Anda di halaman 1dari 10

Nota Seni Dalam Pendidikan

Pengenalan Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat menyediakan peluang pendidikan berterusan yang memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Penggubalan ini bertujuan untuk menyediakan warga Malaysia yang mampu menghadapi cabaran pendidikan masa kini selaras dengan perubahan globalisasi yang pesat.

Seni dalam Pendidikan meliputi pengetahuan asas dalam Seni Visual yang menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni visual di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.

Selain itu, Seni Dalam Pendidikan juga memasukan Muzik sebagai unsur atau elemen penting yang perlu digarap bersama dalam menzahirkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan. Muzik adalah sebahagian daripada alam kehidupan pelajar yang sukar untuk dipisahkan. Tanpa Muzik bererti dunia pelajar adalah kosong. Selain itu, Muzik juga merupakan budaya masyarakat. Pelajar sentiasa memberi respon kepada Muzik dan berasa senang hati apabila dapat melahirkan ekspresi diri apabila mendengar muzik. Asas muzik iaitu irama dan ton juga menjadi amalan pertuturan dan interaksi harian. Sifat cenderung kepada muzik yang sedia ada pada pelajar mempunyai peranan tertentu dalam proses perkembangan diri dari segi kualiti dan sahsiahnya. Peranan guru ialah ke arah memperkembangkan sifat sifat yang merangkumi aspek aspek emosi kreativiti, nilai estetik dan etika tertentu. Dengan penglibatan pelajar secara aktif dalam kegiatan muzik akan dapat membina pertumbuhan dan perkembangan fizikal, emosi, mental dan sosial pelajar itu sendiri. Selain itu, pengalaman muzik yang menarik akan membantu meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran lain. Pendidikan dalam apa jua bidang sekalipun haruslah berbentuk pengalaman yang bermakna.

Pendidikan juga haruslah memberangsangkan dan menghasilkan kepuasan yang semerta serta menimbulkan minat bagi mendapatkan pengetahuan seterusnya. Hal ini boleh dicapai dengan menggunakan pergerakan sebagai media pembelajaran. Pembelajaran melalui pergerakan bukanlah sesuatu yang baharu. Pendidikan pergerakan adalah sesuatu kaedah pengajaran yang ketara uniknya kerana pelajar sedang belajar untuk bergerak dan mereka juga akan belajar sambil atau semasa bergerak. Melalui pergerakan, pelajar itu bergerak, berfikir, dan merasai sesuatu secara langsung. Pelajar akan dapat mempelajari tentang dirinya sendiri.

Penekanan kepada pergerakan kini banyak tertumpu kepada potensi nilai pendidikannya, potensi sumbangan terhadap perkembangan kecerdasan dan potensinya sebagai pemangkin kemahiran dan tabii sosial yang murni. Matlamat pendidikan pergerakan dalam konteks persekolahan adalah untuk menyediakan pengalaman pengalaman berkaitan bagi membantu pelajar dalam mencapai keupayaan sebagai warga yang bertanggungjawab dan penyumbang aktif dalam masyarakat.

Pendidikan pergerakan merupakan salah satu wacana yang menyumbang ke arah perkembangan keseluruhan pelajar dalam bentuk sikap dan sahsiah pelajar tentang keperluan keperluan sosial, emosi dan estetik pelajar berdasarkan kepada holistik perkembangan kanak kanak. Pendidikan pergerakan boleh diperhebatkan lagi keberkesanannya dengan menjadikannya sebagai alat pendidikan yang mendorong kepada kegiatan penerokaan, kreativiti, proses proses berfikir dan penyelesaian masalah serta pengukuhan imej kendiri yang utuh. Dalam hubungan ini matlamat dan prinsip pendidikan pergerakan tidak akan menyimpang daripada landasan konsep kanak kanak total .

Belajar melalui pergerakan membolehkan perkembangan yang menyeluruh diri kanak - kanak iaitu perkembangan fizikal dan psikologi, kebolehan untuk belajar dan bergaul antara satu sama lain. Perasaan terhadap diri sendiri dan perhubungan dengan persekitarannya turut berkembang melalui pergerakan itu.

1.1 Implikasi Atau Kesan Positif 1.1.1 Bidang Seni Visual Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan

mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan. Bidang Seni Visual akan memberikan implikasi atau kesan yang positif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui organisasi pendidikan Seni Visual yang disusun rapi melalui aspek yang dipentingkan. Antara implikasi atau kesan yang diperolehi melalui bidang seni ini, ialah :

a. Menajamkan Perkembangan Emosi dan Imaginasi Melalui aspek pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.

b. Berlaku Pembelajaran Secara Tidak Langsung Bidang Seni Visual menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni pada masa akan datang.

c. Aplikasi Dalam Kehidupan Harian Sebenar Bidang Seni Visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara. Melalui seni visual ini juga akan menjadikan murid boleh mengaplikasikan kemahiran seni yang dipelajari dalam kehidupan

harian yang sebenar. Contohnya, cara memberus warna boleh diaplikasikan dalam kerja kerja mengecat peralatan kecil di rumah dan sebagainya.

d. Wadah Memupuk dan Menyemai Nilai Murni Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan.

1.1.2

Bidang Seni Muzik

Asas muzik iaitu irama dan pic, memang sedia terdapat dalam pertuturan dan pergerakan harian. Keadaan ini menjadikan kanak-kanak berasa senang dan memberi respon secara spontan dalam melahirkan ekspresi diri. Kecenderungan seperti ini apabila dikendalikan dengan baik, memainkan peranan yang efektif dalam proses perkembangan diri kanak-kanak. Bidang ini melihat perkembangan diri murid dari sudut penghayatan estetik dalam seni muzik. Sesuai dengan statusnya dalam struktur KBSR, matapelajaran ini memberi tumpuan kepada peranannya memperkembangkan domain efektif murid khususnya dalam bidang kesenian. Selaras dengan itu, bidang ini digubal untuk membimbing murid ke arah menghayati dan menikmati muzik secara intelektual. Antara kesan positif yang diperolehi murid melalui bidang seni muzik ini, ialah :

a.

Menggalakkan Perkembangan KAP

Penglibatan secara aktif dalam aktiviti muzik yang tersusun berupaya menggalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor murid, disamping memupuk nilai sosialisasi. Dari segi kognitif, murid mendapat pengetahuan dan kefahaman konsep muzik yang asas. Bagi murid sekolah rendah khasnya, aktiviti muzik dan pergerakan bukan sahaja membantu pertumbuhan kecerdasan kinestetik malahan berperanan membantu mereka memahami konsep muzik yang abstrak.

b.

Melatih Kemahiran Komunikasi dan Interaksi Sosial

Dari aspek sosialisasi, aktiviti menyanyi, bergerak dan bermain alat muzik secara berkumpulan memberi kesempatan murid berkomunikasi dan berinteraksi dengan mengamalkan nilai-nilai murni.

c.

Menanam dan Menyemai Nilai Murni dan Jati Diri

Di samping itu, terdapat pelbagai bentuk muzik dalam budaya masyarakat Malaysia yang harus dikenali murid sebagai warisan bangsa. Pengetahuan dan pengalaman mengenai pelbagai unsur budaya dalam muzik dapat membantu memupuk elemen jati diri dan patriotisme pada diri murid.

1.1.3 Bidang Seni Pergerakan Seni Pergerakan adalah untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat bidang seni pergerakan. Murid perlu memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia. Murid diorientasikan dengan ilmu dan amalan teori dan praktikal pergerakan bagi membentuk sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup. Aktiviti Seni pergerakan yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi murid ke tahap optimum. Seni pergerakan juga bertujuan membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan. Bidang seni pergerakan ini menekankan kepada kecergasan sesuai dengan ciri dan keperluan murid. Pendekatan yang dicadangkan bagi mata pelajaran ini ialah pembelajaran melalui aktiviti. Murid perlu diberi peluang mempelajari pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan mata pelajaran dengan melakukan aktiviti, eksperimen dan amalan rutin. Murid akan diberi peluang untuk meluahkan emosi, memperkembangkan proses mental, membentuk perhubungan yang sihat dan melakukan kegiatan fizikal dalam suasana yang membina dan selamat.

1.2 Rumusan Matlamat guru-guru sekolah rendah dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan kemahiran memerhati, kesedaran dan arif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk, tekstur dan irama. Melalui aktiviti seni daya estetik kanak-kanak dapat dipertingkatkan. Contohnya menggunakan lagu untuk memperkenalkan tajuk Rama-rama. Semasa kanak-kanak menyanyikan lagu, mereka akan bergerak mengikut irama seperti lebah sedang terbang. Semua aktiviti seni dalam pendidikan yang dialami oleh kanak kanak sangat berkesan dalam mempengaruhi kehidupan mereka kerana melaluinya akan membolehkan kanak-kanak meluahkan keinginan dan keperluan mereka. Lazimnya mereka dapat membina pengalaman baru hasil daripada beberapa penerokaan dalam kehidupan seharian dan akan berasa seronok apabila dapat mencipta sesuatu yang baru. Untuk meluahkan rasa hati, mereka akan mencipta sesuatu dengan menggunakan kaedah dan cara tersendiri dalam pelbagai bentuk.

Rujukan Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual. ( 2000 ). Kuala Lumpur : AG Grafik.

Pusat Perkembangan Kurikulum. ( 2002 ). Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia. Md. Nasir Hj. Ibrahim. ( 2003 ). Pengurusan Seni. Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris. Mazlan Mohamad. ( 1996 ). Pendidikan Seni I, Prinsip Pendidikan Seni. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

PERANAN PENDIDIKAN SENI VISUAL Antara peranan Seni Visual dalam pendidikan, pertama ialah memupuk kreativiti kanakkanak. Sifat semula jadi bagi seseorang kanak-kanak ialah memerlukan perhatian, belaian, sentuhan dan sebagainya. Tanpa kita sedari perkembangan seni tampak minda kanak-kanak berlaku dengan begitu pesat sekali. Sebelum meningkat remaja, kanakkanak mengalami tiga tahap perkembangan seni tampak. Peringkat manipulatif sekitar umur 2 hingga 5 tahun. Peringkat melakar simbol-simbol berumur 5 hingga 9 tahun dan peringkat pra-remaja iaitu sekitar umur 10 tahun hingga 13 tahun. Berdasarkan kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, perkembangan seni ini berlaku pada setiap kanak-kanak. Perbezaan mungkin timbul ialah berdasarkan faktor persekitaran, bimbingan berterusan daripada keluarga atau latar belakang pendidikan. Melalui proses membentuk kreativiti dari diri kanak-kanak itu akan terbina dengan baik. (Laura H.Chapman, 1978) Peranan kedua ialah memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar. Apabila mencapai umur remaja sekitar 10 hingga 15 tahun, tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar itu sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu bentuk dengan lebih baik. Pada peringkat ini, sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang. Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965) pada peringkat ini merupakan peringkat yang paling konflik dan genting. Pelajar akan mengalami tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses membesa r mereka. Persaingan di kalangan pelajar berlaku peringkat ini. Pelajar yang lemah akan mengalami masalah yang dinyatakan tadi. Sekiranya dibimbing dan diberi penerangan yang betul, kemungkinan minatnya terhadap seni akan terkubur. Berbanding dengan pelajar yang diberi bimbingan atau nasihat yang positif. Mereka akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan subjek seni itu. Ketiga ialah melahirkan tenaga professional dalam pelbagai bidang. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kita amat memerlukan ramai tenaga professional. Jurutera, arkitek, doktor, saintis dan penguam merupakan bidang kerjaya yang amat diperlukan oleh negara. Akibat kekurangan itu, kita terpaksa mengimport dari luar negara. Dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk

keperluan negara, pelajar yang memilih bidang ini boleh merancang untuk membentuk satu profesion baru. Menjadi seniman sepenuh masa contohnya. Walaupun negara kita masih baru dalam bidang ini, namun telah terdapat ramai artis yang mampu hidup mewah dengan menjadikan seni sebagai satu profesion sepenuh masa. Keempat, peranan seni visual dengan cara memupuk dan mendidik sifat kecintaan pada seni dan estetika. Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni ini perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Pada hari ini melalui sebuah agensi kerajaan, kita melihat beberapa agenda penting disambut setiap tahun. Pelbagai aktiviti dan perayaan dianjurkan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk kebudayaan. Antaranya program Tahun Melawat Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Selain daripada itu, ada pelbagai program lain yang dianjurkan bertujuan untuk menarik para pelancong. Program seperti ini wajar diadakan dan dipergiatkan lagi. Namun apa yang penting di sini ialah penglibatan masyarakat masih lagi tidak menyeluruh. Terutama sekali ialah kesan penghayatan masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan itu. Kelima pula ialah memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat. Masyarakat kita memang kaya dengan khazanah warisan budaya. Sebut sahaja keperluan harian yang digunakan di rumah kita. Pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan atau tekstil, hamparan tikar mengkuang atau pandan, anyaman kelarai, seni binaan rumah kayu atau kampung dan seterusya seni budaya sopan santun dan adat istiadat. Seni warisan ini sebenarnya semakin terpinggir dan hampir dilupakan. Tidak banyak lagi generasi hari ini yang mengamalkan amalan menghulurkan tepak sirih apabila menyambut kedatangan tetamu. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan itu. Seni itu wajar dipertahankan daripada hilang terus atau mengalami kepupusan. Terdapat banyak contoh yang boleh dijadikan rujukan. Seni kraftangan umpamanya seperti seni anyaman mengkuang dan seni anyaman kelerai. Seni tekat, tembikar dan banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini. Peranan keenam ialah melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri. Budaya menunjukkan bangsa. Kata-kata ini jelas kepada kita bahawa sesebuah masyarakat itu mesti meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Mengekalkan kebudayaan mereka supaya ia dikenali dan dihormati bukanlah satu tugas yang mudah. Kita boleh mengesan sesuatu bangsa melalui perkembangan budayanya. Ada yang berpendapat, mengenali sesuatu bangsa itu lebih mudah dari mengenali budayanya. Masyarakat yang memiliki jati diri yang kuat akan berusaha untuk mengekalkan seni, budaya dan warisannya . Kita mestilah meletakkan tanggungjawab di bahu masyarakat akan kepentingan nilai seni dan estetika. Kefahaman dan tanggungjawab ini perlu dipupuk di peringkat awal lagi. Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang paling wajar. Peranan murid, guru atau pendidik, pensyarah, dan pihak kementerian pendidikan amat penting untuk merealisasikan perkara ini. Justeru, selain apa yang disebutkan tadi, semua masyarakat

juga boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan kearah cita-cita yang murni ini.

KREATIVITI PENDIDIKAN SENI VISUAL DAN KELEBIHANNYA Pendidikan Seni banyak mempersiapkan individu untuk ke dunia kerjaya. Ramai pendidik berpendapat seni wajar dijadikan mata pelajaran teras di sekolah. Ramai berpendapat seni mempunyai potensi untuk dikembangkan. Seni dapat membantu dalam pelbagai bidang. Menurut Hanna (1994), seni membantu dalam ; kerjasama dan kasih sayang, merancang dan melaksanakan, kemahiran berfikir, adaptasi dengan orang lain, mengembangkan bakat, mengambil risiko dan membuat keputusan, harga diri/yakin diri, kerjasama, kemahiran menyelesaikan masalah, perkembangan emosi, membina kreativiti, disiplin diri, menjadi rakyat yang baik, menjadi seorang dewasa yang berdikari dan meluahkan perasaan. Cara pembelajaran yang terbaik ialah melalui seni. Kemahiran berfikir secara abstrak dan kemahiran kreatif boleh dirangsang melalui mata pelajaran seni. Hidup pada hari ini terlalu banyak maklumat. Amat mustahil untuk kita memperoleh dan menyimpan semua info atau maklumat. Seni berbeza kerana ia bersifat abstrak. Kadangkala apabila kita melihat lukisan sahaja, kita akan berasa tenang. Jelas kepada kita, seni sebagai ekspresi diri. Proses memupuk dan mengembangkan kreativiti para pelajar boleh dilakukan dalam seni melalui : pertama ialah penyoalan. Iaitu rangsangan melalui proses penyoalan melalui sesi kritikan seni. Kedua ialah penemuan. Contohnya seperti penemuan baru melalui penyelidikan dan kajian. Ketiga ialah pemerhatian. Ianya tidak hanya tertumpu kepada deria pengamatan semata-mata sebaliknya turut melibatkan deria sentuhan dan sebagainya. Keempat ialah percubaan. Ia merupakan usaha berterusan bagi mendapatkan hasil terbaik. Individu yang kreatif akan terus bereksperimentasi bagi mendapatkan kesan dan hasil yang diinginkan. Kelima ialah penerokaan. Penerokaan dan eksplorasi merujuk kepada galakan untuk memanipulasi pelbagai barangan dan alat yang terdapat di sekeliling dan menggunakan objek dan bahan yang terdapat di sekeliling tersebut untuk dijadikan hasilan seni. Akhir sekali ialah aktiviti/bermain. Kreativiti dapat dirangsang melalui aktiviti bermain melalui permainan yang berbentuk akademik. Namun begitu, seni tidak diberi kepentingan yang sepatutnya di sekolah-sekolah. Tidak ramai guru yang berkelulusan dan berkelayakan mengajar seni di peringkat rendah. Hakikatnya Seni bersifat subjektif, dan bukan semua guru boleh mengajar seni. Ia tidak bersifat fakta malahan terdapat guru-guru yang tidak kreatif dan tiada kemahiran dalam seni dipaksa mengajar seni. Ini memberi kesan yang amat buruk kepada anak-anak didiknya. Disebabkan seni itu sifatnya abstrak maka tiada istilah tentang lukisan yang

betul atau yang salah. Jawapan boleh diberi berdasar kreativiti dan pengalaman seseorang individu menginterpretasi tentang lukisan itu sendiri. Seni banyak memberi manfaat kepada para pelajar. Ia tidak boleh diukur secara objektif. Patricia James (1999), menyatakan pelajar belajar kemahiran kreatif dan kritis melalui seni ini. Seni dianggap sebagai terjemahan metafora dan ekspresi emosi sama juga seperti sastera dalam bentuk tulisan. Untuk mendapat kemahiran dalam seni, seseorang perlu berani bermain dengan pengetahuan, pengalaman dan perasaan. James dalam Ideas in Practice (1999), menyatakan seni mengasah bakat kreativiti dan kemahiran kritikal. Kini kreativiti boleh diajar dalam bilik darjah. Realitinya seni mempunyai tujuan dan proses yang terkandung di dalamnya tiada kesudahan. Justeru guru perlu kreatif untuk mengcungkil bakat dan potensi pelajar. Pendekatan seni membantu individu dalam aspek-aspek tertentu. Selain dari itu keaslian dan pemikiran yang tajam dilabelkan sebagai gifted child (individu yang berbakat/berpotensi). Adalah menjadi satu kesukaran untuk mengajar individu yang gifted kerana mereka mudah dan cepat berasa bosan. Ini kerana gifted child boleh belajar proses idea-idea yang lebih kompleks dan berupaya mengolahnya dengan menggunakan konsep tersendiri. (dipetik dari Education of Gifted). Gifted student mempunyai keperluan-keperluan yang berbeza dengan pelajar biasa. Pelajar dari kumpulan ini akan mudah merasa bosan jika kurikulum tidak sentiasa diperbaharui. Ini kerana kumpulan pelajar ini sentiasa ingin terus mempelajari sesuatu yang sentiasa baru. Berdasar dapatan melalui jurnal-jurnal pendidikan, kebanyakan negeri di US menyatakan 5 % hingga 10% daripada pelajar mereka adalah gifted. Selaras dengan perkembangan teknologi moden, kini pembelajaran jarak jauh, elearning, video conference, semuanya memudahkan seseorang untuk mendapatkan segulung ijazah. Malahan soalan-soalan boleh diajukan melalui panggilan telefon sahaja.

PENGARUH SENI DALAM AKADEMIK Pendidikan Seni juga dapat membantu pelajar-pelajar yang berisiko. Alkema (1971) menjelaskan bagaimana seni boleh membantu pelajar yang kurang upaya (OKU). Seni boleh membantu pelajar berfikir sendiri, ekspresi diri, perkembangan mental dan penemuan-penemuan idea baru, mencari penyelesaian baru, kesedaran mental, pemerhatian dan imbas semula pengalaman-pengalaman masa lalu. Seni membantu individu menyelesaikan konflik diri. Menurut satu kajian, pelajar yang mengambil mata pelajaran seni lulus dengan keputusan 100%. Apa yang menariknya dalam kajian ini pelajar-pelajar yang cenderung gagal telah lulus dalam mata pelajaran ini. Para pendidik telah berpendapat bahawa apabila kita menggunakan lebih daripada satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) iaitu lisan, penglihatan dan kinestetik, pengukuhannya adalah jauh lebih baik.

Kesabaran dalam seni mengajar seseorang individu agar bersabar, dan terus berusaha dalam mata pelajaran yang lain. Seni sebagai satu mata pelajaran yang menarik dan memberi ruang untuk ekspresi diri tetapi perlu juga berdisiplin dan bertanggungjawab. Sebagaimana yang kita ketahui selain kekuatan yang ada dalam mata pelajaran seni ini, ia juga merupakan satu mata pelajaran yang adventure atau mencabar dan indah. Justeru, seni perlu kepada seseorang yang kebal dengan kritikan. John Adams (2000) pernah menyatakan bahawa seseorang individu itu sering berkonflik dengan keinginan diri sendiri dan kita semua sering mengaitkannya dengan wang ringgit dan kehendak diri. Pada pendapat kita apa-apa yang tidak memberikan pulangan wang ringgit adalah tidak berguna. Tetapi seni merupakan sesuatu yang unik dan menarik yang patut dipelajari. Kita tidak boleh mengabaikan pendidikan seni di sekolah. Dulu seni hanya dipelajari oleh golongan bangsawan yang kaya raya, tetapi kini seni boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, semua golongan tidak kira miskin ataupun kaya. Adalah satu kerugian jika tidak mempelajari seni kerana ianya sesuatu yang cukup bermakna dalam menjalani kehidupan seharian. Seni kini boleh dipelajari di sekolah-sekolah menengah dan wajar ianya diwajibkan sebagai mata pelajaran teras atau utama di sekolah-sekolah menengah. Tetapi ada yang tidak dapat menerima seni dengan alasan ianya tidak sesuai dan agak lucah. Ini kerana kadangkala gambar-gambar bogel atau separa bogel sering disalah ertikan. Punca keadaan ini adalah disebabkan pengetahuan tentang seni terlalu cetek dan mereka tidak lihat seni itu sebagai sesuatu yang bermakna penuh dengan simbol-simbol atau metafora (perlambangan). Hasil seni dan produk seni sebenarnya hasil dari pengumpulan idea, emosi, perasaan dan dibantu dengan ilmu-ilmu lain maka tercipta hasil seni yang dibanggakan. Justeru seni amat penting dalam kehidupan mereka dan merupakan sebahagian dari kehidupan. Cuma menjadi persoalan apabila pendedahan seni itu tidak diperjelaskan secara langsung kepada masyarakat. Perlakuan negatif dari pengamal menyebab seni diperlekehkan. Sedangkan seni sebagai agen perubahan masyarakat dan bukan hanya untuk golongan lemah sahaja (pelajar lemah). Justeru guru yang baik dan berkesan dalam P&P Pendidikan Seni akan menjelaskan tentang kepentingan penghayatan dalam setiap kegiatan seni. Ini diperjelaskan oleh Robinson (1990); making and appraising are both.... of equal and fundamental importance in art education : each Is important in itself.

Anda mungkin juga menyukai