Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN

NAIB CANSELOR PROF DR NOH DALIMIN


PROGRAM BINGKISAN MAHASISWA 2005
17 SEPTEMBER 2005

Bismillahhirrohmanirrohim,
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Pertama sekali marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat


Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepada kita yang tak terhingga banyaknya
lantaran kita dapat berkumpul di sini bersama-sama untuk menjayakan Program
Bingkisan Mahasiswa anjuran Persatuan Mahasiswa/i Sekolah Pendidikan dan
Pembangunan Sosial (pGURU) Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama
Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Tebobon. Tahniah dan syabas saya
ucapkan kepada semua pelajar yang melibatkan diri secara sengaja atau tidak
sengaja kerana dalam masa yang sesingkat ini anda semua dapat
melaksanakan satu program yang besar maknanya bagi para pelajar tingkatan 3
SMK Tebobon yang terpilih untuk datang ke sini. Dan saya pasti, tanpa
kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada setiap individu maka segala
perancangan yang dibuat tidak akan dapat dilaksanakan seperti yang kita sedia
maklum pada hari ini.

Saya rasa cukup berbesar hati menerima kehadiran warga SMK Tebobon
dengan harapan yang menggunung agar para pelajar seramai lebih kurang 100
orang ini mendapat suatu pengalaman yang baru dari tempat kami ini. Saya
dimaklumkan bahawa para pelajar yang hadir ini bukanlah calang-calang pelajar
dan saya ketahui bahawa pencapaian para pelajar inilah yang telah membawa
mereka menjejakkan kaki ke UMS untuk menimba sedikit sebanyak
pengetahuan untuk dijadikan bekalan bagi menghadapi peperiksaan PMR 2005
yang bakal mereka tempuhi.

Kami di UMS turut tidak berkecuali untuk melaksanakan Wawasan Pendidikan


iaitu sampingan daripada Wawasan 2020 yang menyatakan Empowerment iaitu
berkongsi kuasa dengan anggota-anggota sekolah untuk melaksanakan program
dan kurikulum sekolah melalui kaedah reflektif, inovatif, kreatif dan asertif. Kami
akan turut serta membantu sekolah-sekolah menggembleng tenaga membantu
setakat kami termampu bagi melahirkan generasi yang berpotensi dan
cemerlang pada masa akan datang.

Dengan harapan yang menggunung kepada para pelajar, tanpa sokongan dan
bantuan daripada guru-guru dan para ibu bapa, saya yakin para pelajar yang
berpotensi ini tidak akan mampu mencapai keputusan yang kita mahukan. Maka,
saya mohon agar semua pihak bekerjasama, berganding bahu bagi memastikan
kejayaan berada dalam genggaman para pelajar. Biarlah bersusah-susah dahulu
kerana kita akan bersenang-senang kemudian. Begitulah lumrah kehidupan,
tuntutan alam. Janganlah disebabkan keinginan kita untuk melihat kejayaan yang
hakiki berpihak kepada para pelajar sehingga kita mengabaikan keperluan-
keperluan mereka.

Banyak faktor yang mendorong dan membawa mereka kepada kejayaan.


Keberkesanan pengajaran guru-guru dalam sesi P& P juga perlu dititikberatkan
dalam menjalankan tugas mendorong dan mengajar. Ibu bapa juga sepatutnya
lebih memahami faktor-faktor lain yang diperlukan oleh anak-anak ini untuk
menjadi manusia yang berjaya. Mudah-mudahan program satu hari ini membawa
manfaat dan menjadi titik permulaan membina semangat yang baru untuk para
pelajar agar lebih tekun dan menggandakan lagi usaha untuk berjaya.

Wahai anak-anak pelajar sekalian. Siapakah manusia yang pernah mendapat


markah paling tinggi dalam ujian IQ? Adakah beliau lelaki? Adakah beliau saintis
paling terkenal di zaman ini iaitu Albert Einstein? Sebenarnya bukan beliau.
Malah bukan lelaki. Sehingga 2002, manusia yang paling tinggi IQnya dalam
rekod dunia ialah seorang perempuan. Namanya Marilyn Mach Vos Savant lahir
pada tahun 1946 di St Louis Amerika Syarikat. Kamu boleh ikuti cerita beliau
melalui mana-mana sumber seperti di internet atau pun di perpustakaan. Di
antara kisah-kisah orang pintar namun ada juga tokoh-tokoh yang kita kenali
seperti Sir Thomas Edison, di mana guru sekolah rendah beliau mengatakan
beliau otak udang. Malah beliau tidak habis bersekolah. Sir Winston Churchill
pun begitu juga di mana guru-guru sekolah beliau menyangkakan beliau budak
bodoh. Guru matematik Albert Einstein pula mengatakan beliau pelajar dungu!
Lihatlah, orang yang pintar sebenarnya menjadi pintar kerana usaha mereka
yang berterusan tanpa kenal erti putus asa.

Akhir sekali, saya doakan agar anak-anak pelajar sekalian akan berjaya
menempuhi peperiksaan PMR kerana di situlah titik mula perjalanan kamu untuk
terus menempah tempat ke menara gading. Jika kamu kecundang di awal
perjuangan, haruslah segera bangkit untuk berjaya. Pastikan 8A dalam
genggaman!

Wabillahitaufik wal hidayah, assalamualaikum w.b.t

Anda mungkin juga menyukai