka ia akan memotong engkau. Seandainya mereka menanamkan sikap suka membaca dalam kalbu masing-masing, sudah tentu masa yang terluang pasti akan diisi dengan perkara yang bermanfaat.
Jika ditinjau dari pojok yang lain, membaca juga boleh mengembangkan perbendaharaan kata seseorang. Bahasa buku adalah berbeza dengan bahasa percakapan kita sehari-hari. Oleh hal yang demikian, sekiranya remaja gemar membaca bermacam-macam jenis buku, remaja sudah tentu akan memiliki kosa kata yang luas. Ini adalah amat signifikan bagi seseorang yang bergelar pelajar kerana perkataan-perkataan bombastik seharusnya digunakan dalam esei untuk mendapatkan markah bonus. Esei yang dihasilkan juga seudah tentu jauh berbeza dengan esei nukilan pelajar yang kurang membaca. Sebagai analoginya, sekiranya remaja membaca bahan bacaan berkaitan fakta sains, istilah-istilah baru seperti Arteriosklerosis, meiosis dan mitosis pasti akan dapat diketahui dan remaja juga pasti akan mampu untuk menggunakan istilah-istilah tersebut dalam pertuturan dengan tepat. Remaja juga tidak akan menghadapi kesukaran dalam mengusasai bahasa baru. Dalam menongkah arus globalisasi marcapada ini, penguasaan kosa kata yang meluas adalah sangat signifikan kerana masyarakat semakin kompetitif dalam disiplin ilmu. Dengan ini, remaja seharusnya membudayakan amalan membaca agar dapat meluaskan horizon pemikiran. Intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak kemaslahatan membaca kepada para remaja. Pelbagai prakarsa telah dilaksanakan bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat konvensional namun usaha tersebut umpama hujan jatuh ke pasir. Oleh hal yang demikian, setelah menyedari hakikat tentang manfaat membaca, para remaja sewajarnya mempraktikkan budaya membaca sebagai salah satu rutin harian mereka agar dapat bebas daripada belenggu kejahilan dan kegelapan. Rentetan daripada itu, generasi muda yang memiliki sahsiah yang terpuji pasti akan dapat dilahirkan dan misi kudsi Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Muhammad juga pasti akan dapat direalisasikan.
Peranan ibu bapa dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan remaja. Dewasa ini, budaya membaca kian dipinggir oleh masyarakat khususnya generasi dotcom . Segolongan besar daripada mereka memandang enteng terhadap kemaslahatan membaca. Setiap individu sewajarnya menyedari hakikat bahawa budaya membaca dapat membawa seribu satu manfaat kepada insan yang mempraktikkannya. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Zumar ayat 9 yang bermaksud Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. Ayat ini menjelaskan bahawa hanya orang yang rajin membaca akan dapat menambah ilmu pengetahuan serta memanfaatkan ilmu tersebut untuk kepentingan duniawi dan ukhrawi. Pandangan sarwa tentang budaya membaca perlu diubah agar setiap individu kerana ia merupakan titik tolak utama kearah pemupukan budaya membaca dalam kalangan masyarakat madani. Namun demikian, remaja merupakan golongan yang amat signifikan untuk disemai budaya membaca dalam atma mereka kerana mereka merupakan tonggak pimpinan negara. Apakah peranan ibu bapa dalam memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja? Ibu bapa merupakan insan yang terdekat dengan remaja dan sudah semestinya ibu bapalah yang tahu metode yang paling efektif dalam mendepani permasalahan ini. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menunjukkan teladan yang terbaik untuk anak-anak dengan mengamalkan budaya membaca terlebih dahulu sebelum. Tidak dapat dinafikan bahawa anakanak akan mengikuti apa sahaja yang yang mereka lihat ibu bapa mereka lakukan. Seandainya ibu bapa mempraktikkan budaya membaca, anak-anak akan lebih cenderung untuk mengikuti jejak langkah ibu bapa mereka. Misalnya, ibu bapa yang tidak suka membaca dan hanya sekadar menggalakkan anak-anak mereka membaca bertepatan dengan peribahasa ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Jika ibu bapa menjadikan amalan membaca sebagai satu rutin harian ataupun mingguan, afiniti anak-anak untuk meneladani mereka adalah sangat tinggi. Lamakelamaan, minat membaca dalam atma anak-anak pasti akan bercambah. Tuntasnya, ibu bapa perlulah menjadi role model terlebih dahulu agar remaja akan lebih mudah untuk mengikuti sikap suka membaca itu. Seterusnya, ibu bapa seharusnya menyediakan sebuah perpustakaan mini di rumah. Keluarkanlah sedikit modal bagi membeli pelbagai jenis bahan bacaan merangkumi variasi topik seperti fakta sains, isu semasa dan politik khusunya yagn berfokuskan pembelajaran. Kurangkanlah bilangan bahan picisan agar anak-anak tidak akan membuang masa membaca perkara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Kondisi tempat itu juga mestilah selesa seperti berhawa dingin agar anak-anak akan lebih suka untuk menggunaka ruang tersebut. Perpustakaan mini tersebut boleh dijadikan tempat sebagai tempat seisi keluarga meluangkan masa bersamasama memantapkan lagi ilmu masing-masing. Selain itu, dengan kehadiran perpustakaan mini ini juga ibu bapa boleh mengawasi anak-anak dan tidak timbullah fenomena sudah terhantuk baru terngadah kerana kegagalan ibu bapa memanfaatkan masa yang terluang remaja hingga terlibat dalam dakyah songsang. Oleh hal yang demikian, perpustakaan mini wajar diwujudkan di semua
rumah agar proses pemupukan budaya membaca dalam kalangan remaja dapat dijalankan dengan lebih lancar. Di samping itu, umum mengetahui bahawa kerajaan mengadakan Karnival Buku yang merangkumi pamaeran dan jualan buku di seluruh pelosok negara kita. Oleh hal yang demikian, ibu bapa seharusnya memanfaatkan peluang keemasan itu untuk membawa anak-anak ke pameran tersebut. Dalam pameran yang sedemikian, pengunjungnya akan didedahkan secara terus tentang buku-buku terbaru ataupun terlaris di pasaran. Hal ini bukan sahaja dapat memupuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak, malah secara konotasinya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara keluarga. Ibu bapa juga dapat merebut peluang ini untuk membeli buku-buku secara pukal disebabkan oleh potongan harga yang amat rendah diberikan. Pada masa yang sama, penjimatan wang juga dapat dikakukan sambil melabur untuk kebaikan anak-anak pada saat ketika anak-anak ingin melanjutkan pelajaran ke menara gading nanti. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa mampu menyemai budaya membaca dalam kalangan remaja dari usia yang muda. Intihanya, ibu bapa hendaklah membuat anjakan paradigma dalam menyemarakkan lagi sikap suka membaca dalam kalangan remaja kerana di sebalik budaya membaca ini terselit sejuta kemaslahatan. Ibu bapa merupakan agen penting dalam usaha memupuk kesedaran ini kerana ibu bapa boleh menjadi pemangkin kepada anak-anak untuk jatuh cinta dengan budaya membaca. Biarlah kita menangis terlebih dahulu sebelum kita menangis kemudian kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Remaja yang membudayakan amaln membaca pasti akan memiliki masa depan yang cerah kerana bangsa membaca, bangsa berjaya.